
Malaysia
Contoh Kerjasama Dan Persefahaman Masyarakat Yang Ideal - Imam Sheikh Salah
PETALING JAYA, 24 April (Bernama) -- Masyarakat Malaysia
merupakan model atau contoh kerjasama dan persefahaman yang ideal di kalangan
rakyat, kata Imam Masjid Nabawi Sheikh Salah Al-Budair.
Beliau menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang
terbina kukuh dengan pembangunan hebat.
"Alhamdulillah...kaum wanita pula mempunyai peranan
dalam pembangunan negara," kata beliau.
Sheikh Salah menyatakan hal ini pada syarahan umumnya
berjudul "Peranan Syariah di Dunia Global", di Institut Kajian Islam
Lanjutan Antarabangsa (IAIS) di sini Rabu.
Syarahan sejam itu dalam bahasa Arab diterjemah oleh Ketua
Felo Profesor IAIS Dr Karim Crow yang turut bertindak sebagai moderator.
Beliau berkata keselamatan adalah satu daripada rahmat dalam
kehidupan seseorang insan.
"Tanpa keselamatan tidak akan ada pembangunan, malah
tidak juga sebuah bangunan.
"Seseorang itu hanya merasa selamat bila negara aman
dan selamat. Oleh itu itu kita perlu melindungi dan memelihara
keselamatan," kata Sheikh Salah.
Beliau turut menyebut mengenai dilema dan masalah umat Islam
di seluruh dunia.
Syarahan itu dianjurkan oleh IAIS dengan Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM) dan Kedutaan Diraja Arab Saudi di Kuala Lumpur.
Kira-kira 200 orang termasuk ahli akademik, pegawai kanan
kerajaan dan pelajar mengikuti syarahan itu.
Selepas syarahan, Sheikh Salah mengimami solat zohor di
Masjid Tun Abdul Aziz di Seksyen 14 di sini.
Sheikh Salah, seorang hafiz, juga berkhidmat sebagai hakim
di mahkamah tinggi Medina. Beliau tiba Jumaat lepas dan akan berada di sini
hingga 4 Mei atas undangan kerajaan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment