07 April 2013


Syarikat korporat dikagumi


TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyaksikan pertukaran perjanjian persefahaman CSR Perlis antara Affendi Rajini Khan (kiri) dan Mazlan Nordin sambil diperhatikan oleh Azizan Hamid (dua dari kanan) di Kangar baru-baru ini.

KANGAR 6 April - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kagum dengan langkah sektor korporat kerana amat bijak menjalinkan perkongsian pintar dengan kerajaan dan pelbagai agensi bagi membantu meningkatkan lagi taraf kehidupan masyarakat.

Salah satu perkongsian bijak yang dimaksudkan oleh baginda ialah menerusi tanggungjawab sosial korporat Perlis (CSR Perlis) yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat korporat untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

Titah baginda, pelaksanaan program CSR Perlis merupakan antara strategi penting ke arah memangkin pembangunan sosioekonomi negeri untuk menjadikan Perlis sebagai negeri yang berjaya membina kemajuan secara strategik.

Baginda juga turut memuji syarikat korporat yang tidak melepaskan tanggungjawab sosial membantu golongan tidak berkemampuan agar tidak tercicir daripada arus pembangunan perdana negara.

Tuanku Syed Faizuddin mengutarakan demikian sewaktu bertitah melancarkan Program Bantuan Peralatan Komunikasi Dan Peralatan Sokongan Pendidikan Kepada Pelajar-Pelajar Yang Kurang Berkemampuan di Negeri Perlis Tahun 2013 di Hotel Sri Malaysia di sini baru-baru ini.

CSR Perlis itu dijayakan di bawah satu sekretariat yang diterajui oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azizan Hamid dengan kerjasama Dewan Usahawan Islam Malaysia (DUIM) dan syarikat swasta Gema Rebana Sdn. Bhd. (Gema Rebana).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Kebajikan Perlis, Affendi Rajini Khan dan COE Gema Rebana, Mazlan Nordin hadir sama.

Raja Muda Perlis juga turut menyatakan kebanggaan baginda kerana negara ini memiliki banyak penyumbang ke arah menjayakan program CSR di semua negeri.

Antara pihak yang dimaksudkan itu, termasuklah baitulmal majlis-majlis agama Islam negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Kebajikan Perlis, badan bukan kerajaan dan sektor korporat yang menyumbang secara berterusan.

Tuanku Syed Faizuddin juga turut mengingatkan masyarakat agar sama-sama memastikan hanya golongan yang layak atau asnaf sahaja diberikan bantuan itu.
"Ini kerana kumpulan sasar tersebutlah yang sepatutnya dibantu terlebih dahulu atau diberi perhatian serius," titah baginda.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Utara/20130407/wu_02/Syarikat-korporat-dikagumi#.UWB7Ev9wgaI.facebook#ixzz2PlxIQcc9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: