KANGAR - Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini menyampaikan sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM1.379 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips).
Cek zakat itu diserahkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi pihak MAIPs, di Istana Arau.
Perlis ialah negeri kedua yang menerima zakat perniagaan PNB tahun ini selepas Negri Sembilan yang menerima sebanyak RM3.515 juta baru-baru ini.
Menurut kenyataan media PNB hari ini, zakat perniagaan itu membabitkan tahun kewangan 2010, 2011 dan 2012 kumpulan PNB, tetapi tidak meliputi agihan pendapatan untuk pemegang unit amanah yang melabur dalam tabung yang dikendalikan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
PNB dalam kenyataan itu turut menasihati pemegang akaun dalam tabung kedalian ASNB supaya menjelaskan sendiri zakat bagi pelaburan dalam setiap unit amanah berkenaan.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Ketua Pegawai Eksekutif Maips Malik Hussin. - Bernama