26 April 2013


Elak perbalahan sesama ummah - Shaikh Solah

Syaikh Solah Mohammed Al-Budair mengimamkan solat Jumaat di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 26 April - Umat Islam dinasihat bersatu padu dan mengelak berbalah sesama sendiri agar Islam yang menjadi agama rasmi negara ini dapat dijadikan contoh kepada umat dan negara lain.
Imam Masjid An-Nabawi, Madinah, Shaikh Solah Mohammed Al-Budair berkata, umat Islam perlu mencari satu perkara yang dapat menyumbang dan memberi manfaat kepada negara agar keamanan dan kesejahteraan terus berkekalan.
Katanya, ini penting kerana selain dapat mengelak berlakunya kemudaratan dan perpecahan kepada negara Islam, sumbangan yang bermanfaat juga dijanjikan ganjaran berterusan oleh Allah SWT walaupun setelah meninggal dunia.
"Umat Islam harus bersatu padu, jauhkan daripada melakukan perbalahan sesama sendiri kerana tindakan itu hanya memberi mudarat kepada negara serta perpecahan ummah.
"Sebagai umat Islam, mereka perlu sentiasa memikirkan apakah sumbangan yang boleh ditinggalkan di bumi ini iaitu kepada negara dan juga agama supaya Islam menjadi contoh yang disebut-sebut oleh umat dan negara lain," katanya ketika menyampaikan khutbah di Masjid Negara di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir melawat karnival Semarak Syariah anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di pekarangan Masjid Negara.
Karnival bermula hari ini hingga Ahad dengan memuatkan pelbagai aktiviti seperti jualan, pameran, ceramah agama, pertunjukan nasyid dan pertandingan bagi kanak-kanak.
Shaikh Solah yang juga hakim di Mahkamah Tinggi Madinah dijadualkan berada di negara ini sehingga 4 Mei ini.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130427/dn_08/Elak-perbalahan-sesama-ummah---Shaikh-Solah#ixzz2Rc12P4Bl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: