10 November 2012

RAJA DAN RAKYAT ANTARA AGAMA BERTEMU DALAM GEMA 2012

MATA AYER, PERLIS; 3 NOVEMBER 2012: DYTM Raja Muda Perlis bertitah bahawa Perlis wajar menjadi negeri contoh dalam mempromosikan keharmonian antara agama. Baginda bertitah sedemikian dalam program Gerbang Muhibah Antara Agama atau GEMA 2012 yang dianjurkan oleh Persatuan Al-Islah Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Program yang diadakan buat pertama kalinya dalam sejarah Negeri Perlis ini telah dihadiri seramai 200 orang para pemimpin komuniti pelbagai agama seluruh Perlis iaitu mewakili Islam, Kristian, Buddhis Siam, Buddhis Cina, Hindu dan Sikh.


 

Yang Dipertua Persatuan Al-Islah Perlis, Haji Othman Husin, ketika menyampaikan ucapan aluannya menghimbau tercetusnya GEMA 2012 sebagai susulan majlis berbuka puasa dan makan malam muhibah yang diadakan pada bulan ramadhan yang lepas. Menyeru para hadirin merenung masa hadapan yang cerah dengan penganut pelbagai agama hidup rukun damai sebagai jiran dan bukannya musuh di Negeri Perlis, beliau berkata lagi:

“Memelihara keharmonian dan meningkatkan kerjasama antara pelbagai agama menjadi lebih penting khasnya apabila meningkatnya insiden Islamophobia pasca-911”.

Justeru sebagai penghargaan kepada komuniti-komuniti agama yang berjiran dengannya, Persatuan Al-Islah Perlis terpanggil menganjurkan program seumpama ini.
Yang Dipertua Persatuan Al-Islah Perlis, Cikgu Haji Othman bin Haji Husin

Dalam ucapan balasnya, wakil komuniti Kristian Perlis, Pastor Lee Wai Ming menarik perhatian para hadirin bahawa pertemuan antara agama mestilah diadakan lebih kerap untuk menzahirkan kemesraan dan muhibah. Katanya lagi:

“Kita berbeza tapi biarlah perbezaan itu menyatukan kita untuk berkawan dan duduk semeja”

Pastor Lee Wai Ming


Pandangan ini disambut baik oleh wakil komuniti Buddhis Siam. Encik Alon a/k Endin Keliang menegaskan:

“Kemesraan ini haruslah dikekalkan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan terkandung dalam Rukun Negara” 

Wakil komuniti Buddhis Siam. Encik Alon a/k Endin Keliang

  Selanjutnya wakil komuniti Buddhis Cina turut memberikan sokongan ke arah mengeratkan kerjasama antara penganut pelbagai agama. Encik Leong Weng Kong berucap:

“Persatuan Buddhis Perlis berasa gembira kerana ada Organisasi Islam yang mengambil inisiatif untuk saling mengenali masyarakat dan segenap lapisan melalui platform keagamaan. Sesungguhnya usaha ini serasi dengan ajaran agama Buddha yang menyeru pengikutnya agar sentiasa berbuat baik tanpa batasan agama dan jernihkan minda supaya hidup lebih bermakna”  


Encik Leong Weng Kong, wakil komuniti Buddhis Cina 


Wakil komuniti Hindu, Dr. Hariram a/l Ramayah pula menekankan persaudaraan sesama manusia yang sama merah darahnya meskipun berbeza warna kulit dan agama. Lebih menarik lagi, ucapan beliau disertakan pantun empat kerat yang berbunyi:

“Islam, Hindu, Kristian, Sikh, Buddha Berdiri kukuh bersama-sama Hidup ini pendek sahaja Tali persaudaraan dikukuh bersama”  

Wakil komuniti Hindu, Dr. Hariram a/l Ramayah


GEMA 2012 diserikan lagi dengan keberangkatan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Dalam titah perasmiannya, baginda menegaskan bahawa kepelbagaian agama di Perlis adalah suatu aset, bukannya liabiliti.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis turut mengingatkan para pemimpin komuniti pelbagai agama yang hadir:

“Semua pihak juga perlu bersama-sama mengelak gejala buruk yang ditegah oleh semua agama dan etika kemanusiaan sejagat yang diwujudkan oleh segelintir kecil dari kalangan teroris yang selalunya lantang melalui agenda ekstrimisme, cauvinisme dan fanatisme. Mereka yang mesti tidak disokong oleh semua. Ia perlu ditangani oleh golongan majoriti seperti mana yang ada di hadapan saya ini, adalah majoriti senyap atau silent majority dari segenap agama yang terus-menerus mengamalkan toleransi dan bersederhana dalam pelbagai aspek kehidupan, dan mengambil sikap bersatu padu menentang sebarang jenis keganasan yang dipelopori puak-puak yang sedemikian”.  


DYTM Tuanku Raja Muda Perlis


Serentak dengan itu DYTM Raja Muda Perlis menitah cadangkan untuk Negeri Perlis menganjurkan sambutan Minggu Keharmonian Antara Agama Antarabangsa pada minggu pertama bulan Februari yang akan datang. Penganjuran minggu ini adalah hasil resolusi yang dipersetujui secara sebulat suara oleh pelbagai negara di dunia, dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tahun 2010.

Sempena GEMA 2012, DYTM Raja Muda Perlis turut berkenan melancarkan Inisiatif FAIZ sebagai garis panduan sukarela dalam berinteraksi antara agama. Bukan suatu perundangan atau paksaan, Inisiatif FAIZ adalah gagasan yang didedikasikan untuk keharmonian komuniti pelbagai agama di Perlis. Inisiatif ini terdiri daripada 4 komponen utama yang terdiri daripada F (Faham), A (Amal), I (Ikhlas) dan Z (Zuriat iaitu libatkan generasi muda). Persatuan Al-Islah Perlis bercadang menganjurkan persidangan meja bulat untuk pelbagai komuniti agama di Perlis merenung, menilai dan menambah baik prakarsa ini sebelum dilaksanakan.  

 

GEMA 2012 turut menjadi platform berinteraksi secara santai bagi membina rasa saling percaya dan mendekatkan jurang prasangka antara 200 orang pemimpin komuniti pelbagai agama di Negeri Perlis yang hadir. Dihidangkan makanan berdaging dan vegetarian, sajian halal disediakan dengan selera ala 4 etnik utama Negeri Perlis yakni Melayu, Siam, Cina dan India.

No comments: