KANGAR, 8 Nov — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu golongan remaja membentuk diri menjadi generasi Malaysia yang hebat dan maju.
Baginda bertitah sebagai pewaris negara, mereka perlu berusaha gigih memburu kejayaan dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang yang tersedia sejajar dengan kehendak sistem pembelajaran yang komprehensif.
Bertitah pada istiadat konvokesyen ke-12 Kolej Antarabangsa Teknologi Profesional Perlis, Malaysia (KATPM) di sini hari ini, baginda berharap para graduan turut menyemai semangat kesukarelaan dengan menyumbang khidmat bakti kepada segenap lapisan masyarakat.
Sebagai golongan terpelajar, mereka perlu sentiasa menjaga imej diri, keluarga, masyarat dan agama supaya terus dihargai sepanjang masa.
Pada konvokesyen itu, 157 graduan dalam bidang teknologi mekanikal gas, farmasi, kejururawatan serta pengurusan hotel dan pelancongan menerima diploma yang disampaikan Tuanku Syed Faizuddin.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. — Bernama
No comments:
Post a Comment