Ketika Perlis berjuang mengukir masa kini dan melakar masa hadapan yang lebih gemilang, kewujudan berbilang agama di buminya wajar dilihat sebagai satu sumber kekuatan. Perlis amat bertuah apabila ia menjadi lokasi pertemuan pelbagai agama dan kepercayaan terbesar dunia. Oleh sebab keharmonian antara penganut pelbagai agama bukanlah suatu keistimewaan yang boleh ditawar menawar lagi, amatlah kena pada masanya untuk Inisiatif FAIZ dicadangkan kepada semua komuniti agama di negeri ini.
Menggariskan 4 komponen utama yang diaplikasikan secara bersepadu, Inisiatif FAIZ terdiri daripada:
F – FAHAM. Iaitu memahami agama sendiri, dan agama-agama yang lain khasnya agama yang penganutnya tinggal berjiran. Pelbagai agama hendaklah difahami daripada sumber-sumber berautoriti agama itu sendiri.
A – AMAL. Pemahaman ini hendaklah diterjemahkan menjadi amalan dalam kehidupan sehari-hari. Daripada amalan yang dizahir dan seterusnya dibudayakan, lahirlah penghormatan dan toleransi sesama insan.
I – IKHLAS. Untuk berinteraksi dengan penganut pelbagai agama, ketulusan yang lahir daripada hati yang suci adalah ramuan penting.
Z - ZURIAT. Dalam perjalanan panjang lagi berliku membina ‘jambatan’ keharmonian antara penganut pelbagai agama, zuriat iaitu generasi muda hendaklah sentiasa dididik dan dilibatkan bersama-sama.
Inisiatif FAIZ bukanlah suatu perundangan atau peraturan, jauh sekali paksaan atau tekanan. Ia adalah sebuah gagasan yang didedikasikan untuk keharmonian komuniti pelbagai agama di Perlis. Justeru prakarsa ini wajar direnung dan dinilai, dibahas dan ditambah baik, sebelum dilaksanakan secara sukarela tetapi bersungguh-sungguh. Dalam bahasa Arab, faiz bererti “yang berjaya”. Maka diharapkan Inisiatif FAIZ akan berupaya memacu Perlis ke era kejayaan, khususnya dalam dimensi perhubungan dan keharmonian antara pelbagai agama.
Rasional Logo Inisiatif FAIZ
• Jata Kerajaan Perlis melambangkan naungan Raja-raja Jamalullail yang berdaulat kepada semua komuniti agama yang menjadi rakyat Negeri Perlis
• Warna biru dan kuning melambangkan warna bendera Negeri Perlis serta perpaduan antara raja dan rakyat
• Warna hitam dan putih melambangkan fungsi agama yang membimbing penganutnya untuk membezakan antara kebaikan dan kejahatan, antara kebenaran dan kepalsuan
• Corak kelarai sebagai latar belakang logo melambangkan identiti tempatan Perlis. Seperti kelarai yang sebidang dianyam daripada bilah-bilah buluh yang berbeza, penganut pelbagai agama berkerjasama membentuk kekuatan Negeri Perlis
• Bentuk separuh bulatan yang bercantum dengan bentuk segi empat melambangkan aspek kebebasan dan keistimewaan bergabung dengan aspek perundangan dan tanggungjawab, sehingga wujudlah keharmonian antara penganut pelbagai agama di Negeri Perlis
• Huruf-huruf melambangkan 4 komponen utama Inisiatif FAIZ iaitu F (Faham), A (Amal), I (Ikhlas) dan Z (Zuriat)
No comments:
Post a Comment