Laporan ini dipetik dari mynewshub.my seperti di laman http://mynewshub.my/2012/11/03/jangan-campuri-hal-dalaman-agama-lain/
KANGAR - Keharmonian akan terus wujud di negara ini jika tiada pihak mengganggu atau mencampuri hal dalaman agama lain serta menghormati sensitiviti semasa masyarakat berbilang kaum.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizzudin Putra Jamalullail bertitah, keharmonian juga wujud apabila rakyat negara ini dapat mencintai negara sepenuh hati melalui semangat taat setia dan patriotik yang tinggi walau mereka berbeza agama dan kaum.
Sehubungan itu, baginda mahu para pemimpin agama di negara ini berusaha melenyapkan prasangka kaum dan agama demi perpaduan dan keharmonian yang berterusan.
"Mereka juga perlu menyuburkan persefahaman serta menghindari perkara yang boleh membangkitkan ketegangan, prasangka dan permusuhan antara agama dan kaum," titah baginda pada majlis Perasmian Program Gerbang Muhibah Antara Agama (Gema) 2012 di sini hari ini.
Program anjuran Persatuan Al-Islah Perlis itu mempertemukan para pemimpin pelbagai agama di negara ini. Turut berlangsung pelancaran 'Inisiatif FAIZ' yang bertujuan menyatukan masyarakat negara ini.
Baginda seterusnya bertitah supaya rakyat Malaysia menghayati semangat muhibbah tanpa menggadaikan kepercayaan dan agama masing-masing. -mynewshub.my
No comments:
Post a Comment