KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu para pemimpin agama di negara ini berusaha melenyapkan prasangka kaum dan agama demi perpaduan dan keharmonian.
Baginda bertitah mereka juga perlu menyuburkan persefahaman serta menghindari apa jua perkara yang boleh membangkitkan ketegangan, prasangka dan permusuhan antara agama dan kaum.
Bertitah merasmikan program Gerbang Muhibah Antara Agama (Gema) 2012 di Mata Ayer dekat sini hari ini, baginda turut berharap selain pemimpin, semua rakyat menghayati semangat muhibbah tanpa menggadaikan kepercayaan dan agama masing-masing.
Program yang mempertemukan para pemimpin pelbagai agama itu dianjurkan oleh Persatuan Al Islah Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Yang Dipertua MAIPs, bertitah keharmonian akan terus wujud jika semua rakyat tidak mengganggu dan mencampuri hal dalaman agama lain selain menghormati sensitiviti agama dan kaum lain.
Taat setia
Pada majlis itu, baginda turut melancarkan ‘Inisiatif FAIZ’ anjuran Persatuan Al Islah Perlis yang antara lain bertujuan menyatukan masyarakat berbilang agama dan kaum.
Empat komponen utama dalam inisiatif itu ialah faham, amal ikhlas dan zuriat yang membentuk singkatan nama ‘FAIZ’.
Pengarah program Gema 2012, Dr Hazman Hassan berkata pihaknya berhasrat menjadikan Persatuan Al Islah Perlis sebagai sekretariat tetap program itu bagi membolehkan lebih banyak kegiatan diadakan.
Berangkat sama ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
-Bernama
Baginda bertitah mereka juga perlu menyuburkan persefahaman serta menghindari apa jua perkara yang boleh membangkitkan ketegangan, prasangka dan permusuhan antara agama dan kaum.
No comments:
Post a Comment