Ingin dijelaskan di sini bahawa saya menyebut pendekatan jalur tengah itu adalah berkenaan keperluan kita dalam mengharungi ombak dan ribut politiking sempit dan taksub, atau politik kepartian dan partisan yang melanda masyarakat kita pada hari ini, terutamanya dalam kalangan orang Melayu dan Islam. Dengan demikian, kita memerlukan pandangan dan visi yang lebih seimbang, atau yang dapat menganalisis sesuatu secara objektif, tanpa berat sebelah.
Akhir-akhir ini negara kita terheret kepada permainan politik yang selama ini tidak amat terasa di tanah air kita, iaitu politik kepartian melampau yang menjadikan rakyat kita berpecah belah dengan amat serius. Ini berlaku kerana masyarakat berpegang kepada label kepartian yang ekstrem, dan hal ini menyebabkan rakyat kita menjadi amat taksub kepada partinya, dan ketaksuban inilah yang menjadikan kebanyakan berada dalam dunia hitam putih bukan hanya dalam pemikiran, tetapi dalam tindakan dan kepercayaan mereka yang membawa kepada keyakinan bahawa partinya saja yang benar, lain semuanya salah.
Apa saja yang dilakukan oleh partinya, dan difahami prinsipnya dari pemimpin parti mereka, maka itulah saja yang betul dan benar, tiada cacat-celanya sama sekali, dan sesiapa yang mengikut ideologi parti lain yang menjadi lawannya, maka mereka itu adalah salah semuanya, tidak betul dan seharusnya ditolak bulat-bulat. Inilah maksud saya pendirian dan kefahaman hitam putih dalam politik.
Hal inilah di antara lainnya yang menjadikan warga kita amat berpecah belah pada masa kini, terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu dan Islam. Kita dapat melihat sikap dan jiwa taksub politik ini di dalam berbagai-bagai, dan sikap taksub serta fanatik kepartian ini menjadikan masyarakat kita curiga mencurigai, takut di antara satu sama lain, sehingga menjadikan masyarakat ini seolah-olah masyarakat kefahaman politik sempit, umat ideologi dan agama yang berbeza, tertakluk kepada parti politik yang dianggotainya dalam semua aspek kehidupannya.
Sedangkan politik itu tidak difahami sebagai satu seni dan kaedah pemerintahan negara (science and art of government) bukan satu sistem agama dan kepercayaan yang berasaskan dasar ketuhanan yang tertentu. Sekarang ini mungkin terdapat orang yang agak takut untuk bercakap kepada temannya tentang dasar negara secara berkecuali dan bebas, bercakap tentang amalan agama juga, atau bercakap tentang undang-undang dan mahkamah, bercakap tentang masjid dan surau, apa lagi bercakap secara bebas tentang dasar parti politik.
Semua kerana takut bahawa temannya itu akan terasa kerana terpengaruh dengan pemikiran taksub partisan atau terlalu taksub kepada parti tertentu.
Sepatutnya sebagai rakyat yang berpendirian bebas dan bersifat objektif, yang merasakan bahawa dia berhak untuk memberikan pandangannya tentang dasar negara, tentang isu politik dan sosial, atau permasalahan pendidikan dan bahasa, perkhidmatan awam, surau dan masjid, imam dan bilal, pensyarah dan pelajar, pemimpin dari semua kalangan dan parti politik.
Jadi sepatutnya setiap orang itu bebas memberikan pandangan tentang hal ini berdasarkan ilmu, kefahaman dan hikmah serta pemikirannya yang tidak berat sebelah.
Oleh itu, dalam keadaan inilah maka kita dapat melihat bagaimanakah kefahaman politik secara partisan dan taksub ini menjalar masuk dengan hebatnya ke dalam berbagai-bagai kalangan dan sektor masyarakat, termasuk di kalangan para intelek, pensyarah, guru, kakitangan awam, pihak industri dan korporat, ahli agama, imam dan bilal, mahasiswa dan golongan muda, dan di institusi kerajaan dan swasta, di kalangan NGO, universiti. Malah para seniman dan selebriti pun mulai mengambil pendirian menyebelahi parti politik secara ketara.
Memanglah setiap orang itu bebas menyertai parti politik pilihannya, tetapi penyertaan itu tidak seharusnya menjadi penyertaan ideologi peribadi dan partisan yang sama dengan anutan agama sehingga merasakan dirinya saja benar .
Parti politik bukanlah agama Allah dan pemimpinnya bukanlah Nabi atau Rasul, walau sekuat mana sekali pun parti dan pemimpin itu mencanangkan perjuangan agamanya, kerana parti politik adalah buatan manusia, dan pemimpinnya ialah manusia biasa yang mempunyai nafsu dan roh, yang membuat salah dan silap, bukan maksum. Akibatnya oleh kerana kefahaman politik sempit ini mempengaruhi pemikiran rakyat, maka mereka akan menjalankan kempen dan pengaruh untuk menegakkan ideologi kepartian mereka tanpa menghormati pandangan orang lain.
Saya mempunyai beberapa kawan rapat yang pada mulanya menyertai parti tertentu kerana kawannya yang menjadi pemimpin parti, atau berdasarkan keyakinan bahawa parti itu saja yang dapat menegakkan keadilan sosial, perjuangan agama dan bangsa, dan sebagainya. Tetapi akhirnya apabila berada di dalam parti itu, mereka merasakan kebebasan untuk bertindak dan memberikan pandangan yang bebas dikongkong, malah tindakan pemimpin parti itu sendiri ketara dan terserlah penyelewengannya, maka mereka segera berundur dan keluar sebagai orang bebas dan dapat berperanan sebagai golongan pertengahan, iaitu golongan yang dapat berfikir mengikut ilmu dan hikmahnya.
Terdapat segelintir ahli ilmuwan, termasuk ilmuwan agama, yang apabila menyertai parti politik maka keilmuannya menjadi terpimpin ke arah dasar dan ideologi parti yang disertainya, walaupun mereka bebas dan bersikap seperti orang yang mempunyai prinsip dan beragama sebelumnya. Golongan ini juga akhirnya menarik diri dari parti itu, dan akan terus memperjuangkan ajaran agama sebagai satu amanah Allah, bukan kerana kepentingan peribadi atau golongan tertentu.
Inilah maksud saya dengan gelombang pertengahan itu, iaitu golongan yang berpandukan kepada pemikiran dan ilmu, berdasarkan keikhlasan dan hikmat yang tidak terikat dengan sebarang dasar politik kepartian dan partisan, yang bebas mengeluarkan pemikirannya secara adil dan saksama berdasarkan ilmu agama, kemasyarakatan, ekonomi dan sebagainya. Golongan ini haruslah lahir ke dalam masyarakat sebagai gelombang baru yang tidak berat sebelah dalam memberikan pandangannya, malah memberikan teguran dan pendapat kedua kepada semua, termasuk kepada kerajaan, pemimpin parti politik dan negara.
Selagi golongan ini tidak lahir sebagai satu pasukan dalam gelombang kebangkitan politik negara kita yang berkecamuk ini, maka selama itulah kefahaman politik secara partisan dan taksub akan berleluasa di dalam masyarakat kita.
Pada masa kini pun terdapat golongan ilmuwan, ahli agama, intelektual dan golongan lain yang lebih merupakan golongan pertengahan dan sederhana ini, tetapi mereka tidak merasa selesa untuk masuk campur dalam pertelingkahan politik negara, kerana selesa dengan dunia mereka yang aman damai. Tetapi oleh kerana keadaan kini kelihatan amat parah, maka tibalah masanya golongan ini menyusun angkatannya tersendiri. Dalam hal ini mungkin terdapat pihak berkecuali juga yang dapat mengambil inisiatif mengumpul mereka dalam gelombang baru di dalam negara ini iaitu pendekatan jalur tengah yang sifatnya menyatu dan mempertemukan.
Akhirnya, kelahiran kumpulan ini amatlah bersesuaian dengan masanya kerana pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan bajetnya menyatakan beliau dan BN mengakui akan hakikat pepatah "gading mana yang tidak retak, bumi mana yang tidak di timpa hujan", maka BN juga mengaku akan wujudnya kelemahan dan kesilapan sendiri.
Kenyataan itu adalah gambaran berharga mengakui kelemahan dan usaha memperbaiki yang dibuat berbanding melihat orang lain tidak betul sedangkan manfaat kebaikan diterimanya tanpa ada rasa terima kasih atau mengakui kebaikan dari orang lain.
DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM Pengerusi Institut Profesional Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20121005/re_03/Pendekatan-jalur-tengah#ixzz28avLGMs4 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment