PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap kepada warga Imam dan Jawatankuasa Masjid seluruh negara pada 19 Julai 2012 di Malaysian Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) telah menyeru para imam agar bersama kerajaan menjayakan Program Transformasi Negara melalui pendekatan Al-Islah. Pada hakikatnya islah atau perubahan ke arah kebaikan ialah risalah para anbiya' dalam perjuangan membangun ummah seperti dinyatakan dalam surah Hud ayat 11 yang maksudnya: "Aku hanya bertujuan melakukan Islah sedaya-upayaku..."
Dalam al-Quran perkataan yang berasal daripada kata dasar (so-la-ha) diulangi sebanyak 169 kali. Ini membuktikan betapa penting pendekatan Islah dalam perjuangan para Anbiya.
Perdana Menteri juga menekankan pelaksanaan pendekatan Islah yang menyeluruh dalam segenap bidang pembangunan negara. Dan dalam konteks perhimpunan itu, contoh yang paling dekat ialah usaha kerajaan mengislahkan taraf kehidupan para imam dengan menaikkan elaun mereka melepasi tahap kemiskinan.
Contoh yang dikemukakan itu walaupun pada zahirnya kelihatan agak sederhana, namun jika kita meneliti nas syarak-syarak, ia merupakan antara matlamat penting daripada program Islah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dan merupakan sebahagian daripada jihad fisabilillah.
"Bukanlah yang dikatakan jihad itu orang yang menggunakan pedang dalam perang jihad semata-mata; tetapi adalah termasuk dalam jihad juga orang yang menanggung nafkah dua ibu bapanya; orang yang menanggung nafkah anaknya, maka ia juga seorang yang berjihad; dan sesiapa yang berusaha untuk menyara dirinya supaya tidak meminta-minta kepada manusia, maka ia juga termasuk dalam pengertian jihad (riwayat Ibnu 'Asakir)"
Daripada riwayat-riwayat yang dipaparkan di atas, jelas bahawa usaha-usaha kerajaan menjayakan program transformasi negara bagi memajukan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat adalah sebahagian daripada jihad yang dituntut dalam Islam bagi mencapai maqasid al syariah atau matlamat yang disasarkan oleh syarak dalam kehidupan manusia.
Jika kita mengamati sirah Rasulullah SAW, kita dapati pendekatan Islah secara menyeluruh telah dilaksanakan dalam proses pembentukan negara Islam pertama di Madinah. Sebaik-baik tiba di Yathrib, antara langkah awal yang diambil oleh Rasulullah ialah menukar nama tempat itu kepada Madinah.
Ini kerana Yathrib mencerminkan corak kehidupan lama mengikut sistem kabilah yang tidak memiliki daya maju dan tidak sesuai dengan pembinaan umat yang memiliki tamadun yang tinggi. Ini berbeza dengan Madinah (Bandar) yang menjadi asas kepada pembinaan dan perkembangan sesebuah tamadun.
Nama baru ini begitu penting di sisi Rasulullah SAW sehingga mereka yang masih menyebut Yathrib diminta beristighfar, seperti yang tersebut dalam Hadis riwayat Imam Ahmad: "Sesiapa yang menyebut Madinah sebagai Yathrib maka hendaklah ia beristighfar kepada Allah; ia adalah nama yang baik, ia adalah nama yang baik".
Selain daripada aspek kerohanian - akidah, ibadah, akhlak yang menjadi roh kepada kehidupan umat, maka pembangunan dalam aspek kehidupan dunia juga diberi perhatian yang seimbang. Ini bukan sahaja terjelma dalam tindakan tetapi juga dalam doa yang diajar oleh Rasulullah SAW seperti doa berikut yang maksudnya:
"Ya Allah! Islahkanlah urusan agamaku yang menjadi penyelamat segala urusanku, dan islahkanlah urusan dunia yang aku hidup di dalamnya." (Riwayat Muslim).
Antara bidang yang diberi keutamaan oleh Rasulullah SAW dalam program Islah di negara Islam yang pertama ini ialah aspek ekonomi. Ini memandangkan ekonomi bukan sahaja menjadi nadi bagi kehidupan harian umat, tetapi juga penting dalam pelaksanaan jihad bagi mempertahankan negara dan dakwah, dan juga dalam urusan-urusan ibadah.
Ekonomi Madinah pada ketika itu seperti perdagangan dan perusahaan dikuasai oleh orang Yahudi iaitu penduduk yang lebih awal menduduki Yathrib. Bagi memecahkan monopoli Yahudi ini, Rasulullah SAW membuka pasar baru bagi orang Islam. Baginda menyamakan peniaga-peniaga yang berniaga di pasar ini sebagai seorang mujahid di jalan Allah.
Ini bermakna memiliki kerjaya adalah satu ibadah. Dan usaha kerajaan mewujudkan pekerjaan adalah juga ibadah. Kerana setiap perkara yang disukai oleh Allah adalah ibadah. Dalam bidang pendidikan Rasulullah SAW mewajibkan umat Islam menuntut ilmu.
Memandangkan amat sedikit mereka yang tahu menulis dan membaca sewaktu kedatangan Islam, maka antara langkah awal yang diambil ke arah membina sebuah negara yang berteraskan ilmu ialah usaha membasmi buta huruf.
Rasulullah SAW meminta sesiapa yang boleh mengajar supaya mengajar orang lain. Tawanan Perang Badar yang mampu mengajar dibenarkan menebus diri mereka dengan mengajar sepuluh anak orang Islam menulis dan membaca. Rasullullah juga meminta para sahabat supaya mempelajari bahasa-bahasa asing yang digunakan pada ketika itu seperti bahasa Parsi, Rumawi, Qibti dan Hebrew.
Adalah jelas daripada apa yang dipaparkan di atas bahawa pendekatan Islah yang syumul meliputi segenap bidang kehidupan yang dilaksanakan di negara ini berpandukan hidayat dan contoh sepertimana yang diamalkan oleh Rasullullah SAW ketika membangun Madinah sebagai sebuah negara Islam.
Maka seruan Perdana Menteri agar para Imam bersama-sama dengan kerajaan dalam menjayakan Program Transformasi Negara amat tepat dengan kedudukan mereka sebagai pewaris dan penerus risalah yang dibawa oleh para Ambiya. Ini juga selari dengan perintah al-Quran supaya umat Islam saling bantu-membantu dalam perkara kebaikan dan takwa (Al-Maidah 2).
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20121019/re_06/Al-Islah-asas-perjuangan-para-Anbiya © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment