18 June 2011

LAPORAN (JP) WANITA DAN I-KIDS

B.8 LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP) WANITA DAN I-KIDS

Ahli hikmah Arab pernah bermadah ‘Ibunda Adalah Madrasah Pertama’, maka kaum wanita sesungguhnya adalah komponen yang tidak sekali-kali dapat diabaikan dalam Dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah. Justeru itu, JP Wanita dan I-KIDs ditubuhkan untuk menyemarakkan dakwah yang penuh keberkatan ini dalam kalangan kaum wanita dan ibu ke arah melahirkan muslimah yang diredhai Allah.

Beberapa kegiatan JP Wanita dan I-KIDs adalah seperti berikut:

1. Kuliah Mingguan Wanita

JP Wanita mengadakan kuliah mingguan khusus untuk wanita saban minggu iaitu pada pagi hari sabtu. Kuliah ini dikendalikan oleh Ustazah Zamzila Ishak dengan membawakan pengisian berhubung dengan Aqidah, Fiqh, Tafsir, Hadith, Akhlak dan sebagainya.

2. Kelas Kecergasan Wanita

Seterusnya JP Wanita menganjurkan kelas kecergasan khusus untuk wanita. Kelas ini dijalankan setiap hari selasa malam rabu, serta dikendalikan oleh Puan Husna Hassan. Diharapkan dengan adanya aktiviti ini, minda akan bertambah cerdas di samping jasad yang cergas.

3. Kuliah Khas Wanita

Sebagai kemuncak program dalam sesi 2010/2011, Kuliah Khas Wanita disusuli dengan majlis ramah-mesra, solat asar berjamaah dan jamuan teh telah diadakan. Majlis ilmu yang dihadiri hampir 100 orang peserta ini membawakan topik ‘Wasiat Rasulullah Kepada Wanita’. Pembimbingnya adalah Ustazah Ahshanti Ahmad, seorang pendakwah yang berkelulusan Ma’ahad Al-Hikmah, Jakarta, Indonesia. Ustazah Ahshanti juga merupakan isteri kepada Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Perlis. Perancangan juga sedang dibuat untuk membuka kuliah Ustazah Ahshanti secara berkala di Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis.

4. Kelas Percubaan I-KIDs

I-KIDs adalah singkatan kepada Tadika Persatuan Al-Islah Perlis. Dalam usaha menimba pengalaman dan memantapkan kemahiran untuk membuka tadika sebenar yang berprestasi, suatu kelas percubaan I-KIDs telah dibuka semenjak 10 Januari 2011 sehingga kini. Kelas percubaan ini bersifat Educational Playgroup yang beroperasi setiap hari isnin hingga khamis, jam 9.00 hingga 11.00 pagi.

Mendidik 10 orang anak-anak, kelas percubaan I-KIDs ini diselia oleh Puan Nurul Huda Idris. Beliau berkelulusan Sijil Pusat Jagaan Kanak-kanak yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta dibantu oleh tiga orang tenaga pengajar.

Bimbingan yang diberikan adalah berpandu kepada Manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah tetapi dalam kerangka kurikulum Prasekolah Kebangsaan Kementerian Pendidikan. Antara subjek yang diajarkan adalah komponen Bahasa dan Komunikasi yang mendidik Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab; komponen Pendidikan Kerohanian dan Moral yang mengajarkan Pendidikan Islam, komponen Perkembangan Sosioemosi, komponen Perkembangan Fizikal dan komponen Kreativiti dan Estetika.

LAPORAN (JP) ANJUNG MAKLUMAT ISLAH (AMI) DAN HAL EHWAL VETERAN

B.9 LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP) ANJUNG MAKLUMAT ISLAH (AMI) DAN HAL EHWAL VETERAN

Kejahilan diubati dengan ilmu sedangkan satu pendekatan ilmu diperluas adalah dengan menyebarkan bahan-bahan ilmiah. Maka sudah sewajarnya bahan ilmiah dimanfaatkan peranannya sebagai alat pembangunan fikiran, sosial dan kebudayaan berasaskan al-Qur’an dan al-Sunnah. Kepustakaan bahan-bahan ilmiah berkaitan perspektif Dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah tentang pelbagai isu perlu dipertingkat dengan menambahkan bahan-bahan yang berkualiti tetapi dengan kos yang berpatutan dan penyebaran yang merata. Untuk itu perpustakaan yang dinamakan Anjung Maklumat Islah (AMI) ditubuhkan.

Beberapa kegiatan JP ini dalam sesi 2010/2011 yang lalu adalah:

1. Menyelenggara Anjung Maklumat Islah (AMI)

Sebagai perpustakaan yang memiliki hampir 2000 judul buku-buku agama dan umum, AMI telah diselenggarakan. Selain buku, AMI juga memiliki koleksi majalah dan bahan-bahan multimedia. AMI juga menerima sumbangan bahan-bahan bersifat warisan sejarah Dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah di Perlis khususnya dan di Malaysia umumnya

2. Memperkenalkan sudut sejarah

AMI telah mengambil suatu ruangan di dalam Bilik Mesyuarat untuk dijadikan sudut sejarah. Pada sudut ini, beberapa artifak yang bersejarah kepada Persatuan Al-Islah Perlis telah dipamerkan. Antara bahan-bahan yang dipamerkan adalah mesin cetak lama, mesin taip lama, radio lama dan komputer lama yang pernah digunakan dalam menerbitkan bahan-bahan dakwah dalam Persatuan ini.

3. Diskusi Anjung Maklumat Islah (AMI)

Diskusi atau sesi dialog turut diadakan untuk menyemai semangat ingin tahu dan cintakan ilmu, khususnya dalam kalangan generasi muda. Untuk sesi ini, sebanyak dua siri Diskusi AMI telah diadakan iaitu:

i. Siri Pertama - 6 November 2010 dengan tajuk ‘Perkembangan Dakwah Sunnah Mutaakhir Di Bumi Mesir’ oleh Ustaz Mohd Firdaus Mohd Fuzi. Beliau adalah mahasiswa Universiti Al-Azhar Mesir yang bermanhaj Ahlis Sunnah

ii. Siri Kedua – 31 Mac 2011 dengan tajuk ‘Revolusi 25 Januari Di Mesir: Pengalaman Mahasiswa Ahlis Sunnah Wal Jama’ah’ oleh Ustaz Mohd Firdaus Mohd Fuzi

Untuk portfolio Hal Ehwal Veteran pula, perlu diakui bahawa tidak banyak yang dapat dibuat dalam sesi 2010/2011 ini. Mudah-mudahan Allah s.w.t membantu untuk mengimarahkan portfolio ini dalam masa terdekat

LAPORAN (JP) HAL EHWAL QARYAH

B.10 LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP) HAL EHWAL QARYAH

JP Hal Ehwal Qaryah ditubuhkan selaku jambatan antara Persatuan Al-Islah Perlis dengan masjid-masjid di sekitar Perlis khususnya Jawatankuasa-jawatankuasa Qaryahnya, serta Usrah Masjid-masjid. Hal ini dilakukan oleh kerana Persatuan sememangnya mengiktiraf dan memberikan penghargaan yang tinggi kepada masjid-masjid yang telah berjasa menyebar dan memupuk penghayatan Al-Sunnah dalam kalangan rakyat Negeri Perlis, sejak sekian lama.

Untuk sesi 2010/2011, JP Hal Ehwal Qaryah telah melaksanakan program-program berikut:

1. Ceramah Pendakwah Luar Perlis

Dengan mengambil faedah dan manfaat para pendakwah Al-Sunnah dari Luar Perlis, Persatuan Al-Islah Perlis telah menghadirkan beberapa pendakwah ke beberapa masjid sekitar Perlis. Masjid-masjid yang dimaksudkan adalah:

i. Masjid Alwi, Kangar – dibawakan Dr. Fadlan Mohd. Othman (UKM) menyampaikan kuliah maghrib pada 10 Oktober 2010

ii. Masjid Alwi, Kangar – dibawakan Dr. Abu Marwan Muhammad Sa’id Abu al-Rub (Ulama Jordan) menyampaikan kuliah maghrib pada 14 November 2010

iii. Masjid Al-A’la Behor Temak – dibawakan Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman (UM) menyampaikan kuliah subuh pada 13 Mei 2011

2. Ceramah Khas

Suatu ceramah khas berjudul ‘Rakyat Bersatu Tambah Muafakat, Negeri Makmur Dilimpahi Rahmat, Di Bawah Naungan Raja Berdaulat’ telah diadakan dengan kerjasama Masjid Putra Simpang Empat. Ceramah ini diadakan pada 22 Mei 2011 bersempena dengan Hari Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis Ke-68. Mewakili Persatuan Al-Islah Perlis, Ustaz Muhammad Ihsan Idris telah menghuraikan hubungan rakyat dan pemerintah mengikut Manhaj Al-Sunnah

3. Kursus Pengurusan Jenazah

Bagi melahirkan tenaga pelapis yang berilmu dan berkemampuan menguruskan jenazah menurut Manhaj Al-Sunnah, suatu Kursus Pengurusan Jenazah Siri Pertama telah diadakan dengan kerjasama penuh Jawatankuasa Qaryah Masjid Al-Hakim, Padang Malau, Beseri. Kursus yang disertai lebih 50 orang peserta lelaki dan perempuan ini telah dianjurkan pada hari sabtu, 22 Mei 2011. Aspek teori telah dikupas oleh Ustaz Muhammad Ihsan Idris. Pelajaran amali pula meliputi mandi jenazah, kafan dan solat jenazah dengan manusia sebenar menjadi model telah dibimbing secara berasingan antara lelaki dengan wanita. Bagi amali bahagian lelaki, peserta diberikan tunjuk-ajar oleh Tuan Rashid Abdul dan Ustaz Yusuf Abdul Hamid. Untuk amali bahagian wanita, panduan praktis diajarkan oleh Puan Hasanah Hanafiah dan sahabat-sahabat sepengajian beliau. Semoga siri-siri seterusnya akan dapat terus dianjurkan berdasarkan keperluan semasa yang wujud.

LAPORAN (JP) PENERBITAN

B.11 LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP) PENERBITAN

JP Penerbitan seperti namanya berusaha untuk menyemarakkan Dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah menerusi penerbitan pelbagai bahan. Dalam sesi 2010/2011 ini, JP Penerbitan telah menjalankan aktiviti-aktiviti berikut:

1. Penerbitan Buku ‘Peranan Qalb Dalam Kehidupan Insan’

JP ini adalah tulang belakang yang berusaha di belakang tabir dalam membantu penerbitan buku ‘Peranan Qalb Dalam Kehidupan Insan’ oleh Dato’ Yang Dipertua

2. Pelancaran Buku

Pada 27 Mei 2011, majlis pelancaran dan diskusi buku ‘Peranan Qalb Dalam Kehidupan Insan’ telah diadakan. Selepas buku ini didiskusikan, buku yang dimaksudkan telah disempurnakan pelancarannya oleh Dato’ Yang Dipertua. Selain itu, jualan buku dan sesi bersama penulis turut diadakan untuk memeriahkan pelancaran ini

3. Menyiapkan risalah ‘Panduan Solat Rasulullah Untuk Kanak-kanak’

Selain itu, JP Penerbitan terus menyiapkan manuskrip risalah ‘Panduan Solat Rasulullah Untuk Kanak-kanak’. Proses ini masih berjalan memandangkan penyelidikan yang dijalankan perlu bersifat teliti dan halus, khasnya dalam mentakhrij dan mendalami hadith-hadith Rasulullah s.a.w yang dijadikan hujah-hujahnya.

4. Penyediaan Mesin Fotostat

Sebagai kemudahan untuk menyediakan nota pengajian, urusan surat-menyurat, minit mesyuarat dan flyers program, JP Penerbitan telah menyediakan kemudahan mesin fotostat dengan kapasiti 4000 halaman dan ke atas, di Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis. Mulai Jun 2011, langkah ini dilaksana untuk memudahkan proses percetakan dan penerbitan

JP Penerbitan berusaha dan berdoa supaya buletin Persatuan Al-Islah Perlis dapat diterbitkan pula dalam sedikit masa lagi.

LAPORAN (JP) UNDANG-UNDANG DAN PERHUBUNGAN AWAM

B.12 LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP) UNDANG-UNDANG DAN PERHUBUNGAN AWAM

JP Undang-undang dan Perhubungan Awam bertindak sebagai Penasihat Undang-undang kepada Persatuan Al-Islah Perlis. Selain itu, JP ini telah berjaya menganjurkan suatu Diskusi Undang-undang bertajuk ‘Kedudukan Istimewa Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Dalam Undang-undang Di Perlis’. Program yang diadakan pada 6 Februari 2011 ini telah disampaikan oleh Tuan Mukhriz Mat Rus, anak Perlis yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya Negeri Pulau Pinang. Pembentangan ini banyak memberikan kesedaran bahawa terlalu banyak usaha yang perlu dilakukan bagi mengangkat syiar Dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah dalam arena perundangan Malaysia.

LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA INDUK

LAPORAN KEMAJUAN

PERSATUAN AL-ISLAH PERLIS

SESI 2010/2011

A. LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA INDUK

Ditubuhkan semenjak tahun 1965, Persatuan Al-Islah Perlis telah mengharungi berbagai-bagai pahit manis perjuangan semenjak beberapa dekad yang lampau. Di samping bersyukur kepada Allah terhadap nikmat pencapaian yang diperolehi dalam tahun 2010, Persatuan Al-Islah Perlis perlu sentiasa mengislahkan kekurangannya dalam mengatasi cabaran-cabaran semasa.

Jawatankuasa Induk adalah wadah yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Persatuan Al-Islah Perlis dengan dianggotai oleh ahli-ahli jawatankuasa yang lain. Di samping mengendalikan hal-ehwal operasi dan perjuangan Persatuan, secara khusus dalam sesi 2010/2011 ini Jawatankuasa Induk terpanggil untuk mempersembahkan memorandum artikel Milenia Muslim kepada DYTM Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Jawatankuasa Induk mendapati artikel Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, yang tersiar dalam halaman 52 hingga 54 majalah Milenia Muslim edisi Ogos 2010, memiliki unsur-unsur hasutan yang membawa niat yang tidak baik terhadap kedudukan istimewa manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah seperti yang dikanunkan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perlis. Secara khusus artikel tersebut menegaskan pada halaman 54 bahawa:

”Tindakan Negeri Perlis keluar daripada jamaah dan mengambil jalan sendiri, kononnya mengembangkan Islam tanpa mazhab adalah salah dan mesti ditentang”.

Sehubungan dengan itu, pada 15 Ogos 2010, Jawatankuasa Induk mempersembahkan memorandum bagi merayu pihak DYTM Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua MAIPs menuntut penulis dan penerbit majalah di atas memohon maaf tanpa syarat dan menarik kembali kenyataan hasutan mereka. Sekiranya mereka enggan, Jawatankuasa Induk berpendapat seyogianya MAIPs dan Kerajaan Negeri Perlis mengambil tindakan undang-undang yang bersesuaian. Tindakan tegas ini adalah amat mustahak demi untuk membela manhaj Nabawi warisan Rasulullah s.a.w, serta mempertahankan kuasa mutlak DYMM Tuanku Raja Perlis sebagai Ketua Pelindung Agama Islam Negeri Perlis, sebagaimana yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perlis serta Perlembagaan Persekutuan.

Maka musuh-musuh Dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah baik di dalam Perlis mahupun di luarnya telah bertindak agresif dalam provokasi mereka dalam tahun 2010 dan 2011. Mereka mahu mengumpan Dakwah Ahlis Sunnah melatah dengan bertindak secara reaksioner supaya dakwah yang penuh barakah ini menjadi watak jahat dalam sejarah umat Islam di Malaysia

PENGENALAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP)

A. LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA- JAWATANKUASA PENYELARASAN

Selanjutnya dibentangkan pula laporan jawatankuasa-jawatankuasa penyelarasan dimulakan dengan pengenalannya terlebih dahulu

B.1 PENGENALAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP)

Biro-biro dalam Persatuan Al-Islah Perlis kini dikenali sebagai Jawatankuasa Penyelarasan (JP) dan setiap seorang (1) ahli jawatankuasa Persatuan diamanahkan sebagai Pengerusi sesebuah Jawatankuasa Penyelarasan (JP) dengan portfolio tersendiri. Setiap JP dicadangkan kewujudannya berdasarkan keperluan dakwah Persatuan Al-Islah Perlis, dan minat, kebolehan serta potensi Pengerusi JP tersebut.

Jawatankuasa ini dinamakan Jawatankuasa Penyelarasan oleh kerana Persatuan Al-Islah Perlis menginsafi bahawa Dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah di Perlis tidak hanya dijalankan oleh Persatuan ini sahaja. Bahkan dilihat secara menyeluruh, dakwah yang penuh keberkatan ini turut dilaksana oleh pihak-pihak lain khususnya:

i. Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)

ii. Jabatan Mufti Perlis

iii. Kerajaan Negeri Perlis dan agensi-agensinya

iv. Masjid-masjid menerusi Jawatankuasa-jawatankuasa Kariah masing-masing

v. Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Ahlis Sunnah seperti Usrah Masjid Kawasan Kayang, Usrah Masjid Kawasan Utan Aji, Persatuan Al-Mizan, Pertubuhan Kebajikan Al-Qalam Negeri Perlis dan lain-lain

vi. Orang-orang perseorangan

Dengan itu, Persatuan Al-Islah Perlis perlu berfikiran matang, berpandangan jauh dan bertindak bijak dalam merencana serta melaksanakan kerja-kerjanya. Maka aktiviti-aktiviti Persatuan Al-Islah Perlis perlu diselaraskan dengan mengambil kira kewujudan dan kehadiran pihak-pihak lain yang turut berdakwah kepada Al-Sunnah seperti yang dinyatakan di atas. Oleh yang demikian, diharapkan tindakan berjiwa besar Persatuan Al-Islah Perlis ini dapat meminimumkan konflik kepentingan (conflict of interest), pertindanan yang sia-sia serta pembaziran yang tidak menguntungkan.

Dengan mengamalkan pendekatan desentralisasi serta penuh beryakinan kepada kebolehan dan keikhlasan Pengerusi setiap JP khususnya, Jawatankuasa Induk Persatuan Al-Islah Perlis hanya bertindak sebagai penyelia dan pemantau am bagi kegiatan JP. Oleh itu setiap JP diberikan galakan untuk bertindak dan mencari dana secara autonomi menggunakan kreativiti, kelapangan, kelajuan dan keselesaan masing-masing. Syarat-syaratnya adalah:

i. JP melaksanakan keputusan-keputusan Persatuan Al-Islah Perlis

ii. JP menjaga integriti dan nama baik Persatuan Al-Islah Perlis

iii. JP membina anggota-anggotanya sebagai ahli dan penyokong Persatuan Al-Islah Perlis yang iltizam

iv. JP membina hubungan dan kerjasama yang akrab dengan Persatuan Al-Islah Perlis, Jawatankuasa Induk, JP-JP lain dan ahli-ahli serta penyokong Persatuan Al-Islah Perlis

v. JP melaporkan aktiviti dan programnya secara tetap dan berkala kepada Jawatankuasa Induk

vi. JP menyalurkan anggota-anggotanya ke dalam kegiatan Persatuan Al-Islah Perlis selaras dengan bakat, minat dan kemampuan masing-masing

Oleh yang demikian, setiap JP diberikan hak-hak oleh Jawatankuasa Induk Persatuan Al-Islah Perlis untuk:

i. Mengelola sendiri segala aktiviti dan programnya

ii. Berhubung dan berurusan dengan badan lain di luar Persatuan Al-Islah Perlis

iii. Mencari dana dan mentadbir urusan kewangan sendiri

iv. Memberikan saranan kepada Persatuan Al-Islah Perlis baik apabila diminta mahupun di atas inisiatif sendiri

Ini bermakna perjalanan JP lebih cekap dan berkesan apabila tidak banyak diperlahankan oleh karenah birokrasi yang perlu menunggu kelulusan Jawatankuasa Induk secara terperinci. Dengan cara ini juga proses penyertaan lebih ramai ahli-ahli Persatuan dalam proses-proses pembuatan dasar dan keputusan akan dapat ditingkatkan. Jawatankuasa Induk berkeyakinan bahawa selain daripada al-Qur’an, al-Sunnah dan manhaj Salaf al-Salih sebagai pegangan utama, maka tidaklah perlu proses pembuatan dasar dan keputusan diikat kepada citarasa peribadi 1 atau 2 individu sahaja, sebagaimana yang telah berlaku sebelum ini.

Laporan-laporan Jawatankuasa-Jawatankuasa Penyelarasan (JP) yang dimaksudkan adalah seperti yang tertera di atas: