Sebuah lagi akhbar turut melaporkan berkenaan program Majlis Berbuka Puasa dan Makan Malam Muhibah, akhbar berkenaan ialah http://www.themalaysianinsider.com yang merupakan antara akhbar rujukan pengguna internet di Malaysia. Berita tersebut adalah seperti di bawah atau boleh juga dirujuk di http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ngo-perlis-lakar-sejarah-anjur-iftar-bersama-bukan-islam/NGO
Perlis lakar sejarah, anjur iftar bersama bukan Islam
TERKINI @ 06:23:45 PM 26-08-2011August 26, 2011
KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Persatuan Al-Islah Perlis, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, buat julung kali mengadakan majlis berbuka puasa dan makan malam muhibah sempena bulan Ramadan malam tadi dengan penyertaan wakili pelbagai kaum.
Program itu dihadiri oleh wakil komuniti Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan Persatuan Pendidikan Akhlak Chee Yang Khor Perlis.
Juanda Jaya (lima dari kiri) bersama wakil-wakil pelbagai agam yang menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Al-islah Perlis di Kangar semalam.
Yang Dipertua Persatuan Al-Islah Perlis Othman Husin berkata, mengambil semangat bulan Ramadan, majalis itu memfokus usaha mengukuhkan kedamaian dan keharmonian di Perlis.
“Dan, inilah perjumpaan kita yang pertama saya agak merupakan perjumpaan pelopor. Walaupun ini adalah peringkat pertama diharapkan perjumpaan-perjumpaan ini akan terus dijalankan oleh kita kerana kita nak bersatu untuk muhibah.
“Kita berharap dengan perpaduan dan muhibah yang kita anjurkan ini akan terus berkekalan,” katanya lagi.
Kata beliau, sebagai umat Islam yang berpegang kepada manhaj sunah waljamaah yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perlis, Persatuan Al-Islah Perlis terpanggil untuk menganjurkan majlis ini dalam usaha mempromosikan dialog antara pelbagai agama dan budaya.
Turut hadir pada majlis itu Mufti Kerajaan Perlis yang juga Penasihat Persatuan Al-Islah Perlis, Dr Juanda Jaya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, penganjur berkata mereka yang hadir terdiri daripada wakil Gereja Kayangan Praise Centre Kaki Bukit, Gereja Baptist Perlis, Gereja Tamil Baptist Perlis, Gereja Our Lady of Fatima, Kangar Chinese Methodist Chapel, Wat Macchimaprasit Jejawi, Wat Suwankhiri, Guar Musang Chuping, Wat Kubang Tiga, Chuping, Pertubuhan Buddhist Perlis, Kuil Arulmigu Arumugaswamy Devasthanam, Gurdwara Sahib dan Persatuan Pendidikan Akhlak Chee Yang Khor.
“Persatuan Al-Islah Perlis berharap untuk menganjurkan lebih banyak lagi program yang memupuk keharmonian antara penganut-penganut pelbagai agama di Perlis, dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri Perlis. Hal ini diharap dapat mengeratkan persahabatan, memupuk paradigm positif untuk hidup bersama, meminimumkan konflik serta mendekatkan jurang prasangka antara umat Islam dengan penganut pelbagai agama di negeri ini,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, Rev. Lim Wai Ming dari Gereja Kayangan Praise Centre berkata, “kali pertama, saya berada di Perlis selama 20 tahun, kali pertama saya mendengar mengenai pertubuhan ini.”“Kali akan datang (Ramadan akan datang), saya akan datang semula untuk berbuka puasa dengan anda semua... saya menghargai persahabatan seperti ini, menjemput saya ke sini,” katanya lagi.
Alon Keliang dari Wat Kubang Tiga pula berkata, pertemuan malam tadi merupakan satu lagi sejarah bagi masyarakat Siam.
“Kalau ke depan lagi kalau boleh buat perjumpaan saya rasa amat baguslah bagi kita masyarakat Siam di Perlis... saya ingat NGO Al-Islah ini menjemput kita meraikan bersama-sama hari macam ni memang baguslah. Saya ucap berbanyak terima kasihlah,” kata beliau.
Wakil Pertubuhan Buddhist Perlis Leong Weng Kong berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih atas jemputan semalam dan jarang-jarang ada peluang untuk bertemu seperti itu.
“Dan, kami berharap mungkin akan ada lebih banyak majlis perkongsian supaya kita saling memahami, mengenali tentang agama yang pelbagai di Malaysia.
“Supaya ia dapat menghilangkan sebarang syak dan juga prasangka yang ada untuk memupuk silaturrahim yang sebenar-benarnya dan melahirkan suatu rakyat Malaysia yang bersatu padu,” katanya lagi.
Bagi Narayanasamy Patehappan dari Kuil Arulmigu Arumugasmawy Devasthanam Kangar, “kami pihak kuil berbangga dan gembira sebab jemput kami untuk menghadiri majlis macam ini, majlis buka puasa.”
“Jadi kami pun dengar sajalah buka puasa buka puasa, jadi hari ini kami boleh tahulah bagaimana buka puasa dan macam mana orang-orang Islam menghormati bulan Ramadan ini,” katanya lagi.
Berucap pada majlis yang sama, Juanda berkata, “pada pandangan Islam, semua umat manusia adalah umat Nabi Muhammad. Bererti rahmat Islam adalah untuk semua baik Islam atau bukan Islam. Maka Islam tidak membolehkan menzalimi orang bukan Islam.”
“Program ini adalah jambatan pertama yang kita bina untuk kemakmuran negeri Perlis dan sebagai rakyat Malaysia.
“Apabila ada perhubungan peribadi yang baik, maka banyak perkara yang boleh diselesaikan secara perundingan,” katanya lagi.
Juanda menambah, tidak ada paksaan dalam agama, maka Islam menghormati hak agama-agama yang lain.“ Jauhi perbuatan menghina agama lain. Jangan menyentuh sensitiviti agama lain yang dijamin oleh perlembagaan. Hari ini tidak ada niat melainkan untuk membentuk perpaduan dan menghilangkan syak.“ Kami di pejabat (Mufti) atau di persatuan lebih jelas. Bukan seperti orang yang bertempik di tepi jalan (berdemonstrasi),” katanya lagi.
Juanda Jaya (lima dari kiri) bersama wakil-wakil pelbagai agam yang menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Al-islah Perlis di Kangar semalam.
No comments:
Post a Comment