26 August 2011

Program Islah Perlis Sepanjang Ramadan

1. Majlis Berbuka Puasa Dan Terawih Di Al-Islah


5 Ogos 2011 – Semua ahli persatuan dan orang ramai telah dijemput untuk menghadiri majlis berbuka puasa dan solat terawih di premis Persatuan Al-Islah Perlis. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar seperti yang dirancangkan, segala ibadah yang disunnahkan seperti tazkirah oleh Ustaz Nasiruddin, doa, solat fardhu dan solat sunat dapat diamalkan dengan aman tanpa sebarang halangan. Majlis dimeriahkan lagi dengan kemesraan ahli dan sumbangan lauk-pauk oleh tetamu yang hadir.




2. Sumbangan Persatuan Pandu Puteri Perlis kepada Teratak Rahmat
6 Ogos 2011 – Rombongan Persatuan Pandu Puteri Perlis yang diketuai oleh Datin Hajjah Tengku Shireen Bt. Tengku Suleiman selaku Yang Dipertua persatuan sempat mengunjungi Teratak Rahmat walaupun sibuk dengan mengurus program seharian. Pada majlis ramah mesra bersama warga Teratak Rahmat, Persatuan Pandu Puteri turut menyampaikan sumbangan kepada setiap Anak Rahmat dan sumbangan barangan keperluan.





3. Kunjungan Persatuan Alumni Sek Men Syed Hassan
6 Ogos 2011 – Jawatankuasa Penyelarasan Kebajikan Dan Teratak Rahmat sekali lagi menerima tetamu yang hadir untuk menunaikan usaha murni membantu Teratak Rahmat, hanya Allah yang tahu betapa besarkah sebenarnya usaha murni ini dan semoga Allah merahmati dan memberkati perjuangan Persatuan Alumni Sek Men Syed Hassan. Sumbangan yang diberi adalah berupa sumbangan perbelanjaan, sumbangan aidilfitri dan juga kata-kata motivasi kepada Anak Rahmat agar bersabar dan sentiasa menuntut ilmu.




4. Rombongan Kembara Ukhwah Ke Utara (KUKU)
13 Ogos 2011 – Rombongan KUKU yang juga disertai oleh Norhayati Berahim, novelis terkenal dan Encik Iskandar Syah Ismail wakil Persatuan Penghibur Kanak-Kanak Red Bubbles, yang juga mengusahakan projek pendidikan seperti menubuhkan perpustakaan, dan membantu Sekolah "Antarabangsa" di Sabah. Seramai 12 ahli rombongan hadir melawati Teratak Rahmat selepas mengunjungi anak-anak yatim Ummu Sofea di Perak. Selepas mengikuti perkembangan projek perpustakaan yang diusahakan bersama, ahli rombongan turut memberi sumbangan dan bersolat terawih bersama.



5. Diskusi Genap 500 Tahun Tumbangnya Melaka
15 Ogos 2011 genap 500 tahun tumbangnya Melaka, bererti seawal itu juga penjajah Barat menggugat agama dan bangsa. Semua yang hadir menikmati teh tarik sambil berdiskusi ilmiah topik ini tapi santai, pada hari Isnin selepas solat terawih di Al-Islah Mata Ayer. Pembentang pertamanya Encik Hamidon Abdullah seorang pengkaji sejarah dunia dan pembentang keduanya pula ialah Encik Zubir Mat Isa seorang yang berpengalaman dalam pahit getir perjuangan kepahlawanan melayu selepas zaman kemerdekaan.



Majlis Ramah Mesra Dan Sumbangan Anjuran Celcom

22 Ogos 2011 – Celcom Bahagian Utara telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra Antara Asrama Darul Air Hitam Dan Asrama Teratak Rahmat, program yang sangat menghiburkan dan memberi kesan positif ini berlaku di Asrama Darul Air Hitam, Langgar, Kedah. Sumbangan, aktiviti dan persediaan pengangkutan benar-benar membuatkan Anak Rahmat menjadi sangat teruja dengan program tersebut. Semoga Allah memberi keberkatan dan rahmat yang menjayakan program ini.
Majlis Berbuka Puasa Dan Sumbangan Aidilfitri Bersama Saudara Baru
23 Ogos 2011 – Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya bersama Persatuan Al-Islah Perlis telah menghoskan program untuk meraikan 50 orang saudara baru dan 30 orang warga Teratak Rahmat. Program yang cukup menarik ini dimulakan secara ringkas dan diteruskan kepada agenda utamanya iaitu menyampaikan sumbangan zakat kepada semua yang dijemput. Dr Juanda yang juga Penasihat Persatuan Al-Islah Perlis turut menyampaikan tazkirah, nasihat dan bimbingan untuk bantu menyelesaikan masalah-masalah yang sedang dan bakal dihadapi saudara baru dalam menghadapai onak ranjau kehidupan ini. Program ramah mesra dan sumbangan ini bersurai selepas selesainya solat Maghrib, makam malam dan sesi bergambar.
Majlis Berbuka Puasa Dan Makan Malam Muhibah
25 Ogos 2011 – Program ini diadakan buat pertama kalinya oleh Persatuan Al-Islah Perlis dengan menjemput ahli jawatankuasa masjid-masjid serta wakil-wakil komuniti Kristian, Buddhisme Siam, Buddhisme Cina, Hinduisme, Sikhisme dan Persatuan Pendidikan Akhlak Chee Yang Khor Perlis. Sebagai umat Islam yang berpegang kepada manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perlis, Persatuan Al-Islah Perlis terpanggil untuk menganjurkan majlis ini dalam usaha mempromosikan dialog antara pelbagai agama dan budaya. Mengambil semangat bulan Ramadan, matlamat majlis ini adalah pengukuhan mengukuhkan kedamaian dan keharmonian di Negeri Perlis. Persatuan Al-Islah Perlis juga menawarkan Pusat Pengajian Persatuan di KM 1.2 ini sebagai pusat meningkatkan kefahaman umat Islam khususnya, serta penganut-penganut agama lain umumnya, terhadap peri pentingnya insiatif dialog antara pelbagai agama dan budaya di Negeri Perlis.

No comments: