10 August 2011

KEUTAMAAN RAMADHAN DAN AMALAN PADANYA SIRI 1



KEUTAMAAN RAMADHAN DAN AMALAN PADANYA SIRI 1
UNTUK MINIT 00:00:01 HINGGA 00:32:34 Manusia itu sentiasa berusaha saban hari saban malam untuk mencari rezeki dunia, ada yang dari pagi hingga petang membanting tulang mencari rezeki, ada yang menahan tidur kerana bekerja malam, semua itu kita kerjakan kerana kehidupan dunia yang menjadi tanggung jawab kita iaitu untuk menyara keluarga, makan minum, belanja sekolah anak, bil letrik, bil air dan lain lainnya yang tidak dapat tidak telah menjadi kelaziman atau rutin harian / bulanan hidup kebanyakan kita. Maka sepatutnyalah kita lakukan tanggung jawab tersebut dalam kehidupan dunia kita, tetapi bagaimana halnya dengan tanggung jawab akhirat kita? Sudahkah kita siapkan bekalannya? Bagaimanakah kita dapat mempersiapkan bekalan untuk kehidupan di akhirat jika kita tidak berusaha padanya? Pada hari ini kita akan membincangkan tentang keutamaan bulan Ramadhan dan amalan-amalan yang bersangkutan padanya di mana ianya adalah satu bulan yang ditawarkan pelbagai ganjaran yang hebat dan menarik sebagai bekalan hidup kita di akhirat nanti. Kita renungkan sepotong hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah daripada Salman ujarnya:
خَطَبَنَا رَسُوْلُ الله ص فِيْ آخِرِ شَعْبَانَ وَقَالَ:
Rasulullah saw pada hari terakhir dari bulan Sya’ban berkhutbah di hadapan kami. Maka beliau bersabda:
يَآ اَيُّهَا النَّاسُ قَدْ اَظَلَّكُمْ شَهْرٌ عَظِيْمٌ مُبَارَكٌ شَهْرٌ فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ اَلْفِ شَهْرٍ، شَهْرٌ جَعَلَ اللهُ صِيَامَهُ فَرِيْضَةً وَقِيَامَهُ تَطَوُّعًا، مَنْ تَقَرَّبَ فِيْهِ بِخَصْلَةِ مِنَ الْخَيْرِ كَانَ كَمَنْ اَدَّى فَرِيْضَةً فِيْمَا سِوَاهُ وَمَنْ اَدَّى فَرِيْضَةً فِيْهِ كَانَ كَمَنْ اَدَّى سَبْعِيْنَ فَرِيْضَةً فِيْمَا سِوَاهُ وَهُوَ شَهْرُ الصَّبْرِ وَالصَّبْرُ ثَوَابُهُ الْجَنَّةُ، وَشَهْرُ الْمُوَاسَاةِ وَشَهْرٌ يُزَادُ فِيْ رِزْقِ الْمُؤْمِنِ فِيْهِ، مَنْ فَطَّرَ فِيْهِ صَائِمًا كَانَ مَغْفِرَةً لِذُنُوْبِهِ وَعِتْقَ رَقَبَتِهِ مِنَ النَّارِ وَكَانَ لَهُ مِثْلُ اَجْرِهِ مِنْ غَيْرِ اَنْ يَنْقُصَ مِنْ اَجْرِهِ شَيْءٌ
Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh satu bulan yang agung lagi berkat iaitu satu bulan yang padanya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang Allah jadikan puasa padanya sebagai satu kefardhuan dan qiyam di malam harinya suatu tathauwu’ (sunat). Barangsiapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya (dalam bulan tersebut yakni Ramadhan) samalah dia dengan orang yang menunaikan satu fardhu di bulan yang lain. Barangsiapa menunaikan satu fardhu di dalam bulan Ramadhan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan tujuh puluh fardhu di bulan yang lain. Ianya (Ramadhan) adalah bulan sabar dan sabar itu ganjarannya syurga. Ianya bulan memberikan pertolongan dan bulan di mana Allah menambah rezeki para mukmin (orang beriman) di dalamnya. Barangsiapa memberi makan orang yang berpuasa (memberi makanan untuk berbuka puasa) maka ianya adalah pengampunan bagi dosanya dan kebebasan dirinya dari neraka, dan adalah baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa itu tanpa dikurangkan sedikitpun pahala puasa mereka.
قَالُوْا: يَا رَسُوْلَ الله، لَيْسَ كُلُّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ. فَقَالَ رَسُوْلُ الله ص: يَعْطِى اللهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى تَمْرَةٍ اَوْ عَلَى شُرْبَةِ مَاءٍ اَوْ مَذَقَّةِ لَبَنٍ. وَهُوَ شَهْرٌ اَوَّلُهُ رَحْمَةٌ وَاَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ، مَنْ خَفَّفَ عَنْ مَمْلُوْكِهِ فِيْهِ غَفَرَ اللهُ لَهُ وَاَعْتَقَهُ مِنَ النَّارِ فَاسْتَكْثِرُوْا فِيْهِ مِنْ اَرْبَعِ خِصَالٍ خَصْلَتَيْنِ تُرْضُوْنَ بِهِمَا رَبَّكُمْ وَخَصْلَتَيْنِ لاَغِنًى بِكُمْ عَنْهُمَا: فَاَمَّا الْخَصْلَتَانِ اللَّتَانِ تُرْضُوْنَ بِهِمَا رَبَّكُمْ فَشَهَادَةُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ الله وَتَسْتَغْفِرُوْنَهُ وَاَمَّا الْخَصْلَتَانِ اللَّتَانِ لاَغِنًى بِكُمْ عَنْهُمَا فَتَسْأَلُوْنَ اللهَ الْجَنَّةَ وَتَعُوْذُوْنَ بِهِ مِنَ النَّارِ. وَمَنْ سَقَى صَائِمًا سَقَاهُ اللهُ مِنْ حَوْضِيْ شُرْبَةً لاَ يَظْمَأُ حَتَّى يَدْخُلَ الْجَنَّةَ
Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, bukan semua dikalangan kami yang memiliki (mampu untuk menyediakan) sesuatu (makanan) untuk berbuka orang yang berpuasa. Maka bersabda Rasulullah: Allah memberikan pahala ini kepada orang yang memberikan sebutir kurma atau seteguk air atau sehirup susu untuk berbuka orang yang berpuasa. Dialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya ampunan dan akhirnya ialah bebas dari neraka. Barangsiapa meringankan beban dari hamba sahaya (pembantu-pembantu rumah) di dalamnya (dalam bulan Ramadhan), nescaya Allah mengampuni dosanya dan membebaskannya dari neraka. Kerana itu banyakkanlah empat perkara di dalam bulan Ramadhan; dua perkara untuk kamu menyenangkan Tuhanmu dan dua perkara lagi untuk kamu yang sangat menghajatinya. Dua perkara yang kamu lakukan untuk menyenangkan Allah ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tiada sembahan/Tuhan selain Allah dan mohon ampun kepadaNya. Dua perkara lagi yang kamu sangat memerlukannya ialah mohon syurga dan berlindung dari neraka. Barangsiapa memberi minum kepada orang yang berpuasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolamku dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya sehingga ia masuk ke dalam syurga. Rujuk kitab At-Targhib 1:217-218 Demikianlah sebagaimana diterangkan oleh Rasulullah saw darihal keutamaan Ramadhan dan amalan-amalan yang bersangkutan dengannya. Hadits ini bukanlah sekadar untuk dijadikan halwa telinga akan tetapi inilah perkara-perkara yang wajib kita imani/percaya dan untuk memperoleh sekian banyak ganjaran-ganjaran yang ditawarkan, ianya tidak mungkin diperoleh hanya dengan angan-angan atau cita-cita akan tetapi ianya memerlukan satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengecap kenikmatan dan kemewahan hidup akhirat. Renungkan firman Allah sebagaimana tersebut dalam surah Al-Israayat 19 [17:19]:
وَمَنْ اَرَادَ الآخِرَةَ وَسَعَى لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَاُولَئِكَ كَانَ سَعْيُهُمْ مَشْكُوْرًا
Barangsiapa yang menghendaki akhirat dan ia berusaha baginya dengan bersungguh-sungguh sedang dia beriman maka usahanya itu diterima (Allah) Iman itu bukanlah sekadar percaya dalam hati akan tetapi mesti dibuktikan/dilahirkan kepercayaan itu dengan perbuatan. Sekadar mengetahui dan mengakui kebenaran tapi tidak dibuktikan oleh amalan maka itu belum mencapai tingkat iman, ianya sekadar pengetahuan. Iman itu ialah mengakui dan meyakini kebenaran sesuatu itu dan berpegang teguh dengannya walau ianya bertentangan dengan logik akal atau manusia seluruhnya.

No comments: