17 November 2010

Belajar Bahasa Arab


Kepada sesiapa yang mempunyai masalah untuk belajar bahasa arab, bolehlah belajar secara individu atau berkumpulan dengan merujuk web di bawah.

Pastikan anda betul-betul sudah mahir , dan faham kesemuanya baru tukar ke topik yang baru.
http://www.iu.edu.sa/web/spages/edu/syukbah/du1_index.htm

07 November 2010

Aktiviti Biro 2010 (11)

LAPORAN AKTIVITI JAWATANKUASA INDUK

- Memo ust Asri Sobri
Ust. Asri Sobri telah dituduh menghina Islam melalui ceramahnya di Masjid Alwi pada 17 Ogos 2009. Isu yang dibangkitkan adalah seperti penyataan solat hajat perdana adalah bid’ah seumpama pesta dangdut di kelab malam. Pihak persatuan telah mengambil langkah bagi memperbaiki kekeruhan keadaan dengan menghantar Memorandum 11 Perkara Persatuan Al-Islah Perlis kepada DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan berharap supaya keharmonian amalan sunnah dapat terus dipertahankan di negeri ini.


- Sidang akhbar ust Wahab bin Abdullah
Satu sidang akhbar telah diadakan di Pusat Pengajian Al-Islah pada 9 Julai 2010 bagi membuat pembetulan kepada penyataan sebuah artikel yang bertajuk “Abdul Wahab Nafi Sertai Umno” di Akhbar Sinar pada 29 Jun 2010. Pihak persatuan menafikan keterlibatan secara langsung mahupun tidak dengan kenyataan tidak berasas Ust. Abdul Wahab bahawa beliau mewakili persatuan untuk membersihkan nama persatuan yang kononnya terlibat dengan wahabi dan keganasan. Antara pemberita yang hadir adalah wakil Bernama dan Akhbar Sinar.


- FASS 2010
Forum Ahlis Sunnah Wal Jamaah al-Salafiyyah Negeri Senusantara (FASS 2010) telah dijalankan di Masjid Tuanku Syed Putra pada 12 Jun 2010 bertemakan tajuk “Menyemarakkan Dakwah Mengeratkan Ukkwah”. Forum peringkat nusantara tersebut adalah yang pertama dijalankan oleh Persatuan Al-Islah Perlis yang mana melibatkan penceramah daripada pelbagai negara antaranya Prof Madya Dr Muhammad Akyar Adnan dari Indonesia, Ustaz Rasul Dahri dari Singapura, Dr Ismail Lutfi Abdul Rahman dari Thailand, Ustaz Sofwan Ahmad Badrie dari Malaysia dan Dato Alim Setia Ahmad bin Jusoh mewakili Persatuan Al-Islah Perlis. Forum tersebut di pengerusikan oleh Ustaz Muhammad Ihsan Idris iaitu daripada Persatuan Al-Islah Perlis. Lebih membanggakan, FASS 2010 telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajudin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Objektif sebenar FASS 2010 dijalankan ada bertujuan menyegarkan dan memperteguh kefahaman tentang pentingnya dakwah ke jalan Allah terus diperhebatkan secara kritis dan kreatif dalam paradigma jama’ah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Selain itu, memperkuatkan ukhuwwah dan sinergi dakwah berasaskan al-Tauhid dan al-Sunnah di kalangan Ahlis Sunnah Wal Jama’ah al-Salafiyyah Negeri Perlis dengan rakan- rakan semanhaj dari seluruh Malaysia dan senusantara adalah kepentingan utama. Bersesuaian dengan ulangtahun ke-10 pemerintahan DYMM Tuanku Raja Perlis, menzahirkan penghargaan Ahlis Sunnah Wal Jama’ah al-Salafiyyah seluruh Perlis, seMalaysia dan senusantara kepada baginda selaras dengan tema sambutan ulangtahun ke-10 ’Sedekad Bertakhta Raja Berdaulat, Rakyat Sejahtera Negeri Berkat’ serta ulangtahun ke-67 keputeraan baginda.

FASS 2010 bermula selepas solat subuh dimana program pemuda Persatuan Al-Islah Perlis berlangung. Ceramah pemuda disampaikan oleh pegawai jabatan mufti Perlis iaitu Ustaz Sirajjuddin. Pada jam 8.00-9.00 pagi pula adalah ketibaan jemputan-jemputan dari dalam dan luar Perlis. Jemputan di luar Perlis adalah dari Kuala Lumpur, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Singapura, Thailand, Indonesia dan Arab Saudi. Selepas semua jemputan hadir, Tuanku Raja Perlis pula hadir sebagai tetamu VVIP pada jam 9.15 pagi. Pemuda Persatuan Al-Islah Perlis menyambut kedatangan Tuanku Raja Perlis dengan persembahan silat. Forum kemudiannya dimulakan pada jam 10.00 pagi dan berakhir pada 12 tengahari. Majlis penutup forum diserikan dengan penyampaian hadiah jemputan khas FASS 2010 kepada DYMM Tuanku Raja Perlis. Kemudiannya Deklarasi FASS 2010 dibacakan kepada hadirin yang hadir untuk lebih memahami tujuan sebenar FASS 2010 dijalankan. FASS 2010 berakhir dengan jamuan makan tengahari pada jam 1.00 petang.


- Seminar Isu Pernikahan Kanak-kanak (5 Mei 2010)
Seminar “Isu pernikahan kanak-kanak” yang bertajuk Permasalahan Dan Penyelesaiannya Menurut Al-Qur’an dan Al-Sunnah” dijalankan pada 5 mei 2010 di Perpustakaan Awam Negeri Kangar, Perlis. Seminar tersebut adalah hasil usaha dan kerjasama Persatuan Al-Islah Perlis dengan Jabatan Mufti Negeri Perlis. Seminar tersebut dirasmikan oleh Exco Agama Islam, Jawatankuasa Hadari dan Pembangunan As-Sunnah Perlis iaitu Y.B Japeri Othman.

Tiga orang pembentang utama telah membentang hujah berkenaan seminar pernikahan kanak-kanak. Antara pembentang utama dalam seminar ini adalah Dato’ Alim Setia Ahmad Jusuf Amin yang membentang tajuk “Pernikahan Kanak-kanak Dan Hubungannya Dengan Hikmah Pensyariatan Pernikahan”. Pembentang kedua seminar pernikahan kanak-kanak adalah Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman yang memberi hujah berdasarkan analisis beberapa hadis yang terpilih bersesuaian dengan seminar pernikahan kanak-kanak. Pembentang ketiga dan terakhir dalam seminar pernikahan kanak-kanak ini ialah Puan Kamar Ainiah Kamaruzaman yang membentangkan kertas kerja beliau yang bertajuk ”Pernikahan Kanak-kanak: Antara Teori Dan Amalan Dalam Undang-undang Di Malaysia”.

Seminar Pernikahan Kanak-kanak ini adalah bertujuan memberi kefahaman kepada peserta seminar tentang pernikahan kanak-kanak dari pandangan perundang islah, Al-Quran dan As-Sunnah. Selain itu, seminar ini juga diharapkan dapat memberi wadah dan input awal dalam menggerakkan usaha mengkaji semula tafsiran dan perlaksanaan Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia amnya dan di Perlis khususnya supaya lebih dekat dengan hakikat dan hasrat manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah al-Salafiyyah. Peserta seminar adalah terdiri daripada kakitangan kerajaan negeri Perlis, Usrah Masjid-masjid Kawasan Kayang dan Kawasan Utan Aji.


- Majlis tertutup bersama 3 ulama’ majlis Fatwa perlis (25 April 2010)
Bersempena mesyuarat Majlis Fatwa di Perlis yang melibatkan kehadiran 3 ulama’ iaitu Dr. Johari Mad, Dr. Radzi dan Dr. Azwira; pihak persatuan ingin meraikan kehadiran mereka di Perlis dengan mengadakan sebuah majlis makan malam kecilan bersama anak-anak Teratak Rahmat. Ketiga-tiga ulama mengambil sedikit masa menceritakan pengalaman dalam menegakkan dakwah ahli sunnah wal jamaah. Selain itu satu perjumpaan tertutup juga telah diadakan bersama beberapa AJK persatuan.

Aktiviti Biro 2010 (10)

LAPORAN AKTIVITI BIRO PENERBITAN

- Membantu penulisan di laman blog Islah, AMI dan Teratak Rahmat
Bahagian biro penerbitan adalah amat membantu dari segi penulisan laman blog Persatuan Al-Islah Perlis, Anjung Maklumat Islah dan Teratak Rahmat. Pelbagai usaha telah dijalan untuk mengetengahkan bahan-bahan ceramah yang telah dijalankan oleh ahli-ahli Persatuan Al-Islah Perlis. Diharap bahan tersebut menjadi rujukan kepada ahli yang tidak dapat hadir semasa ceramah berlangsung. Selain itu, bahan rakaman video ceramah juga telah di masukkan ke dalam laman web seperti www.youtube.com.

- Berusaha menerbitkan buku-buku dan risalah baru tulisan Dato Ahmad.
Sebahagian buku dan risalah yang ditulis oleh Dato’ Alim Setia Ahmad bin Jusoh sedang dalam proses mendapatkan kelulusan penerbitan daripada ISPN. Risalah-risalah dan buku tersebut adalah salah satu usaha Persatuan Al-Islah Perlis untuk mengembangkan bahan bacaan mengenai Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia. Antara penulisan yang sedang dalam proses kelulusan ISPN ialah Hijab Muslimah, Bab Perkahwinan, Bab Haji dan Umrah, Bina Insan (Qalbu), Kasih Ibu dan Bapa dan Tegahan Penyamaan Amalan Orang Kafir.

Aktiviti Biro 2010 (9)

LAPORAN AKTIVITI BIRO WANITA DAN I-KIDS

- Kuliah mingguan wanita – setiap pagi Sabtu
Sepertimana biasa, Biro Wanita menganjurkan kuliah khas untuk wanita pada setiap pagi Sabtu dengan tajuk-tajuk pengajaran yang mengupas pelbagai persoalan aqidah, fiqh, akhlak dan kekeluargaan. Kuiah ini dijalankan dengan bimbangan Ustazah Zamzila Ishak serta ahli-ahli Biro Wanita yang lain.

- Forum Muslimah (1 Mei 2010)
Pada 1 Mei 2010, Biro Wanita Persatuan Al-Islah Perlis dengan kerjasama Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis( IPTIPs) buat julung kalinya telah berjaya menganjurkan Forum Muslimah bertempat di dewan Al-Islah Perlis yang dirasmikan oleh Puan Rokiah selaku pengerusi Biro Wanita Persatuan Al-Islah Perlis.Program ini mendapat sambutan dan sokongan yang amat menggalakkan daripada ahli-ahli wanita Persatuan Al-Islah Perlis, para pelajar muslimah IPTIPs dan juga orang ramai. Pelbagai aktiviti telah diatur dan berjaya dilaksanakan dengan lancar iaitu:

  • i) Bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan tafsir yang dibacakan oleh pelajar muslimah IPTIPs.
  • ii) Pertunjukkan busana muslimah yang diperagakan oleh anak-anak Teratak Rahmat Persatuan Al-Islah Perlis.
  • iii) Pertunjukkan seni beladiri wanita yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar muslimah IPTIPs.
  • iv) Forum muslimah yang bertajuk Wanita Ahli Syurga, Akhlak Mulia, Keluarga Sejahtera yang telah dijayakan oleh tiga ahli panel iaitu Ustazah Zamzila Ishak bersama dua orang ahli panel jemputan dari Kuala Lumpur iaitu Dr. Nazatul Shiha Bahctiar dan Puan Wan Zurina Wan Isa.
  • v) Persembahan nasyid daripada muslimat IPTIPs
  • vi) Jamuan makan tengah hari

- Kelas kecergasan wanita – setiap hari Selasa
Satu kelas kecergasan wanita telah dijalankan setiap minggu iaitu pada hari selasa di sebelah malam. Kelas tersebut di cadangkan oleh pemudi Persatuan Al-Islah Perlis. Kelas kecergasan tersebut bertujuan membantu anak-anak Teratak Rahmat (wanita) dan pemudi Persatuan Al-Islah Perlis untuk lebih sihat, bertenaga dan cergas. Aktiviti kelas tersebut adalah melakukan senaman senaman yang membantu minda, rohani dan jasmani. Ia dikendalikan secara sukarela oleh Puan Husna Hassan.

Aktiviti Biro 2010 (8)

LAPORAN AKTIVITI BIRO DAKWAH DAN PENDIDIKAN

- Kuliah mingguan Jumaat dan Ahad
Kuliah mingguan Jumaat dan Ahad berjalan seperti biasa. Kehadiran untuk majlis tersebut agak memuaskan. Antara tenaga pengajar yang dipanggil untuk memberikan kuliah adalah Dato’ Ahmad Jusoh, Ust. Hashim Omar, Ust. Syed Abdullah, Syeikh Daud dan Ust. Ihsan.

- Kelas I’rab al-Quran –Dato’ Ahmad Jusoh – hari khamis
Kelas I’rab Al-Quran telah dijalankan pada setiap minggu iaitu pada hari Khamis. Kelas tersebut diadakan selepas solat Isyak. Peserta kelas terdiri daripada Warden Teratak Rahmat dan juga ahli-ahli Persatuan Al-Islah Perlis. Kelas tersebut di kelolakan oleh Dato’ Alim Setia Ahmad bin Jusoh.

- Kelas Bahasa Arab – Ustaz Mohd Dalil
Kelas Bahasa Arab juga telah diadakan pada setiap hari selasa iaitu selepas solat Maghrib. Kelas tersebut dikelolakan oleh saudara Dalil iaitu Bekas Pelajar Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis. Peserta kelas adalah terdiri daripada warden Teratak Rahmat dan ahli-ahli persatuan.

- Kuliah bersama Sheikh Mekah (23 Julai 2010)
Pada 23 Julai 2010, kelas mingguan pada hari Jumaat diserikan dengan kehadiran 2 tokoh ulama dari Mekah iaitu Dr. Hassan Al Hajaji, Mudir Maahad Imam Dan Dakwah Makkah pengkhususan bidang tarbiah dan Dr. Abdullah Al Qarni, pensyarah Tafsir Dan Ilmunya di Universiti Ummul Qura. Pada pagi Jumaat tersebut, Dr. Hassan telah menyampaikan syarahannya darihal dakwah dan tarbiah manakala Dr. Abdullah Al Qarni menyampaikan dalam bab kepentingan ilmu.

Persatuan Al Islah turut mengambil kesempatan di atas kehadiran kedua-dua tokoh ulama ini bagi memulakan hubungan dua hala yang lebih bermakna di kemudian hari memandangkan kedua-dua tokoh ini merupakan antara panel yang memilih bakal-bakal pelajar dari Malaysia yang akan melanjutkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang Dakwah Dan Tarbiah. Diharapkan dengan hubungan yang telah terjalin, Persatuan Al Islah akan dapat menghantar anak-anak muda yang berkemampuan berbahasa Arab untuk melanjutkan pelajaran ke sana dalam bidang dakwah yang dengan itu, akan dapat menyediakan barisan pelapis ke arah menguatkan dakwah As Sunnah.


- Kok Lanta – Dakwah
Pada …………., Biro Pemuda Persatuan Al Islah dengan kerjasama Badan Dakwah dan Kelab Silat Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis telah mengadakan satu program dakwah kepada penduduk pesisir pantai Kok Lanta, satu program dakwah yang lebih bersifat ke arah mendekatkan masyarakat pesisir pantai ini kepada Islam. Program dakwah dan riadah ini melibatkan lebih kurang 30 orang penuntut IPTIPs dengan diiringi oleh Ustaz Muhammad Ihsan bin Idris dan 5 orang ahli jawatankuasa Persatuan Al Islah, antaranya Cikgu Zubir selaku Ketua Biro Pemuda dan saudara Syed Alwi yang juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Al Islah. Program selama 2 hari 1 malam ini turut dihadiri oleh Dato Ahmad Yusoff selaku Rektor IPTIPs dan YDP Persatuan Al Islah Perlis.

Program ini adalah satu usaha Biro Pemuda Al Islah dalam usaha menarik dan mendekatkan anak-anak muda kepada As-Sunnah dan dakwah. Selain itu, ia juga merupakan satu usaha Persatuan Al Islah ke arah membentuk hubungan luar yang lebih proaktif dalam bidang dakwah bersama masyarakat Islam lainnya khususnya bagi masyarakat Thailand.

- Kelas Iqra’ untuk anak-anak TR dan anak-anak penduduk sekitar Islah
Kelas Iqra untuk anak-anak Teratak Rahmat dan anak-anak tempatan sekitar Mata Ayer telah dijalankan pada setiap hari kecuali hari Isnin. Anak-anak tempatan sekitar Mata Ayer adalah seramai 7 hingga 10 orang yang hadir ke kelas Iqra. Tenaga pengajar kelas Iqra adalah terdiri daripada saudara Zulkefli Ahmad, saudara Bunyamin Abas, Pn. Atikah dan Pn. Sharo Azlin.

- Kelas Al-Quran dewasa – dikendalikan oleh Ustaz zulkifli Ahmad
Kelas Al-Quran dewasa dijalankan pada setiap hari bergantung kepada masa yang ditetapkan oleh peserta kelas. Biasanya kelas Al-Quran dewasa dijalankan pada waktu pagi atau malam selama sejam. Tenaga pengajar kelas Al-Quran dewasa ialah Saudara Zulkefli Ahmad.

- Kuliah khas Ustaz Rasul Dahri (2 Mei 2010) – “Sedekad Bertakhta Raja Berdaulat”
Tanggal 2 Mei 2010, Persatuan Al Islah Perlis telah mengadakan satu kuliah khas bersempena 10 tahun pemerintahan Tuanku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibn Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang juga merupakan Ketua Agama dan Adat Istiadat Negeri Perlis, malah yang lebih utama merupakan tunggak dan tunjang dalam perjuangan menegakkan dakwah As Sunnah di negeri Perlis. Kuliah khas yang bertemakan “Sedekad Bertakhta Raja Berdaulat” yang disampaikan oleh Ustaz Rasul Dahri ini merupakan satu usaha Persatuan Al Islah bagi menunjukkan sokongan yang penuh kepada pemerintahan Tuanku Raja sebagai pemimpin dan pendokong utama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kuliah ini diharapkan dapat memberi gambaran yang jelas berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah kepada para ahli Persatuan Al Islah khususnya dan seluruh umat Islam umumnya berkaitan ketaatan kepada pemimpin. Semoga dengan itu, segala perpecahan dan pertelingkahan sesama ahli Persatuan Al Islah serta di kalangan umat Islam dapat dielakkan dengan jalan bersatu-padu dan melimpahkan taat setia kepada pemimpin selama ianya tidak menyalahi syara’.

Aktiviti Biro 2010 (7)

LAPORAN AKTIVITI AMI DAN HAL EHWAL VETEREN

- Diskusi AMI (13 Mac 2010) – ustaz Mohd Rizal – Syiah di Internet
Diskusi buku diteruskan lagi pada sesi berikutnya dimana Ust. Mohd Rizal dijemput bagi membincangkan isu Syiah di Internet. Kehadiran pada hari tersebut adalah agak memuaskan.

- Tambah majalah
Salah seorang ahli Persatuan Al-Islah Perlis telah melanggan majalah-majalah untuk tambahan pembacaan di dalam Perpustakaan Persatuan Al-Islah Perlis (Anjung Maklumat Islah). Antara majalah yang dilanggan oleh ahli tersebut ialah majalah E@Siswa, Fokus SPM, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Al-Islam, Majalah I, Anis, Asuh, Ana Muslim, Komik Kanak-Kanak dalam Bahasa Arab, Celik 3G, I Love Islam dan Majalah PC. Diharap majalah tersebut memberi ilmu pengetahuan yang berguna kepada para pembaca.

- Katalog buku-buku dan bahan ilmiah di perpustakaan Islah
Bahan-bahan bacaan seperti, buku ilmiah dan majalah dalam perpustakaan Persatuan Al-Islah Perlis (Anjung Maklumat Islah) disumbangkan oleh ahli-ahli Persatuan Al-Islah Perlis. Bahan-bahan tersebut telah dikatalogkan untuk simpanan Persatuan Al-Islah Perlis. Proses pengkatalogan tersebut telah di bantu oleh Pn. Sharoazlin.

- Diskusi AMI (18 April 2010) – Cikgu Midon – Islam dan Israel
Diskusi buku diteruskan lagi pada sesi berikutnya dimana cikgu Hamidon dijemput untuk membincangkan isu Islam dan Israel.

- Kelas komputer amali
Kelas Komputer amali telah dijalankan di Makmal Komputer Persatuan Al-Islah Perlis pada setiap hari Isnin hingga Khamis selepas solat Asar. Kelas tersebut telah diberi tunjuk ajar oleh saudara Adam Tengku Badrillah. Kelas tersebut mengambil masa selama 30 minit.

Aktiviti Biro 2010 (6)

LAPORAN AKTIVITI BIRO UNDANG-UNDANG DAN PERHUBUNGAN AWAM

- Diskusi undang-undang – Ditahan sebab Wahabi
Satu Diskusi Buku/Ilmiah AMI Siri Ke-5 telah dijalankan pada 17 Oktober 2009 di Pusat Pengajian Al-Islah pada jam 3 petang. Diskusi bertajuk “Ditahan Atas Tuduhan ”Wahhabi” - Ke Arah Memahami Beberapa Peruntukan Dalam Undang-undang Di Malaysia’. Pembentang jemputan adalah Saudara Zamri Ali (Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Hal Ehwal Undang-undang Dan Perhubungan Awam Persatuan Al-Islah Perlis).

- Seminar Isu Pernikahan kanak-kanak
Seminar Isu Pernikahan Kanak-kanak telah diadakan pada 5 Mei 2010 di Dewan Syarahan, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis bermula jam 8 pagi sehingga jam 2 petang. Pembentang kertas kerja jemputan adalah Dato’ Alim Setia Ustaz Ahmad Yusuf Amin yang membentangkan isu ‘Pernikahan Kanak-kanak; Hubungannya Dengan Hikmah Pensyariatan Pernikahan Dalam Islam’ dan Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman yang membentangkan isu ‘Pernikahan Kanak-kanak; Analisis Beberapa Dalil Terpilih’.