03 October 2011

Sisipan Dari Utusan Online : Raja Muda arah turunkan gambar tokoh di kedai makan.


Daulat Tuanku Raja Muda Perlis, kami Persatuan Al-Islah Perlis berdiri teguh di belakang tindakan Tuanku. Semoga Allah senantiasa memberi taufik dan hidayah kepada Tuanku dan kaum kerabat Diraja Perlis.


ARKIB : 01/10/2011

Raja Muda arah turunkan gambar tokoh di kedai makan

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melawat Agrobank Cawangan Simpang Empat sambil diiringi Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman (kiri) di Kangar, semalam.


KANGAR 30 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar para peniaga terutama peniaga kedai makan menurunkan gambar-gambar tokoh tertentu di kedai masing-masing yang bertujuan untuk melariskan jualan.

Baginda bertitah, tindakan para peniaga itu adalah haram dan merupakan perkara karut yang harus dihapuskan.

"Saya dapati masih ada peniaga menggantung gambar tokoh-tokoh tertentu dengan niat untuk melariskan jualan dan menolak sial, sedangkan perkara tersebut adalah haram, justeru saya harap mereka faham dengan perkara ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan 2010 oleh Agrobank di Simpang Empat, dekat sini, hari ini.

Titah baginda, larangan menggantung gambar bertujuan untuk melariskan jualan telah dikeluarkan oleh Majlis Hal Ehwal Agama Islam Perlis (MAIPs), malah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 2008 telah memutuskan perkara tersebut sebagai haram.

"Banyak cara lain untuk meraih keuntungan, sama ada berdoa dan kerja kuat selain para peniaga harus lebih kreatif untuk berjaya," titah baginda.

Dalam pada itu baginda bertitah, sumbangan oleh sektor korporat merupakan kerjasama yang diberikan kepada kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

"Kita tidak perlu berkira tentang jumlah disumbangkan, yang penting adalah keberkatan terhadap sumbangan yang diberi," titah baginda.

Pada majlis tersebut Agrobank diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman menyerahkan zakat sebanyak RM36,159 kepada Baitulmal Perlis dan RM40,000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra.
Selain itu, Agrobank turut menyumbang zakat yang diagihkan kepada asnaf anak yatim dan asnaf fakir miskin berjumlah RM34,622.

Menurut Wan Mohd. Fadzmi, sumbangan itu adalah selaras prinsip Agrobank sebagai sebuah bank prihatin.
"Agrobank berhasrat membantu golongan fakir miskin yang tidak bernasib baik termasuk ibu tunggal dengan membuka peluang kepada mereka memajukan diri dalam bidang ekonomi," katanya.

Pada majlis yang turut dihadiri oleh Pengerusi Agrobank, Tan Sri Faizah Mohd. Tahir dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Perlis, Sabry Ahmad, Agrobank turut menyerahkan komputer kepada 10 buah sekolah di negeri ini.

Dipetik dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_03.htm





30 September 2011

7 KELEBIHAN BERKORBAN DI TERATAK RAHMAT DARIPADA SUNNAH RASULULLAH (7-IN-1)


Jemputan Menyertai Ibadah Korban di Teratak Rahmat 
Assalamualaikum Warahmatullah 
Yang Berbahagia Tuan-tuan dan Puan-puan yang dirahmati Allah. 


Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa asrama anak-anak yatim/miskin Teratak Rahmat, Mata Ayer, Perlis akan melaksanakan Ibadah Korban yang dijangka diadakan pada 10 Zulhijjah 1432H bersamaan 6 November 2011 (ahad). Justeru, pihak urusetia menyeru mana-mana individu yang berhajat melaksanakan ibadah ini untuk menyegerakan niat murni tersebut. Insya-Allah korban ini akan dijadikan “BANK DAGING” iaitu sumber daging tempatan segar untuk makanan anak-anak yatim/miskin di Teratak Rahmat yang mampu bertahan sehingga 7 bulan. 


 Maklumat lanjut iaitu harga bersekali dengan kos pengurusan adalah seperti berikut: 
 1 bahagian lembu - RM400.00 
 1 ekor kambing - RM500.00 
Pembayaran boleh dilakukan secara tunai atau ansuran mulai sekarang. 


 Berpandukan hadith-hadith sahih dalam Sunnah Rasulullah s.a.w, 7 kelebihan menyertai ibadah korban di Teratak Rahmat ialah: 


 1. BERAMAL PADA SEBAIK-BAIK HARI 
Korban akan disembelih pada 10 Zulhijjah iaitu pada Hari Raya Aidil Adha pertama. Selepas bulan Ramadan, 10 hari pertama dalam bulan zulhijjah adalah sebaik-baik masa untuk umat Islam mengerjakan amal kebajikan. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah”. Para sahabat baginda bertanya: “Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?”. Ujar baginda: “Tidak juga jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)” (hadith riwayat al-Bukhari). 
Ustaz Ihsan menyembelih kambing sambil dibantu oleh sukarelawan TR




 2. KORBAN DIJADIKAN SEDEKAH TERBAIK 
Daging korban dijadikan sedekah kepada anak-anak yang menghuni Teratak Rahmat, sedangkan sedekah yang ikhlas kerana Allah menjadi penghindar dari api neraka. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Siapa yang sanggup mendinding dirinya daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan”(hadith riwayat Muslim) Sedekah ini pula merupakan sedekah terbaik dalam “liga”nya kerana daging lembu tempatan segar adalah sumber protein terbaik sebagai makanan yang berkhasiat untuk anak-anak sedang membesar. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu Maha Baik, maka Dia tidak menerima (amalan) melainkan yang baik-baik sahaja” (hadith riwayat Muslim) 






 3. KORBAN DIJADIKAN MAKANAN ANAK-ANAK YATIM 
Daging korban yang disedekahkan akan dijadikan makanan anak-anak yatim di Teratak Rahmat. Maka membantu anak-anak yatim termasuk dengan memberikan jaminan makanan kepada mereka, dijanjikan ganjaran yang cukup besar. Pesan Rasullah s.a.w: Maksudnya: “Aku dan penjaga (memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini di dalam syurga”. Berkata Malik: “Baginda telah mengisyaratkan dua jari baginda iaitu dengan merapatkan jari telunjuk dan jari hantu” (hadith riwayat Muslim).



 4. KORBAN DIJADIKAN MAKANAN ANAK-ANAK MISKIN 
Selain anak-anak yatim, anak-anak yang dibelenggu kemiskinan di Teratak Rahmat juga akan menikmati makanan daripada daging korban yang disedekahkan. Kelebihan membantu anak-anak miskin termaktub dalam pesanan Rasulullah s.a.w Maksudnya: “Orang yang mengurus (kebajikan) janda dan orang miskin, bagaikan orang yang berjuang di jalan Allah”, Kata Abu Hurairah: “Saya juga menduga baginda bersabda ‘(Mereka yang mengurus kebajikan orang miskin) bagaikan orang yang selalu solat malam tetapi tidak pernah merasa letih dan bagaikan orang berpuasa yang tidak pernah berbuka” (hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)


 5. KORBAN MENUNAIKAN KEPERLUAN UMAT ISLAM SETEMPAT 
Memang benar ada banyak peluang berkorban Aidil Adha di Palestin, Somalia, Filipina, Kemboja, Selatan Thai dan tempat-tempat lain. Walau bagaimanapun prihatian dengan yang berjiran dan hampir dengan kita, masih ada anak-anak yatim/miskin Islam yang perlu dibela nasib mereka secara berterusan. Tambahan pula, berkorban dalam negara juga bererti menyokong ekonomi desa umat Islam tempatan. Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Sesama umat Islam itu bersaudara. Oleh sebab itu, janganlah menganiaya dan jangan mendiamkannya. Siapa sahaja yang memperhatikan kepentingan saudaranya, Allah akan memperhatikan kepentingannya. Siapa sahaja yang melapangkan satu kesusahan sesama umat Islam, nescaya Allah akan melapangkan satu kesusahan daripada beberapa kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa sahaja yang menutupi keburukan seorang umat Islam, maka Allah akan menutupi keburukannya pada Hari Kiamat” (hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim) 




 6. MANFAAT KORBAN BERTERUSAN 
Sedekah korban di Teratak Rahmat dimanfaatkan secara berterusan sehingga 7 atau 8 bulan selepas Hari Raya Aidil Adha. Memiliki kemudahan 3 peti sejuk besar yang boleh memuatkan daging, tulang dan organ lain daripada 7 ekor lembu yang bersaiz sederhana besar; bahan-bahan korban ini akan dicincang dan disimpan rapi dalam peti sejuk tersebut. Apabila tiba gilirannya, daging ini akan dikeluarkan secara sedikit demi sedikit dan berperingkat-peringkat, untuk dijadikan lauk anak-anak yatim/miskin. Berkenaan pentingnya amalan kebajikan dilakukan secara berterusan, Rasulullah s.a.w telah berpesan: Maksudnya: “Katakanlah, saya beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah kamu (iaitu berterusanlah teguh)” (hadith riwayat Muslim) Pesan Rasulullah s.a.w lagi: Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik amalan adalah amalan yang berterusan, walaupun sedikit” (hadith riwayat al-Baihaqi)   


Inilah antara peti 'bank' daging di Teratak Rahmat


7. MEMBUKA PINTU REZEKI 
Anak-anak yatim dan miskin yang dididik di Teratak Rahmat adalah golongan lemah dalam kalangan umat Islam, yang perlu dibantu secara berterusan dan sistematik supaya keluar dari kemelut kemiskinan dan masalah sosial. Adapun membantu golongan yang lemah, Rasulullah menjamin amalan ini sebagai salah satu daripada kunci-kunci rezeki yang diberkati Allah . Pesan Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Sesungguhnya kamu dibantu (Allah) dan mendapat rezeki disebabkan adanya bantuan kamu kepada orang-orang yang lemah dalam kalangan kamu” (hadith riwayat al-Tirmidhi) 


Untuk sebarang pertanyaan dan pendaftaran, sila hubungi Dr. Hazman Hassan di telefon 019-4459382 atau Zahiri bin Zubir (017-4258281) dan boleh juga hantar emel ke ibnarawi99@yahoo.com . Sekian.

24 September 2011

Majlis Tautan Ukhuwwah Bersama Ansaris Sunnah





Tidak sempat rombongan persatuan bersiap untuk melawati Pulau Pinang, penggerak Ansaris Sunnah Pulau Pinang telah pun membuat kunjungan rasmi ke Persatuan Al-Islah Perlis pada hari Khamis (22 September 2011). “Majlis Tautan Ukhuwwah Ansaris Sunnah Pulau Pinang Dan Persatuan Al-Islah Perlis”, itulah nama sempena majlis yang amat bermakna. Maha suci Allah, majlis ini juga telah memulakan langkah awal pihak persatuan untuk memajukan lagi ilmu ‘harfiah’ di premis persatuan ini. 

Adik Ziyad membaca al-Quran.
Setelah selesai ucapan daripada Yang Dipertua Persatuan Al-Islah Perlis, Haji Othman Hussin dan ucapan Pengerusi Madrasah Ansaris Sunnah,Ustaz Ahmad bin Sai'din, adik Ziyad yang baru berumur 12 tahun dari Madrasah Ansaris Sunnah telah membuatkan jiwa hadirin semakin membara, biarpun tidak pernah bersekolah di mana-mana sekolah bahasa arab, kebolehan adik Ziyad dalam persembahan membaca dan membuat tafsir ringkas surah Al-An’am ayat 82-84 secara harfiah telah membuktikan bagaimana berkesannya ilmu tersebut kepada beliau. 

Inilah buah tangan yang amat berharga dalam kunjungan rasmi kali ini. Tidak cukup sekadar itu, ketika beramah mesra, Ustaz Muhammad Abduh, penggerak utama kelas harfiah di Ansaris Sunnah telah mencapai kata sepakat untuk datang mengajar di Perlis sebulan 2 kali, insyaAllah. 

Naib Yang Dipertua dan tetamu beramah mesra
Fokus ketika sesi ucapan
Semoga Allah jualah yang membalas dan memberkati usaha murni dan pengorbanan pejuang-pejuang Ansaris Sunnah tersebut. Diharap kunjungan balas pihak persatuan ke Madrasah Ansaris Sunnah juga akan menambahkan manfaat dan rahmat kepada kedua-dua pihak. 

Yang Dipertua menikmati hidangan nasi arab
Tautan ukhuwwah
 Akhir kalam,tinggilah harapan pihak persatuan agar tautan ukhuwwah yang dihubungkan ini akan disusuli lagi dengan pelbagai perkembangan yang menarik dan positif agar kehebatan ilmu harfiah di Perlis ini akan mempunyai kesinambungannya.

21 September 2011

Rombongan 'Jejak Sunnah Di Pulau Pinang: Dahulu Dan Sekarang'


ROMBONGAN ‘JEJAK SUNNAH DI PULAU PINANG: DAHULU DAN SEKARANG’ 

Tarikh: Sabtu, 8 Oktober 2011 
Muatan: Sebuah bas dengan tempat duduk 40 orang 
Tambang: RM50.00 
Anjuran: J.P Kebajikan serta J.P Penerbitan & Hubungan Luar, 
Persatuan Al-Islah Perlis


Pengenalan: 
Berdialog di Masjid Kapitan Keling adalah antara
11 program kali ini.
   Pulau Pinang bukanlah suatu wilayah yang asing bagi gerakan dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah. Syeikh Hassan Surabaya, iaitu ulama pertama menyebarkan dakwah ini di Perlis, datang dari Indonesia melalui Pulau Pinang. Malah ketika dibuang negeri, beliau memilih bermukim di Pulau Pinang sebelum kembali ke Perlis. Tokoh pentadbir Tan Sri Syeikh Ahmad Mohd Hashim, tokoh ulama Syeikh Abu Bakar Ashaari serta Mufti Perlis ke-4 Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin juga berasal dari Pulau Pinang. Bahkan pengasas Persatuan Al-Islah Perlis, Syeikh Noor al-Surur telah dilahirkan di Pulau Pinang. Pada awal 90-an, adalah kali terakhir Persatuan Al-Islah Perlis menganjurkan rombongan rasmi ke Pulau Pinang bagi menghadiri forum Gerakan Pembaharuan Islam di Universiti Sains Malaysia (USM). Pada ketika itu ahli-ahli panelnya adalah Allahyarham Dr. O.K Rahmat (USM), Dr. Mohd Radzi Othman (USM) dan Ustaz Ahmad Jusoh (ITM Arau/Persatuan Al-Islah Perlis). Justeru itu, sesudah hampir 20 tahun berlalu, sudah tibalah masanya untuk ahli-ahli dan penyokong Persatuan Al-Islah Perlis mutaakhir ini untuk menziarahi rakan-rakan seakidah di Pulau Pinang. 


Objektif Rombongan: 

Menyingkap pelbagai kehebatan
Islam di Ayer Itam selain menikmati
keindahannya.
  • Merapatkan silaturahim Persatuan Al-Islah Perlis dengan pendokong Gerakan Ahlis Sunnah di Pulau Pinang 
  • Mengambil iktibar proses jatuh dan bangunnya dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah di Pulau Pinang 
  • Mengamalkan beberapa aspek dalam panduan Musafir menurut Sunnah Rasulullah s.a.w 



Tambang:

  • RM50.00 dikenakan sebagai tambang kepada setiap ahli rombongan meliputi: 
  • Sewa bas untuk menjelajah sambil menimba ilmu ke 11 destinasi di Seberang Perai dan Pulau Pinang dari pagi sehingga ke malam 
  • Cenderamata untuk tempat yang dilawati 
  • Sumbangan atas jamuan yang dihidangkan di tempat yang dilawati 
  • Sumbangan kepada Ustaz Zainal Abidin Zamzam 
Buah pala antara yang istimewa di Balik Pulau,
Selain menjelajah, insyaAllah kita akan
membeli-belah di Balik Pulau

Pertanyaan Dan Tempahan 
Untuk pertanyaan dan tempahan, silalah berhubung dengan Setiausaha Persatuan Al-Islah Perlis, Azwar bin Ibrahim di telefon 019-4776482

20 September 2011

MEKANISME PPMM: SATU CUBAAN MASUK PINTU BELAKANG DALAM PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG.



(Ulasan kepada Pandangan PPMM - Wawacara transformasi gubalan Undang Undang Islam - Utusan Malaysia 12 Mei 2011) 


 Pertamanya, ingin penulis tekankan bahawa ulasan ini dibuat berdasarkan pemahaman penulis terhadap wawancara yang disiarkan dalam Utusan Akhbar bersama Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) , Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pada 12 Mei 2011. Penulis percaya buah fikiran yang dilontarkan adalah untuk kebaikan bersama dan didasari dengan ilmu dan pengalaman luas beliau. 
Terdapat beberapa idea-idea segar dan wajar dipertimbangkan telah diketengahkan oleh peguam berpengalaman tersebut Bahagian yang menarik perhatian penulis adalah cadangan mekanisme baru dalam penggubalan undang-undang yang berkaitan Islam. 




 1) Bertentangan dengan Perkara 66(1) Perlembagaan Persekutuan. 


 Perkara 66 ini jelas memperuntukkan bahawa semua undang-undang digubal samada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri berdasarkan bidang kuasa masing-masing. Cadangan PPMM ada seolah satu cubaan masuk pintu belakang apabila mendapatkan perkenan Yang Di-Pertuan Agong terlebih dahulu. Langkah ini menidakkan fungsi badan legilslatif sebagai penggubal undang-undang yang dipilih oleh rakyat. Bahkan fungsi jemaah kabinet juga dinafikan untuk menggubal usul undang-undang sepertimana proses lazim pembentangan undang-undang di dewan. Presiden PPMM Datuk Zainul Rijal berkata :


 “Seterusnya ia akan hanya dipanjangkan kepada Jemaah Menteri untuk disahkan tanpa perlu dibahaskan kerana ia sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Begitu juga apabila dibentangkan untuk bacaan pertama dan kedua tidak perlu juga dibahaskan kerana ia telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.” 


 Perkara ini ternyata bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan sekiranya ingin dilaksanakan perlu kepada pindaan yang menuntut kepada persetujuan 2/3 ahli Parlimen. Bukankah itu agak idealistik kerana sanggupkah ahli Parlimen sanggup bersetuju untuk menurunkan kuasa yang ada pada mereka yang diperolehi dari rakyat melalui sistem demokrasi. Tetapi secara kontradiknya pula Presiden PPMM menegaskan mekanisme ini diubah tanpa perlu meminda Perlembagaan Persekutuan. 




 2) Bertentangan dengan semangat Federalism yang menjadi dasar Penubuhan Malaysia, Perkara 74 dibaca bersama Jadual 9. 


 Selain menafikan kuasa Parlimen, penulis berpandangan makanisme tersebut menidakkan bidangkuasa negeri dan mencabul kuasa raja negeri yang merupakan ketua agama. Setiap negeri berhak menggubal undang-undang berkaitan agama di negeri masing-masing bersandarkan Jadual ke-9 Perlembagaan. Peranan besar yang dicadangkan diletakkan ke atas JAKIM yang merupakan sebuah jentera persekutuan dan penggubalan di peringkat pusat adalah tidak bertepatan semangat federalism Malaysia. JAKIM boleh memainkan peranan sebagai penyelaras antara negeri-negeri, tapi pusat tidak boleh putuskan dan kemudian kuatkuasakan undang-undang tersebut begitu sahaja. Jika kita lihat kepada undang-undang bertulis negeri-negeri berhubung dengan agama Islam, kita dapat lihat bagaimana terdapat perbezaan seperti dalam sumber rujukan fatwa dan kaedah pengambilan pandangan mazhab tertentu, maka adalah tidak adil pihak kerajaan persekutuan menyeragamkan secara authoritarian dan paksaan.



 3) Skop Undang-Undang berkaitan Islam terlalu luas. 


 Presiden PPMM juga tidak menyatakan dengan jelas skop Undang-Undang berkaitan Islam yang dimaksudkan. Penulis berpandangan ianya terlalu umum dan luas. Pada hemat penulis, undang-undang berkaitan Islam boleh dirumuskan kepada 3 jenis. 




  • Undang-Undang yang berkaitan Islam melibatkan hanya umat Islam secara total dan ekskusif seperti zakat,nikah kahwin dan perceraian (kecuali pasangan berlainan agama), jenayah syariah dan lain-lain 
  • Undang-Undang yang berkaitan Islam melibatkan umat Islam dan bukan Islam secara khusus, misalnya hak jagaan anak selepas perceraian antara Muslim dan Bukan Muslim, masalah seputar mu’alaf dan murtad. 
  • Undang- Undang yang berkaitan Islam sebagai Agama Persekutuan yang mana kesemua awam samada Muslim atau Non Muslim akan terkesan seperti undang-undang penyebaran agama lain selain dari Islam. 



 Sekiranya undang-undang yang dimaksudkan adalah kesemua di atas, maka adalah tidak selamat untuk hanya satu badan kerajaan yang mengkaji dan menggubal , tanpa perbahasan secara telus di Parlimen. 




 4) Penggubalan Undang-Undang Mesti Dibuat Secara Telus dan Terbuka. 


 Seperti yang penulis nyatakan pada awal tadi, mekanisme yang dicadangkan seolah satu cubaan menwujudkan undang-undang melalui jalan belakang . Penulis percaya perlu proses penggubalan undang-undang berlaku secara telus dan terbuka bagi sebuah Negara demokrasi. Rakyat atau wakilnya perlu tahu dan terlibat berhubung dengan penggubalan apa-apa undang-undang, yang kelak akan dikuatkuasakan ke atas rakyat. 


 Intiha’nya, penulis bagaimana pun percaya pandangan PPMM itu dibuat atas semangat cintakan Islam dan Perlembagaan Persekutuan, serta bagi mengelak masalah yang berlarutan berhubung dengan undang-undang berkaitan Islam yang senantiasa menjadi titik-titik sensitif di negara ini. Juga rasional yang terzahir dari pandangan PPMM, adalah agar Undang-Undang berkaitan Islam tidak dipolitikkan secara gampang oleh mana-mana pihak dalam meraih sokongan pengundi. Benar, undang-undang berkaitan Islam perlu di putuskan oleh orang yang layak dan ahli. Maka dalam menggubalkan undang-undang sedemikian adalah berada di atas pundak ilmuan dan cendekiawan Islam untuk menasihat dan menyakinkan para legislatif di Parlimen. Para cendekiawan Islam bukan saja perlu berilmu tapi juga perlu menjadi kuasa pendesak moral dengan tugas utamanya adalah pencerahan dan pembebasan dari kejahilan (bahkan kadang kala tidak perlu mempunyai kuasa politik). Oleh demikian, penulis sarankan agar cendekiawan Islam dan juga pakar-pakar bidang lain wajar diperbanyakkan di Dewan Negara, agar pihak legislatif bukan hanya didominasi oleh politikus-politikus sahaja, tetapi turut terpandu oleh kebijaksanaan dan kepakaran. 


 Rizqi Mukhriz 14 Mei 2011 - Kangar, Perlis

15 September 2011

PERDU TEBU DI DARUS SUNNAH (BAH. 2)



Matahari kian terik, aku mula menapak sambil mengimbas kembali detik-detik bersama Tokwan. Di sebelah kiri jalan, berdiri condong pokok-pokok tebu yang ditanam pinggir terusan. Tebu mengingatkan aku kepada Tokwan. Tebu yang aku maksudkan, bukanlah tebu yang ditanam secara komersial untuk dihasilkan gula, tetapi tebu yang biasanya ditanam di pinggir sawah. Ketika itu, usiaku mencecah 13 tahun dan baru sahaja melangkah masuk ke sekolah menengah. Aku telah dihantar untuk belajar di sebuah sekolah agama. Di sekolah itu, seorang ustaz muda mendakwa orang seperti Tokwan adalah golongan yang dinamakan Wahabi. Mereka ini banyak mengeluarkan fatwa yang sesat dan melampau. 

Lantas, aku memberanikan diri bertanyakan kepada Tokwan tentang perkara itu. Pada saat itu, aku hanya berjalan berdua-duan dengan Tokwan setelah pulang dari membakar jerami di sawah. Jerami mesti dibakar sebelum tanah dibajak. Jika tidak dibakar jerami itu, air yang bertakung di dalam sawah akan menjadi masam dan menjejaskan pertumbuhan benih-benih baru padi. 

 “Tokwan ni, Wahabikah?” tanya aku dengan penuh berhati-hati. Tokwan menghentikan langkahnya dan menongkatkan basikal tua, ‘Robin Hood’ miliknya. Dia mencapai sebilah parang yang diletakkan di tempat pembonceng basikal dan memangkas sebatang tebu di gigi batas. Dalam diam seribu bahasa, dia mengerat sebatang tebu dan mengupas kulitnya. Kanak-kanak di sini cukup suka menikmati tebu dengan cara begini, setelah kulit dikupas, batang tebu dipotong kecil-kecil. Untuk untuk mendapatkan airnya, potongan kecil itu di gigit dan dihisap airnya. 

 Tokwan menghulurkan kepada dua potongan batang tebu tadi dan berkata, “Ambil dan rasa sebelah mana yang lebih manis?”.Aku menikmati kedua-duanya dan menuding ke arah potongan yang diambil dari bahagian pangkalnya. Tokwan tersenyum. 

 “Itulah perdunya, bahagian yang kurang manis itu adalah bahagian yang hampir dengan pucuknya. Semakin dekat dengan akarnya, semakin manislah rasanya”. 

 Begitulah kiasan Tokwan,akar kita adalah al-Quran dan Sunnah, semakin dekat kita dengannya semakin lebih baik seorang Muslim itu. Semakin jauh kita dari apa yang termaktub dari al-Quran dan Sunnah, biarpun masih bernilai tapi tak sama dengan yang awal. 

 “Aku bukan Wahabi, bukan penyokong, bukan juga aku penentang Wahabi. Tiada kelebihan untuk menjadi Wahabi, apa yang penting kita ikut Nabi. Apa yang Tokwan mahu adalah kemanisan hidup untuk hidup dekat dengan akar iaitu Al-Quran dan Sunnah. Biar setiap apa yang kita buat ada dalilnya, bukan sekadar taklid buta kepada imam-imam”. “Tapi, orang lain pun kata mereka ikut Al-Quran dan Sunnah juga”, aku menyahut. 

 “Berbalik kepada tebu tadi, letakkan akarnya adalah Rasulullah s.a.w dan perdu yang paling hampir dengannya adalah generasi sahabat. Kita hari ini pula adalah pucuk yang jauh dengan akar. Maka, jalan terbaik untuk kita memahami apa yang terkandung dalam al-Quran dan As-Sunnah adalah melalui apa yang difahami generasi terdahulu yang lebih dekat dengan Nabi. Kenapa kita hendak utamakan orang-orang yang juga berada di pucuk tebu. Kita akan merasai kemanisan mengikuti al-Quran dan Sunnah hanya bila kita berpandukan apa yang difahami generasi yang dekat pada baginda. Tak perlu jadi Wahabi, Muhammad Abdul Wahab pun bukanlah generasi awal bahkan Kitab Tauhid tulisannya tidaklah sehebat ulamak-ulamak terdahulu. Cuma, dia mengajak untuk kita kembali memahami al-Quran dan Sunnah”, Tokwan menafi sekeras-kerasnya. 

 “Cuba ambil contoh ini, Tokwan nak pergi masjid ikut jalan ini dan kemudian ada orang lain ikut jalan ini juga untuk ke masjid , apakah boleh dikatakan dia pengikut Tokwan. Matlamat yang sama, jalan yang sama tak bermakna yang di depan itu pemimpin dan yang menyusul itu pula pengikut.Tapi, boleh jadi pemimpin mereka berada di tempat yang dituju”, jelasnya lagi. 

 Mulai saat itu, persepsi aku terhadap Tokwan kian berbeza. Biarpun ada perkara yang aku tidak setuju dengan buah fikirannya, tapi aku kini sudah mampu bersangka baik dengannya kerana segala yang dilakukannya bersandarkan dalil dan hujahnya. Prinsip aku mudah, aku yakin atas apa yang aku percaya, namun tidak perlu dinafikan kebenaran yang ada pada orang lain seandainya didatangkan hujah. 

 Aku melintasi satu kain rentang tentang pengistiharan nama baru bagi negeri ini, Darus Sunnah. Seandainya Tokwan masih hidup,Aku pasti dia gembira. Namun, apakah itu hanya sekadar nama? Bagaimana pula dengan warganya? Apakah masih seperti dulu atau lebih baik, atau pun mereka sudah lama lupakan ajaran lama. Ajaran yang dulu dilabel sebagai ajaran Kaum Muda, kini hanya diamalkan oleh orang-orang tua. Aku bimbang sekiranya semua indera-indera pembela As-Sunnah juga telah pergi bersama nama lama. Maka tinggalah Darus Sunnah sebagai kenangan buat generasi muda yang tak pernah kenal akan ajaran orang tuanya. 

 -TAMAT- 
rizqimukhriz.blogspot.com 

 Glosari 
  1.  Tokwan : Datuk 
  2.  Depa : Mereka 
  3.  Hemoi : Ramah 
  4.  Geret : Basikal

PERDU TEBU DI DARUS SUNNAH (BAH. 1)



Telah disiarkan di 'MAJALAH I' keluaran April 2007
http://rizqimukhriz.blogspot.com 


 Doa diaminkan, seorang demi seorang beransur pulang. Tinggalah aku terpacak di sisi kubur Tokwan yang masih berongga tanahnya. Tiada talkin untuknya, kerana itu adalah permintaannya sejak dulu lagi. Bahkan seandainya tiada wasiat sebegitu pun, pasti semua ahli waris setuju untuk tidak talkinkan jenazahnya. Bukan kerana buruk tingkah lakunya, tapi kerna ketika hayatnya Tokwan cukup lantang menolak amalan talkin di kuburan. Seingat aku juga tiada talkin untuk arwah Tok Midah, nenekku dan Long Leman, anak sulung mereka berdua yang pergi lebih dahulu. 


 Bagi orang lain, talkin adalah sesuatu yang baik dan mampu memberi penganjaran kepada yang hadir di majlis pengkebumian. Namun tidak bagi Tokwan, talkin padanya bukan sekadar dinilai dari akal manusia tapi neracanya adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Ilmu aku cukup dangkal untuk membantah hujahnya. Hitung usiaku pula jauh berbeza, apatah lagi pengalaman yang dilaluinya. 


 Rupanya bukan aku yang terakhir yang masih setia di situ, Pak Chin, tok mudin masih sedang asyik melayan perasaan. Pandangan sugul dilemparkan ke arah aku dan mula bersuara, “Sekeras-kerasnya dia, dia tak pernah kafirkan sesiapa”. Aku sekadar tunduk dan mohon izin untuk berlalu. 


 Pernah aku dengar dulu dalam kuliah di masjid, Tokwan ada menghuraikan sesuatu dari Kitab Aqidah Wasitiyyah dengan susunan bahasanya sendiri. 


 “Kita ni orang Sunnah tak mengkafirkan ahli Qiblah, yakni orang yang mengucap, hanya kerana depa buat maksiat dosa besar. Kalau kita kafirkan juga, samalah kita dengan golongan Khawarij”. 


 Bertemu dengan Pak Chin, mengingatkan kembali akan peristiwa sehari sebelum majlis berkhatan aku. Dari bawah rumah, aku mencuri dengar Tokwan bertegang leher dengan Abah. Tokwan tak suka kenduri masuk jawi. Bid’ah katanya, namun Abah sebagai menantu hanya berdiam. Bila Tokwan turun dari rumah, dia menyapa aku, “ Kesian kat hang esok tengah hang sakit bersunat. Depa sedap-sedap makan ayam depan cik. Hang dah lah kena pantang”. 


 Kata-kata Tokwan tak lansung menyenangkan hatiku atau memadam perasaan marah aku padanya. Aku berhasrat untuk membeli sebuah basikal Le Run, sebuah basikal ber'gear' dari wang yang diperolehi pada majlis itu nanti. Bagaimana nak dapatkan duit yang banyak kalau kenduri tak diadakan. Pasti tak ramai yang datang. Aku mengeluh sendirian. 


 Namun, pada hari kenduri marahku tawar bila arwah Tok Midah mampir kepadaku dan berbisik, “Tokwan cik sakit perut tak boleh mai. Dia kirim ni kat cik”. Tok Midah menghulurkan sekeping duit lima puluh ringgit. Terbeliak aku melihatnya kerana sepanjang hari kenduri, tiada siapa yang menghadiahkan aku duit sebanyak itu. Dengan serta merta Tokwan menduduki tangga teratas carta hati aku. Sayang juga dia pada aku. Itulah apa yang aku fikir ketika itu, wang ringgit bisa menjadi lambang kasih sayang. 


 Semakin jauh aku dari kubur Tokwan, mengingatkan aku akan kata-kata sesudah pengebumian Tok Midah. Menurutnya, seandainya aku dengar soal jawab dalam kubur sedang aku masih hidup, pasti aku akan pengsan. Tokwan suruh aku rujuk Kitab Aqidah Wasitiyyah. Aku kira segala isi kandungan kitab itu telah mengalir dalam batang tubuhnya dan dihayati hari-hari. 


 Aku melewati kubur arwah Long Leman, anak sulung Tokwan. Batu nisan mar- mar masih putih kerana baru hampir dua tahun tegak berdiri di situ. Salam kuucapkan buatnya.Tokwan telah menyusul mengikutimu. Bahagialah kamu berdua di taman dari taman-taman syurga hendaknya dalam menanti hari kebangkitan agung. 


 Long Leman, anak yang paling Tokwan sayang dan menjadi kebanggaanya . Dia dihantar untuk belajar di sebuah sekolah agama di Arau, Sekolah Alawiyah yang tersohor di negeri ini. Kemudian dia melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang Syariah. Namun bagaikan musim menuai di ladang tebu yang datang setiap penghujung tahun, seluruh ladang yang menghijau akan dibakar. Keindahan ladang yang terhampar bertukar hitam dan selubungi asap jerami yang dibenci seluruh penduduk negeri. Itulah ibaratnya hubungan Tokwan dan Long Leman yang mula retak tatkala tamat pengajiannya di Mesir. Wataknya yang 'hemoi' menjadikan Long Leman orang yang mudah didekati dan terkenal. Selain nama baik, Long Leman juga mewarisi semangat berdakwah yang sebati dalam jiwa Tokwan. Namun, Long Leman memilih jalan yang sedikit berbeza. 


 Di pentas politik, Long leman melaungkan agar orang Islam meninggalkan perdebatan perkara furu’(cabang) dan khilafiah kerana merugikan umat Islam sendiri. Dia menyeru agar umat Islam kembali bersatu dan mengikut mazhab Syafie, mazhab majoriti umat Islam di negara ini namun bukan di negeri ini. Pada pendiriannya, tidak semua bidaah itu menyesatkan. 


 Tokwan terasa dirinya ditempelak dan ditikam dari belakang. Dia juga malu berhadapan dengan orang ramai. Hadis Nabi SAW, “Setiap bidaah itu sesat” yang senantiasa meniti dibibirnya kini ditakwil berbeza oleh anaknya sendiri. 


 “Buat apa kita nak ikut depa orang Kuala Lumpur. Kita ada undang-undang sendiri. Kami dulu sinsing lengan, kayuh geret ke hulu ke hilir nak bina semua ni. Hang rujuk balik dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, tang mana dia sebut mazhab Syafie?, afdhal ke mazhab itu berbanding yang lain?” Tokwan mengungkit sejarah dulu. Dia adalah antara orang-orang yang terlibat dengan Majlis Agama ketika itu dalam mendrafkan undang-undang agama Islam negeri. Long Leman mendiamkan diri dan hanya memasang telinga. 


 Ujian yang pertama dari anaknya, Tokwan masih mampu teguh berdiri. Namun pukulan ombak kedua, hampir menyentap nafas dan degupan jantung. Long Leman menemui ajal di dalam sebuah kemalangan jalan raya. Penangan yang menjadi anak damak di hati Tokwan, meninggalkan luka yang melarat. Tokwan selepas peristiwa itu banyak menghabiskan masa sendirian dan tatkala itulah aku mula rapat dengan insan tabah ini. 


 Glosari 

  1.  Tokwan : Datuk 
  2.  Depa : Mereka 
  3.  Hemoi : Ramah 
  4.  Geret : Basikal