06 February 2012

BULUGHUL MARAM : Bab Kiblat


Hadits Ke 225
عَنْ عَامِرِ بْنِ رَبِيْعَةَ قَالَ: كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ ص فِي لَيْلَةٍ مُظْلِمَةٍ فَاَشْكَلَتْ عَلَيْنَا الْقِبْلَةُ فَصَلَّيْنَا فَلَمَّا طَلَعَتِ الشَّمْسُ اِذَا نَحْنُ صَلَّيْنَا اِلَى غَيْرِ الْقِبْلَةِ فَنَزَلَتْ " فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ الله "
Dari Amir bin Rabi’ah. Ia berkata : ‘Kami pernah beserta Nabi saw. di satu malam yang gelap, lalu dibingungkan kami oleh (letaknya arah) qiblat, lalu kami solat. Maka dikala terbit matahari, ternyata bahawa kami telah solat tidak menghadap qiblat. Lalu turun (ayat yang ertinya) : ‘Maka ke mana kamu menghadap, maka di situ ada keredaan Allah.’

Dikeluarkan dia oleh Tirmidzi, tetapi ia lemahkan dia.

Hadits ini dhaif kerana dalam sanadnya terdapat seorang yang bernama Al Asy’ats ibn Said As Samman yang dipandang lemah.

Dalam hadits riwayat Ath Thabarani dinyatakan :

عَنْ مُعَاذٍ قَالَ: صَلَّيْنَا مَعَ رَسُولِ الله ص فِي يَومٍ غَيمٍ فِي سَفَرٍ اِلَى غَيرِ الْقِبْلَةِ فَلَمَّا قَضَى الصَّلاَةَ وَسَلَّمَ تَجَلَّتِ الشَّمْسُ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ الله صَلَّيْنَا اِلَى غَيْرِ الْقِبْلَةِ فَقَالَ قَدْ رُفِعَتْ صَلاَتُكُمْ بِحَقِّهَا اِلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ
Dari Muaz ia berkata : ‘Kami pernah solat beserta Rasulullah saw. ke arah yang bukan qiblat di suatu hari yang amat mendung, dalam suatu perjalanan. Maka manakala sudah selesai solat, terbit matahari. Kami bertanya (kepada Rasulullah saw.) : ‘Ya Rasulullah, matahari telah terbit dan rupanya kita telah menghadap ke arah bukan qiblat.’ (Rasulullah saw.) menjawab : “Telah diangkat solatmu dengan segala haknya kepada Allah.”
H.R. Ath Thabarani.

Dalam riwayat hadits ini terdapat seorang perawi yang bernama Abu Abdullah Abalah Syammir ibn Atha. Menurut pendapat Ibnu Hibban, Abu Abdullah ini, kepercayaan (ثقة).

Ulama berselisih dalam bab ini kepada beberapa pendapat :
1. Asy Sya’bi menjelaskan : ‘Ulama Hanafiyah dan Ulama Kufah berpendapat, bahawa orang yang solat dan tidak menghadap ke arah qiblat kerana terlalu gelap, tetap sah (solat) asal saja mereka berijtihad. Tetapi jika diketahui menghadapnya itu salah, maka wajib diulangi.
2. Asy Syafie berpendapat : ‘Solat wajib diulangi, baik masih ada waktu, maupun sudah keluar (iaitu apabila di ketahui arah qiblat itu salah arah).
3. Sebahagian ulama berpendapat : Tidak wajib diulangi solat jika mengetahui arah qiblat selepas bersolat itu salah arah, jika telah di luar waktu. Tetapi jika diketahui dalam waktu, iaitu masih ada kesempatan untuk mengulangi maka wajib mengulanginya semula.
4. Ash Syan’ani dan Asy Syaukani berpendapat : Hadits hadits ini (dalam bab tersalah arah qiblat), walaupun ada yang mendhaifkan, namun dapat dijadikan hujah, kerana banyak benar jalan datangnya. Solat itu tidak perlu diulangi lagi, kerana mengingati hadits hadits di atas.

Bersandarkan kepada peristiwa peralihan kiblat sebagaimana tersebut dalam beberapa riwayat sebagai berikut:
عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: بَيْنَمَا النَّاسُ بِقُبَاءَ فِي صَلاَةِ الصُّبْحِ اِذْ جَاءَهُمْ آتٍ فَقَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص قَدْ اُنْزِلَ عَلَيْهِ اللَّيْلَةَ قُرْآنٌ وَقَدْ اُمِرَ اَنْ يَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةَ فَاسْتَقْبِلُوْهَا وَكَانَتْ وُجُوْهُهُمْ اِلَى الشَّامِ فَاسْتَدَارُوْا اِلَى الْكَعْبَةِ
Daripada Ibnu Umar ia berkata: Pada suatu hari di kala kaum muslimin solat Subuh di masjid Quba' datanglah kepada mereka seorang lelaki sambil berkata: Bahawasanya kepada Nabi saw telah diturunkan pada malam ini wahyu yang menyuruh menghadap ke kiblat (Kaabah) kerana itu menghadaplah kamu sekalian ke arahnya. Maka mereka yang sedang solat itu pun menghadaplah ke kiblat sedang hadapan mereka pada kala itu ke arah Syam, mereka memutarkan diri mereka ke Kaabah.
Riwayat Bukhari dan Muslim
عَنْ اَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: اِنَّ رَسُوْلَ الله ص كَانَ يُصَلِّى نَحْوَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ فَنَزَلَتْ قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَآءِ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ فَمَرَّ رَجُلٌ مِنْ بَنِى سَلَمَةَ وَهُمْ رُكُوْعٌ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَقَدْ صَلُّوْا رَكْعَةً فَنَادَى اَلاَ اِنَّ الْقِبْلَةَ قَدْ حُوِّلَتْ فَمَالُوْا كَمَا هُمْ نَحْوَ الْقِبْلَةِ
Daripada Anas bin Malik ia berkata: Bahawa pada suatu hari Rasulullah saw sedang solat menghadap ke Baitul Maqdis maka turunlah kepadanya firman Allah (bermaksud) "Sesungguhnya Kami (sering) melihat bolak-balik mukamu ke langit[1] maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram – Al-Baqarah ayat 144 -". Seorang lelaki dari golongan Bani Salamah yang mendengar wahyu itu di ketika pulang melalui segolongan kaum yang sedang solat Subuh dan telah masuk ke rakaat kedua maka berserulah dia: Ketahuilah bahawa kiblat itu telah dipalingkan. Maka mereka yang sedang solat itu pun memalingkan mukanya ke arah kiblat (Kaabah)
Riwayat Muslim
Berkata Al-Hafiz dalam Fathul Bari: Penggantian kiblat itu diterima oleh Nabi saw di kala akan solat Zohor. Tersiarnya berita ke seluruh kota Madinah di kala telah masuk waktu Asar dan sampainya berita itu ke Quba' (satu kampung yang jauhnya 3 mil dari Madinah) adalah pada solat Subuh esoknya. Ubbad bin Basyar dari Bani Salamah yang menyampaikan kepada penduduk Quba'.



[1] Maksudnya ialah Nabi Muhammad saw sering melihat ke langit mendoa dan menunggu-nunggu turunnya wahyu yang memerintahkan beliau menghadap ke Baitullah
Kesimpulannya
Beramal dengan hadits hadits di atas lebih utama dari beramal dengan ijthad seseorang ulama, kerana ijtihad seorang ulama itu belum tentu benar atau salahnya. Walaupun hadits hadits dalam bab ini lemah tetapi datang dari banyak jalan periwayatannya, yang tidak dapat tidak apabila ia disatukan akan saling menguatkan antara satu dengan yang lain sehingga menghasilkan kekuatan yang mencukupi untuk menjadi hujah. Demikianlah menurut kaedah ilmu hadits dalam mengatasi masalah yang padanya tiada hadits sahih untuk menjadi alasan tetapi terdapat kumpulan hadits dhaif yang saling menguatkan antara satu dengan lainnya.

Maka kesimpulannya apabila kita telah berijtihad tentang arah qiblat disebabkan mendung, gelap malam atau sebab sebab lainnya yang menghalang kita pada menentukan arah qiblat, solat itu telah memadai dan tidak perlu diulang lagi apabila kita mengetahui arah sebenar qiblat. Iaitu apabila kita sedar yang arah qiblat dari ijtihad itu salah, maka tak perlu diulangi baik masih ada waktu atau sudah diluar waktu. Kerana setiap ibadah yang kita ingin lakukan hendaklah ada contoh dari Rasulullah saw., apabila tiada contoh dari seorang Rasul, yang terbaiknya jangan kita lakukan. Itulah jalan yang selamat dalam melakukan ibadah menurut As Sunnah.

Hadits Ke 226

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله ص: مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ قِبْلَةٌ
Dari Abu Hurairah, ia berkata : Telah bersabda Rasulullah saw.: “Barang yang antara Masyriq (terbit matahari) dan Maghrib (terbenam matahari) itu qiblat.”
Diriwayatkan dia oleh Tirmidzi dan dikuatkan dia oleh Bukhari.

Dalam riwayat lainnya Ibnu Umar berkata : ‘Apabila engkau jadikan pihak Maghrib di sebelah kanan mu dan Masyriq di sebelah kirimu, maka yang engkau hadapi itu qiblat.’
عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص لَمَّا دَخَلَ الْبَيْتَ دَعَا فِي نَوَاحِيْهِ وَلَمْ يُصَلِّ فِيهِ حَتَّى خَرَجَ فَلَمَّا خَرَجَ رَكَعَ رَكْعَتَيْنِ فِي قِبَلِ الْقِبْلَةِ وَقَالَ هَذِهِ الْقِبْلَةُ
Dari Usamah bin Zaid r.a. menerangkan : ‘Bahawasanya Nabi saw. dikala masuk ke dalam Baitullah, Nabi berdoa di sudut sudutnya dan tidak solat. Kemudian beliau ke luar, lalu solat dua rakaat di muka Ka’bah, lalu bersabda : “Inilah Qiblat.”
H.R. Bukhari dan Muslim.

Imam An Nawawi berpendapat dari keterangan keterangan hadits di atas : Wajib atas orang yang berdekatan dengan Ka’bah menghadap terus ke Ka’bah itu. Dalam pada itu tidak di mestikan berhadapan terus bahagian tengahnya, boleh juga pada arah sudut atau seginya. Orang yang bersolat dalam Al Masjidil Haram dengan menghadap ke hijir Ismail, tidak tepat di hadapan jurusan Ka’bah, menurut pendapat yang lebih sahih, tidak sah solatnya.

At Tirmidzi menjelaskan : Kebanyakan Sahabat Nabi saw. berpendapat sebagaimana yang telah di tetapkan oleh Ahmad yakni, qiblat terletak antara Masyriq dan Maghrib. Orang Timur, menghadap ke Barat, orang Barat menghadap ke Timur, orang Utara menghadap ke Selatan dan orang Selatan menghadap ke Utara.. Di antara Sahabat yang berpendapat demikian, Umar, Ali dan Ibnu Abbas.
RUJUKKAN KOLEKSI HADITS HUKUM 2 –T.M. HASBI,m.s.393-394.

Kesimpulannya
Wajib kita solat menghadapi qiblat dan apabila kita menghadapi masalah dalam menentukan arahnya apabila berada jauh dari Ka’bah, maka boleh kita menggunakan panduan yang telah di jelaskan oleh hadits hadits di atas dan berijtihad untuk mengetahui arah Ka’bah dengan melihat arahnya matahari, bulan dan bintang. Yang demikian itu ada petunjuk dari Allah, bahawa bintang bintang itu adalah petunjuk arah. Dan bagi orang zaman ini telah ada penunjuk arah qiblat yang dapat di gunakan dengan senang iaitu kompas qiblat.

Hadits hadits di atas juga menjelaskan wajib orang yang berdekatan Ka’bah menghadap zat Ka’bah (tepat pada Ka’bah) manakala orang yang jauh itu menghadap arahnya bukan pada zat Ka’bah. Hanya orang yang berada dekat Ka’bah sahaja yang mampu menghadap tepat kepada zat Ka’bah. Al Baihaqi meriwayatkan dari Ibnu Abbas, sesungguhnya Rasulullah saw. telah bersabda : “Baitullah adalah qiblatnya orang yang berada di Masjid (Haram), sedang Masjid (Haram) adalah qiblat bagi penduduk Mekah, dan Mekah adalah qiblat bagi penduduk dunia dari umatku di barat dan timur.”
TERJEMAHAN NAILUL AUTHAR 2 – PT BINA ILMU,M.S.480.

Hadits Ke 227

عَنْ عَامِرِ بْنِ رَبِيْعَةَ قَالَ: رَاَيْتُ رَسُولَ الله ص يُصَلِّى عَلَى رَاحِلَتِهِ حَيْثُ تَوَجَّهَتْ بِهِ. متفق عليه.
وزاد البخاري: يُومِئُ بِرَأْسِهِ – وَلَمْ يَكُنْ يَصْنَعُهُ فِي الْمَكْتُوبَةِ
Dari Amr bin Rabi’ah. Ia berkata : ‘Saya lihat Rasulullah saw. solat di atas tunggangan/kenderaannya (menghadap) ke arah yang ia dibawa (tunggangan/kenderaan) itu.’
Muttafaq ‘alaih dan Bukhari tambah : ‘………. Beliau saw mengisyarat dengan kepalanya, dan tidak beliau kerjakan demikian di (solat) yang difardukan.’

Hadits Ke 228

ولأبي داود من حديث أنس: وَكَانَ اِذَا سَافَرَ فَاَرَادَ اَنْ يَتَطَوَّعَ اسْتَقْبَلَ بِنَاقَتِهِ الْقِبْلَةَ فَكَبَّرَ ثُمَّ صَلَّى حَيْثُ كَانَ وَجْهُ رِكَابِهِ
Dan bagi Abu Daud dari hadits Anas : Dan adalah ia (Nabi saw.) apabila dalam safar (perjalanan) dan hendak solat sunnat, beliau menghadap qiblat dengan untanya, lalu beliau bertakbir, kemudian beliau solat (menghadap) ke mana muka kenderaannya/tunggangannya (menghadap). Dan isnadnya hasan (baik).

Kesimpulannya
Hadits no 227 dan no 228 jika tidak dikumpulkan akan membawa faham boleh solat sunnat semasa dalam perjalanan/musafir itu dilakukan di atas kenderaan dengan tidak menghadap qiblat dan boleh juga dengan memulakan solat sunnat itu dengan menghadap qiblat semasa takbir yang awal (Takbiratul ihram) kemudian meneruskan solat walaupun kenderaan itu telah mengarah ke arah lain. Ini adalah pendirian sebahagian ulama.

Manakala sebahagian ulama pula mengambil pendirian dengan menghimpun hadits hadits dalam bab ini yang sebenarnya bukanlah sekadar dua hadits di atas, tetapi ada lagi hadits yang diriwayatkan dari Jabir ibn Abdullah r.a. ia berkata : ‘Adalah Nabi saw. mengerjakan di atas kenderaan segala solat sunnat dengan menghadap ke setiap penjuru, dan beliau merendahkan sujudnya daripada ruku dan mengisyaratkannya.’
H.R. Ahmad.

Terdapat riwayat dari Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar yang hampir semakna dengan hadits Amr’ bin Rabi’ah. Golongan ulama ini menghimpunkan hadits hadits dalam bab ini dan melahirkan hujah : ‘Hendaklah kita menghadap qiblat semasa bertakbir saja, kemudian tidak mengapa jika arah qiblat itu berubah.’

Oleh sebab tidak ditegaskan oleh Rasulullah saw. dalam bab ini dengan satu perintah pun dari perbuatannya itu maka pendirian saya dalam bab ini adalah : menghadap qiblat dalam solat sunnat di atas kenderaan itu adalah hukumnya sunnat sahaja, dan dibolehkan jika tidak menghadap ke arahnya. Sila renungi permasalahan ini dan ambillah pendirian berdasarkan nash, semoga kita beramal dengan ilmu yang jelas dari keterangan hadits bukan bertaklied. Jika hasilnya kita berbeza faham setelah kita kembali kepada dalil yang sah, maka yang demikian itu terserahlah kepada Allah.

Soalan : Apakah boleh kita bersolat fardu di atas kenderaan kerana hujan atau keadaan keadaan lainnya yang sangat sukar untuk kita bersolat berdiri?
Jawab : Dalam sebuah hadits riwayat Ahmad dan Tirmidzi di ceritakan :

عَنْ يَعْلَى بْنِ مُرَّةَ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص اِنْتَهَى اِلَى مُضِيْقٍ هُوَ وَاَصْحَابُهُ وَهُوَ عَلَى رَاحِلَتِهِ وَالسَّمَاءُ مِنْ فَوقِهِمْ وَالْبَلَّةُ مِنْ اَسْفَلَ مِنْهُمْ فَحَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَاَمَرَ الْمُؤَذِّنَ فَاَذَّنَ وَاَقَامَ ثُمَّ تَقَدَّمَ رَسُولُ الله ص عَلَى رَاحِلَتِهِ فَصَلَّى بِهِمْ يُومِئُ اِيْمَاءً يَجْعَلُ السُّجُودَ اَخْفَضَ مِنَ الرُّكُوعِ
Dari Ya’la ibn Murrah r.a. menerangkan : ‘Bahawasanya Nabi saw. sampai ke suatu jalan yang sempit antara bukit bukit, dan hujan turun membasahinya, tanah pun basah, beliau berada di atas kenderaan, dan masuk waktu solat. Dan Nabi saw. menyuruh muazin untuk azan. Maka setelah azan dan iqamat, Rasulullah saw. pun memajukan kenderaannya ke hadapan. (Nabi saw.) solat di ikuti oleh sahabat yang berada di belakangnya. (Nabi saw.) hanya mengisyaratkan saja ruku’ dan sujudnya. Beliau menundukkan badannya untuk sujud lebih rendah dari untuk ruku’nya.’

Hadits ini di katakan dhaif oleh Al Baihaqi tetapi Asy Syaukani menjelaskan hadits ini telah di sahihkan oleh Abdul Haq Al Asybili dalam kitab Al Ahkamnya, dan dipandang hasan oleh An Nawawi.

Ahmad dan Ishaq ibn Rahawaih berpendapat : Boleh solat di atas kenderaan binatang, bila tiada tanah yang kering. At Tirmidzi menjelaskan : Ada diriwayatkan dari Anas ibn Malik bahawa beliau pernah solat di atas kenderaan, kerana hujan dan tanah basah.

Islam itu adalah agama yang membawa kemudahan kepada umat Islam, oleh yang demikian dalam melaksanakan ibadah solat lakukan sekadar yang termampu asalkan jangan di tinggalkan. Banyak hadits yang menjelaskan cara melakukan solat sekadar keupayaan seseorang itu. Solatlah dengan cara kita mampu apabila kita mungkin berada di dalam bas di negeri yang orangnya bukan Islam yang tidak memberi ruang untuk kita berhenti di tempat yang sempurna untuk bersolat fardu. Ataupun kita berada di atas kapal terbang, perahu dan sebagainya. Jika mampu berdiri maka berdirilah, usahakan untuk menghadap jurusan qiblat pada awal solat iaitu sewaktu takbirratul ihram, jika mampu ruku’ dan sujud maka lakukanlah, jika tidak memadai dengan berisyarat sebagaimana hadits di atas. Perkataan sahabat bahawa Rasulullah saw. tidak pernah bersolat fardu di atas kenderaan itu bukan bermaksud Rasulullah saw. tidak pernah melakukannya tetapi itu adalah dari apa yang mereka tahu dan lihat. Iaitu sekadar pengetahuan mereka, tetapi yang nyata di luar pengetahuan mereka ada Rasulullah saw. bersolat fardu di atas kenderaan dan disaksikan oleh sahabat yang lain. Sekian penjelasan dari saya sekadar kemampuan ilmu saya dan sila beri teguran di atas kesilapan atau kekeliruan saya berdasar As Sunnah.

1 comment:

Saidan Effendi said...

Pendapat syan'ani dan syaukani nampak lebih kukuh dimana seseorang yang salah menghadap kiblah tidak perlu mengulang sholatnya. Tetapi alangkah lebih baik jika ditambahkan dengan penjelasan syaikh utahimin bahwa seseorang itu tidak perlu mengulang sholatnya jika dia tinggal di suatu tempat yang tidak ada orang yang boleh dia tanya dengan tepat dan benar dimana arah kiblah kemudian dia sholat menghadap kiblah dengan ijtihadnya. Adapun jika seseorang itu meremeh temehkan tentang pentingnya arah kiblah dan di boleh bertanya keapda sesiapa dipersekitarannya tentang arah kiblah, tetapi ia malas untuk bertanya, maka ia wajib mengulang sholatnya jika ia ketahui arah kiblah yang benar setelah ia melakukan sholat.