01 February 2012

Bahaya Lisan



Bahaya Lisan 
Oleh Ustaz Muhammad Ihsan bin Idris


 Daripada Abdullah bin Amru bin al-Ash daripada Nabi saw beliau bersabda:
   
المسلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ


Orang Muslim itu ialah mereka yang selamat orang Islam lainnya dari (kejahatan) lisan dan tangannya. 
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Kitabul-Iman, Abu Daud dalam Kitabul-Jihad, An-Nasai dalam Kitabul-Iman dan Ahmad dalam Musnadnya. 


 Sepotong hadis yang ringkas tapi amat besar makna dan manfaatnya. Jika sekiranya setiap manusia dapat menjaga lisan dan tangannya, maka pada lazimnya mana mungkin akan berlaku persengketaan dan pertelingkahan sesama umat Islam. Persoalannya di sini, sudahkah kita menjaga lisan dan tangan kita dari menyakiti sesama muslim khususnya dan sesama manusia umumnya? Apakah kita telah bersifat sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah saw? 


 Lidah tidak bertulang, satu anggota yang kecil dan lembut namun sedarkah kita disebabkan lidah, kita boleh masuk syurga, dan disebabkan lidah kita dimasukkan ke neraka. Dengan lisan, kita menuturkan kalimat tauhid atau kalimat kufur. Melalui pengucapan, seseorang wanita itu halal bagi kita, dan dengan pengucapan juga, seseorang wanita itu menjadi haram bagi seseorang lelaki iaitulah apabila seorang suami melafazkan talak pada isterinya. Dengan lisan juga, kita memfitnah, mengeji, menghina orang lain sehingga merosakkan hubungan dan menimbulkan permusuhan sesama manusia. Berfikirlah sebelum menuturkan sesuatu ucapan. Firman Allah: Al-Maidah ayat 2 [5:2] 


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan 


 Lisan adalah alat ekspresi diri, lisan adalah perantara yang meluahkan isi hati dan kemahuan manusia. Maka jika baik jiwa seseorang itu, dia akan berusaha menjaga lidahnya dari melakukan kemungkaran dan kerosakan. Tetapi jika rosak jiwanya, maka lidahnya tidak akan takut untuk melakukan perkara-perkara yang menimbulkan permusuhan dan pecah-belah. Firman Allah: Qaff ayat 16-18 [50:16-18]


وَلَقَدْ خَلَقْنَا الإنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ * إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ * مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ


Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, (yaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri. Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir. 


 Sudahkah kita beriman dengan ayat di atas? Bahawa terdapat 2 malaikat yang sentiasa mencatat tuturkata kita. Dan setiap tuturkata itu akan dipertanggungjawabkan ke atas kita di akhirat nanti. Renungkanlah….berapa kalikah dalam sehari kita mengumpat saudara kita, kita mencari-cari kesalahan dan menyebarkannya, mengadu domba dan melaga-lagakan sesama kita? Kita bersolat, berpuasa, kita tidak berzina, tidak mencuri tapi kita tidak menjaga lisan kita. Orang-orang yang beriman itu saling mengasihi sesama sendiri, bukan saling syak-wasangka, bersangka buruk kepada satu sama lain. Jika benar kita mengakui dan menghargai persaudaraan atas keimanan yang dipersaudarakan Allah ini, lazim segala tindak tanduk kita akan membawa kepada keharmonian dalam perhubungan. Walau di ketika mengajak kepada yang makruf dan mencegah mungkar, kita akan mencari kaedah dan cara terbaik agar tiada yang tersinggung dengan pengucapan dan tutur kata kita. Namun amat sedikit yang memikirkan. Banyak di kalangan muslimin yang hanya baik dan toleransi pada kroni atau perkumpulan masing-masing sedang pada umat Islam lainnya mereka kasar. Firman Allah: Al-Fath ayat 29 [48:29]
  
مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ
Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Firman Allah: Al-Mukminun ayat 1-3 [23:1-3]


قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ * الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ خَاشِعُونَ * وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ

Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyu' dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna 


 Menjauhkan perkara yang sia-sia dan tidak berguna samada dari sudut perbuatan atau perkataan – ini merupakan antara sifat orang beriman. Maka sekiranya yang tidak berguna itu dijauhi, apatah lagi perkara yang membawa kepada kebatilan dan kerosakan. Takutlah akan suatu hari di mana setiap anggota kita akan menyaksikan dan mengakui segala perbuatan kita di dunia. Firman Allah: An-Nuur ayat 24 [24:24]


يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. 


 Lazim kita mendengar sabda Rasulullah saw sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari dalam Kitabul-Adab, Muslim dalam Kitabul-Iman dan Ahmad dalam Musnadnya: 


مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَومِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam 


 Hindari sikap mengumpat, memfitnah, merendahkan orang lain – orang-orang yang beriman itu bersaudara. Firman Allah: Al-Hujuraat ayat 10-11 [49:10-11]  
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ * يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَى أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim


 Mengapa kita mudah memperkecilkan, meremehkan dan merendahkan orang lain? 


 Lazimnya kerana kita merasakan diri kita yang lebih baik dari mereka. Kita merasakan kita lebih tinggi darjat atau taraf berbanding mereka, kita merasakan kita lebih pandai, kita lebih mulia dan sebagainya…lalu samada kita sedar atau tidak, kita telah bersifat dengan satu sifat yang dicela oleh Allah iaitu sifat takbur – menolak kebenaran dan menghinakan manusia. Kita mengikut jejak iblis yang merasakan dirinya lebih mulia daripada Adam. Telah bersabda Rasulullah saw: 
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِيْ قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ فَقَالَ رَجُلٌ: اِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ اَنْ يَكُوْنَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ اِنَّ اللهَ جَمِيْلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
Tidak akan masuk syurga siapa yang di hatinya terdapat (walau) seberat zarah dari sifat takabur. Maka berkata seorang lelaki: Ya Rasulullah, sesungguhnya seorang itu suka pakaiannya dari yang baik dan kasutnya dari yang baik. Bersabda Rasulullah saw: Sesungguhnya Allah itu cantik dan Allah suka pada kecantikan. Takabur itu ialah menolak kebenaran dan menghinakan manusia. 
Hadits shahih riwayat Muslim dan Tirmizi 


 Sabda Rasulullah saw.: Allah berfirman: 
العِزُّ إِزَارِي وَ الكِبْرِيَاء رِدَائِى فَمَنْ يُنَازِعُنِي عَذَّبْتُهُ.
 Keperkasaan adalah sarung-Ku (Allah) dan kesombongan merupakan selendang-Ku. Barangsiapa merebutnya dari-Ku, maka Aku akan menyiksanya. 
 Riwayat Muslim 


 Sikap sombong, angkuh, meninggi diri adalah sifat yang hanya layak bagi Allah, tidak bagi makhluk. Maka apabila makhluk bersikap sombong, sama ada dari segi pakaiannya, penampilannya, pertuturannya atau apa jua perkara yang dilakukan – jika disertai kesombongan, maka ia telah menempah jalan kecelakaan baginya. 


Firman Allah: Al-Hujuraat ayat 12 [49:12] 
قَالَ اللهُ تَعَالَى: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ
 Firman Allah: Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan syakwasangka (kecurigaan), karena sebagian dari syakwasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang 


 Sikap bersyakwasangka/bersangka buruk sesama muslim lazimnya timbul apabila kita masing-masing tiada kepercayaan antara satu sama lain, boleh juga berlaku apabila seseorang itu tidak mengenali atau memahami dengan mendalam seseorang lainnya. Adalah amat penting kita sentiasa berkomunikasi dengan baik, saling bertolak-ansur agar segala prasangka buruk dapat dielakkan. Sewajarnya sebagai seorang Islam, hendaklah kita mendahulukan sangkaan baik kepada saudara kita. Elakkan menyebarluaskan sesuatu yang kita sendiri tidak pasti keshahihannya. 


 Adapun sikap saling mencari kesalahan orang lain, suka menyebarkan keburukan orang lain maka ini adalah lazimnya disebabkan hasad dengki, iri hati sesama kita. Atas perkara ini, Rasulullah pernah bertanya kepada para sahabat: 
أَتَدْرُوْنَ مَا الْغِيْبَةُ؟ قالوا: الله ورسوله أعلَمُ. قال : ذِكرِكَ أخاكَ بِمَا يَكْرَهُ. قيلَ: أرَأيْتَ اِنْ كانَ فِى اَخِي ما أقُول؟ قَال : اِنْ كانَ فِيهِ ما تَقُولُ فَقَدِ اغْتَبْتَهُ وَاِنْ لَمْ يَكُنْ فِيْهِ ما تقول فَقَدْ بَهَتَّهُ
Tahukah kalian apakah ghibah? Para sahabat menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih tahu. Sabda Rasulullah: Iaitu kamu menyebut sesuatu yang tidak menyenangkan saudaramu. Bertanya seorang sahabat: Bagaiamana jika yang disebut itu benar? Rasulullah menjawab: Jika yang disebut itu benar maka engkau telah mengumpatnya dan jika ia tidak benar maka engkau telah berbuat palsu. 
 Muslim 


 Sekiranya apa yang diumpatkan itu benar maka itu adalah terang-terang satu perbuatan ghibah. Dan sekiranya apa yang dicanangkan itu tidak benar maka perbuatan tersebut adalah satu kepalsuan. Satu kecaman daripada Rasulullah dari hadis At-Thabranie:  
مَنْ ذَكَرَ اِمْرَأً بِشَىءٍ لَيْسَ فِيْهِ لِيُعِيْبَهُ بِهِ حَبِسَهُ الله فِى نارِ جَهَنَّمَ حَتَّى يَأْتِى بِنَفَاذِ ما قال فِيهِ
Barangsiapa menyebut-nyebut sesuatu yang tidak ada kebenarannya sama sekali dengan maksud mengaibkan seseorang itu, Allah akan menahannya terus di dalam neraka jahannam hingga orang itu dapat membuktikan apa yang telah dikatakannya. 


Dalam riwayat Bukhari, 
Rasulullah bersabda:

لا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ. وَفى رِوَايَةٍ قَتَّاتٌ

Tidak masuk syurga orang yang mengumpat (nammam). Dalam riwayat hadis lain disebut qattat. 


Renungkanlah sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hambal: 
وَرَدَ عَنِ النَّبِي صلى الله عليه وسلم اَنَّ رَجُلاً قال له : يا رسول الله اِنَّ فُلانَةَ تُذْكَرُ مِنْ كَثْرَةِ صَلاَتِها وَصِيامِها وَصَدَقَتِها غَيْرَ اَنَّها تُؤْذِيْ جِيْرَانَها. فَقَالَ: "هِيَ فِى النَّار". ثُمَّ قَال: يا رسول الله فُلانَةُ تُذْكَرُ مِنْ قِلَّةِ صَلاَتِها وَصِيامِها وَاِنَّها تَتَصَدَّقُ بِالأثْوَارِ مِنَ الأقِطِّ بِالْقِطَعِ مِنَ الْجُبْنِ وَلا تُؤْذِي جِيْرَانَها. قال: "هِيَ فِى الْجَنَّة"
Bahawa seorang lelaki berkata kepadanya: Wahai Rasulullah, si Fulanah terkenal banyak melakukan solat, puasa dan sedekah tetapi sering menyakiti jirannya dengan lidah. Rasulullah bersabda: Dia masuk neraka. Berkata lagi lelaki tersebut: Ya Rasulullah si Fulanah terkenal dengan sedikit sembahyang, sedikit berpuasa dan dia bersedekah beberapa potong keju dan tidak mengganggu jirannya. Rasulullah bersabda: Dia masuk syurga. 


 Pernah pada suatu hari Rasulullah s.a.w bertanya kepada para sahabat:                                                                     
اَتَدْرُوْنَ مِنَ الْمُفْلِسِ؟ قَالُوا : المُفْلِسُ فِيْنَا مَنْ لا دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ. فَقَالَ : المُفْلِسُ مِنْ اُمَّتِيْ مَنْ يَأْتِى يَومَ القِيَامَةِ بِصَلاَةٍ وَزَكاةٍ وَصِيَامٍ وَيَأْتِى وَقَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَاِنْ فَنِيَتْ قَبْلَ اَنْ يَقْضِىَ ما عَلَيهِ أَخَذَ مِنْ خَطَايَاهُم فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّار
Tahukah kamu sekalian siapakah orang yang muflis? Mereka menjawab: Yang muflis dikalangan kita adalah yang tidak mempunyai wang dan barang. Rasulullah bersabda: Orang yang muflis dikalangan umatku ialah orang yang pada hari kiamat datang dengan solat, zakat dan puasa tetapi ia juga datang setelah memaki si fulan, menuduh si fulan, makan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Kemudian amal kebajikannya diberikan kepada si fulan dan si fulan sehingga semuanya habis sebelum kejahatannya lunas dibayar. Dosa kesalahan yang ada pada orang-orang itu kemudiannya diambil dan dicampakkan ke atasnya dan kemudian dicampakkan ia ke neraka. 
 Muslim

No comments: