28 February 2012

Perkukuh Majlis Agama Islam

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah bertitah agar Majlis-majlis Agama Islam memperkukuhkan keupayaan, ini merupakan satu saranan yang amat penting dalam menghadapi aneka masalah yang meruncing kebelakangan ini. Berita yang dimaksudkan boleh dibaca seperti petikan dibawah atau rujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_04.htm
TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bersalaman dengan peserta Konvensyen Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan sambil diperhatikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) di Dewan 2020, Kangar, Perlis,

KANGAR 28 Feb. – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyarankan agar Majlis Agama Islam di seluruh negara mengkaji inisiatif baharu bagi memperkukuh keupayaannya, terutama dalam sektor ekonomi dan pendidikan.

Menurut baginda, bagi mencapai hasrat itu Majlis-majlis Agama Islam perlu menganalisis isu dalam bidang ekonomi dan pendidikan mengikut perkembangan semasa.

Bertitah merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan 2012 di sini semalam, baginda berharap Majlis-majlis Agama juga sentiasa merebut peluang dalam pelbagai bidang yang ada.

“Kedudukan Majlis-majlis Agama Islam di bawah naungan Raja-raja adalah jaminan bahawa dasar-dasar yang dirangka lahir daripada institusi yang dihormati rakyat,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin juga mahu Majlis-majlis Agama Islam mencari kecemerlangan dalam semua usahanya selain memerlukan iltizam bersama bagi memantapkan perpaduan umat Islam.

Konvensyen dua hari itu anjuran bersama Kerajaan Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu disertai oleh lebih 300 peserta.

Ia merupakan susulan dari Kongres Majlis Agama Islam Negeri seluruh Malaysia yang kali pertama berlangsung di Kuala Lumpur pada September tahun lalu dengan disertai oleh 1,351 perwakilan.

Dua kertas kerja dibentangkan semalam yang bertajuk Transformasi Pendidikan Teknikal di Malaysia: Pengalaman Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang disampaikan oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Turut dibentangkan ialah kertas kerja bertajuk Majlis Agama Islam Negeri Pemacu Pendidikan Ummah yang disampaikan bersama oleh Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Prof. Datuk Dr. Ismail Ibrahim dan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya.

Dua lagi kertas kerja dibentangkan hari ini ialah Transformasi Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan oleh Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Prof. Dr. Mohd. Yusof Othman dan Penyeragaman Pendidikan Islam: Realtiti dan Cabaran oleh bekas Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Wan Abdul Aziz.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs turut berangkat.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. – BERNAMA

No comments: