BULUGHUL MARAM
Teks sebelum ini:
1. Aurat wanita
2. Aurat
Kita sambung bab aurat lelaki di dalam solat, dalam hadits dari Abu Musa Al- Asy’ari menerangkan :
Kita sambung bab aurat lelaki di dalam solat, dalam hadits dari Abu Musa Al- Asy’ari menerangkan :
عَنْ أَبِيْ مُوسَى الأَشْعَرِيِّ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص كَانَ قَاعِدًا فِي مَكَانٍ فِيْهِ مَاءٌ فَكَشَفَ عَنْ رُكْبَتَيْهِ اَوْ رُكْبَتِهِ فَلَمَّا دَخَلَ عُثْمَانُ غَطَّاهَا
Dari Abu Musa Al Asy’ari r.a. menerangkan : ‘Bahawasanya Nabi saw. pada suatu hari duduk di suatu tempat yang berair, lalu Nabi saw. membuka kedua lulutnya, atau sebelah lututnya. Maka manakala Usman masuk (datang), Nabi saw. menutupkan lututnya.’ H.R. Bukhari.
Hadits ini menjelaskan lutut itu bukan aurat boleh saja terbuka atau menutupinya. Dalam hadits lainnya di jelaskan :
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: صَلَّيْنَا مَعَ رَسُولِ الله ص الْمَغْرِبَ فَرَجَعَ مَنْ رَجَعَ وَعَقَّبَ مَنْ عَقَّبَ فَجَاءَ رَسُولُ الله ص مُسْرِعًا قَدْ حَفَزَهُ النَّفْسُ قَدْ حَسَرَ عَنْ رُكْبَتَيْهِ فَقَالَ أَبْشِرُوا هَذَا رَبُّكُمْ قَدْ فَتَحَ بَابًا مِنْ اَبْوَابِ السَّمَاءِ يُبَاهِى بِكُمْ يَقُولُ اُنْظُرُوا اِلَى عِبَادِى قَدْ صَلُّوا فَرِيْضَةً وَهُمْ يَنْتَظِرُونَ أُخْرَى
Dari Abdullah ibn Umar r.a. berkata : ‘Kami solat Maghrib beserta Rasulullah saw. Maka selesai solat sebahagian orang orang ada yang pulang ke rumah masing masing dan sebahagian di masjid. Sejurus kemudian datanglah Nabi saw. dengan bergegas gegas dan tersentak sentak nafasnya serta terbuka dua lututnya lalu bersabda : “Bergembiralah kamu, Tuhanmu telah membuka suatu pintu langit dan Dia bermegah dengan kamu ini, sambil berfirman kepada para Malaikat-Nya : “Lihatlah kepada hamba hamba- Ku, mereka telah melaksanakan solat fardu dan mereka tetap duduk menanti solat yang lain (Isya’)”. H.R. Ibnu Majah.Hadits seterusnya :
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ: كُنْتُ جَالِسًا عِنْدَ النَّبِيِّ ص اِذْ اَقْبَلَ اَبُو بَكْرٍ آخِذٌ بِطَرَفِ ثَوْبِهِ حَتَّى اَبْدَى عَنْ رُكْبَتِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ ص أَمَّا صَاحِبُكُمْ فَقَدْ غَامَرَ فَسَلَّمَ وَقَالَ يَا رَسُولَ الله اِنَّهُ كَانَ بَيْنِيْ وَبَيْنَ ابْنِ الْخَطَّابِ شَيْءٌ فَاَسْرَعْتُ اِلَيْهِ ثُمَّ نَدِمْتُ ......
Dari Abu Darda r.a. berkata : ‘Aku duduk beserta Rasulullah saw. tiba tiba datanglah Abu Bakar dengan memegang hujung kainnya, hingga kelihatan dua lututnya. Di kala itu Nabi saw. berkata : “Temanmu ini telah mengerjakan suatu hal yang memayahkan”. Setelah Abu Bakar memberi salam beliau berkata : Ya Rasulullah telah terjadi sedikit persengketaan antaraku dengan Ibnu Khaththab. Aku telah tergesa gesa memarahinya. Setelah itu aku merasa menyesal……sehingga selesai hadits’ H.R. Al Bukhari.Hadits seterusnya :
عَنْ عُمَيْرَ بْنِ اِسْحَاقَ قَالَ: كُنْتُ مَعَ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ فَلَقِيَنَا اَبُو هُرَيْرَةَ فَقَالَ: اَرِنِي اُقَبِّلُ مِنْكَ حَيْثُ رَاَيْتُ رَسُولَ الله ص يُقَبِّلُ فَقَالَ بِقَمِيْصِهِ فَقَبَّلَ سُرَّتَهُ
Dari Umair ibn Ishaq r.a. berkata : ‘Aku duduk beserta Al-Hasan ibn Ali dan datanglah Abu Hurairah berkata kepada Al Hasan : Perlihatkanlah kepadaku tempat yang biasa aku lihat Rasulullah mencium tuan di tempat itu, aku ingin menciumnya. Maka Al Hasan membuka baju kurung panjangnya, lalu Abu Hurairah mencium pusatnya.’ H.R. Ahmad.Hadits riwayat Ahmad dalam Musnadnya. Pada sanadnya ada kecacatan kerana terdapat seorang perawi yang dicacatkan oleh sebahagian ahli hadits. Namun terdapat riwayat dari Al Hakim dari jalan sanad yang lain dan disahkan sahih olehnya.
Hadits ini menjelaskan bahawa pusat bukan aurat. Untuk menjelaskan bab ini kita merujuk pendapat para ulama Islam dalam bab aurat lelaki.
1. Imam Asy Syafei berpendapat, bahawa lutut itu bukan aurat tetapi pusat itu aurat.
2. Abu Hanifah dan menurut suatu pendapat dari Syafei (imam Syafei ada dua pendapat), lutut itu aurat.
3. Atha dan Abu Hanifah berpendapat, bahawa pusat itu bukan aurat.
4. Berkata Al Maqdisi : ‘Menurut lahir mazhab Ahmad, bahawa aurat itu antara pusat dan lutut.’
Imam An Nawawi menjelaskan perselisihan ulama mengenai aurat lelaki ini terpecah kepada lima bahagian :
1. Aurat lelaki di antara pusat dan lutut. Pusat dan lutut itu bukannya aurat. Telah di jelaskan oleh Abu Hamid : ‘Asy Syafie menjelaskan dalam Al Umm dan Al-Imla, bahawa aurat lelaki merdeka dan budak lelaki (sahaya) ialah antara pusat dan lutut.
2. Lutut dan pusat, adalah aurat.
3. Pusat aurat, lutut tidak.
4. Lutut aurat, pusat tidak.
5. Aurat hanyalah qubul dan dubur saja.
1. Aurat lelaki di antara pusat dan lutut. Pusat dan lutut itu bukannya aurat. Telah di jelaskan oleh Abu Hamid : ‘Asy Syafie menjelaskan dalam Al Umm dan Al-Imla, bahawa aurat lelaki merdeka dan budak lelaki (sahaya) ialah antara pusat dan lutut.
2. Lutut dan pusat, adalah aurat.
3. Pusat aurat, lutut tidak.
4. Lutut aurat, pusat tidak.
5. Aurat hanyalah qubul dan dubur saja.
Golongan ulama yang berpendapat bahawa lutut termasuk aurat berhujah hadits Abu Aiyyub yang diriwayatkan oleh Daraquthni dan Al Baihaqi : ‘Aurat lelaki antara pusatnya hingga lututnya (dari bawah pusat sampai menutupi lutut).’ Tetapi hadits ini dijelaskan oleh ulama ahli hadits sebagai matruk (hadis yang di sanadnya ada seorang yang tertuduh sebagai pendusta).
Golongan yang menyatakan pendapat, bahawa pusat dan lutut bukan aurat, beralasankan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ad Daraqutni : ‘Apabila seseorang kamu mengahwinkan budaknya (sahaya) yang lelaki dengan budaknya yang perempuan, atau orang upahannya, maka janganlah ia melihat lagi kepada bahagian badan di bawah pusat di atas lutut. Hadits yang telah kita bincangkan di atas juga menyokong hujah golongan ini.
Kesimpulannya
Hadits atau keterangan dalam bab aurat lelaki yang kuat adalah aurat lelaki itu di antara pusat dan lutut bukan dari pusat hingga lutut, kerana kita tidak mengambil kira hadits yang matruk sebagai hujah, yang selamat adalah kita beramal dengan hadits yang sahih.
Soalan : Apakah paha orang lelaki itu aurat ?
Jawapan : Terdapat banyak hadits dalam bab ini yang menjelaskan tentang Rasulullah saw. ada membuka pahanya dan dapat dilihat oleh orang lain, di antara hadits itu adalah :
عَنْ عَائِشَةَ اَنَّ رَسُولَ الله ص كَانَ جَالِسًا كَاشِفًا عَنْ فَخِذِهِ فَاسْتَأْذَنَ اَبُو بَكْرٍ فَاَذِنَ لَهُ – وَهُوَ عَلَى حَالِهِ – ثُمَّ اسْتَأْذَنَ عُمَرُ فَأَذِنَ لَهُ – وَهُوَ عَلَى حَالِهِ – ثُمَّ اسْتَأْذَنَ عُثْمَانُ فَاَرْخَى عَلَيْهِ ثِيَابَهُ. فَلَمَّا قَامُوا قُلْتُ يَا رَسُولَ الله اِسْتَأْذَنَ اَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ فَاَذِنْتَ لَهُمَا وَاَنْتَ عَلَى حَالِكَ فَلَمَّا اسْتَأْذَنَ عُثْمَانُ ارْخَيْتَ عَلَيْكَ ثِيَابَكَ. فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَلاَ أَسْتَحْيِي مِنْ رَجُلٍ وَاللهِ اِنَّ الْمَلاَئِكَةَ لَتَسْتَحْيِيْ مِنْهُ
Dari Aisyah, bahawa Rasulullah saw. pernah duduk dalam keadaan terbuka pahanya. Kemudian Abu Bakar meminta izin (berjumpa dengannya), lalu Nabi mengizinkannnya sedang ia tetap dalam keadaan (seperti) itu. Kemudian Umar minta izin, lalu Nabi mengizinkannya, dan ia tetap dalam keadaannya itu. Kemudian Osman meminta izin (bertemu dengannya), lalu Nabi menurunkan pakaiannya itu. Maka apabila mereka telah pergi, aku bertanya : Ya Rasulullah, Abu Bakar dan Umar meminta izin (bertemu), lalu keduanya engkau izinkan, sedang engkau tetap dalam keadaanmu, tetapi apabila Osman meminta izin lalu engkau turunkan pakaianmu. Kemudian Nabi menjawab : “Ya Aisyah ! apakah aku tidak malu kepada seorang lelaki (Osman) yang demi Allah, sesungguhnya Malaikat malu kepadanya.” H.R. Ahmad.
وَرَوَى أَحْمَدُ هَذِهِ الْقِصَّةَ مِنْ حَدِيْثِ حَفْصَةَ بِنَحْوِ ذَلِكَ وَلَفْظُهُ: دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ الله ص ذَاتَ يَومٍ فَوَضَعَ ثَوبَهُ بَيْنَ فَخِذَيْهِ. وَفِيْهِ: فَلَمَّا اسْتَأْذَنَ عُثْمَانُ تَجَلَّلَ بِثَوبِهِ
Dan Ahmad meriwayatkan kisah ini dari jalan Hafsah, seperti itu, dan lafaznya sbb. : ‘Pada suatu hari Rasulullah saw. masuk ke (rumah) ku, lalu ia letakkan pakaiannya di antara kedua pahanya.’ Dalam hadits tersebut disebutnya : ‘Maka dikala Osman minta izin (bertemu), lalu Nabi melabuhkan pakaiannya itu.’
وَعَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ ص يَومَ خَيْبَرَ حَسَرَ الاِزَارَ عَنْ فَخِذِهِ حَتَّى أَنِّيْ لأَنْظُرُ اِلَى بَيَاضِ فَخِذِهِ. رواه أحمد والبخاري وقال: حَدِيْثُ أَنَسٍ أَسْنَدُ وَحَدِيْثُ جَرْهَدٍ أَحْوَطُ
Dan dari Anas, ‘bahawasanya Nabi saw. pada hari peperangan Khaibar, mengangkat kain dari pahanya, sehingga sungguh aku melihat pahanya yang putih itu.’ H.R. Ahmad dan Bukhari. Dan Bukhari berkata : Hadits Anas lebih musnad dan lebih kuat. Nailul authar 1 m.s.365.Kesemua hadits di atas menghujahkan bahawa Rasulullah saw. ada menampakkan bahagian pahanya kepada sahabat dan ada masanya beliau menutup kerana malu. Tidaklah Rasulullah saw. berkata ia menutup pahanya apabila berjumpa Osman itu kerana haram atau berdosa sebagaimana hadits yang diceritakan oleh Aisyah r.a. Namun begitu terdapat hadits yang di katakan hasan yang menjelaskan paha itu aurat :
وَعَنْ جَرْهَدٍ الأَسْلَمِيِّ قَالَ: مَرَّ رَسُولُ الله ص – وَعَلَيَّ بُرْدَةٌ وَقَدْ اِنْكَشَفَتْ فَخِذِيْ – فَقَالَ: غَطِّ فَخِذَكَ فَاِنَّ الْفَخِذَ عَوْرَةٌ
Dan dari Jarhad Al Aslamie, ia berkata : Rasulullah saw. datang, ketika itu aku memakai burdah (selendang) dan terbukalah pahaku, lalu Rasulullah saw. bersabda : “Tutuplah pahamu kerana sesungguhnya paha itu aurat.” H.R. Malik dalam Muwaththa’, Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi. Dan berkata Tirmidzi : Hadits ini hasan.Alauddin At Turkumani menjelaskan : Hadits ini bukan hasan. Di dalamnya terdapat tiga rupa kecacatan, bahkan terdapat di dalamnya kecelaruan, atau kekacauan.Hal ini telah di tegaskan oleh Ibnu Qaththan. Kata Al Haitami dalam Majma’uz Zawaid : dalam hadits Jarhad ini terdapat seorang yang daif, iaitu Abdur Rahman ibn Abuz Zinad.
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: الْفَخِذُ عَوْرَةٌ
Dari Ibnu Abbas r.a. berkata : Nabi saw. bersabda : “Paha itu, aurat.” H.R. Ahmad dan At Tirmidzi.Hadits ini menurut Tirmidzi darjatnya hasan gharib, Al Baihaqi menyatakan sahih, Alauddin At Tirmidzi menjelaskan : dalam hadits ini terdapat orang yang bernama Abu Yahya A Qattat, seorang yang banyak meriwayatkan hadits lemah. Yahya Ibnu Main menyatakan dalam sanad hadits ini ada kelemahan, Bukhari, menurut riwayat Ad Daraquthni dan Ibnu Daqiqil-Id juga melemahkan hadits ini.
Hadits lainnya adalah :
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ جَحْشٍ قَالَ: مَرَّ رَسُولُ الله ص عَلَى مَعْمَرَ وَفَخِذَاهُ مَكْشُوفَتَانِ فَقَالَ يَا مَعْمَرُ غَطِّ فَخِذَيْكَ فَاِنَّ الْفَخِذَيْنِ عَوْرَةٌ
Dari Muhammad ibn Jahsy r.a. berkata : “Pada suatu hari Rasulullah saw. berlalu di hadapan seorang sahabat bernama Ma’mar. Di kala itu kedua belah paha Ma’mar terbuka. Nabi saw. berkata : “Wahai Ma’mar, tutuplah kedua pahamu kerana dua paha itu aurat.”
H.R. Ahmad dan Bukhari.
Diriwayatkan oleh Bukhari dalam Tarikhnya. Dalam sanad hadits ini ada orang yang di cacatkan oleh ulama ahli hadits, demikian penjelasan dari Ibnu Hajar dalam Fathul Bari. Alauddin At Turkumani menjelaskan : dalam sanad hadits ini terdapat dua illat (penyakit).
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِيْ طَالِبٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله ص: لاَ تُبْرِزْ فَخِذَكَ وَلاَ تَنْظُرْ اِلَى فَخِذِ حَيٍّ وَلاَ مَيِّتٍ
Dari Ali bin Abi Thalib r.a. berkata : Nabi saw. bersabda : “Janganlah kamu memperlihatkan pahamu dan janganlah kamu melihat kepada paha orang yang masih hidup dan jangan pula kepada paha orang yang telah mati.” H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah.Abu Daud sendiri melemahkan hadits ini beliau menjelaskan : Dalam sanad hadits ini, ada orang yang diingkari riwayatnya.
Tetapi hadits tentang Rasulullah saw. membuka paha itu sahih malah di akui oleh oleh Bukhari sebagai yang kuat dalam bab ini, selain itu banyak hadits yang menjelaskan Rasulullah saw. membuka pahanya. Oleh yang demikian apabila terbuka lutut itu tak dapat tidak lazimnya akan juga ternampak bahagian paha sedikit sebanyak, maka pendapat yang menyatakan aurat lelaki di antara pusat dan lutut itu nyata lebih kukuh. Iaitu boleh nampak sebahagian paha berhampiran lutut kerana ianya adalah di antara pusat dan lutut, bukannya dari pusat hingga lutut.
Dan jika berasa malu telah ada sunnah dari Rasulullah saw. tutuplah bahagian paha itu dan malu itu bukan bermakna haram atau aurat.
Setelah kita membincangkan dengan panjang lebar tentang bab aurat wanita dan aurat lelaki selama beberapa siri lamanya, kita telah pun membuat kesimpulan bahawa aurat wanita adalah seluruh badannya kecuali muka dan dua pergelangan tangannya baik di dalam solat mahupun di luar solat. Pada hari ini kita akan membuat kesimpulan pula tentang aurat lelaki di luar solat dan di dalamnya. Setelah kita meneliti hadits hadits di atas bahawasanya aurat lelaki di luar solat adalah di antara pusat dan lutut dan di bolehkan nampak bahagian paha berhampiran lutut dengan sunnah yang kuat dari Rasulullah saw. Manakala apabila bersolat, di sunnahkan ia menutup badannya dengan sebaik. Dan bagi badannya yang atas pula sekurang kurang ia menutup kedua kepala bahu. Serta digalakkan kita mempersiapkan diri dengan sebaik mungkin apabila kita bersolat. Sekian dari saya dalam menyudahi tajuk aurat lelaki dan wanita, serta saya harapkan teguran berdasarkan Al Quran dan Sunnah Rasulullah saw. apabila saya keliru atau tersilap dalam penyampaian saya.
No comments:
Post a Comment