10 October 2011

Dr Ismail Lutfi “Haji Eae” : Permata Ilmu Pattani Darus Salam


Oleh : Ibnu Ahmadain al-Barlisi

Berita Tun Mahathir Mohamad dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat (Pentadbiran Awam) bukanlah luar biasa memandangkan sudah lazim universiti-universiti seluruh dunia memberikan penghormatan kepada negarawan seperti beliau. Namun begitu, yang menarik adalah pemberi anugerah itu adalah Universiti Islam Yala di mana Rektornya adalah Syeikh Dr. Ismail Lutfi Bin Abdul Rahman Japakiya.

 Keterangan: Dr. Ismail Lutfi memakaikan “mishlah” kepada YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS sempena penganugerahan ‘TOKOH ALIM RABBANI’ oleh Universiti Islam Yala pada 15 April 2011

PENDIDIKANNYA

Anak jati Pattani Darus Salam, beliau merupakan perintis warga Pattani yang dianugerahkan PhD daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Sa’ud di Riyadh, Arab Saudi. Dengan tesis bidang Politik Islam berjudul Ikhtilaf al-Darayn wa Atharuhu fi Ahkam al-Munakahat wa al-Muamalah (Kesan Dua Negeri “Darul Islam” dan “Darul Harb” Pada Munakahat dan Muamalah Islam), karya beliau ini diterbitkan Darus Salam, Qahirah serta dibaca di seluruh dunia.


Sebelumnya beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda (B.A) Usuluddin di Universiti Islam Madinah dan seterusnya Ijazah Sarjana (M.A) Fiqh Perbandingan juga di Universiti Imam Muhammad Ibn Sa’ud. Sememangnya ilmu menjadi keutamaan beliau memandangkan beliau telah diasuh sejak kecil lagi oleh ayahandanya Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Haji Abdul Latif, seorang ulama tempatan.

MAJLISUL ‘ILMI PATTANI : BERDAKWAH DENGAN MADRASAH DAN HALAQAH

Dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai “Haji Eae” atau “Baba Eae” iaitu kependekan kepada Ismail (Isma-e), Dr. Ismail Lutfi memiliki aset dakwahnya yang tersendiri. Mengulas “aura” beliau, Alexander Horstmann seorang orientalis Jerman yang mengkaji Islam di Selatan Thailand menulis:
“Lutfi’s personal charisma has ensured that, notwithstanding continuing traditionalist opposition to some of his views, he has emerged as one of the most popular religious scholars in Thailand. His fluency in Arabic allows him to demonstrate a deep knowledge of scripture that few in Thailand’s Islamic intelligentsia can match. He is also seen as a scholar who has the ability to simplify complex concepts of Islamic thought. His charisma and communicative skills have only added to concerns among traditionalist scholars that his brand of Islam will appeal to the younger generation”
[Karisma peribadi Dr. Ismail Lutfi memastikan, dalam menangani penentangan berterusan para tradisionalis terhadap sesetengah pandangannya, beliau muncul sebagai seorang yang daripada ulama paling popular seluruh Thailand. Kefasihannya berbahasa Arab membolehkan beliau mempamerkan pengetahuan al-Qur’an dan al-Sunnah yang mendalam, di mana tidak ramai cerdik pandai Thailand mampu menandinginya. Dr. Ismail Lutfi turut dilihat sebagai sarjana yang mampu mempermudahkan penjelasan konsep-konsep kompleks dalam pemikiran Islam. Karisma dan kemahiran berkomunikasi beliau hanya menambahkan kerisauan golongan tradisionalis bahawa “Islam” yang beliau ajarkan berupaya menambat hati anak-anak muda].





Hal yang disebut di atas semestinya tidak datang dengan magis atau kebetulan semata-mata. Bahkan sepulangnya dari perantauan, Dr. Ismail Lutfi berusaha siang dan malam mengasaskan kompleks pendidikan Madrasah al-Rahmaniah atau Sekolah Bambrung Islam Wittaya. Sekolah ini beliau jadikan wadah mendidik anak bangsanya dengan Pendidikan Islam menerusi sistem Nizami yakni persekolahan aliran agama yang formal. Tidak cukup dengan itu, beliau turut memberikan galakan kepada sahabat-sahabat seperjuangan untuk mendirikan sekolah-sekolah swasta aliran agama di seluruh bumi Thailand.

Adapun untuk sistem ‘Umumi atau halaqah ilmu, digerakkan pula Majlisul ‘Ilmi Fatani berpusat di kampungnya Beraol, daerah Pujud, Pattani. Sebagai platform untuk mendidik masyarakat, dengan ilmu-ilmu aqidah, syariah dan akhlak berpandukan manhaj Salaf al-Salih, Majlisul ‘Ilmi Fatani menganjurkan pelbagai program Pengajian Islam untuk orang ramai. Antara lain adalah kuliah mingguan pada pagi sabtu dengan dibimbing oleh beliau sendiri di Masjid ‘Ibadur Rahman yang tersergam indah berkubah biru. Saban minggu lebih 1000 penuntut ilmu dari jauh dan dekat, termasuk dari Malaysia, dengan setia memenuhi kuliah beliau. Ada kalanya jumlah ini boleh mencecah 5000 orang.


Dengan wawasan dan perancangan strategik, teknologi media dimanfaatkan oleh beliau sejak sekian lama. Justeru itu ratusan jam siri kuliah beliau telah dirakam dalam bentuk kaset dan seterusnya cakera padat (cd) untuk rujukan orang ramai.



PENGARANG KARYA ISLAMI KONTEMPORARI DARI THAILAND

Merupakan seorang pengarang yang prolifik, Dr. Ismail Lutfi konsisten menulis pelbagai bahan Pengajian Islam dalam bahasa Melayu untuk memperkayakan kepustakaan bahasa Melayu di Thailand. Seterusnya ada penulisan tersebut diterjemahkan ke bahasa Thai oleh anak-anak buahnya. Sebahagian penulisan beliau yang telah diterbitkan dan ada dalam simpanan penulis adalah:

1. “Tafsir Zikril Hakim” atau dikenali juga “Tafsir Al-Bayan Mengenai Makna Al-Qur’an”
Bertekad untuk mengukuhkan kefahaman dan penghayatan al-Qur’an dalam kalangan umat Islam negerinya, Dr. Ismail Lutfi memulakan projek raksasa mengarang tafsir al-Qur’an dalam bahasa Melayu bagi seluruh 30 juzuk al-Qur’an sejak tahun 1979 lagi. Kini lebih 40 surah sudah dapat disiapkan di mana ia turut dikuliahkan dalam Majlisul ‘Ilmi Fatani

(Tafsir al-Bayan)

2. “Penerangan Yang Manfaat Mengenai Dua Azan Dan Sunat Qabliyah Jumaat”
3. “Islam Agama Penjana Kedamaian Sejagat”
4. “Hayat al-Tayyibah: Dari Kalimah Tayyibah Sehingga Maskan Tayyibah” atau Kehidupan Yang Baik: Dari Kalimah Yang Baik (La Ilaha Illallah) Sehingga Tempat Kediaman Di Akhirat Yang Baik
5. “Adab al-Salihin”

6. “Pedoman I’tikaf” yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan
7. “Risalah Qiyamullail”
8. Dan sebagainya

PERINTIS DIALOG ANTARA AGAMA DI THAILAND

Bermula pada Mei 2009 dan malah lebih awal dari itu, Dr. Ismail Lutfi turut aktif mempromosikan dialog antara agama khasnya di Selatan Thailand. Di antara wakil-wakil komuniti Islam, Buddhis, Kristian, Hindu dan Sikh, Dr. Ismail Lutfi telah dilantik sebagai Pengerusi Inter-Religious Council for Peace in Southern Thailand (Majlis Antara Agama Untuk Keamanan Selatan Thailand).
Keterangan: Dr. Ismail Lutfi mengendalikan mesyuarat Majlis Antara Agama Untuk Keamanan Selatan Thailand

Bertujuan mengukuhkan perhubungan, saling percaya dan memahami antara umat pelbagai agama, inisiatif ini disokong kuat oleh World Conference of Religions For Peace (WCRP) yang berafiliasi dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Mahidol’s University’s Research Centre For Peace (MURP) dan Kerajaan Thailand. Majlis Antara Agama ini bertekad mengukuhkan keimanan dan amalan penganut agama masing-masing menerusi pendidikan. Majlis ini turut mengemukakan cadangan-cadangan kreatif berhubung dengan penyelesaian konflik, jenayah dan keganasan di Selatan Thailand, serta menggantikannya dengan keamanan.

SUMBANGAN KEPADA NEGARA THAI DAN ARENA INTERNASIONAL


Dalam arena antarabangsa, Dr. Ismail Lutfi telah beberapa kali diberikan kepercayaan sebagai Amirul Hajj Thailand iaitu Ketua Rombongan Haji Penduduk Thailand. Hasil hubungan baik beliau dengan negeri dua tanah suci ini, kuota Haji penduduk Thailand telah dinaikkan 8 kali ganda iaitu daripada 2000 tempat kepada 16000 tempat keseluruhannya. Beliau turut berkhidmat sebagai ahli Lembaga Muslim World League atau Rabitah al-‘Alam al-Islami yang aktif di negara-negara minoriti umat Islam.

Keterangan: Jamaah Haji Thailand dengan tudung seragam mengaminkan doa sebelum penerbangan Haji di Lapangan Terbang Hatyai pada 5 Oktober 2011

Terhadap keganasan di Selatan Thai, Dr. Ismail Lutfi sehingga kini merupakan satu-satunya ulama Pattani yang menghasilkan bantahan ilmiah terhadap risalah “Berjihad Di Patani”. Risalah tanpa pengarang ini disebar luaskan bertujuan menyeru jihad bersenjata menurut pemahaman Manhaj Takfiri-Khariji pada tahun 2004. Dalam khutbah dan kuliah yang beliau sampaikan, beliau turut mengecam amalan pelampau agama yang menghalalkan jenayah dan keganasan atas nama Islam.

Atas sumbangannya yang besar terhadap umat Islam Thailand, Dr. Ismail Lutfi pernah dilantik sebagai Senator dalam Parlimen Thailand selepas rampasan kuasa tahun 2006. Beliau juga diberikan penghormatan sebagai ahli Suruhanjaya Perdamaian Kebangsaan dan Pakar Rujuk Kepada Chularachamontri Syaikhul Islam Thailand iaitu ulama lantikan Raja Thailand yang bertindak sebagai Mufti Thailand.

UNIVERSITI ISLAM YALA : “TAMAN ILMU” DI NEGERI SEJAHTERA DARUS SALAM

Selepas sekian lama menimba ilmu teori dan pengalaman praktikal mengendalikan institusi Pendidikan Islam, Dr. Ismail Lutfi mengorak langkah untuk mengasaskan universiti Islam swasta yang dimiliki sepenuhnya oleh umat Islam Thailand. Bersama-sama dengan sahabat-sahabatnya seperti Allahyarham Dr. Jihad Muhammad Abu Najah (PhD Hadith Universiti Ummul Qura’), Dr. Abdul Halim Ahmad Saising (PhD Syariah Universiti Islam Madinah), Dr. Ahmad Omar Chapakia (PhD Universiti Malaya) serta lain-lain tokoh kecil dan besar yang berusaha bersama-sama, Dr. Ismail Lutfi telah menubuhkan Universiti Islam Yala pada tahun 1998.




(Keterangan: Gambar pintu utama kampus Universiti Islam Yala)

Masyhur dengan nama bahasa Arabnya iaitu Kulliyyah Islamiyyah Jala, Universiti Islam Yala disokong kuat oleh hampir seluruh dunia Islam. Akhirnya, Universiti Islam Yala dengan gigih telah menyumbang kembali kepada umat Islam sejagat apabila berupaya mendidik mahasiswa/i daripada seluruh dunia seperti dari Kemboja, China, Indonesia, Malaysia, Amerika Syarikat, Sweden dan Pakistan. Pencapaian Universiti Islam Yala ini turut diiktiraf oleh Kerajaan Thailand khasnya menerusi lawatan Putera Maha Vajiralongkorn Sayammakutratchakuman, Putera Mahkota Thailand pada tahun 2005.

DR. ISMAIL LUTFI DAN PERSATUAN AL-ISLAH PERLIS


Di Negeri Perlis, Dr. Ismail Lutfi bukanlah seorang ulama yang asing. Bahkan beliau sentiasa diundang oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Kerajaan Negeri Perlis serta Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan untuk menyampaikan ilmu. Bagi Persatuan Al-Islah Perlis sendiri, kali terakhir beliau dijemput secara rasmi adalah sebagai ahli panel Forum Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Senusantara (FASS) 2010 pada 12 Jun 2010. Forum besar-besaran ini turut diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-10 DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perlis dengan baginda sendiri menyampaikan titah perasmian.


Keterangan: Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Perlis dan Yang Dipertua Persatuan Al-Islah Perlis membuat kunjungan hormat kepada Dr. Ismail Lutfti. Turut kelihatan adalah Timbalan Rektor, Dr. Ahmad Omar Chapakia

Meskipun sudah agak lama tidak bertamu ke tempat kami, kehadiran beliau telah dan akan sentiasa diberikan sambutan hangat di Negeri Perlis umumnya dan di Persatuan Al-Islah Perlis khususnya. Dalam pengalaman penulis, sekiranya rombongan Persatuan Al-Islah Perlis hadir mengikuti pengajian pagi sabtu pimpinan beliau di Masjid ‘Ibadur Rahman Beraol atau menjejakkan kaki ke Kampus Universiti Islam Yala, dalam kesibukan beliau pasti cuba meluangkan biarpun sedikit masa untuk bertanya khabar sambil mengeratkan ukhuwwah Islamiyyah.

Kepada Dr. Ismail Lutfi Abdul Rahman Japakiya, kami di Persatuan Al-Islah Perlis mendoakan Universiti Islam Yala terus maju sebagai menara gading milik umat Islam yang unggul di rantau ini. Moga-moga Allah menjadikan ikatan persahabatan dan kekeluargaan antara umat Islam dua negara ini akan terus kukuh dan berkekalan.

1 comment:

DPD PPMI Zagazig said...

semoga selalu sukses..., salam ukhuwah :)