Pada 4 Oktober 2011, akhbar Utusan Malaysia melaporkan sekali lagi penganugerahan Ijazah Kehormat yang amat bermakna daripada Universiti Islam Yala kepada Dr. Mahathir Mohamad. Berita di halaman 6 tersebut telah dilaporkan oleh Yulpisman Ali. Selain keratan di bawah, boleh juga rujuk di sesawang http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm
YALA, Thailand 3 Okt. - Umat Islam perlu menguasai dan meneroka pelbagai ilmu baharu terutama dalam bidang sains dan teknologi supaya mereka mampu bersaing dengan bangsa lain di dunia, seterusnya membina kembali ketamadunan umat.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, umat Islam seharusnya menguasai semua cabang ilmu terutama bidang sains dan teknologi sekiranya tidak mahu ketinggalan di belakang, walaupun suatu ketika dahulu pernah menerokai pelbagai ilmu sehingga dicemburui oleh orang bukan Islam.
Sila 'klik' gambar untuk proses pembesaran. |
Beliau berkata, penguasaan ilmu juga dapat mengelakkan umat Islam dikuasai oleh emosi yang hanya mendorong manusia mengikut perasaan dalam tindak-tanduk mereka dan sekiranya tidak dibendung, boleh mencetuskan huru-hara serta membawa keadaan buruk.
Pada masa sama, Dr. Mahathir mengingatkan cendekiawan Islam supaya tidak pula menyalahgunakan ilmu mereka sehingga membawa kerosakan kepada masyarakat dan diri sendiri.
"Selain penguasaan ilmu, kita tidak harus lupa tentang ajaran agama kita yang memberi panduan kepada cara hidup orang Islam dan cara hidup itu adalah cara hidup yang terbaik. Ini bergantung bagaimana kita gunakan ilmu kita untuk membentuk satu masyarakat baik," katanya di sini, hari ini.
Beliau memberi ucapan perdana selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pentadbiran Awam) dari Universiti Islam Yala (YIU) di sini. Anugerah disampaikan oleh Presiden Majlis Senat YIU, Wan Muhammad Nor Matha.
Turut hadir, bekas Perdana Menteri Thailand, Somchai Wong Sawad dan Rektor YIU, Dr. Ismail Lutfi Chapakeya. Dalam ucapannya di hadapan lebih 1,000 tetamu jemputan, ahli Senat YIU, pensyarah dan penuntut universiti itu, Dr. Mahathir turut berkongsi kejayaan Malaysia menjadi sebuah negara aman dan membangun walaupun mempunyai penduduk berbilang agama dan kerajaan diketuai oleh orang Islam.
"Walaupun pemerintahannya dikepalai oleh orang Islam, kita berpegang kepada pemerintahan adil yang dikehendaki oleh agama Islam. Justeru, kita dapati di Malaysia keadaan aman dan kerana keadaan itu, maka kita dapat bangunkan negara dengan lebih pesat dan berjaya.
"Walaupun terdapat sebuah kerajaan yang dianggotai oleh orang Islam dan bukan Islam, tetapi kita bekerjasama dalam kerajaan dan dapat menentukan keadaan dalam negara kita terus aman dan membangun dengan pesatnya.
"Ini adalah hasil ilmu yang dikuasai pemimpin di Malaysia, kerana ilmu membolehkan mereka membuat penilaian terhadap apa boleh dilakukan dan apa tak boleh dilakukan untuk mengelak huru-hara dalam negara," katanya.
Mengenai wilayah selatan Thailand, Dr. Mahathir berkata, semua pihak harus bersyukur kerana secara umumnya hubungan antara Thailand dengan Malaysia adalah baik dan rapat.
"Saya juga amat berbangga melihat umat Islam di Thailand hidup dengan sempurna dan dapat juga mendirikan sebuah universiti Islam yang sudah tentu mendapat keizinan daripada kerajaan Thailand. Inilah kebebasan yang harus dihargai oleh kita," katanya.
Pada sidang media kemudiannya, Dr. Mahathir berkata, Malaysia sentiasa memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan dengan memperuntukan kira-kira 25 peratus belanjawannya untuk bidang tersebut, sehingga mampu menawarkan bidang pendidikan bukan sahaja untuk rakyat sendiri tetapi juga kepada warga asing. - Utusan
No comments:
Post a Comment