27 March 2013


Pencerobohan Lahad Datu perlu jadi iktibar kepada Askar Wataniah



KANGAR 25 Mac - Pencerobohan kumpulan militan dari Selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah sejak Februari lepas perlu menjadi iktibar kepada Askar Wataniah untuk meningkatkan peranan sebagai pengintip, pemberi maklumat dan responden ombak pertama, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, kedudukan mereka di merata tempat membolehkan Askar Wataniah sentiasa peka dan bersiap sedia bagi memperoleh sebarang bentuk maklumat serta perisikan tentang apa yang sedang berlaku di kawasan masing-masing.

Bertitah merasmikan pameran promosi Askar Wataniah sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) di terminal feri Kuala Perlis hari ini, baginda bertitah, corak ancaman negara masa kini adalah di luar daripada kebiasaannya dan setiap anggota Askar Wataniah perlu peka dengannya.

Sehubungan itu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah, mahu setiap anggota Askar Wataniah dilatih dan dimaklumkan tentang ancaman masa kini dan tindakan yang perlu diambil jika ia berlaku di persekitaran mereka.

Titah baginda corak latihan untuk Askar Wataniah juga perlu ditingkatkan supaya setanding dengan latihan anggota tetap bagi membolehkan mereka memberi bantuan secara lebih berkesan apabila keadaan memerlukan.

Turut berangkat pada majlis perasmian pameran yang bermula semalam ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala yang hadir sama ialah Timbalan Komander Regimen 504 Askar Wataniah, Lt. Kol. Zulfakar Abdul Wahid.

 - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130326/wu_03/Pencerobohan-Lahad-Datu-perlu-jadi-iktibar-kepada-Askar-Wataniah#.UVHTGzDGg6g.facebook#ixzz2OjjATvkt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

26 March 2013

25 March 2013


Raja Muda Mahu Pemikir Muda Berhemah Ketika Suarakan Pandangan…

KANGAR, 23 Mac (Bernama) – Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu pemikir muda sentiasa berhemah ketika menyuarakan pandangan mereka kepada kerajaan.

Baginda bertitah golongan itu adalah kumpulan penting yang dapat membantu kecemerlangan negara dan suara mereka juga perlu selari dengan inspirasi kerajaan.

Bertitah merasmikan Program Jelajah 1Malaysia janji Ditepati Pemikir Muda Malaysia Negeri Perlis seta pelancaran bank Idea Pemikir Muda Malaysia Negeri Perlis 2013 hari ini, baginda berharap pemikir muda tidak berputus asa dalam perjuangan mereka.

Program yang turut dihadiri pensyarah muda dan pelajar institusi pengajian tinggi itu anjuran Pertubuhan Belia Pemikir Muda (PPM) Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah rakyat sentiasa mahu menerima pemikir baharu yang lebih positif, kreatif serta inovatif demi kebaikan, dan pemikir muda boleh membantu menyumbang pemikiran baharu yang relevan.

Mengulas penubuhan Bank Idea PPM, baginda berharap ia mampu menjadi platform penyalur idea atau pendapat golongan muda tanpa mengira ideology politik.

“Konsep seperti ini diharap akan membawa negara ke arah yang lebih cemerlang kerana penyatuan idea yang baik akan membantu mencorak pembangunan negara,” titah baginda.

Sempena majlis itu, Raja Muda Perlis turut menyampaikan sijil pelantikan Penasihat PPM kepada empat inividu iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid, Naib Canselor Universiti Malaysia (UniMAP) Profesor Datuk Dr Kamarudin Hussin, Presiden Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) Profesor Datuk Dr Zainidin Wazir dan Ketua Biro Bernama Perlis Adnan Jahaya.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala hadir sama Presiden PPM Malaysia Mohd Rafiq Naizamohideen serta pengerusi jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Perdagangan Antarabangsa Perlis Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail.

--BERNAMA 

22 March 2013


Raja Muda Mahu Masjid Semarakkan Kegiatan Menjelang PRU-13

KANGAR, 14 Mac (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap masjid-masjid di seluruh Perlis merancakkan kegiatan yang berkonsepkan penyatuan umat Islam dan masyarakat Melayu sejajar dengan iklim politik menjelang pilihan raya umum ke-13.

Menurut baginda, masjid perlu menjadi sumber penyatuan dan para pegawai masjid perlu memastikan institusi itu tidak menjadi tempat perpecahan umat.

"Masjid seharusnya bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian di mana pegawai masjid bertanggungjawab menghalang sebarang penyalahgunaan mimbar atau mikrofon daripada ceramah politik atau hasutan atau mempertikaikan keputusan pihak berkuasa agama negeri," titah baginda semasa merasmikan konvensyen pegawai-pegawai masjid negeri Perlis 2013 di sini Khamis.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berharap sebarang pelaksanaan program haruslah berstrategi dan meliputi tempoh sebelum, semasa dan selepas pilihan raya umum.

Tuanku Syed Faizuddin berharap para pegawai masjid menggunakan kebijaksanaan dan kreativiti serta bersikap "mesra jemaah dan kariah" untuk melaksanakan kegiatan mengikut kesesuaian di masjid masing-masing.

Baginda juga menyarankan supaya masjid menjadi institusi menjana pakar, penyelidik dan kemudahan fizikal selain mewujudkan kelompok permuafakatan antara masjid dengan masjid termasuk masjid yang lebih besar membantu masjid dan surau yang kecil.

Tuanku Syed Faizuddin turut menyarankan para pegawai masjid didedahkan dengan kemahiran komunikasi berkesan, penyelesaian masalah serta cara melayani setiap anak kariah sebagai seorang pelanggan.

Turut hadir pada konvensyen anjuran Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman, dan Pengarah JAIPs, Mohd Sokri Hussin.

-- BERNAMA



KANGAR, 19 Mac (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra
Jamalullail hari ini melancarkan "Kempen Kesedaran Penunggangan Selamat" di
Simpang Empat dekat sini dengan berbasikal secara santai sejauh 15 kilometer di
sekitar kawasan itu.
Kempen untuk komuniti setempat anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR)
Perlis itu antara lain bertujuan meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan
raya tentang kaedah menunggang basikal dan motosikal secara selamat.
Turut mengiringi baginda ialah Pemangku Pengarah JKJR Perlis, Mahmood
Saharuddin bersama 70 peserta berbasikal yang terdiri daripada ketua-ketua
jabatan dan agensi kerajaan dengan memulakan kayuhan di perkarangan Kolej
Kediaman Tun Abdullah Ahmad Badawi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Simpang
Empat.
Tuanku Syed Faizuddin mengetuai para peserta kayuhan itu melalui beberapa
buah kampung di Simpang Empat dan singgah di Rumah Sejahtera Baitul Hanan di
kampung Behor Mali yang menempatkan 14 penghuni warga emas wanita Islam.
Di Rumah Sejahtera Baitul Hanan kelolaan Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung
Malaysia (MPKSM) itu, baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyampaikan sumbangan MAIPs sebanyak
RM1,000 untuk pengurusan rumah kebajikan itu.
-- BERNAMA



21 March 2013


Rakyat Perlu Kaji Sejarah Untuk Bina Tamadun Baharu Yang Cemerlang….

KANGAR, 19 MAC (Bernama) – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat mengkaji sejarah lampau yang pelbagai untuk membina tamadun baharu yang lebih cemerlang.
Menurut baginda, rakyat perlu belajar untuk mencapai kehidupan lebih baik, teratur dan lebih berjaya melalui penghayatan sejarah dan penambahbaikan dalam usaha menjamin masa depan lebih baik dan melahirkan masyarakat bertamadun tinggi.

Bertitah merasmikan Program Keunggulan Naskah Lama dan Artifak Menerusi Kegemilang Melayu anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama PNM Perlis di sini selasa, baginda berharap program itu menggamit rakyat menyingkap sejarah lampau yang telah membentuk zaman yang sedang dilalui.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah dengan penemuan naskah dan artifak itu membuktikan tamadun Melayu zaman silam begitu hebat malah banyak manuskrip Melayu yang telah lama dibawa keluar dari negara ini dan menjadi bahan kajian negara lain.

Menurut baginda, sebagai contoh sebuah manuskrip lama tulisan Jawi yang dihasilkan penduduk Perlis lebih 200 tahun lalu menjadi antara ratusan manuskrip lama seluruh dunia yand disimpan di British Library, London, selain dokumen rasmi lain.

“Menurut catatan manuskrip bertajuk ‘Hkayat Nabi Yusuf’ setebal 60 muka surat ditulis oleh Muhammad Lebai pada 1802, dan saya berkesempatan melihat manuskrip tersebut semasa mengetuai lawatan kerja ke London tahun lalu,” titah baginda.

Berdasarkan maklumat dalam manuskrip Hikayat Nabi Yusuf itu, selain tertera nama penulis Muhammad Lebai, ia menyatakan manuskrip itu juga hasil ‘kerja tangan’ Cik Mat Tok Orang Kayangan dan Cik Mat Tok Muda Anak Raja Inderawangsa di Perlis.

“Ada yang berpendapat bahawa Muhammad Lebai, Cik Mat Orang Kayangan dan Cik Mat Tok Muda adalah orang yang sama,”titah baginda.

Sebelum itu, Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar dalam ucapan berkata pihaknya telah menterjemah dan membukukan kandungan manuskrip lama melalui penerbitan catalog manuskrip Melayu, jurnal dan risalah untuk kemudahan orang ramai.

Menurutnya, pada masa ini PNM menyimpan lebih  4,000  koleksi naskah manuskrip Melayu berusia lebih 150 tahun yang mencakupi pelbagai genre termasuk kesusasteraan, sejarah, kitab agama, perubatan, undang-undang, ketatanegaraan dan petua serta azimat.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disertai Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Datuk Yazid Mat yang mewakili Menteri Besar.
Program yang mempamerkan nashkah dan artifak di bangunan PNM perlis itu berlangsung selama lima hari dan terbuka kepada orang ramai.

--BERNAMA


18 March 2013


Dedikasi kepada pejuang negara yang terkorban di Lahad Datu

DILAPORKAN 10 anggota keselamatan dan sejumlah pengganas terkorban dalam krisis Kg Tandou, Lahad Datu. Besar harapan kita agar, angka itu tidak bertambah, baik di pihak keselamatan dan orang awam.
Kematian menjemput manusia di mana-mana. Setiap hari media melaporkan ada yang mati di atas jalan, namanya kemalangan. Ramai juga yang mati di hutan dan lautan, ketika mencari makan atau jalan-jalan. Beberapa minggu lalu, seorang pendaki ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di Gunung Gandang, Sulawesi Barat.

Selain peperangan, siapa pernah menyangka bahawa banyaknya kematian berpunca dari sebuah pinggan. Bukan kerana tersedak atau keracunan, namun kerana salah atur dan terlebih makan. Dari obesiti, kencing manis, lemah jantung dan banyak penyakit lain yang berisiko kematian berasal dari makanan di dalam pinggan.

Dan makhluk bernama kematian itu sering kali hadir secara tiba-tiba dan rahsia. Berapa ramai orang yang hari ini ditemui sihat dan ceria, ternyata esoknya dia sudah tiada.
Rasulullah SAW telah mengisyaratkan hal ini dalam sebuah hadis maksudnya: "Waktu akan semakin dekat, beramal sudah berkurangan, akan didapati sifat kebakhilan, akan nampak fitnah-fitnah dan banyak terjadi Al-Haraj", mereka bertanya: "Wahai Rasulullah, apa itu Al-Haraj?", beliau berkata: "Banyak pembunuhan."(riwayat al-Bukhari)

Semakin umur dunia bertambah, semakin banyak musibah dan kematian berlaku secara tiba-tiba. Dari sebab yang diketahui hinggalah kepada kematian yang tidak dapat dikenal-pasti. Berapa banyak pembunuhan yang tidak dapat dikenal-pasti motif dan puncanya.
Dan tidak sedikit kematian yang dikelaskan sebagai kematian mengejut oleh pihak hospital dan tidak dapat dijelaskan faktor dan alasannya. Yang pasti itu adalah ketentuan yang telah Allah tetapkan sejak pertama kali dunia diciptakan.

Dalam hadis yang lain dari riwayat Anas bin Malik maksudnya: "Di antara tanda-tanda (dekatnya) hari Kiamat adalah… banyak terjadi kematian mengejut." (ath-Thabrani dalam al-Ausath)
Ini adalah kejadian yang lazim kita saksikan pada zaman sekarang, banyak orang yang mati secara mengejut. Imam al-Bukhari rahimahullah pernah bersenandung dalam sebuah madah: Gunakanlah waktu luang untuk mendapatkan keutamaan solat, boleh jadi kematianmu itu terjadi dengan tiba-tiba. Berapa banyak aku melihat orang dalam keadaan sihat tidak berpenyakit, jiwanya yang sihat lepas pergi.
Menakjubkan, tidak lama selepas itu beliau pun wafat sebagaimana diceritakan oleh Ibnu Hajar Hadyus Saari Muqaddimah Fathul.

Anggota keselamatan yang maut ketika bertugas di Lahad Datu, mungkin sahaja tidak menjangka akhir hayat mereka takdirnya di situ. Semoga mereka termasuk dalam golongan yang ikhlas berkhidmat kerana Allah dan tergolong dalam senarai para syuhada'.
Kepada kaum Muslimin yang sempat merenung makna dan kandungan al-Quran, nescaya akan teringatkan apa yang Allah jelaskan yang bermaksud: "Katakanlah: "Sekiranya kamu berada di rumahmu, nescaya orang-orang yang telah ditakdirkan akan mati terbunuh itu keluar (juga) ke tempat mereka terbunuh." Dan Allah (berbuat demikian) untuk menguji apa yang ada dalam dadamu dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hatimu. Allah Maha Mengetahui isi hati." (Ali Imran, ayat 154)
Sungguhpun kematian itu sesuatu yang misteri, namun ia adalah pasti. Tidak sesiapapun dapat memungkirinya. Semua manusia dan seluruh makhluk akan mati. Yang kekal hanya Allah Yang Esa, Yang Maha Berkuasa. Tidak ada ilah atau Tuhan Yang Haq yang layak disembah dan tempat kita mengabdikan diri melainkan hanya kepada Allah.

Dari Abu 'Abdirrahman Abdullah bin Mas'ud radhiallahu 'anh, dia berkata , bahwa Rasulullah telah bersabda: "Sesungguhnya tiap-tiap kalian dikumpulkan penciptaannya dalam rahim ibunya selama 40 hari berupa nutfah, kemudian menjadi 'Alaqoh (segumpal darah) selama itu juga lalu menjadi Mudhghoh (segumpal daging) selama itu juga, kemudian diutuslah Malaikat untuk meniupkan roh kepadanya lalu diperintahkan untuk menuliskan 4 kata : rezeki, ajal, amal dan celaka/bahagianya." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Justeru, tidak banyak manfaat dan faedah yang dapat kita ambil ketika menghitung-hitung dan meneka-neka tarikh kematian atau di mana tempat nafas terakhirnya dikeluarkan. Kerana pilihannya hampir sama sekali tiada, sudah ditetapkan dan masih rahsia.

Pilihan yang tersisa adalah memikirkan persiapan untuk hari selepas kematian. Ramai juga manusia bekerja dan berusaha untuk sesuatu yang bakal dan pasti ditinggalkan. Rumah, tanah dan kereta mewah, semuanya termasuk dalam senarai yang pasti ditinggalkan. Rasulullah mengingatkan dalam sepotong hadis maksudnya: "Apabila mati seseorang manusia maka terputus semua amalnya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa dari anak yang soleh." (riwayat al-Bukhari)

Yang dapat dipilih dan ditentukan ialah bagaimana akhir hayat kita itu ditutup. Adakah dengan kesudahan yang baik (husnul khatimah) atau kesudahan yang buruk (su'ul khatimah). Meninggalkan dunia yang fana ini dalam keadaan husnul khatimah merupakan dambaan setiap insan yang beriman, kerana hal itu sebagai bisyarah yakni khabar gembira dengan kebaikan untuknya. Al-Imam Al-Albani menyebutkan beberapa tanda husnul khatimah dalam kitabnya yang sangat bernilai Ahkamul Jana'iz wa Bida'uha.
Antara mereka yang dikhabarkan oleh baginda mendapat 'husnul khatimah' ialah mereka yang mengakhiri hayatnya dengan kalimah syahadah, "La ilaaha illa Allah."

Dalam sebuah hadis Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: "Siapa yang meninggal kerana mempertahankan hartanya maka ia syahid, siapa yang meninggal kerana membela keluarganya maka ia syahid, siapa yang meninggal kerana membela agamanya maka ia syahid, dan siapa yang meninggal kerana mempertahankan darahnya maka ia syahid." (riwayat Abu Dawud)

Semoga para pejuang dari pihak keselamatan PDRM dan ATM yang berkhidmat di perbatasan negara, di Lahad Datu dan seluruh negara termasuk orang-orang yang ikhlas beramal hanya kerana Allah. Dan mereka yang terkorban mudah-mudahan termasuk dalam golongan yang syahid di sisi Allah.
Kepada mereka yang sudah pergi, kita doakan semoga Allah ampunkan mereka dan tempatkan roh mereka bersama golongan syuhada dan orang yang soleh. Urusan mereka sudah selesai, kita pula bagaimana?


SUMBER : Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20130318/re_05/Dedikasi-kepada-pejuang-negara-yang-terkorban-di-Lahad-Datu#.UUcR7FC8VoQ.facebook#ixzz2Nurhlgfp 
© Utusan Melayu (M) Bhd 
RAJA MUDA PERLIS BERSAMA IMAM.....

































RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan bergambar kenangan bersama imam-imam yang dilantik ketikamenghadiri Kovensyen Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Perlis 2013 di Dewan Warisan, Kangar, semalam. Seramai kira-kira 300 pegawai masjid dari seluruh negeri Perlis menyertai kovensyen sehari itu dan masing-masing menerima watikah pelantikan daripada Tuanku Raja Muda.. --BERNAMA

16 March 2013


PELAJAR PERLU SINGKIR TABIAT MERUGIKAN -  RAJA MUDA PERLIS

KANGAR, 15 Mac (Bernama) – Pelajar perlu menyingkirkan tabiat negatif yang merugikan dengan berhijrah kepada tabiat mulia yang menguntungkan semua pihak, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail jumaat.

Menurut baginda, sebarang tabiat buruk boleh dihakis dan perubahan boleh dilaksanakan dengan disulami semangat kental.

Bertitah merasmikan Program Titian Kasih Mega peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Suleiman, Tunjong dekat sini, baginda berharap golongan pelajar tidak membiarkan tabiat buruk bermukim dalam diri mereka.

Sebaliknya baginda berharap tabiat baharu dapat dijana dan disuburkan dalam diri pelajar bagi membantu mereka membina masa depan dan negara dengan lebih baik.

Pada majlis itu Tuanku Syed Faizuddin turut menyampaikan anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) kepada tiga pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011.

Dua pelajar menerima Anugerah YTSP iaitu Munira Mahamad Noor, 19, dan Musyahadah Zainuddin, 19, dengan masing-masing menerima pingat Anugerah Cemerlang YTSP, sijil dan wang tunai RM 1,000 yang diterima wakil masing-masing.

Munira, beekas pelajar Sekolah Menengah Agama Al Alawiyah Ad Diniah, Arau, Perlis kini menuntut di Universiti Al Azhar, Mesir dalam bidang perubatan di bawah tajaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara Musyahadah sedang menuntut di Universiti Multimedia, Cyberjaya peringkat A Level dalam jurusan kejuruteraan elektronik di bawah tajaan syarikat Telekom Malaysia.

Seorang lagi pelajar Chin Zhao Yi, 19, menerima anugerah khas YSTP berupa sijil dan wang tunai RM 500 yang disampaikan Raja Muda Perlis kepada wakilnya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Derma di Kangar itu, sedang menuntut di Taylors College, di peringkat A Level dalam jurusan Undang-undang di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Pengerusi YTSP turut menyampaikan sumbangan RM50,000 untuk Dana Pendidikan Negeri Perlis yang disampaikan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Berangkat sama ke program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasam Jabatan Pelajaran Negeri Perlis itu, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan turut hadir, pengetua SMK Tengku Suleiman, Nordin Yahya dan Setiausaha YTSP Datuk Johari Mohd Darus.

--BERNAMA


74 terima RM402,000 dermasiswa MAIPs

16 Mac 2013
KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini menyumbangkan dermasiswa zakat pelajaran berjumlah RM402,000 kepada 74 pelajar yang terpilih, melanjutkan pengajian di Timur Tengah.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan sumbangan Baitulmal MAIPs itu kepada 59 pelajar yang melanjutkan pengajian di Mesir serta 15 pelajar yang melanjutkan pengajian di Jordan.
Sumbangan masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM6,000 diberikan kepada pelajar ke Mesir dan Jordan pada majlis yang berlangsung di Masjid An-Nur kampus Universiti Tenologi Mara (UiTM) Perlis di Arau, hari ini.
    
Pelajar berkenaan merupakan kumpulan penerima dermasiswa zakat Baitulmal fasa pertama bagi tahun 2013 yang bertujuan meringankan beban kewangan mereka yang menyambung pengajian di Timur Tengah.
    
Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs turut menyampaikan sumbangan kepada 13 fasilitator yang menjayakan program pendidikan 'Sentuhan Kasih MAIPs' untuk anak-anak asnaf.
    
Majlis penyampaian sumbangan bersempena program 'Hijrah Minda bersama Tuanku Yang Dipertua MAIPs' turut diisi dengan ceramah keselamatan oleh Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis, Safrul Faiz Ab Satar.
    
Program anjuran MAIPs itu dihadiri lebih 1,000 pelajar UiTM serta Rektor UiTM Perlis, Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutf MAIPs, Abdul Malik Hussin dan Pengarah Baitulmal Perlis, Mohd Nazim Noor.

- Bernama

14 March 2013


Fathul Bari: Perpaduan Umno dan Pas perlu disegerakan

14 Mac 2013
Fathul Bari
Fathul Bari
KOTA BAHRU - Perpaduan antara Umno dan Pas perlu segera diwujudkan untuk kepentingan Islam dan orang Melayu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya.
  
Beliau berkata perpaduan itu bukan untuk mana-mana pihak membubarkan parti tetapi mewujudkan kerjasama ke arah kebaikan untuk kekuatan kepada Islam dan orang Melayu.
  
"Umno telah lama hulur tangan untuk perdamaian dan perpaduan ke arah kebaikan, sewajarnya Pas menimbang dan menerima tawaran tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah isu-isu semasa kepada Penceramah Penerangan Negeri Kelantan di sini, hari ini.
  
"Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda "Susulilah perkara yang buruk dengan perkara yang baik"," katanya sambil menjelaskan dalam konteks ini perkara yang buruk ialah perpecahan dan yang baik adalah perpaduan.
  
Beliau berkata tuntutan perpaduan itu adalah tuntutan syarie maka perkara syarie perlu dilaksanakan segera mungkin.
 - Bernama

13 March 2013



Rakyat mesti berdiri teguh di belakang perajurit

PADANG BESAR 11 Mac - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar segenap lapisan masyarakat dan rakyat berdiri teguh di belakang pahlawan dan perajurit yang menggadai nyawa mempertahankan maruah bangsa dan negara.

Sehubungan itu, titah baginda, jangan sesekali terlintas di fikiran sesiapa pun untuk memperlekehkan usaha murni yang dibuktikan oleh pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara tercinta.

"Semangat mencintai negara perlu dipupuk di peringkat awal lagi," titah baginda dalam Majlis Titian Kasih Mega anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar Hassan di sini hari ini.

Yang berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin juga melancarkan tabung sumbangan pihak sekolah di negeri ini untuk pasukan keselamatan yang mempertahankan negara di Sabah.

Baginda turut menggesa masyarakat supaya tidak menganggap tugas menjaga keselamatan dan keamanan negara terletak di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata sehingga pengorbanan anggota pasukan keselamatan itu tidak diberikan penghargaan.

Titah baginda, sudah sampai masanya rakyat menyedari dan menghargai pengorbanan pasukan keselamatan dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara.

"Setiap kali menyambut Hari Polis, ada sahaja individu sama ada dalam kalangan pegawai kerajaan atau orang awam mendapat penghargaan di atas sumbangan mereka membantu pihak polis.

"Namun, jarang sekali kita dengar pihak masyarakat memberikan penghargaan dan terima kasih kepada PDRM kerana berkhidmat menjaga keselamatan dan keamanan negara.

"Diharap Perlis akan menjadi negeri yang bersifat patriotik serta sentiasa prihatin dan akan bersama-sama memeriahkan dan menyambut Hari Polis pada tahun ini," titah baginda.

Titah baginda lagi, perjumpaan bulanan akan diadakan bersama Hari Polis manakala Jabatan Pelajaran Negeri Perlis bersetuju melibatkan pelajarnya khususnya kadet polis untuk menjayakan gotong-royong di balai-balai polis di negeri ini.

"Ini juga akan dilaksanakan bersama ATM sempena Hari ATM yang disambut setiap 14 Februari," titah baginda.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Utara/20130312/wu_03/Rakyat-mesti-berdiri-teguh-di-belakang-perajurit#.UT-1IGn8k14.facebook#ixzz2NR94QzU2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

12 March 2013


Raja Muda Mahu Rakyat Sentiasa Hargai Pasukan Keselamatan

KANGAR, 11 Mac (Bernama) – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai mahu rakyat sentiasa bersemangat patriotik dan menghargai peranan pasukan keselamatan dalam usaha mereka mempertahankan negara.

Baginda berharap tidak ada mana-mana pihak yang memperlekehkan usaha dan keupayaan yang dibuktikan pasukan keselamatan negara.

Bertitah merasmikan program Titian Kasih Mega peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan dekat sini Isnin, baginda turut berharap rakyat Perlis sentiasa bersifat patriotik  dan menterjemahkannya pada sambutan Hari Peringatan Polis, pada 25 Mac.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat pada program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Perlis itu.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, selama ini setiap kali sambutan Hari Peringatan Polis, ada inividu sama ada orang awam atau penjawat awam diberi penghargaan di atas sumbangan mereka membantu polis.

“Namun begitu, jarang sekali kita dengar ada dalam kalangan masyarakat yang memberikan penghargaan dan terima kasih kepada polis kerana berkhidmat menjaga keselamatan dan keamanan negara.” Titah baginda yang juga pengerusi YTSP.

Menurut baginda, rakyat perlu mengubah minda yang menganggap tugas menjaga keselamatan dan keamanan negara adalah tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya ia merupakan tanggungjawab bersama.

Baginda turut berharap jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat akan terus membuktikan apresiasi mereka kepada PDRM dan ATM melalui penganjuran Pelbagai kegiatan.

Pada majlis itu baginda turut menyaksikan penyerahan simbolik ‘Tabung Wira Lahad Datu’ yang diserahkan pengetua sekolah itu, Aminuddin Mustafa kepada Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron.

Turut dirasmikan gelanggang tenis dan bilik guru baharu sekolah berkenaan.

--BERNAMA

09 March 2013


Kajian terperinci kenal pasti guru agama terbabit ajaran Syiah: Muhyiddin



GEORGETOWN: Kerajaan akan menjalankan kajian terperinci untuk mengenal pasti guru Agama Islam yang terbabit dengan ajaran Syiah supaya ia dapat dibendung dan umat Islam di negara ini tidak tersesat dengan ajaran berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian itu perlu dibuat dengan menjalankan tinjauan di beberapa peringkat dan bukan hanya membuat andaian saja.
"Ini termasuk melihat perwatakan guru (yang terlibat ajaran Syiah), cara dia mengajar, pergaulan dan penglibatannya dengan ajaran itu. Jika betul terbabit nasihatkannya dan tengok bagaimana dia terpesong dan dipesong," katanya.
Beliau berkata demikian pada Multaqa Guru Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Zon utara di Universiti Sains Malaysia di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 2,300 guru agama.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian bagi menjawab soalan seorang guru agama dari Kedah yang mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap penularan guru agama yang terlibat dengan ajaran Syiah.
Beliau berkata, tindakan segera juga perlu diambil kerana ajaran Syiah bertentangan dengan ajaran Agama Islam di negara ini dan ia tidak boleh diterima lebih-lebih lagi membabitkan guru agama.
"Dari segi peraturan pendidikan juga menyalahi kerana mereka (guru terbabit) mengajar tidak mengikut sukatan yang sepatutnya dan kementerian juga telah mengeluarkan pekeliling berhubung perkara itu (mengajar mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan)," katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan sekiranya ajaran Syiah itu merebak kepada pelajar menerusi pembelajaran di sekolah dan masyarakat kerana pengaruh seorang guru agama begitu besar di kalangan masyarakat.
"Pengaruh Syiah dari negara Iran ada di sini dan cuba disebarkan di kalangan masyarakat. Ini satu masalah besar bukan sahaja sistem pendidikan tetapi masyarakat Islam, jadi saya mahu tindakan segera diambil bagi mengelak perkara ini terus merebak," katanya.
Sementara itu ketika berucap, Muhyiddin berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan banyak perkara dalam memartabatkan Islam antaranya sistem pendidikan Islam di sekolah, pewujudan universiti Islam antarabangsa dan melaksanakan sistem perbankan dan kewangan Islam yang diakui sebagai model terbaik di seluruh dunia.
"Segala bentuk pembangunan dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan BN adalah selaras dengan tuntutan Islam sepertimana yang selalu disebutkan "Keseimbangan Hidup Duniawi dan Ukhrawi"," katanya.
Beliau berkata, dasar yang berkaitan Islam tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya Malaysia tidak mempunyai sebuah kerajaan atau pentadbiran yang komited untuk memartabatkan dan mempertahankan kesucian agama Islam.
"Pendidikan Islam sebagai agama persekutuan tidak semestinya menjamin pelaksanaan dasar-dasar Islam sekiranya tiada komitmen ataupun tidak ada iltizam di pihak kerajaan yang tidak melihat kesucian agama Islam terus dipelihara dan syiar Islam berkembang," katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan pusat telah memberi tumpuan dan usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan Islam kerana ia adalah sesuatu yang penting untuk umat Islam di Malaysia.
Katanya, antara usaha kerajaan pusat adalah pemberian dan peruntukan yang berterusan membantu melaksanakan program dalam pendidikan Islam serta pemberian dana khas berjumlah RM100 juta untuk pembinaan, pembaikan dan penyelenggaraan sekolah agama di bawah Belanjawan 2013. 
- BERNAMA

Raja Perlis Mahu Ketua Jabatan Bersikap Mesra Pelancong Dan Pelabur

KANGAR, 5 Mac (Bernama) – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah meminta ketua jabatan bersikap mesra pelancong dan pelabur di samping mengekalkan sikap mesra kepada rakyat dan pelangan jabatan dan agensi yang mereka terajui.

Titah baginda sikap mesra yang dibudayakan akan member kesan positif kepada pembangunan dan ekonomi negeri di samping kebijaksanaan ketua jabatan menggunakan budi bicara dalam membuat keputusan akan memberi keuntungan jangka panjang dan jangaka pendek kepada negeri.

Bertitah pada majlis menghadap ketua-ketua jabatan yang baru berkhimat di Perlis di Istana Arau Selasa, baginda beharap mereka menggunakan pengalaman bertugas di tempat lain dengan berusaha menjadikan rakyat Perlis berminda kelas pertama terutama dalam suspek kebersihan tandas dan sampah, menepati masa dan disiplin kerja.

“berikan tunjuk ajar, bimbingan dan pendedahan sebanyak mungkin kepada warga kerja masing-masing untuk jadikan Perlis negeri maju. Tegur pekerja dengan berhemah dan membina”, titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin berharap mereka sentiasa memberikan yang terbaik untuk negeri ini dan jangan sekali-kali menjadi penghalang kepada pembangunan negeri sebaliknya sentiasa berusaha membangunkan negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Antara ketua jabatan yang baru bertugas di Perlis dan menghadap baginda hari ini termasuk Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman, Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, Mohd Noor Effendy Abdul Karim, Pengetua MRSM Beseri Perlis, Mohammad Salim Bulat, Pengarah Risda Perlis, Osman Bakar, Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia Cawangan Perlis, Kamrudin Mohd Daud dan Pengurus Besar Telekom Malaysia ™ Perlis dan Kedah, Noor Lela Baba.

Majlis itu adalah siri kedua majlis mengadap ketua-ketua jabatan yang diadakan pada tahun ini.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalalullail manakala hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Azizan Hamid dan Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

--BERNAMA


08 March 2013


RAJA MUDA MAHU RAKYAT PERLIS KUASAI KEMAHIRAN PENYELAMAT

KANGAR, 8 mac (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu seluruh rakyat Perlis memiliki kemahiran asas teknik menyelamatkan nyawa atau bantuan kecemasan menjelang 2015

Bagi mencapai matlamat itu, baginda berharap pelbagai pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, institut pengajian tinggi, sekolah, jawatan kuasa masjid dan pertubuhan menganjurkan program berkaitan bantuan kecemasan.

Bertitah mkerasmikan kursus penyelamat dan bantuan kecemasan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Hospital Tunku Fauziah (HTF) di sini jumaat, baginda berharap sekurang-kurangnya seorang dalam setiap keluarga mendapat sijil teknik bantuan kecemasan 'Cardiopulmonary Resuscitation' (CPR) bagi serangan jantung.

Mengenai kursus hari ini, Tuanku Faizuddin yang jug Yang Dipertua MAIPs bertitah 200 imam dan pegawai masjid seluruh negeri menghadiri kursus seharu itu.

Kursus itu memberi peluang kepada peserta melakukan teknik CPR, perawatan mangsa tercekek, luka dan terbakar serta cara merawat kepatahan pada peringkat awal sebelum bantuan profesional tiba atau dibawa ke hospital.

Turut hadir ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Pengerusi Malaysian Association of Trauma and Emergency Medicine (MASTEM) Datuk Seri Abu Hassan Asaari Abdullah.



--BERNAMA

SUMBER :
http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=933054

04 March 2013


Perlis bakal wujudkan Kolej Universiti Islam

KANGAR: Perlis bakal mewujudkan sebuah institusi pendidikan unik yang berkonsepkan penjanaan pembangunan dana dan sumber daya manusia melalui Program Wakaf Pendidikan (PWP).

Kerajaan persekutuan meluluskan penubuhan institusi yang akan diberi nama Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersembahkan sijil pelawaan penubuhan KUIPs kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sempena majlis menghadap di Istana Arau dekat sini, hari ini. 


Raja Perlis kemudiannya menyerahkan sijil pelawaan itu kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs.

Sementara itu, menurut siaran media MAIPs yang dikeluarkan sempena majlis menghadap itu, KUIPs adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang ditubuhkan oleh MAIPs melalui anak syarikatnya MAIPs Holdings Sdn Bhd.

Penubuhan KUIPs adalah aspirasi Kerajaan Negeri Perlis untuk menjadikan Perlis sebagai hab pendidikan dan pembudayaan ilmu serta syiar Islam yang tersohor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

KUIPs juga akan menjadi institusi pengajian tinggi berteraskan Islam yang unggul di rantau Asean apabila ia menjadi institusi pilihan pelajar Islam dari Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina serta Timor Leste sebagaimana yang disasarkan melalui Amanat Menteri Pengajian Tinggi pada 29 Januari 2013 yang lalu.
Menurut siaran media itu, kurikulum yang disediakan direka supaya setara dengan program pengajian berteraskan Islam yang diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan badan-badan profesional lainnya.

Penubuhan institusi itu juga adalah bagi menyokong hasrat kerajaan persekutuan untuk pembangunan sosio-ekonomi dan sumber daya manusia di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) melalui permerkasaan Program Tranformasi Kerajaan (GTP).

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan pembangunan ekonomi negeri Perlis melalui strategi serampang dua mata, pendidikan dan pelancongan.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa. - BERNAMA

SUMBER:
http://w1.bharian.com.my/bharian/articles/PerlisbakalwujudkanKolejUniversitiIslam/Article/