16 March 2013


PELAJAR PERLU SINGKIR TABIAT MERUGIKAN -  RAJA MUDA PERLIS

KANGAR, 15 Mac (Bernama) – Pelajar perlu menyingkirkan tabiat negatif yang merugikan dengan berhijrah kepada tabiat mulia yang menguntungkan semua pihak, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail jumaat.

Menurut baginda, sebarang tabiat buruk boleh dihakis dan perubahan boleh dilaksanakan dengan disulami semangat kental.

Bertitah merasmikan Program Titian Kasih Mega peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Suleiman, Tunjong dekat sini, baginda berharap golongan pelajar tidak membiarkan tabiat buruk bermukim dalam diri mereka.

Sebaliknya baginda berharap tabiat baharu dapat dijana dan disuburkan dalam diri pelajar bagi membantu mereka membina masa depan dan negara dengan lebih baik.

Pada majlis itu Tuanku Syed Faizuddin turut menyampaikan anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) kepada tiga pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011.

Dua pelajar menerima Anugerah YTSP iaitu Munira Mahamad Noor, 19, dan Musyahadah Zainuddin, 19, dengan masing-masing menerima pingat Anugerah Cemerlang YTSP, sijil dan wang tunai RM 1,000 yang diterima wakil masing-masing.

Munira, beekas pelajar Sekolah Menengah Agama Al Alawiyah Ad Diniah, Arau, Perlis kini menuntut di Universiti Al Azhar, Mesir dalam bidang perubatan di bawah tajaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara Musyahadah sedang menuntut di Universiti Multimedia, Cyberjaya peringkat A Level dalam jurusan kejuruteraan elektronik di bawah tajaan syarikat Telekom Malaysia.

Seorang lagi pelajar Chin Zhao Yi, 19, menerima anugerah khas YSTP berupa sijil dan wang tunai RM 500 yang disampaikan Raja Muda Perlis kepada wakilnya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Derma di Kangar itu, sedang menuntut di Taylors College, di peringkat A Level dalam jurusan Undang-undang di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Pengerusi YTSP turut menyampaikan sumbangan RM50,000 untuk Dana Pendidikan Negeri Perlis yang disampaikan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Berangkat sama ke program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasam Jabatan Pelajaran Negeri Perlis itu, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan turut hadir, pengetua SMK Tengku Suleiman, Nordin Yahya dan Setiausaha YTSP Datuk Johari Mohd Darus.

--BERNAMA

No comments: