04 March 2013


Perlis bakal wujudkan Kolej Universiti Islam

KANGAR: Perlis bakal mewujudkan sebuah institusi pendidikan unik yang berkonsepkan penjanaan pembangunan dana dan sumber daya manusia melalui Program Wakaf Pendidikan (PWP).

Kerajaan persekutuan meluluskan penubuhan institusi yang akan diberi nama Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersembahkan sijil pelawaan penubuhan KUIPs kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sempena majlis menghadap di Istana Arau dekat sini, hari ini. 


Raja Perlis kemudiannya menyerahkan sijil pelawaan itu kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs.

Sementara itu, menurut siaran media MAIPs yang dikeluarkan sempena majlis menghadap itu, KUIPs adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang ditubuhkan oleh MAIPs melalui anak syarikatnya MAIPs Holdings Sdn Bhd.

Penubuhan KUIPs adalah aspirasi Kerajaan Negeri Perlis untuk menjadikan Perlis sebagai hab pendidikan dan pembudayaan ilmu serta syiar Islam yang tersohor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

KUIPs juga akan menjadi institusi pengajian tinggi berteraskan Islam yang unggul di rantau Asean apabila ia menjadi institusi pilihan pelajar Islam dari Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina serta Timor Leste sebagaimana yang disasarkan melalui Amanat Menteri Pengajian Tinggi pada 29 Januari 2013 yang lalu.
Menurut siaran media itu, kurikulum yang disediakan direka supaya setara dengan program pengajian berteraskan Islam yang diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan badan-badan profesional lainnya.

Penubuhan institusi itu juga adalah bagi menyokong hasrat kerajaan persekutuan untuk pembangunan sosio-ekonomi dan sumber daya manusia di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) melalui permerkasaan Program Tranformasi Kerajaan (GTP).

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan pembangunan ekonomi negeri Perlis melalui strategi serampang dua mata, pendidikan dan pelancongan.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa. - BERNAMA

SUMBER:
http://w1.bharian.com.my/bharian/articles/PerlisbakalwujudkanKolejUniversitiIslam/Article/

No comments: