09 March 2013


Raja Perlis Mahu Ketua Jabatan Bersikap Mesra Pelancong Dan Pelabur

KANGAR, 5 Mac (Bernama) – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah meminta ketua jabatan bersikap mesra pelancong dan pelabur di samping mengekalkan sikap mesra kepada rakyat dan pelangan jabatan dan agensi yang mereka terajui.

Titah baginda sikap mesra yang dibudayakan akan member kesan positif kepada pembangunan dan ekonomi negeri di samping kebijaksanaan ketua jabatan menggunakan budi bicara dalam membuat keputusan akan memberi keuntungan jangka panjang dan jangaka pendek kepada negeri.

Bertitah pada majlis menghadap ketua-ketua jabatan yang baru berkhimat di Perlis di Istana Arau Selasa, baginda beharap mereka menggunakan pengalaman bertugas di tempat lain dengan berusaha menjadikan rakyat Perlis berminda kelas pertama terutama dalam suspek kebersihan tandas dan sampah, menepati masa dan disiplin kerja.

“berikan tunjuk ajar, bimbingan dan pendedahan sebanyak mungkin kepada warga kerja masing-masing untuk jadikan Perlis negeri maju. Tegur pekerja dengan berhemah dan membina”, titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin berharap mereka sentiasa memberikan yang terbaik untuk negeri ini dan jangan sekali-kali menjadi penghalang kepada pembangunan negeri sebaliknya sentiasa berusaha membangunkan negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Antara ketua jabatan yang baru bertugas di Perlis dan menghadap baginda hari ini termasuk Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman, Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, Mohd Noor Effendy Abdul Karim, Pengetua MRSM Beseri Perlis, Mohammad Salim Bulat, Pengarah Risda Perlis, Osman Bakar, Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia Cawangan Perlis, Kamrudin Mohd Daud dan Pengurus Besar Telekom Malaysia ™ Perlis dan Kedah, Noor Lela Baba.

Majlis itu adalah siri kedua majlis mengadap ketua-ketua jabatan yang diadakan pada tahun ini.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalalullail manakala hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Azizan Hamid dan Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

--BERNAMA


No comments: