14 February 2013

Wujudkan lebih banyak koperasi masjid - Raja Muda Perlis


KANGAR 11 Feb. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu lebih banyak masjid mewujudkan koperasi bagi menggerakkan kegiatan ekonomi melalui institusi agama itu.
Menurut baginda, koperasi adalah institusi yang paling berkesan dalam membangun dan meningkatkan taraf hidup komuniti kecil seperti kariah masjid, suku kaum dan juga penduduk pribumi dan perkara ini juga telah diakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bertitah merasmikan Seminar Penubuhan Koperasi Kariah Masjid Negeri Perlis anjuran bersama Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di sini hari ini, baginda yakin lebih banyak masjid bakal menubuhkan koperasi tidak lama lagi.
Ini berikutan terdapat penambahan bilangan koperasi kariah masjid di seluruh negara kepada 159 pada tahun lalu berbanding 88 pada 2011 dan angka itu pasti akan bertambah, titah baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs.
Raja Muda bertitah, masjid tidak harus dilihat sebagai tempat ibadah semata-mata sebaliknya ia mempunyai peranan lebih besar termasuk sebagai pusat kegiatan ekonomi, sosial, kebajikan, pendidikan, perundangan, pusat penyatuan ummah dan riadah.
"Budaya Islam tidak memisahkan kegiatan duniawi dengan akhirat malah saling berhubungan dan ini dapat direalisasikan menerusi konsep koperasi," titah baginda pada seminar sehari yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia dan disertai para pegawai masjid seluruh Perlis.
Titah baginda lagi, semua golongan masyarakat seperti orang miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan belia boleh menggunakan saluran koperasi untuk meningkatkan diri dan taraf sosioekonomi mereka.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130212/dn_16/Wujudkan-lebih-banyak-koperasi-masjid---Raja-Muda-Perlis#.URrVDU_Ar0s.facebook#ixzz2Ksif7AkX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comment:

Anonymous said...

Sertai kami di 1kubsb untuk diskaun dan rebat tunai koperasi tuan/puan.