12 February 2013


Solat ketika di dalam masjid

SAYA keliru antara solat sunat Tahiyatul Masjid dengan solat sunat sebelum masuk waktu solat. Adakah ia perlu dilakukan kedua-duanya sekali atau yang mana lebih penting. Minta pandangan ustaz.
Segala pandangan / jawapan yang ustaz berikan, saya sanjung tinggi untuk kebaikan bersama.
*Khalid,
Puchong, Selangor

Solat Tahiyatul Masjid adalah nama yang diberikan oleh sebahagian ahli ilmu untuk solat yang dilakukan sejurus memasuki masjid. Sebahagian yang lain pula hanya menamakannya sebagai solat sunat dua rakaat memasuki masjid.
Dalilnya ialah hadis Abu Qatadah Al-Ansari r.a. katanya, “Saya masuk ke dalam masjid dan mendapati Rasulullah SAW sedang duduk dikelilingi orang ramai lalu saya pun duduk. Maka Rasulullah SAW bersabda, “Apakah yang melarang engkau daripada solat dua rakaat sebelum duduk?" Saya menjawab, “Wahai Rasulullah, saya melihatmu duduk dan orang ramai duduk." Rasulullah bersabda, “Sekiranya seorang daripada kamu memasuki masjid, janganlah dia duduk kecuali selepas solat dua rakaat" (Hadis riwayat Al-Imam Muslim, No. 714).
Hadis ini jelas menunjukkan jika kita masuk masjid hendaklah kita solat sunat dua rakaat sebelum kita duduk. Rasulullah SAW melarang kita daripada duduk di masjid kecuali selepas solat sunat dua rakaat. Justeru jika kita masuk masjid dan ingin duduk, pastikan kita solat terlebih dahulu sebelum duduk.
Jika kita masuk masjid semasa solat jemaah sedang berlangsung, maka solatlah dengan mereka dan selepas solat jemaah bolehlah duduk di masjid tanpa perlu melaksanakan solat Tahiyatul Masjid. Jika kita memasuki masjid selepas azan Zohor, maka laksanakanlah solat sunat qabliyyah dan selepas itu boleh duduk di masjid tanpa perlu melaksanakan solat Tahiyatul Masjid.
Begitulah seterusnya, apa yang penting ialah jika masuk masjid, pastikan kita solat dahulu sebelum duduk. Jika tiada apa-apa solat khusus, maka buatlah Tahiyatul Masjid.
Jika dilakukan solat khusus yang wajib seperti solat Zohor mahupun yang sunat seperti solat Dhuha dan sebagainya maka itu telah memadai dan tidak perlu solat Tahiyatul Masjid.
Di dalam soalan ini ada dinyatakan solat sunat sebelum masuk waktu solat. Ada dua kemungkinan di sini. Kemungkinan pertama, jika saudara maksudkan solat sunat sebelum masuk mana-mana waktu solat fardu lima waktu.
Dalam keadaan ini, kita boleh sahaja solat sunat khusus seperti solat wuduk dan solat dhuha atau solat sunat umum iaitu solat sunat dua rakaat pada mana-mana masa yang tidak dilarang.
Masa yang dilarang ialah selepas solat Subuh hingga terbit matahari, semasa matahari berada tegak di atas kepala hingga masuk waktu Zuhur dan selepas Solat Asar hingga terbenam matahari. Jika solat sunat khusus atau umum itu telah pun dilaksanakan, maka tidak perlu lagi dilaksanakan solat sunat Tahiyatul Masjid.
Kemungkinan kedua, jika saudara maksudkan solat sunat selepas masuk waktu mana-mana solat fardu lima waktu, tetapi sebelum melaksanakan solat fardhu tersebut.
Dalam keadaan ini, jika saudara laksanakan solat sunat qabliyyah maka saudara tidak perlu lagi melaksanakan solat Tahiyatul Masjid. Namun jika saudara laksanakan solat Tahiyatul Masjid maka saudara boleh bangun untuk melaksanakan solat sunat qabliyyah.
Semoga Allah memberi kita semua kekuatan untuk melaksanakan solat-solat fardu dengan diiringi solat-solat sunat yang pelbagai.
*DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia.
Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan di alamat berikut, mingguanmail@gmail.com


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20130106/re_13/Solat-ketika-di-dalam-masjid#.UOoFI2paFso.facebook#ixzz2Ki2z9rqx
© Utusan Melayu (M) Bhd 


SUMBER :http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20130106/re_13/Solat-ketika-di-dalam-masjid#.UOoFI2paFso.facebook

No comments: