12 February 2013


Mahu rakyat utamakan perpaduan menjelang PRU-13



KANGAR 7 Feb. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (gambar) mahu rakyat berbilang kaum dan agama di negera ini mencari pendekatan ke arah meningkatkan perpaduan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Baginda bertitah, ia penting bagi memastikan nikmat kemakmuran dan keamanan yang begitu mahal nilainya terus diwarisi rakyat negara ini.
"Utamakan perpaduan dalam apa jua program yang dianjur. Jangan pula mencari perpecahan dan memporak-perandakan melalui kegiatan yang dianjur," titah baginda merasmikan Ekspo Keusahawanan dan Karnival Mahabbah 2013 di sini semalam.
Baginda berharap ikatan perpaduan itu akan terus utuh sehingga selepas pilihan raya umum kerana mandat yang diberi melalui proses pilihan raya perlu dihormati sebagai pengiktirafan kepada tanggungjawab demokrasi berpelembagaan.
Karnival tiga hari di Dataran Jubli Emas itu adalah anjuran kerajaan negeri Perlis dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Pelbagai kegiatan diadakan pada karnival sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perlis 1434 itu, antaranya pameran oleh jabatan dan agensi kerajaan di samping jualan pelbagai barangan oleh usahawan Islam.
Sempena perasmian itu berlangsung program bual bicara bersama penyanyi nasyid Hafiz Hamidun dan seorang mualaf Lim Jooi Soon yang turut diikuti Raja Muda Perlis.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala yang hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Utara/20130208/wu_02/Mahu-rakyat-utamakan-perpaduan-menjelang-PRU-13#.URQya29SE3U.facebook#ixzz2Ki5WpugY
© Utusan Melayu (M) Bhd 


SUMBER :http://utusan.com.my/utusan/Utara/20130208/wu_02/Mahu-rakyat-utamakan-perpaduan-menjelang-PRU-13#.URQya29SE3U.facebook

No comments: