03 December 2011

TAZKIRAH SEMPENA LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI MALAYSIA



TAZKIRAH SEMPENA LAWATAN RASMI 

YANG AMAT BERHORMAT 
DATO’ SERI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK, 
PERDANA MENTERI MALAYSIA 

KE NEGERI PERLIS 
20 OGOS 2010 

Oleh: 
Sahibus Samahah Dr. Juanda Jaya, 
Mufti Kerajaan Perlis 

PEMIMPIN TAAT, NEGARA BERKAT, RAKYAT SELAMAT


Setiap hari Jumaat, pada penghujung khutbah, Khatib biasanya akan membacakan ayat 90 daripada Surah al-Nahl; 


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya”. 


Ayat ini menerangkan kepada kita tentang dua perkara iaitu titah perintah Allah dan larangan Allah SWT. Perintah itu mencakupi 3 perkara iaitu pentingnya berlaku adil, sentiasa berbuat yang terbaik (al-Ihsan) dan sering memberi bantuan kepada semua makhluk. Manakala larangan pula atas 3 perkara iaitu jangan melakukan perkara keji (al-Fahsya’), jauhi perkara mungkar dan tinggalkan perbuatan kezaliman. 


Menurut sebahagian ahli sejarah, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah memerintahkan ayat ini dibacakan pada penghujung khutbah jumaat pada zamannya, bagi mematikan api fitnah penyalahgunaan mimbar Jumaat untuk tujuan politik kepartian yang berlaku pada zaman sebelum beliau. Umar bin Abdul Aziz melihat bahawa api fitnah yang timbul akibat kezaliman, penyalahgunaan kuasa, penindasan terhadap penentang dan ketaksuban suatu golongan kepada puaknya, hanya dapat dipadamkan dengan kembali Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW. 


Akhirnya, bacaan ini berkekalan dibacakan di atas mimbar Jumaat di sebahagian besar mimbar Jumaat dunia Islam hingga ke hari ini, hasil keikhlasan seorang Khulafa’ al-Rasyidin yang memberi suri teladan kepada semua pemimpin selepasnya, cara untuk menyelesaikan kemelut siyasah dan pengurusan kehidupan umat. 




Peringatan oleh ayat ini bukan hanya suatu rutin yang sia-sia. Kerana ia adalah Kalam Allah, ia adalah nasihat (maw’izah) daripada Allah, titah perintah Allah, tazkirah peringatan daripada Allah, agar kita semua, tidak kira pemimpin mahupun rakyat, pemimpin besar ataupun pemimpin kecil akar umbi dan unit keluarga, semuanya diperintahkan oleh Allah SWT untuk sentiasa berlaku adil; yakni memberikan hak kepada yang berhak, meletakkan sesuatu pada tempatnya, menjauhi kezaliman dan penganiayaan; juga agar sentiasa berbuat ihsan, ibadat yang terbaik, hasil kerja dan khidmat untuk rakyat yang terbaik, pemberian yang terbaik dan agar sentiasa mengutamakan bantuan dan kebaikan diberikan kepada sesama manusia. 


Juga peringatan kepada semua pemimpin dan umat manusia agar sentiasa menjauhi perkara Fahsya’ (keji), mungkar dan Baghyi (kezaliman dan melampaui batasan dalam perbuatan). Jelasnya semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan segala yang keji, mungkar dan kezaliman dihapuskan kerana perkara-perkara jahat ini akan menjadi punca kemurkaan Allah SWT dan punca segala masalah dan bala bencana yang menimpa kita semua. Ia adalah tanggungjawab pemimpin agar memastikan segala jalan ke arah pelesenan dan pewujudan perkara mungkar dihapuskan, juga tanggungjawab rakyat jelata memulau, memboikot, menentang dan menghapuskan apa sahaja premis dan perbuatan kemungkaran yang wujud dalam masyarakat 


YANG AMAT BERHORMAT, 

Rasulullah SAW ikutan dan panduan kita sejak awal lagi telah mengingatkan para pemimpin umat, bahawa mereka adalah orang yang bertanggungjawab menjaga kemaslahatan umat manusia. Para pemimpin akan dipertanggungjawabkan dan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari kiamat nanti tentang apakah tugasan mereka telah dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Mereka akan ditanya apakah Key Perfomance Indicator (KPI) mereka bagi menjaga kemaslahatan rakyat telah tercapai. Bukan hanya menjaga kemaslahatan dunia semata-mata, bahkan kemaslahatan rakyat dari sudut penghayatan keagamaan mereka, memberi nasihat yang baik untuk mereka sentiasa taat kepada Allah SWT juga akan ditanya oleh Allah SWT: 


Sabda Nabi SAW: 


Maksudnya: “Tidak ada seorang pemimpin yang menguruskan urusan umat Islam, kemudian dia tidak berusaha bersungguh-sungguh dalam kerjanya, dan dia tidak memberi nasihat kepada rakyatnya, pasti dia tidak akan masuk syurga bersama-sama mereka” (Hadith Riwayat Muslim) 


Pemimpin bertanggungjawab besar memastikan rakyat jelata sentiasa taat kepada Allah SWT. Pemimpin berkewajipan untuk taat kepada Allah SWT dalam semua perkara, rakyat juga mesti dipastikan turut taat kepada Allah. 


Khalifah Umar bin Abdul Aziz dikatakan oleh satu-satu isterinya yang tercinta, sering menangis di tengah malam, mengeluh atas kelemahan dirinya, yang mungkin lalai dalam menjaga kebajikan rakyatnya, apakah di sana masih ada yang tidur dalam keadaan lapar, apakah di sana masih ada yang bermalam hanya di bawah cahaya rembulan tanpa atap dan dinding, apakah di sana ada yang terbabas kenderaannya akibat jalanraya yang tidak teratur, apakah di sana ada maksiat yang tidak dicegah dan sebagainya. Umar bin Abdul Aziz sering memendam rasa kerana takutkan perbicaraan Allah pada Hari Mahsyar nanti. 


Hal ini tidak pelik kerana generasi Salaf al-Soleh, amat menghayati titah perintah Rasulullah SAW dalam soal tanggungjawab kepimpinan. Antaranya ialah titah Rasulullah SAW: 


Maksudnya: “Tidak ada seorang hamba yang dijadikan oleh Allah sebagai pemimpin kepada rakyatnya, lalu dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, pasti Allah akan mengharamkan syurga untuknya” [Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim]. 
Dalam satu riwayat dinyatakan: “Dia tidak menjaga mereka dengan baik; pasti dia tidak mencium bauan syurga”


YANG AMAT BERHORMAT, 



Nabi SAW memberikan panduan yang lengkap untuk para pemimpin umat. Baginda tidak membiarkan pemimpin selepasnya teraba-raba bagaimana cara untuk membina umat yang berjaya di dunia dan di akhirat. Baginda SAW mendetailkan tugasan para pemimpin. Antaranya ialah sabda baginda SAW: 


Maksudnya: “Sesiapa yang Allah lantik untuk menguruskan urusan umat Islam, lalu dia enggan memenuhi hajat mereka, tidak membantu keperluan dan kefakiran mereka, pasti Allah tidak akan memenuhi hajat, keperluan dan kefakirannya kepada Allah pada hari kiamat kelak” 
[Hadith Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi] 


Lantaran hadith inilah menurut al-Imam al-Nawawi, Muawiyah bin Abu Sufyan sewaktu menjadi Khalifah melantik pegawai-pegawai khusus untuk menunaikan hajat dan keperluan umat. Juga lantaran hadith inilah, pentingnya para pemimpin utama melantik mereka yang benar-benar mampu untuk menjalankan tugasan yang diarahkan, kerana kelalaian dan kesilapan pegawai yang dilantik itu, pemimpin utama juga akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari kiamat kelak. 


Sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi SAW ialah melayan apa sahaja pengaduan umatnya dan memberikan penyelesaian terbaik untuk mereka. Umar bin al-Khattab RA yang sering dirujuk sebagai Bapa Pentadbiran Pemerintahan Islam telah mempraktikkan banyak budaya Good Governance sehingga dikatakan beliau sendiri sering melaksanakan kaedah Management by Walking Around (MWA). Beliau sendiri mempunyai hari bertemu rakyat, beliau sendiri berjalan-jalan malam melihat keperluan rakyat hingga beliau pernah bertemu rakyatnya yang sedang minum arak di dalam premis persendirian, mendengar rintihan isteri yang kesunyian di tengah malam ditinggalkan oleh suami yang dihantar ke medan perang/pekerjaan, merasai tangisan anak-anak yang tidur kelaparan akibat kemiskinan keluarganya yang kehabisan gandum. Umar turun sendiri untuk memastikan kebaikan rakyatnya terpelihara. Dikatakan kalaulah umurnya panjang, pasti Umar akan berjalan sendiri ke seluruh pelusuk dunia Islam waktu itu sejauh Tangier di Moroko, Barat dan sejauh sempadan China di sebelah Timur. Di samping itu Umar turut melantik ‘uyun (perisik) untuk menyiasat apakah para Governor (Menteri Besar) dan pegawai-pegawainya menjalankan tugas dengan jujur dan amanah serta memenuhi keperluan rakyat. Ada yang dipecat dan diganti. Hasilnya rakyat selamat dan negeri berkat akibat keadilan yang dilaksanakan. 


YANG AMAT BERHORMAT, 





Inilah lumrah kehidupan seorang pemimpin yang sentiasa diuji oleh Allah SWT. Hanya dengan memperkuatkan hubungan diri dan peribadi dengan Allah SWT mampu menyelamatkan seorang pemimpin daripada dikelilingi oleh para pembantu dan penasihat yang jahat. Nabi SAW mengingatkan: 


Maksudnya: “Tidak ada seorang Nabi, dan tidak ada seorang pemimpin (Khalifah) melainkan dia akan dikelilingi oleh dua jenis BITANAH pembantu (penasihat, orang kelilingnya yang rapat), pembantu yang menyuruhnya berbuat kejahatan dan menggalakkannya melakukannya. Pemimpin yang selamat hanyalah mereka yang diselamatkan oleh Allah”. (Hadith Riwayat al-Bukhari) 


Memiliki penasihat, pembantu dan pegawai yang berkemampuan dan amanah juga adalah indikator yang diletakkan oleh Rasulullah SAW bagi sebuah kepimpinan yang diberkati oleh Allah SWT. Hal ini dijelaskan lagi dalam hadith: 


Maksudnya: “Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang pemimpin, Allah akan mengurniakan untuknya wazir (menteri, pembantu, penasihat) yang benar (jujur lagi ikhlas), kalau beliau lupa, dia mengingatkannya, dan kalau beliau ingat, dia membantunya. Jika Allah menghendaki selainnya (keburukan untuk seorang pemimpin), Allah akan menjadikan untuk pemimpin itu wazir (menteri, pembantu, penasihat) yang jahat, jika beliau lupa, dia tidak mengingatkannya, dan jika beliau ingat, dia tidak pula membantunya” (Hadith Riwayat Abu Daud) 


YANG AMAT BERHORMAT, 



Inilah beberapa peringatan daripada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW. Inilah sumber pegangan utama dan rujukan negeri ini dalam pengamatan Islamnya, walaupun ada pihak berniat jahat yang cuba mempertikaikan amalan keislaman di negeri ini. Rujukan kami di sini hanyalah berkisar dua sumber utama ini dan tafsiran yang diutamakan adalah tafsiran para sahabat dan Salaf al-Soleh terhadap nas syarak kerana mereka diyakini lebih mengetahui dan memahami nas berkenaan. 


Pandangan semua ulama muktabar adalah diterima, tetapi pengamalan terpilih adalah berdasarkan ketepatan mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Inilah yang menjadikan pandangan agama moderat, semasa dan berpijak di bumi nyata tanpa bayangan pandangan yang mundur lagi kolot. 


Lantaran itu kadang-kadang kami menawarkan penyelesaian yang berbeza berbanding tempat lain di negara ini bagi menyelesaikan isu membabitkan umat Islam, kerana kami yakin hanya nas yang maksum daripada al-Quran dan al-Sunnah sahaja yang mampu menyelamatkan manusia dan menjaga imej Umat Islam. Sebagai contoh dalam isu pemelukan Agama Islam, kita menggalakkan agar nama asal dikekalkan bagi membuktikan Islam itu bererti Islam, bukannya masuk Melayu. 


Dalam isu anak zina yang mengakibatkan pembuangan bayi berleluasa pada hari ini, kami berpendapat sejak tahun 2006 dan sebelumnya, anak zina atau luar nikah itu adalah anak yang diakui hasil daripada zina. Kalau ibu dan bapanya mendakwa itu anak mereka walaupun lahir kurang 6 bulan daripada tarikh akad nikah, maka anak itu adalah anak mereka yang sah taraf. Soal nasab adalah termasuk al-Daruriyat al-Khamsah. 


Manakala soal tuduhan zina tanpa saksi 4 mata yang sahih, adalah isu yang berbeza dengan isu sabitan nasab keturunan manusia. Yang salah tetap salah, tetapi Allah SWT itu Maha Pengampun kepada hambanya. Tutuplah aib yang Allah sudah tutupkan, sebagaimana tegas Nabi SAW kepada Abu Bakar apabila Abu Bakar melaporkan ada hamba Allah yang mengaku dirinya telah berzina. 


YANG AMAT BERHORMAT, 





Lahir daripada rasa cinta kepada agama dan negara inilah, maka tazkirah ini dikongsi pada hari ini, kerana Nabi SAW menjanjikan Pemimpin yang adil kepada rakyatnya adalah orang yang pertama daripada 7 jenis manusia yang akan dinaungi perlindungan Allah pada hari kiamat nanti, hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan Allah (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 


Juga pemimpin yang adil dalam pemerintahannya, terhadap ahli keluarganya dan terhadap rakyatnya akan didudukkan atas singgahsana cahaya di sisi Allah SWT pada hari akhirat kelak (Hadith Riwayat Muslim). Bahkan dalam hadith riwayat Muslim yang lain Nabi SAW menyebutkan ahli syurga tiga jenis manusia; antaranya Pemimpin yang adil lagi bijaksana.


Sekiranya pemimpin memimpin dengan adil menurut tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah, maka wajiblah atas rakyat mentaatinya selagi mana bukan pada perkara maksiat dan dosa. Sabda Nabi SAW 


Maksudnya “Wajib atas setiap Muslim itu dengar dan taat dalam perkara yang disukai dan dibenci, kecuali jika diperintah melakukan maksiat, jika diperintah melakukan maksiat, maka tidak wajib mendengar dan tidak wajib taat” (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Ketaatan rakyat sebegini dinyatatakan oleh Usamah bin Zaid kepada Ali bin Abu Talib sewaktu beliau menjadi Khalifah pada zaman fitnah pertempuran di antara sesama umat Islam: 


Maksudnya: “Wahai Amirul Mukminin, kalaulah kamu dimasukkan ke dalam mulut singa (kerana mempertahankan kebenaran) maka aku akan masuk ke dalamnya bersama kamu tetapi aku tak boleh bertolak ansur dalam soal masuk ke dalam api neraka (akibat pertempuran sesama umat)” (Hadith Riwayat al-Bukhari) 


Maka, sikap saling memerlukan di antara pemimpin yang taat kepada Allah dan rakyat yang mentaati Allah, bagi memastikan Negara berkat dan rakyat selamat inilah, Nabi SAW memberi indikator kesepaduan yang kukuh bagi sebuah Negara. Sabda Nabi SAW: 


Maksudnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang kamu mencintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, dan seburuk-buruk pemimpin kamu ialah kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu” (Hadith Riwayat Muslim) 


Kalaulah keadaan baik dikekalkan, pemimpin dan rakyat saling mencintai dan mendoakan sesama mereka, pasti kesatuan dan perpaduan Negara dapat diperkukuhkan. Tetapi sebaliknya, kalau berlaku penyelewengan dan kezaliman, maka pasti kelemahan dan perpecahan menghampiri kita semua. 


YANG AMAT BERHORMAT, 

Para ulama Salaf menganjurkan agar doa yang terbaik itu ditujukan kepada para pemimpin, kerana baiknya pemimpin akan membawa kebaikan kepada rakyat jelata dan buruknya pemimpin akan membawa bencana kepada kita semua. Aisyah RA menceritakan bahawa beliau mendengar Nabi SAW berdoa di dalam rumahnya: 


Maksudnya: “Ya Allah, sesiapa yang dilantik menguruskan urusan umatku, lalu dia menyusahkan mereka, maka susahkanlah mereka. Ya Allah, sesiapa yang menguruskan urusan umatku, lalu dia bersifat kasih kepada mereka, maka kasihlah mereka”. (Hadith Riwayat Muslim) 


Marilah kita semua pada bulan yang mulia ini mendoakan agar Allah SWT memberikan petunjuk dan hidayah kepada semua pemimpin kita, semoga Allah melembutkan hati-hati mereka agar sentiasa melakukan keadilan kepada rakyat jelata, mengutamakan kebajikan rakyat dan memastikan hak mereka semua dipenuhi. Juga semoga Allah mengurniakan para pemimpin kita dengan para pembantu dan penasihat yang jujur lagi amanah dan menjauhi para pemimpin kita daripada para pembantu dan penasihat yang jahat lagi khianat. Semoga Allah jadikan Negeri Perlis ini kekal aman sentosa dan semoga Allah terus memelihara Malaysia kekal bersatu-padu gagah perkasa selama-lamanya. Amin 


Sumber: Facebook rasmi Sahibus Samahah Dr. Juanda Jaya, Mufti Kerajaan Perlis

No comments: