05 December 2011

Raja Muda Perlis mahu tulisan Jawi dimartabatkan



Sisipan ini dipetik dari laporan web Malaysiakini yang bertarikh 5 Disember 2011. Laporan seperti di bawah boleh juga dilawati terus ke sesawang http://www.malaysiakini.com/news/183227

Raja Muda Perlis mahu tulisan Jawi dimartabatkan

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu semua pihak memartabatkan tulisan Jawi ke tahap lebih tinggi setara dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 

 "Pada hari ini, kita menghadapi satu persimpangan dan persoalan realiti iaitu bagaimana kita selaku generasi pewaris hendak menjulang tulisan Jawi ke suatu tahap baharu di era globalisasi ini, sebagai identiti dan lambang jati diri kita,” titah baginda semasa merasmikan Persidangan Kebangsaan Tulisan Jawi kali kedua dan Karnival Jawi 2011 di Perpustakaan Negara di Kuala Lumpur hari ini. 

Menurut baginda, selain program-program lebih menyeluruh perlu dilakukan secara berterusan oleh semua pihak, usaha ke arah itu juga perlu dilakukan melalui medium yang pelbagai termasuk melalui bidang teknologi. 

 "Medium IT yang digemari masyarakat kini juga harus digunakan oleh penggiat tulisan jawi dengan mengeksploitasi apa sahaja media baru dalam menyampaikan atau akses segera dalam usaha mempercepatkan proses pengajaran dan pembelajarannya,” titah baginda.

 Bimbang dengan perkembangan terkini di mana tulisan itu hanya dicetak di dokumen berkaitan urusan agama dan hanya menjadi tempelan di papan tanda, baginda menyarankan agar akhbar Utusan Malaysia dapat menyediakan sekurang-kurangnya satu muka surat tulisan Jawi setiap hari berbanding sekali pada setiap minggu pada masa ini. 

 Tuanku Syed Faizuddin bertitah pendedahan tulisan Jawi kepada kaum bukan Melayu juga perlu dipergiatkan lagi melalui pelbagai pendekatan bagi mengikis persepsi bahawa mempelajari tulisan itu "tidak bermakna masuk Melayu atau masuk Islam". Sambil memuji usaha kerajaan setakat ini dalam membudayakan tulisan berkenaan, baginda bertitah bahawa antara impak positif daripada memartabatkan tulisan itu ialah mengekalkan identiti Melayu Islam. "Ini kerana banyak rujukan klasik atau buku agama, sastera dan undang-undang ditulis dalam tulisan Jawi. Tulisan Jawi juga akan memudahkan pengenalan kepada pembacaan Al-Quran," titah baginda. 

 Baginda menyarankan agar pembelajaran tulisan itu di sekolah rendah dapat diteruskan ke tingkat sekolah menengah. 

 - Bernama

No comments: