12 November 2011

Jangan terpengaruh budaya negatif - Raja Muda Perlis



Dipetik dari akhbar Utusan Malaysia pada 12 November 2011, boleh juga dirujuk terus di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_02.htm
ARAU 11 Nov. - Para pelajar dinasihatkan supaya jangan mudah terpengaruh dengan budaya-budaya luar yang negatif bagi mengelakkan gejala songsang yang kini semakin serius melangkaui batas agama dan adat resam di negara ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sebaliknya para pelajar perlu bijak mengambil dan menilai aspek-aspek budaya yang efisien dan positif.

"Dalam keadaan semasa kini, negara sering dihangatkan dengan gejala-gejala songsang, kita bimbang sekiranya dibiarkan berterusan, ia akan menjadi barah yang menular dalam kalangan masyarakat," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena perjumpaan pelajar ke Jepun anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) di Galeri Diraja Arau di sini, petang semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Ketsuro Kai dan Pengarah Pelajaran Negeri Perlis, Dun Kasa.

Sehubungan itu, titah baginda, para pelajar perlu mempunyai benteng diri sebaik mungkin bagi mengelakkan diri daripada terjerumus dalam bibit-bibit permulaan kepada sesuatu gejala yang tidak sihat.

Seramai 20 pelajar dan dua guru terpilih menyertai program pertukaran pelajar antarabangsa YTSP anjuran The Awaji Education Institutions For The Youth dengan kerjasama pejabat Tourism Malaysia Osaka dan Jabatan Pelajaran Negeri Perlis.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Pelajaran, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun.

Mengenai program pertukaran selama dua minggu itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sejajar dengan Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1982, ia mendedahkan tentang kewibawaan rakyat Jepun.

"Mereka sentiasa cuba menguasai ilmu, mempertingkatkan inovasi canggih serta kemahiran tinggi masing-masing dari semasa ke semasa," titah baginda.

No comments: