16 November 2011

CATATAN 18 HARI PERJALANAN HAJI MUFTI



Nota: Artikel ini adalah hasil gabungan catatan panjang, nota pendek serta puisi khas Mufti Kerajaan Perlis, SS Dr Juanda Jaya yang beliau kongsikan di Wall Facebook beliau. Untuk makluman, beliau dan isteri Ustazah Ahshanti Ahmad telah menyempurnakan manasik Haji dalam suatu perjalanan lebih kurang 18 hari iaitu dari rabu 26 Oktober sehingga ahad 13 November 2011. Sahibus Samahah Dr. Juanda Jaya juga merupakan Penasihat Persatuan Al-Islah Perlis. Semoga bermanfaat. 
 .. Hari terakhir berada di Madinah al-Munawwarah sejak subuh Jumaat yang lalu pada permulaan hari-hari yang Allah muliakan iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Bumi Madinah barakah atas lisan Nabi Muhammad SAW. Baginda berdoa agar Allah kabulkan hasratnya menjadikan Madinah bumi barakah sebagaimana Ibrahim AS memohon agar Makkah diberkati. Maka Allah kabulkan doa baginda. Baginda jelaskan kepada kita kawasan yang diberkati dan diharamkan itu di antara kawasan dua bukit Thur dan 'Eir. Bahkan diancamkan laknat Allah, Rasul, Mukminin dan manusia seluruhnya terhadap sesiapa yang melakukan ilhad dan kerosakan dibumi mulia ini. Ya! Kemuliaan dan keberkatan itu mestilah berdasarkan NAS, bukannya nafsu manusia. Keberkatan itu perkara tawqifi, bukan perkara yang diagak-agak dan direka oleh nafsu nafsi. Saya agak pelik sejak akhir-akhir ini jemaah Malaysia semakin terdedah dengan tempat yang 'dikatakan' barakah dan bersejarah, padahal tidak wujud nas dan fakta sejarah yang mengesahkanya. Sepatutnya, ziarah ke Madinah mendekatkan lagi diri kepada Sunnah, bukannya mendedahkan diri kepada Punah akibat kejahilan dan taqlid membuta tuli. Madinah al-Rasul! Hati ini sentiasa membuak rindu kepadamu! ... 
 .. Sebentar lagi Zohor di Madinatur Rasul. Kami akan ke Makkah al-Mukarramah sekitar waktu Asar. Suatu yang amat membingungkan saya, jemaah haji Malaysia masih didedahkan dengan amalan pelik, Iaitu amalan ziarah wadak kepada Masjid dan Maqam. Dari mana ada nas syarak suruh buat perkara ini? Kalau dulu, fahaman 40 waktu solat di Masjid Nabawi dapat dihilangkan, hasil kertas kerja YBhg Datuk Kaya Bakti Prof Madya Dr Mohd Radzi Othman, AJK Fatwa Perlis dan Pensyarah USM, maka kenapa fahaman yang jelas tiada nas ini iaitu ziarah wadak payah bebenor nak diperjelaskan tentang ketidaksahihan fahaman ini, seterus tidak diminta jemaah melakukannya. Ya, kita amat kasihkan Nabi saw, kita datang atas perintah baginda untuk ziarah dan solat di Masjid Nabawi. Sepatutnya, ziarah Madinah menjadikan kita lebih dekat kepada Sunnah, bukannya terus tenggelam dan leka terikut-ikut dengan amalan yang tiada asasnya dalam agama ... 
 CATATAN 03. SAFAR MENUJU MAKKAH
 ... Perjalanan dari Madinatur Rasul cukup mulus. Kami tidak singgah di Masjid Miqat di Bir Aliy kerana dilaporkan masjid penuh sesak dengan jemaah umrah hendak menuju Makkah. Kami bertolak sewaktu laungan azan Asar bergema dari Masjid Nabawi. Sayu sungguh rasa hati berpisah dengan masjid kedua paling mulia ini. Apakan daya, perjalanan seterusnya menuju Masjid paling mulia dan paling agung di Haram Makkiy. Kami telah dilayan dengan cukup sempurna oleh petugas di Madinatur Rasul. Semoga Allah membalas usaha mereka. Sebagai mantan petugas haji dan mantan pakar rujuk dan penasihat Ibadat Haji 1996-2008, saya tahu itu bukan tugas asasi mereka. Itu hanya sedekah daripada para petugas. Tugas mereka ke Tanah Suci ialah untuk berkhidmat dengan jemaah dan orang kampung yang bersusah payah menyediakan nafqah untuk ke Tanah Suci. Bukanlah untuk melayan hamba yang menumpang ini. Nasib baik ketibaan kami pada waktu tiada jemaah haji lagi. Semua sudah ke Mekah. Kalau tidak, alangkah terkilan hati hamba ini yang tahu dan memahami dengan penuh mendalam perasaan petugas apabila dibebankan dengan tugasan atas klausa 'menjalankan sebarang arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa'. Ya Allah! Hambamu datang beribadat, bukan nak menyusahkan sesiapa. Standard perjalanan ke Mekah dimulakan dengan petugas mengajar jemaah cara berniat. Wow! Demikian teruknya taqlid kita. Dalam ibadat khusus seperti inipun nak minta suap dan subsidi! Apa yang payah sangat dengan berniat. Bukankah niat itu dalam hati. Memadailah dengan ajaran Nabi SAW yang mengajarkan niat umrah dengan berkata, LabbaikalLahumma Umrata atau untuk haji, LabbaikalLahumma Hajja. Ini jemaah diajar dengan niat yang panjang lebar. Teringin jugak nak mengusik adik-adik yang menjadi pembimbing; Enta yang memimpin berniat tadi tu, tak pakai ihram, kenapa? Bukankah bila dah berniat dengan lafaz tu dah jadi berniat menurut sebahagian pandangan ulama? Pakailah ihram sekali. Atau petugas ada kekecualian pula? Agama ini mudah, jangan dipersusahkan. Agama ini jelas, maka jangan dikonfiuskan! Akibat sukakan subsidi, akhirnya jemaah menjadi lembik dan sentiasa bergantung kepada tongkat. Sampai bila? Umat yang taqlid tidak akan maju kerana minda mereka sentiasa terjajah. Sepanjang jalan ke Makkah, jalan cukup bagus dan tidak berlubang. Tanpa tol! Itu sudah pasti. Tanpa ada pembaikian yang mengganggu perjalanan. Malu rasanya bila mengenangkan tanahair tercinta. Dengan tolnya, dengan pelbagai perkara yang menyesakkan dompet ummat. Tempat persinggahan juga semakin baik. Jauh bezanya berbanding 20 tahun lalu sewaktu pertama kali hamba ini mengunjungi Tanah Suci. Masjid, kedai makan, tandas, supermarket dan sebagainya wujud di sepanjang persinggahan jalan. Mereka semakin memahami kehendak manusiawi. Berapakah harga petrol mereka? Carik lah sendiri bila ke Mekah nanti! Yang pasti mereka pengeluar minyak dan begitu jugak kita. Mereka bukan hanya ada 95, bahkan 91 pun ada. Barangkali itu untuk yang terlampau marhaen yang hanya perlu membayar dengan syiling halalah mereka. Kenapa kita tak mau belajar daripada kebaikan orang lain? Sifat manusia, mereka mahukan yang murah dan mudah. Permudahkanlah manusia! Agaknya pemerintah mereka mengambil sikap tidak mahu berniaga dengan rakyatnya. Malu! Nak meniaga, meniagalah dengan orang luar. Itu tanda kasih sayang pemerintah kepada rakyatnya... 

CATATAN 04. HARI KEDUA DI MEKAH - SOLAT ISTISQA' ULAMA DAN UMARA 
... Kelmarin setelah subuh, sejurus selepas matahari terbit, pihak Masjidil Haram mengadakan solat Istisqa' (solat minta hujan). Kabarnya ia dilakukan di seluruh Mamlakah. Di Masjidil Haram, Imam Solat ialah al-Shaikh Shuraiym yang dikenali dan diminati kelunakan suaranya oleh para jemaah haji seluruh dunia termasuk Malaysia. Shaikh Shuraym seorang yang amat mudah sebak. Suaranya sayu meruntun jiwa. Makmum utamanya ialah Emir Kota Makkah, Khalid al-Faysal bin Abdul Aziz al-Su'ud. Juga Speaker Dewan Syura Saudi, Shaikh Ben Humayd yang juga Ketua Imam Masjidil Haram. Di samping para pegawai kanan Saudi dan ratusan ribu umat Islam. Antara ungkapan paling menyentuh hati dalam Khutbah Istisqa' Shaikh Shuraym ialah beliau memetik ungkapan Abdullah bin Mas'ud tentang punca hilangnya iman manusia akibat perangai mengampu. Ia suatu perbuatan yang amat Allah murkai hingga boleh mengundang bala kepada umat manusia. Abdullah bin Mas'ud menyatakan tentang manusia yang berjumpa pembesar dengan memuji pembesar itu dengan demikian dan demikian bentuk pujian dan ampuan sambil mengharapkan reda dan habuan daripada pembesar itu. Kata Ibnu Mas'ud, manusia itu balik setelah perjumpaan itu dalam keadaan imannya sudah hilang kerana dia tidak mencari reda Allah, bahkan mengampu untuk mendapatkan reda manusia. Astaghfirullah! Sungguh sayu seduan tangisan Shaikh Shuraym menaqalkan ingatan sahabat ini tentang dosa-dosa manusia yang menghapuskan amalan mereka dan mengundang kemurkaan Allah. Shaikh Shuraym juga mengingatkan tentang punca bala Allah turunkan kepada manusia selain sifat jahat manusia yang mengutamakan reda manusia hingga membekalangkan reda Allah, ialah sifat tamak haloba yang tiada batasannya. Kata beliau, hari ini ramai yang makan, tapi tak pernah kenyang, ramai yang mengumpul harta tapi tak pernah cukup, ramai yang mengampu tetapi tak pernah puas. Allah! Ampunilah hamba-hamba-Mu. Astaghfirullah! Sendunya tangisan Shaikh Shuraym mengundang tangisan para jemaah yang memahami bahasa Arab beliau yang amat mudah lagi menusuk kalbu. Kelihatan Sang Emir yang duduk di kaki mimbar, di hadapan Khatib turut mengesat airmatanya akibat ingatan dosa-dosa dan perlakuan manusia ini. Pemandangan cukup indah gandingan umara dan ulama yang saling mengingati tugas dan tanggungjawab memelihara iman umatnya. Inilah sepatutnya yang dikutip oleh para jemaah sewaktu berada di Tanah Suci. Saki baki amalan Salaf dan Sunnah Nabi SAW yang hampir tidak wujud di tempat kita. Bagaimana mungkin negara boleh kekal dirahmati jika para ulama tidak diberikan peluang sebebas-bebasnya menasihatkan ummah dan perlakuan jahat mereka yang lari daripada agama dengan sandaran asas agama yang kukuh? Para umara perlu mengkaji hal ini. Pada pihak para ulama pula, sampai bila perlu ada rasa gerun dengan umara apabila menyampaikan yang haq? Bukankah kebenaran yang disampaikan itu adalah untuk memelihara iman dirinya dan iman umatnya. Bukankah dengan terpeliharanya iman, maka rahmat Allah akan berterusan turun mencurah dari langit. Langit dan bumi jadi saksi perlakuan kita semua. Hari akhirat nanti Allah akan membalas dan menilai menurut amalan kita. Umara akan dihisab, ulama juga tidak akan terlepas. Ya Allah, ampunilah kami! Betapa daif dan lemahnya diri ini. Astaghfirullah! Ya Allah! Turunkanlah hujan rahmat-Mu di bumi yang mulia ini. Amin! ... 
 05. AUKU, TAKLIF HAMBA, GHANUCCHI 
... Saya mendengar berita mengenai pertikaian AUKU di Mahkamah Rayuan daripada rawiy a'la, (menurut ungkapan Ahlil Hadis). Terasa urusan mahukan kebebasan di Malaysia semakin membuak sehingga pihak Mahkamah Rayuan juga merasakan bahawa undang-undang aneh dan kontradik dengan Perlembagaan ini wajar dipencenkan serta merta. Terasa lucu bila mendengar penghakiman Hakim bicara bahawa para mahasiswa adalah manusia yang telah akil baligh, sudah sampai sinnul rusydi (umur majoriti), sudah boleh kahwin, sudah boleh menjadi pengarah syarikat, sudah boleh mengundi pada usia mereka 21 tahun, dll.com lagi. Apakah selama ini tiada siapa yang sedar bahawa semua mahasiswa mahasiswi kita adalah manusia yang sudah mukallaf sehingga mereka wajar untuk bebas bersuara kerana mereka sudah mukallaf dan akan dipertanggungjawabkan atas apa sahaja yang mereka lakukan dengan sukarela? Kenapa baru sekarang? Namun ia bukan terlalu lewat untuk kita mengakhiri episod hodoh dalam sejarah kebebasan negara kita. Saya amat bersetuju AUKU dihapuskan walaupun ada sedikit kebimbangan tentang masa depan pelajaran para mahasiswa berkenaan yang mungkin terjejas. Namun kebimbangan itu boleh diketepikan jika pihak Universiti mewujudkan peraturan yang mewajibkan mahasiswa menghadiri kuliah dan tutorial di dewan kuliah dan kelas mereka. Agar mereka kekal sebagai mahasiswa yang berilmu dengan sempurna dan membawa idealisme mereka dengan ilmu yang jelas. Pengalaman di al-Azhar menunjukkan kebebasan berpolitik dikalangan pelajar hingga ke batas mengabaikan pelajaran banyak membawa unsur negatif. Namun ia bukan alasan untuk mengekang pengaruh politik daripada pelajar. Biarkan pelajar matang sejak alam universiti lagi sebelum mereka menempuh alam sebenar. Umum mengetahui mahasiswa Malaysia di luar negara bebas berpolitik. Maka kenapa perlu ada dwistandard? Bahkan sewajarnya aktiviti berpolitik dijadikan ruang untuk mematangkan pelajar dan mendedahkan mereka kepada alam praktikal. Kalau nak kawal, wujudkan mekanisme agar mereka tidak mengabaikan pelajaran. Pandailah mahasiswa bahagikan masa belajar dengan aktivisme mereka. Pengalaman menunjukkan akibat dikekang aktivisme di Universiti menjadikan kita ketandusan pemimpin dan semangat volunteerism. Sudah sampai masanya Seksyen 15 itu dimansuhkan dan dihapuskan. Saya amat setuju dengan pandangan YB Datuk Saifudin Abdullah Timbalan Menteri KPT. Diharap ia juga adalah semangat yang wujud pada Menteri KPT yang sepatutnya lebih menyebelahi kepentingan mahasiswa. Sudah sampai masanya mahasiswa yang sudah baligh ini diberikan taklif kerana umur mereka sudah mukallaf. Bagilah kebebasan agar taklif itu benar benar berada di atas batu jemala mahasiswa. Bak kata Shaikh Ghannuchi, orang yang tidak ada kebebasan, tiada taklif baginya, kerana mereka bukan orang merdeka (@ mereka masih kategori hamba). Huhuhu! Sedih kalau status mahasiswa kita masih belum mukallaf yang sempurna sedangkan umur baligh mereka sudah telajak. ... PEtikan Utusan Malaysia. Rayuan 4 penuntut UKM dibenar Oleh NORLIZAH ABAS pengarang@utusan.com.my PUTRAJAYA 31 Okt. - Mahasiswa kini dibenar menzahirkan sokongan atau bangkangan terhadap kegiatan parti politik sama ada dalam atau luar negara selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU), terbatal dan melanggar Perlembagaan. Dengan keputusan bersejarah itu, seksyen tersebut yang sebelum ini menyekat para penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat atau menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap parti-parti politik, diputuskan sebagai tidak sah di sisi undang-undang. Keputusan majoriti 2-1 itu dicapai oleh panel tiga hakim selepas membenarkan rayuan empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor, April tahun lalu. Hakim Datuk Wira Low Hop Bing yang mengetuai sidang menolak rayuan penuntut-penuntut jurusan Sains Politik itu, manakala Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus dan Hakim Datuk Linton Albert membenarkannya. 
 06. TAQLID DOA BURUNG KAKAK TUA 
... Hamba memerhati budaya taqlid yang sudah mengakar dikalangan umat Islam menjadikan umat ini terlalu lemah dalam segala hal. Semuanya mahukan subsidi dan ikutan percuma. Sama ada yang diikut itu selamat atau tidak, ia bukan urusan dirinya. Yang penting ikut sebab orang lain pun macam tu jugak. Takpe, kan ramai yang buat gitu! Kalau salah pun takpe, sebab ramai orang lain jugak buat salah. Bukan saya sorang, katanya dengan penuh jahil. Pelbagai gelagat umat yang datang dari seluruh dunia Islam di sisi Tanah Haram Makkah wajar diperhatikan untuk dijadikan ibrah. Hatta di hadapan BaitulLah gelagat ini amat menyedihkan! Lucu, tapi menyedihkan kerana ia adalah refleksi kekuatan dan kelemahan umat ini. Kalaulah dihadapan BaitulLah pun mereka tidak serius dan ambil berat soal waktu berhadapan dengan Allah, maka bagaimanakah mereka nak berhadapan dengan manusia seluruhnya bagi membawa risalah Islam dengan serius. Sewaktu hamba sedang tawaf di pertengahan waktu duha, dengan kesesakan mataf, ramainya manusia, juga mereka yang suka menjerit di hadapan Tuahannya, sedangan Tuhan kita bukanlah pekak dan tuli, tiba-tiba berlari seorang hamba Allah dari negeri antah berantah, berlari sambil melanggar dan menolak jemaah lain dengan kasar sambil menjeritkan doa dan munajat Nabi Yunus AS sewaktu ditelan lautan; La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minaz zalimin - Tiada Tuhan yang disembah kecuali Engkau Ya Allah, maha suci Engkau ya Allah, sesungguhnya aku termasuk orang orang yang zalim! Masya Allah! Doa yang sepatutnya menusuk kalbu dan munajat yang sepatutnya menyentuh jiwa hingga menjadikan hamba itu tunduk merendah diri di hadapan Allah akibat perlakuan dosa dan kezalimannya. Mungkin akibat taqlid dan buta terhadap maksud doa itu, dia menjeritkan doa itu sambil mengakui kezalimannya dan pada masa yang sama dia zalim kepada orang lain yang sedang melakukan tawaf, dengan menolak, menghimpit dan mengganggu orang lain. Apakah ada tafsiran lain dpd zalimnya perbuatan beliau ini di hadapan BaitulLah dan terhadap sesama Muslim? Tiba tiba dia berdoa dan berlaku zalim sewaktu doanya. SubhanalLah! Inilah akibat taqlid buta dan hidup macam burung kakaktua. Menghafal sesuatu tanpa faham maksudnya, apatah lagi untuk menghayatinya. Maka bagaimanakah Allah Yang Maha Agung akan menerima amalannya? Terdetik di hati, apakah hal yang sama berlaku kepada pembesar negara sewaktu tawaf dan saie? Hanya ikut umpama burung kakaktua terhadap mutawif dan tidak tahu apa yang dijeritkan sewaktu tawaf. Kalaulah urusan negara yang detil dan halus dapat dipelajari, maka mengapa urusan agama yang amat sedikit dan mudah ini diabaikan dan diserahkan bulat bulat pada tangan pembimbingnya? Maka bagaimanakah munajat kepada Allah di hadapan Rumahnya BaitulLah boleh mengetuk kalbu, mencetus minda dan mengatur citarasa beragama. Kita ini manusia mukallaf, bukannya burung kakaktua! 
 07. TAWAF ABU JAHAL 
 Mutawif membawa maksud penganjur dan pembimbing urusan tawaf dan ibadat dalam Masjidil Haram. Dia akan membawa dan membimbing jemaah haji melakukan tawaf, saie dan bergunting. Dia juga membimbing membacakan doa menurut kehendak dirinya dan sesuka hati dan citarasanya, walaupun dia pasti Nabi SAW tidak pernah mengajarkannya berdoa dan berbuat sedemikian. Manakala jemaah yang mengikutinya hanya mengikut sekehendak hati mutawif yang diikuti tanpa perlu bertanya atau mempersoalkan kesahihan perlakuan mutawif kerana mutawif dianggap orang yang paling mengetahui urusan dalam Masjidil Haram. Mutawif digunakan khidmatnya oleh jemaah haji yang marhaen, juga digunakan oleh jemaah haji bertaraf dewa-dewa. Bagi jemaah marhaen, mereka akan dipandu umpama anak itik dan ibunya. Malangnya ibu itik lebih bertanggungjawab sebab dia akan sentiasa menghitung bilangan anaknya, tetapi mutawif biasanya bermula dengan ratusan jemaah dan berakhir dengan beberapa keratan jemaah. Tetapi Tips jemaah tetap diterima dengan kadar yang penuh. Bagi jemaah dewa dewa pula, mutawif yang biasa dijadikan mangsa adalah petugas haji. Kadang kadang mutawif rasmi dalam masjid juga dijadikan tekong. Namun tekong senegara akan lebih diutamakan hingga tekong tempatan biasanya kecil hati kerana tips akan terlepas. Tekong senegara pula selalunya gratis sebab nak ambik hati dewa dewa yang tak pasti ada hati perut atau tidak, atas alasan memang dah tugas petugas haji menjadi abdi di tempat Khadam Dua Tanah Suci. Hamba ini amat menyampah dengan khidmat yang dipaksakan kepada petugas ini. Hamba tak pasti ada atau tidak tips? Atau ada merit untuk petugas? Atau apakah sah di sisi syarak dapatkan tips itu? Atau berpahalakah memaksakan petugas haji dengan kerja seperti ini? Ini lagi satu budaya taqlid, subsidi dan ibadat burung kakaktua yang menimpa umat ini. Mereka Menjadikan urusan ibadat mereka hanya ritual yang kosong tanpa makna. Sebab itu bila dewa dewa ini balik negeri, perangai lama masih ada sebab perangai burung kakaktua dalam beragama itu masih dipertahankan dan diperjuangkan. Jangan bagi dewa dewa ni berdoa sendiri, kesian dia, takpe, kita bacakan doa untuk dia, nanti dia aminkan! Aik! Dia tau ker apa yang kita doakan! Lantak ler, kan dia aminkan doa kita tu. Ermmmm, doa sekadar dipinggiran je ler, mana dia tau. AstaghfirulLah! Kalaulah begini yang berlaku kepada pembesar kita, bagaimanakah umat ini akan jadi soleh, sedangkan umat akan akan jadi soleh apabila pembesarnya juga jadi insan yang soleh. Insan yang soleh tahu dan faham amal ibadatnya. Dia dekat secara peribadi dengan Tuhannya. Dia tau apa yang dia minta. Dia faham apa yang dia munajatkan. Dia merintih sendiri kepada Allah mengadukan kelemahan dirinya dan mengharapkan limpahan rahmat dan kekuatan dari sisi Allah. Para ulama wajar menyusupkan fahaman sebegini kepada para umara. Tetapi pilihan tetap ditangan umara sendiri untuk memilih dan menentukan pembimbing dirinya dan pembantu untuknya dalam urusan agama dan Tuhannya. Sudah pasti umara dikelilingi oleh banyak benteng yang padu dan kebal menjadikan mereka sukar untuk telus dan tembus dengan kebenaran. Sebab itu para juak juak ini akan mengelilingkan dewa dewa ini sewaktu tawaf dan saie dengan para petugas yang marhaen lagi masakin tadi. Mereka akan menghimpit dan mengasak jemaah lain di mataf dan mas'aa. Mereka sanggup berdosa demi keselesaan dewa dewa ini. Khusyuk ker tawaf dan saie macam tu? Apakah depan BaitulLah masih nak dapat subsidi dan bangga diri menyusahkan orang? Ya Allah, ampunilah hamba hamba mu ini. Saya terbayangkan kaedah Abu Jahal dulu tawaf. Beliau pembesar Mekah. Beliau meraikan jemaah haji yang datang dari luar Mekah. Dia tawaf bersendirian. Dia tidak bawa juak juak untuk mengelilinginya waktu tawaf bagi menolak dan mengasak orang lain demi keselesaan dirinya. Abu Jahal adalah di antara penguasa Kaabah pada zamannya, tetapi dia tidak menyusahkan orang lain dan penziarah BaitulLah sewaktu melakukan tawafnya! AstaghfirulLah .... 
 08. NYANYIAN DI DALAM RUMAH ALLAH - MASJIDIL HARAM 
Manusia sukakan nyanyian dan bunyi bunyian. Itu hal yang fitrah bagi insan yang normal. Bagi yang abnormal, mereka tak termasuk hitungan di sini. Nyanyian akan menusuk kalbu manusia. Ia mempengaruhi emosi dan membentuk perlakuan diri. Jika tanpa kawalan, ia akan mengawal diri manusia. Hal ini yang banyak berlaku terutama dalam proses indoktrinasi dan kaderisasi. 
 Teringat sewaktu belajar Tarikh Adab Arabi sewaktu Tingkatan 6 di KISAS dulu. Di antara yang diingati ialah nyanyian dan syair para pejuang Khawarij dan Syiah sewaktu tercetusnya perang dengan para sahabat Nabi SAW. Di antara yang hamba ini ingat ialah al Kumait. Dia menyanyikan ungkapan ungkapan syair syahdu dan bersemangatnya bagi membangkitkan semangat pejuang ideologi dan kesesatannya. Kesesatan ini berterusan hingga hari ini. Sewaktu tawaf di bahagian bumbung Masjidil Haram di tengah malam Sabtu baru baru ini, hamba ini dapati banyak kelompok Syiah Iran dan negara Teluk berkumpul beramai ramai, lelaki wanita, tua remaja, menyanyi beramai ramai ungkapan syahdu yang disulami mesej agama. Sambil menyanyi syahdu ada yang menangis. Terdetik di hati hamba, apakah agama ini sudah membawa nyanyian dalam ibadahnya? Bukankah Allah mencela golongan musyrikin yang tawaf sambil menyanyi dan bertepuk tangan dalam keadaan telanjang dan ikhtilat yang melampau di sisi BaitulLah. Apa sudah jadi ni? Sejarah berulang kembali? 
Nyanyian ini dilakukan dengan jeritan yang kuat dibawah bimbingan seorang tekong yang bersuara syahdu. Ada juga kumpulan yang dipimpin oleh ulama berjubah dan berserban, dengan suara yang kurang enak didengar. Wah! Ada battle of the band pulak dalam Masjidil Haram. Janganlah ada pulak Melayu yang terpengaruh untuk meniru dan menjadikan amalan sebegini sebagai produk baru pakej haji dan umrah mereka selepas ini. 
Mereka menjerit dan hampir melalak di tengah malam yang dingin dalam Masjidil Haram. Mereka tidak hormati kemuliaan dan keharaman Masjid yang paling suci ini. Mereka mengganggu jemaah lain yang sedang solat dan bermunajat kepada Allah. Mereka menjerit di hadapan Tuhan Yang Maha Mendengar dan tidak pernah pekak dan tuli. Mereka menjerit sesuatu yang tidak pernah diajar oleh Nabi saw dan para sahabatnya. Bahkan sebahagian ungkapan itu penuh berbaur unsur syirik dan menyekutukan Allah swt dengan makhluknya. Tekong itu meneruskan alunannya, dia terus bersemangat apabila pengikutnya terus mengajuk suaranya. Wah! Teringat sewaktu zaman jahiliyah dulu ambik ijazah amalan nyanyian yang serupa daripada beberapa orang yang mengaku Shaikh T. Kaedah bacaan wirid dan nyanyian turut disertakan dengan note tinggi rendah suara yang akan dialunkan sewaktu nyanyian yang kononnya syahdu ini. Itu kaedah ijazah disampaikan. Teringat jugak alunan yang hampir sama terdengar daripada nyanyian dalam gereja Katolik di Oxford dan alunan nyanyian dalam gereja karismatik bermazhab bebas dalam agama kristian sewaktu hamba ini menadah kajian agama Kristian tahun lepas. Wah! Makin sedih hamba dibuatnya. Sudah cukup lengkap agama ini, namun ada jugak peniaga yang nak mengimport produk luar dan palsu untuk ditempelkan pada agama suci ini. 
 Amalan menyanyi dalam ibadat ini, bukan daripada Islam. Ia diimport dan ditampalkan pada agama suci ini. Berdoalah kepada Allah swt menurut cara yang diajarkan oleh Allah swt sendiri dan diajarkan oleh kekasihnya Muhammad saw, berdoalah dengan penuh khusyuk, dengan penuh tadarruk, dalam keadaan takut dan mengharap, serta dengan suara yang penuh merendah diri. Sudah pasti yang dipinta apabila dipinta dengan penuh adab dan tertib, pasti tidak akan menolak permintaan yang beradab itu ... 
 09. SOLAT HAJAT DI HOTEL, BUKAN DI MASJIDIL HARAM? 
Sahabat karib yang saya ziarahi di Hotel mewah berhampiran Masjidil Haram enggan bersembang panjang selepas Isyak. Ini suatu perubahan sikap beliau. Sebab datang buat haji kot! Kabarnya dia terpaksa bergegas kerana mereka mempunyai program rutin sebelah malam selepas Isyak dan makan malam, iaitu Solat Hajat berjemaah di hotel. Terpacul soalan remeh dari mulut saya yang saat itu menikmati coklat panas sambil menikmati pemandangan Masjidil Haram yang indah lagi suci itu; Aik! Apasal solat hajat di dalam hotel, kan dalam Masjidil Haram kat depan tu lagi afdal dan terbaek! Depan Kaabah kan tempat paling suci dan dijamin istijabahnya. Apa sudah jadik? 
 Sahabat yang terbiasa dengan arahan dan ikutan taklid ini terpinga pinga menjawab; Oh! Betul jugak, kenapa depa tak nak buat dalam masjid yek, padahal lepas Isyak masjid agak lengang, juga sudah pasti kita datang ke Mekah untuk berebut solat dan beribadat dalam Masjidil Haram. Insan yang soleh dan taatkan Allah ini terkejut dengan terpaan soalan remeh tadi, dia bangkit sekejap daripada lenaan alam taklid dia. Namun sudah jadi kebiasaan anak Melayu yang takut untuk bersuara dan malu alah nak mempertikaikan kebiasaan yang disepakati ramai, hatta dalam soal ibadat pun, suara majoriti dijadikan NAS disebalik hukum syarak yang suci. Inilah penyakit kita, sukakan kebiasaan walaupun kebiasaan itu bukanlah NAS yang menjadi bukti kebenaran amalan. Islam mengajar kita bahawa dalam soal ibadat, semuanya mestilah berlandaskan NAS kerana ibadat adalah hak mutlak Allah dan Rasul. Allah yang tentukan bentuk ibadat dan Rasul yang bagitau dan tunjukkan kaedah kepada umatnya. Sumber lain tak boleh diikuti. Ibadat adalah perkara tawqifiy @ ikutan mutlak dpd Rasul, tanpa dikurang atau ditambah. 
 Agak pelik, pihak Arab Saudi dan para ulamanya daripada pelbagai mazhab tidak pernah menganjurkan solat hajat untuk jemaah haji dan untuk urusan haji. Mereka lebih awla daripada orang lain nak anjurkan ibadat ini sebab mereka terpaksa melayan jutaan jemaah haji saban tahun. Mereka wajar lebih gabra berbanding kita. Jadi kenapa buat di hotel? Takut ulama tempatan marah? Ya, mereka pasti akan tegur kalau buat perkara tanpa sandaran NAS. Jelasnya, amalan ini bukan amalan ulama di Haramayn. Apatah lagi nak menganjurkan ia secara berjemaah. Juga sementelah lagi dengan pelbagai kaedah solat hajat yang direkacipta oleh pencipta yang langsung tidak akan mencapai taraf maksum. Ya! Yang bertaraf maksum sahaja boleh bercakap bagi pihak penentu syariat iaitu para Rasul yang dapat autoriti dari sisi Allah swt. 
Mungkin ramai yang anggap remeh soal solat hajat ini. Takkan nak solat pun tak boleh? Tapi apakah kita pernah persoalkan, Nabi saw dan para sahabat pernah buat ker? Mereka kan ikutan utama kita! Lain lah kalau bukan Nabi dan sahabat yang jadi ikutan kita. Untuk hijrah ke Madinah, Nabi pernah tak Solat Hajat? Untuk Perang Badar, Nabi pernah tak Solat Hajat? Begitulah juga dalam pelbagai urusan penting lain seperti perang Uhud, Khandaq, Khaibar, Muktah, Fathu Makkah dan lain sebagainya. Sewaktu Abu Bakar dan khalifah lain dipilih, ada tak depa solat hajat? Kalau ada sumber berkenaan untuk dijadikan alasan, maka wajar ia dibuat. Tetapi setakat dicari rekodnya, tak ada pulak kita jumpa. 
Sejak bila budaya solat hajat secara beramai ramai ini menular dalam budaya orang Malaysia? Entah? Tak der pulak yang kaji. Tapi rasanya belum sampai 20 tahun kebelakangan ini ia dijadikan budaya. Apakah ulama terdahulu di Alam Melayu jahilkan perkara ini? Atau yang ada sekarang dah jumpa dalil baru! Atau lagi dasyat, depa dah reka dalil baru. Setakat pencarian yang dilakukan, tak jumpa lah pulak dalil yang sahih dan sebenar benarnya dalam hal ini. Kalau tak silap saya, Tuan Guru Datuk Shaikh Mohamad Nor, mantan Mufti Kelantan ada fatwa dan perbincangan tentang solat hajat ini beberapa dekad yang laku. Bagi yang berminat, silalah cari fatwa berkenaan. 
 Jelasnya, tak ada NAS yang sahih yang sebut dan tunjukkan kepada kita kaifiyat Solat Hajat berjemaah yang kita lakukan sekarang ini. Jadi dari mana ia datang? Dalam soal ibadat, kita mesti dan wajib bertanya sumbernya sebab ia membabitkan soal dosa dan pahala. Sesiapa yang reka ibadat dengan menambah atau mengurang, maka dia sudah mencampuri urusan pembuat syariat iaitu Allah dan Rasul. Maka bagaimanakah kita dalam soal ini? 
 HUKUM SOLAT SUNAT HAJAT BERJEMAAH 
Hukum mengadakan majlis atau upacara solat sunat hajat berjemaah dengan niat solat sunat Hajat secara khusus adalah khilaf al-Sunnah (menyalahi sunnah), kerana tidak dijumpai dalil khusus yang menunjukkan adanya jenis solat yang sedemikian. 
(petikan keputusan Fatwa Negeri Perlis 2011) 

Hadis Pertama: (hadis yang biasanya dijadikan hujah, tetapi didapati ia tidak menepati dalil untuk solat hajat berjemaah) 
Mafhumnya: “Bahawa ‘Itban bin Malik yang merupakan salah seorang sahabat Nabi SAW dari kalangan Ansar dan ia merupakan salah seorang yang menyertai peperangan Badr, dimana beliau pernah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, Sesungguhnya penglihatan saya bermasalah, saya akan menunaikan solat bersama dengan kaum saya, namun apabila hari hujan, air mengalir di dalam wadi dan menghalang saya untuk mendirikan solat bersama mereka, saya tidak dapat datang ke masjid untuk solat bersama mereka. Wahai Rasulullah saya berharap agar anda dapat datang dan solat di rumah saya seterusnya saya menjadikannya musolla. Baginda bersabda: Saya akan lakukannya insyaallah. ‘Itban berkata: Keesokannya Rasulullah SAW dan Abu Bakr sampai ke rumah saya ketika matahari telah meninggi, lalu Nabi SAW meminta izin dan saya mengizinkan baginda masuk, baginda tidak duduk melainkan baginda terus masuk ke dalam rumah, kemudian bersabda: “Ditempat mana di dalam rumahmu yang kamu mahu saya menunaikan solat? Lalu saya mengisyaratkan ke salah satu sudut rumah saya. Seterusnya Nabi pergi berdiri di situ dan mengangkat takbir, dan kami membuat saf di belakang baginda. Baginda menunaikan solat dua rakaat seterusnya memberi salam. Seterusnya kami menghidangkan baginda dengan Khazir, lalu beberapa orang lelaki di sekitar kawasan itu berkumpul di rumah. Salah seorang daripada mereka berkata: Dimana Malik bin al-Dakhsyun? Orang lain menjawab: Dia itu munafik, tidak mencintai Allah dan Rasul. Sabda Nabi SAW: Jangan kamu kata begitu, tidakkah kamu melihat dia mengucapkan: Tidak ada tuhan selain Allah? Dia menghendaki keredhaan Allah. Kata orang tersebut: Allah dan RasulNya sahaja yang lebih mengetahui. Kata ‘Itban: Kami memberitahu baginda: Kami melihat beliau bersama dengan orang-orang Munafik. Jawab baginda: Sesungguhnya Allah mengharamkan api neraka kepada sesiapa yang mengucapkan Tidak ada tuhan selain Allah, dan dia ucapkannya kerana mengharapkan keredhaan Allah.” 
(al-Bukhari, Kitab: al-Solah, Bab: Masajid fi al-Buyut, No: 425) 
Penjelasan: Hadis ‘Itban bin Malik ini hanya menunjukkan keharusan melakukan solat sunat secara berjemaah. Judul bab yang diletakkan oleh imam al-Bukhari telah mengisyaratkan maksud tersebut. Judul bab itu berbunyi: (Bab: Solat al-Nawafil Jama’ah) yang bermaksud: “Bab: Untuk menyatakan keharusan solat sunat secara berjemaah”. (al-Bukhari/ Al-Jumu’ah/hadis nombor: 1113)
 Jenis solat yang dilakukan oleh Nabi SAW bersama ‘Itban itu dikenal pasti sebagai solat sunat Dhuha, berdasarkan satu lagi judul bab al-Bukhari yang bermaksud: “Bab: Solat sunat Dhuha di rumah, sebagaimana kata ‘Itban daripada Nabi SAW”. (al-Bukhari/al-Tahajjud/3:56, bersama Fathul al-Bari). Penentuan ini diperkuatkan lagi oleh lafaz riwayat al-Bukhari yang berbunyi: Maksudnya: “Kata ‘Itban: “lalu Baginda Rasulullah SAW pergi bersama Abu Bakar ketika matahari telah meninggi.....” (al-Bukhari/al-At’imah/Bab al-Khazirah/nombor: 4982). Ungkapan: “ketika matahari telah meninggi” menunjukkan bahawa waktu pemergian itu adalah waktu Dhuha 

 Hadis Kedua: (2 hadis lain yang juga tidak boleh dijadikan dalil solat hajat berjemaah) Hadis Usman bin Hunaif berkenaan solat si buta yang bertawassul dengan doa Nabi SAW dan juga hadis Abi al-Darda’ yang berbunyi: 
Bermaksud: “Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian mendirikan solat dua rakaat yang sempurna, Allah akan mengurniakan kepadanya apa yang dipohonnya sama ada dengan segera atau dilewatkan.” (Ahmad bin Hanbal, No: 26847. Dinilai Sahih oleh al-Syaukani, lihat: al-Durar al-Saniyyah, atas talian: http://www.dorar.net/enc/hadith
Penjelasan: 
Hadis Usman bin Hunaif ini tidak menunjukkan bahawa solat itu dilakukan dengan niat solat sunat hajat, bahkan ia lebih menjurus kepada niat solat sunat Mutlak. 

Hadis Ketiga: 
Mafhumnya: “Sesiapa yang memiliki hajat kepada Allah Ta’ala atau kepada salah seorang daripada anak Adam, maka hendakalah dia berwudhu dan memperelokkan wudhunya, kemudian mendirikan solat dua rakaat, kemudian memuji dan memuja Allah, dan berselawat kepada Nabi SAW, setelah itu mengucapkan: Tidak ada tuhan melainkan Allah Yang Maha Lembut dan Maha Mulia, Maha Suci Allah, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung, segala pujian adalah milik Allah Tuhan sekelian alam, saya memohon kepadaMu sebab-sebab memperolehi rahmatMu, dan sebab-sebab memperolehi keampunanMu, serta ketaatan dan ibadat dari setiap kebaikan, dan manfaat dari setiap kebajikan dan selamat dari setiap dosa dan memperolehi kejayaan Syurga dan selamat dari azab neraka, Engkau tidak membiarkan satu dosa kepadaku melainkan mengampuninya, tiada duka-cita melainkan Engkau menghapuskannya, tiada satu hajat yang Engkau redha melainkan Engkau tunaikannya wahai tuhan yang Maha Pemurah. Di dalam riwayat Ibn Majah ada tambahan: “Kemudian dia meminta kepada Allah dari urusan dunia dan akhirat apa yang dikehendakinya, kerana sesungguhnya ia telah ditetapkan.” 
Penjelasan: 
Hadis ‘Abdillah bin Abi Aufa yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah, sanadnya (ضعيف جدا) sangat lemah kerana terdapat perawi yang bernama Faid bin Abdul Rahman al-Kufi. Beliau diberi komen oleh ulama hadis sebagai Matruk al-Hadis. 

 10. SEKSUALITI MERDEKA - LBGT NAK DUDUK KHEMAH MANA DI ARAFAH-MINA? 
Islam akui kebebasan manusia. Ia suatu hal yang kudus. Kebebasan dalam erti kata menghormati sifat manusia, bukannya kebebasan yang menjerumuskan manusia kepada sifat binatang dan anti-manusiawi. Hal ini berlaku kerana Islam meletakkan manusia sebagai makhluk paling mulia, jauh berbeza dengan binatang. Hatta manusia non muslim juga diberikan hak untuk dihormati dan diberikan kebebasan yang sama untuk mereka. Nabi SAW bangun menghormati jenazah orang Yahudi yang menurut baginda adalah suatu manusia yang layak dihormati. Nabi SAW menyambut rombongan Kristian Najran di dalam Masjid kedua paling mulia iaitu Masjid Nabawi. Baginda menulis surat yang dimulakan dengan Salam untuk menghormati penerima suratnya yang terdiri daripada Kisra Parsi yang beragama Majusi, Kaisar Rom yang beragama Kristian, Muqauqis dan sebagainya. 
 Ya, Islam hormati kebebasan, tetapi dalam batasan manusiawi yang sudah pasti diakui manusia seluruhnya secara universal sebagai prinsip yang wajar diterima dan diperakui. Namun apabila ada yang cuba merendahkan taraf manusiawi insan lebih rendah berbanding haiwan, golongan syuzuz, aneh, pelik dan anti manusiawi ini wajar ditentang. 
Binatang pun tahu pasangannya. Ayam jantan pasti akan mengendeng kepada ayam betina. Ayam jantan payah nak duduk sekali dengan ayam jantan lain. Ayam ayam jantan ini pasti bergaduh sakan bagi merebut ayam betina. Mereka mustahil bergaduh untuk berebut sesama jantan. Wow! Apa sudah jadi kalau manusia sudah jauh lebih hina daripada binatang? Yang jantan berpasangan dengan jantan yang lain, dan begitu jugak yang betina. Tak malu ker kepada ayam, itik, angsa, katak dan segala binatang senatero alam? Kalaulah ayam itu boleh bercakap bahasa manusia, sudah pasti ayam itu akan menyindir manusia yang aneh dan pelik ini. Mungkin ayam jantan tu akan berkata; Jantan jenis apa kamu ni? Memalukan manusia dan binatang jantan jer kamu ni? 
Golongan yang memperjuangkan seksualiti aneh dan pelik ini wajar ditentang kerana mereka tiada tempat untuk duduk bersama manusia yang normal. Mereka akan membawa wabak yang merosakkan sifat manusiawi. Mereka juga pasti membawa kerosakan dan bala kepada manusia normal. 
Teringat saya sekitar 15 tahun lalu sewaktu menguruskan jemaah haji, pihak kaunseling bertanyakan saya tentang hasrat sekumpulan golongan maknyah dan pondan yang ingin menunaikan ibadat haji. Saya sambut dengan rasa gembira hasrat mulia mereka untuk dekat dengan Allah. Bagilah mereka peluang untuk kembali dekat kepada Allah kerana rahmat Allah itu tiada batasannya. Rahmat Allah meliputi segalanya. Hanya dosa syirik yang Dia tidak ampunkan. Yang lain, semuanya akan diampun bagi yang bertaubat dan memohon keampunannya, terlebih lagi kalau dilakukan di Tanah Suci, di Arafah sewaktu wukuf, di Mina sewaktu mabit dan pelbagai tempat di Tanah Suci ini. 
Namun persoalan mereka itu tidak berakhir di situ. Saya silap! Mereka yang jadi maknyah ini sebahagiannya sudah berubah bentuk fizikal menjadi jantina lain sedangkan jantina asal mereka masih kemas terprint dalam KPT mereka. 
 Soalan utama mereka; Mereka kena pakai telekung ker? Mereka nak solat dalam saf wanita ker? Nanti kalau pergi Arafah, mereka kena pakai telekung ker atau pakai kain ihram dua helai seperti lelaki lain? Kalau pakai kain ihram macam lelaki sejati, bukankah akan tersembul dua bukit itu? Bukankah itu akan mengganggu lelaki lelaki normal yang berwukuf dan berihram nanti? Nanti kat Mina, mereka nak join tidur khemah mana? 
 Saya tiada jawapan! Sekadar saya bertanya kembali; Golongan wanita asli, bolehkah menerima mereka duduk dalam satu saf dan satu khemah? Sebab yang pasti suara garau mereka pasti akan mengganggu talbiah dan takbir wanita. Manakala bagi khemah dan saf lelaki normal, apakah mereka boleh menerima mereka dalam keadaan lenggok badan mereka yang berbeza, di samping kalau mereka berihram, sudah pasti bonjolan dada mereka akan mengganggu ibadat orang lain. Tapi, kalau buat khemah khusus dan saf khusus untuk mereka pula, sudah pasti pihak yang menyediakan kemudahan itu tetap akan dituduh mendiskriminasi mereka pulak sebab menganggap mereka seperti makhluk lain? Tapi yang pastinya, kenapa mereka tidak mahu hidup serupa dan samarata seperti manusia lain? Bukankah itu manusia yang sebenar? Saudara fikir bagaimana nak bantu jawapan saya? Nak letak depa dalam khemah mana? 
12. MENGHIDUPKAN SUNNAH HAJI; DI ANTARA KEMEWAHAN KEMUDAHAN DAN KESEMPURNAAN IBADAT 
Khatib Jumaat Masjidil Haram pada hari 8 Zulhijjah, hari Tarwiyah bersamaan 4 November 2011, memulakan khutbah Jumaat yang ringkas dan padat sekitar 15 minit dengan menyebutkan wasiat firman Allah swt untuk hambanya yang menunaikan haji agar fokus kepada objektif haji iaitu "hendaklah kamu semua sewaktu menunaikan haji merebut bekalan dan sebaik baik bekalan itu ialah taqwa" 
Haji menurut Sunnah Nabi saw amat mudah. Bermula dengan jemaah menuju Mina pada waktu duha hari Tarwiyah 8 Zulhijah. Mereka berada di sana selama 5 waktu salat dengan mengqasarkan zohor, asar dan Isyaknya, manakala Maghrib dan Subuhnya dilakukan seperti biasa. Selepas Solat Subuh pagi hari Arafah 9 Zulhijjah, pada waktu Duha jemaah akan beramai ramai menuju Arafah untuk berwukuf. Jemaah akan memulakan wukuf apabila masuk waktu Zohor Hari Arafah. Mereka mendirikan solat Zohor dan Asar secara jamak dan qasar pada waktu zohor. Setelah itu mereka akan memfokuskan doa bermula Zohor sehingga terbenam matahari hari Arafah. 
Apabila terbenam matahari 9 Zulhijjah, masuk waktu Maghrib mereka akan bergegas beramai ramai menuju Muzdalifah untuk bermabit di sana. Solat Maghrib dan Isyak akan dilakukan secara jamak dan qasar ta'khir pada waktu Isyak di Muzdalifah. Ibadah Muzdalifah pada malam itu adalah tidur setelah selesai makan malam. Apabila masuk waktu Subuh 10 Zulhijjah, Hari Nahar dan hari Raya Haji, jemaah akan segera mendirikan Solat Subuh. Setelah itu mereka akan berdoa sebanyak banyaknya dengan menghadapkan diri ke Kiblat di sebelah timur sehingga hampir terbit matahari (langit menjadi sangat kuning). Apabila matahari sudah terbit mereka akan segera menuju Mina untuk melontar Jamratul Kubra pada waktu Duha. Selesai melontar hari 10 Zulhijjah, mereka akan menggunting dan mencukur rambut mereka dan seterusnya menyembelihkan binatang korban dan dam mereka.
 Bagi yang berkemampuan, mereka akan terus menuju ke Baitullah untuk melakukan tawaf ifadah dan saie haji (bagi yang belum melakukan saie setelah tawaf qudum bagi yang melakukan haji ifrad dan qiran). Bagi yang tidak mampu, mereka akan melewatkan tawaf dan haji berkenaan. Kemudian jemaah akan kembali ke Mina untuk melakukan ibadat Mabit di Mina dan melontar 3 jamrah pada hari hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Semua lontara itu dilakukan setelah masuk waktu zohor dan tergelincir matahari hari berkenaan. Bagi yang mahu melakukan Nafar Awal, mereka akan balik ke Mekah pada hari 12, manakala yang melakukan Nafar Thani akan melewatkan hingga hari ke 13 dan itu yang afdal. Selesai semuanya ini, sebelum keluar meninggalkan Mekah, jemaah akan melakukan tawaf wadak.
 Mengenang semua penjelasan mudah ini, didapati haji menurut Sunnah Nabi saw adalah amat mudah. Semuanya adalah perjalanan yang mudah, tanpa dibebankan dengan pelbagai bacaan dan doa yang direka. Semuanya adalah perlambangan ketaatan dalam perlakuan dan tindakan. Semua perlakuan dibuat kerana ia adalah perintah Rasul saw. Ambillah ibadat haji kamu semua daripada aku, demikian mafhum sabdaan baginda saw.
 Namun, mutakhir ini, umat dibebankan dengan pelbagai beban yang bukan daripada agama. Di samping pelbagai pesan dan petua yang bukan datang daripada Rasul, keperluan dunia yang melampau turut mengganggu kesempurnaan ibadat. Sepatutnya fokus jemaah haji adalah kesempurnaan ibadat haji, bukannya kesempurnaan kemudahan untuk jemaah haji. Jemaah sepatutnya komplen bila ibadah tidak sempurna menurut Sunnah Nabi saw, bukannya mengadu kerana kemudahan yang tidak sempurna. Juga sepatutnya jemaah haji komplen mengapa sekian banyak Sunnah Nabi saw dalam ibadat haji tidak dianjurkan untuk mereka melakukannya, bahkan mereka dibebankan lagi dengan pelbagai pandangan mazhab yang mengikat dan petua individu yang menyusahkan orang. Pelbagai alasan mazhab dan pentadbiran akan dikemukakan jika ada suara mengajak untuk kembali mengikuti sunnah Nabi saw dalam amalan.
 Bukanlah soal sah atau tidak perlakuan ibadat yang ada, tetapi soalan utama ialah kenapa ibadat haji itu tidak dilakukan dengan sesempurna mungkin dengan menepati setepat mungkin kehendak Sunnah Nabi saw? Bukankah Nabi saw dah sebut; ambillah ibadat haji kamua daripada aku? Juga bukankah Allah swt sudah berfirman, sempurnakanlah haji dan umrah kamu untuk Allah? Maka yang pasti, yang ikut jejak Rasul yang paling sempurna, bukannya yang kemudahannya sempurna ataupun jemaah hajinya yang berasa selesa.
 LABBAIK 
 Labbaik
 Aku datang
 Menyahut panggilan
 Janji setia Di alam nyata

 Panggilan rabbani
 Atas lisan Ibrahim
 Bapa para Nabi

 Panggilan Ibrahim yang sepi
 Hanya dihayati ismail dan Hajar
 Pasir dan batu hampar

 Jabal Qubays menjadi saksi
 Maqam Ibrahim berada di sisi

 Ibrahim berseru sepi
 Tuhanku! Bagaimana suaraku kan sampai
 Ke pendengaran hamba hamba mu?

 Firman menjelma
 Serulah! Akukan sampaikan

 Ibrahim melaung sesepi mungkin
 Manusia! Tuhanmu titahkan, Tunaikan haji!
 Iradah azali terlaksana
 Labbaik
 LabbaikalLahumma Labbaik
 Kata sang makhluk
 Nun jauh di sana
 Di alam ruh

 Labbaik
 Hambamu termasuk hitungan
 jemputan Ibrahim
 Alwakil jemputanmu
 Rabbi
 Labbaik
 Kataku bangga

 Ila 'ArafatilLah Tarwiyah 1432
 RESAH ARAFAH
 Tarwiyah menjelma
 Perhimpunan bermula
 Haji itu Arafah

 Arafah
 Pertemuan bertinta
 Adam dan Hawwa

 Arafah
 Saksi tersedia
 Atas dosa manusia

 Arafah
 Ziarah sentiasa
 Sesaat dikira

 Arafah
 Jalanmu sesak
 Hatiku resah

 Arafah
 Resahku resah dosa
 Resah takut tidak diterima

 Arafah
 Kenalkah dikau kepadaku
 Tetamu dosa Arafah
 Kunjungan tahunanku
 Mendekati Tuhanku

 Arafah
 Masukkan daku
 Dalam senarai itu

 Arafah
 Hilangkan resahku
 Masukkan daku dalam kebanggan Tuhanku
 Tarwiyah 3 1432
 6 nov Salam ... Mohon sahabat sahabat tonton Astro Oasis malam ini jam 10 malam, kabar Haji bersama saya dari Arafah semalam. Mohon komennya ... 
 13. WAJIB MAHRAM UNTUK UMRAH, TAPI BERTUGAS LUAR LEBIH DUA MARHALAH SELAMA BERBULAN BULAN TANPA MAHRAM, TAKPE! 
Macam macam perangai manusia apabila enggan akur dengan hukum Allah. Padahal kalau ikut hukum Allah, semuanya mudah dan menyenangkan. Malangnya ada yang cuba menafsirkan hukum Allah ikut nafsunya dan kemudian memaksakan orang lain akur dengan hukum itu. Di antara yang agak lucu di Makkah ialah jemaah wanita yang hendak pergi Makkah melakukan umrah sunat diwajibkan diiringi mahram. Jika tidak, dia berdosa kerana musafir tanpa mahram. Yang lebih melucukan tapi menyedihkan ialah, jika sudah berada di Makkah dan jemaah wanita itu bercadang nak buat umrah sunat, hatta ke Taneim yang paling dekat pun mesti dengan diiringi mahram. Entah ler, kalau zaman Aisyah RA dulu, Taneim tu mungkin ramai penyangak jahiliyah di tengah jalan ke sana, tapi hari ini, dengan pelbagai aspek keselamatan dan askar serta polis berada di mana mana, masih relevankah hukum macam tu?
 Inilah akibat buat hukum dari dalam bilik, bukannya dari lapangan dan berhadapan dengan umat bagi memahami masalah mereka. Belum lagi kita nak bincangkan bahawa buat umrah sunat berkali kali bila masuk Makkah itu adalah bertentangan dengan Sunnah Nabi saw, di mana Nabi saw setiap kali masuk Makkah baginda hanya menunaikan umrah sekali sahaja. Itu yang saheh!
 Yang jelas terbentang di hadapan mata, petugas wanita yang datang tanpa suami atau saudara lelakinya, dan berada di Makkah dalam tempoh permusafiran yang lama, ikhtilat dengan petugas lelaki lain, kadang kadang sehingga merungsingkan hukum yang hendak dijelaskan sebab mereka sudah berada di tempat sama, bertugas bersama dalam tempoh yang agak lama, apakah gerangan hukum hakam perkara macam ini? Bukankah petugas lelaki dalam banyak hal boleh cover tugas petugas wanita? Kalaulah perlukan wanita sekalipun, agak ganjil kalau anak dara dan wanita isteri orang yang masih muda dianggong bersama ke Makkah atas alasan bertugas. Mahukah anda melibatkan isteri anda atau anak dara anda dakam keadaan macam ni?
 Hukum ini wajar dilihat semula. Nabi saw menjelaskan bahawa tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, wanita yang bermusafir lebih daripada permusafiran sehari semalam, pergi tanpa bersama mahramnya. Juga ada pelbagai lafaz tentang larangan ini dpd hadis sahih yang lain. Ya! Kita mahukan kemudahan agama, tetapi janganlah double standard! Boleh untuk aku, tidak untuk engkau!
 Khutbah Jumaat Prof Shaykh Sudays hari ini amat menyegarkan minda dan tenaga. Mafhumnya; Jadilah kalian jemaah haji ke Baitullah alHaram, setelah kembali ke negeri masing masing semakin kuat pegangan kepada alQuran dan alSunnah hasil mengunjungi tempat turunnya wahyu dan menziarahi tempat sumber kepada Sunnah Nabi SAW
 Alhamdulillah, urusan haji kami sudah selesai. Tawaf Wadak yang amat menyayukan hati, terasa amat berat berpisah denganmu wahai Baitullah. 
 Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan ziarah ini yang terakhir, kalau Engkau takdirkan ia yang terakhir, kurniakan Jannah untuk kami. 
 Akan ke Jeddah jam 3 petang nanti insya Allah.
 Solat Atas Kapalterbang
 Nampaknya ilmu musafir melayu Islam dalam kapalterbang makin kolot. Ada ka patut bunyi pengumuman depa dalam kapalterbang macam tak bagi orang nak solat dengan baik dalam kapalterbang. Orang yang mampu buat dengan baik dilarang. Ok jer nak solat sambil duduk atas kerusi. No problemo! Nabi pun solat atas unta.
Tapi akibat skrip taqlid, dimaklumkan kepada jemaah haji yang baru suci bersih dpd dosa umpama bayi baru lahir disuruh solat hormat waktu jer. Hormat waktu? Ermmm, ada Nabi saw dan para sahabat buat ker? Kalau tanya, memang ada yang melenting.
 Bukan hanya itu, diumumkan lagi, solat tu perlu diulang bila sampai atau di QADAK. Dapat kat mana ni? Patut ler ramai yang solat jamak Takyah. Kalau lagu tu bunyinya, sama macam tak galakkan orang Solat. Siap umum masuk waktu solat, tapi syarahnya macam tak galak jer.
 Aeiybun, taiebun, abidun, lirabbina hamidun. (HR alBukhari dan Muslim). Kami kembali kepada Allah, kami bertaubat kepada Allah, kamk beribadat hanya kepada Allah dan pujian hanya layak milik Allah.

 Alhamdulillah kami sudah selamat sampai Malaysia jam 9 pagi tadi. Perjalanan yang amat singkat. Semoga Allah berkati dan rahmati saat yang sedikit itu sebagai pembela pada hari mahsyar nanti. Kembali ke teratak ceria di Kangar sebelum Asar.
 JazakumulLah khyaral jaza' kepada Abu Benzin dan AbuzKa yang sudi jemput di LTSAHMS, Kepala Batas.

No comments: