10 January 2011

Syarah : Disunnahkan Bersolat Subuh Ketika Cerah ?



BULUGHUL MARAM

Hadits Ke 172

عَنْ رَافِعِ بْنِ خَدِيْجٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله ص: أَصْبِحُوا بِالصُّبْحِ فَاِنَّهُ اَعْظَمُ لأُجُورِكُمْ

Dari Rafi’ bin Khadij ia berkata : Telah bersabda Rasulullah saw.: “Berpagi pagilah dengan (solat) Subuh, kerana yang demikian lebih besar ganjaran buat kamu.”

Diriwayatkan dia oleh Lima dan disahkan dia oleh Tirmidzi dan Ibnu Hibban.

Lima itu maksudnya diriwayatkan hadits ini oleh Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi, Nasai dan Ibnu Majah. Dan dalam lafaz lainnya :

عَنْ رَافِعِ بْنِ خَدِيْجٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله ص: أَسْفِرُوا بِالْفَجْرِ فَاِنَّهُ أَعْظَمُ لِلأَجْرِ

Rafi’ bin Khadij r.a. berkata : Rasulullah saw. bersabda : “Kerjakanlah solat Subuh di ketika telah terang kerana mengerjakan solat Subuh di ketika telah terang lebih besar pahalanya.” H.R. Ahmad, Abu Daud, Nasai dan At-Tirmidzi. At Tirmidzi menyatakan hadits ini Hasan Sahih. Al-Muntaqa I : 230.

Hadits apabila di himpunkan membawa maksud adalah Rasulullah saw. menyatakan, bahawa kita disukai mengerjakan solat Subuh dikala telah terang iaitu sesudah lama naik fajar selama belum naiknya matahari. Kita telah bincangkan bab ini pada tajuk yang lepas.

Kesimpulannya

Adalah Rasulullah saw. pada lazimnya melakukan solat Subuh tidak terlalu lewat dan tidak terlalu awal, iaitu beliau memberikan hak kepada jamaah untuk mempersiapkan diri dalam menunaikan solat Subuh. Jika jamaah telah bersedia maka beliau langsungkan bersolat, jika tidak beliau tangguhkan atau menanti jamaah bersedia terlebih dahulu. Dan sebahagian ulama mengulas tentang hadits ini sebagai kebolehan bagi kita menunaikan solat Subuh itu sesudah lama terbitnya fajar selagi belum naik/keluar matahari. Terdapat sebuah hadits untuk renungan kita bersama bagi mendalamkan kefahaman terhadap hadits ke 172 di atas :

عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ: بَعَثَنِيْ رَسُولُ الله ص اِلَى الْيَمَنِ فَقَالَ: يَا مُعَاذُ، اِذَا كَانَ فِي الشِّتَاءِ فَغَلِّسْ بِالْفَجْرِ وَاَطِلِ الْقِرَاءَةَ قَدْرَ مَا يُطِيْقُ النَّاسُ وَلاَ تَمِلُّهُمْ. وَاِذَا كَانَ الصَّيْفُ فَاَسْفِرْ بِالْفَجْرِ فَاِنَّ اللَّيْلَ قَصِيْرٌ وَالنَّاسُ يَنَامُونَ فَاَمْهِلْهُمْ حَتَّى يُدْرِكُوا

Dan dari Mu’adz bn Jabal, ia berkata : Rasulullah saw. pernah mengutuskan ke negari Yaman, lalu ia bersabda : “Hai Mu’adz ! Apabila pada musim sejuk, maka solatlah Subuh di waktu masih gelap, dan panjangkanlah bacaan menurut kesanggupan orang orang ; dan jangan engkau membosankan mereka ; dan apabila engkau berada di musim panas, maka solatlah Subuh di waktu sudah sangat terang, kerana malam itu pendek sedang orang orang masih pada tidur. Oleh kerana itu berilah mereka kesempatan itu untuk mendapatkan jamaah.” H.R. Al-Husain bin Masud al-Baghawi di dalam Syarah Sunnah. Dan diriwayatkan juga oleh Baqi bin Makhlad dalam musnadnya – yang bernama Al-Mushanaf. RUJUKKAN TERJEMAHAN NAILUL AUTHAR III,M.S.321-323.

Telah dijelaskan dalam terjemahan Nailul Authar I, bahawa yang dimaksudkan dengan sudah sangat terang itu adalah menurut Asy Syafie - fajar itu telah benar benar sudah terbit (sehingga jelas cerahnya).(Tetapi bukannya terang kerana terbit matahari atau keluarnya matahari.)

No comments: