06 January 2011

BAH. 1 : BERDEBAT TANPA ILMU DAN PETUNJUK

BERDEBAT TANPA ILMU DAN PETUNJUK

Bahagian Pertama

Bersabda Rasulullah saw:

اِصْبِرُوْا فَاِنَّهُ لاَ يَأْتِيْ عَلَيْكُمْ زَمَانٌ اِلاَّ وَالَّذِيْ بَعْدَهُ اَشَرُّ مِنْهُ حَتَّى تَلْقَوْا رَبَّكُمْ

Bersabarlah kamu sekalian kerana sesungguhnya tidak akan datang kepada kamu (suatu) zaman melainkan zaman yang selepasnya adalah lebih buruk dari zaman itu sehinggalah engkau bertemu Tuhanmu.

Rujuk Shahih Bukhari dalam Kitab al-Fitan (Fitnah-fitnah)

Sesungguhnya kata-kata Rasulullah saw ini telah disampaikan pada umatnya sejak lebih kurang 1400 tahun yang lampau. Kata-kata Rasulullah saw ini bukan satu tilikan akan tetapi satu perkhabaran tentang masa depan yang telah diwahyukan Allah kepadanya. Kini, kita telah melihat kebenaran apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw akan tetapi masih banyak di kalangan umat Islam yang lalai dan ingkar pada ketetapan Allah.

Suatu ketika dahulu, umat Islam pernah mencapai zaman kegemilangannya di zaman Rasulullah saw dan juga para sahabat namun kemudiannya kegemilangan dan empayar Islam ini jatuh dan telah dijajah oleh kafir. Mengapakah empayar Islam yang dahulunya kuat dan teguh dapat dijatuhkan oleh golongan kafir yang lemah?

Jawabnya: Sesungguhnya golongan Salaf itu mereka bersungguh-sungguh berjuang kerana Allah, baik dalam urusan dunia dan akhirat dan berani mati di jalan Allah, tetapi kemudiannya selepas zaman Salaf, maka sekian banyak umat Islam berjuang kerana kebendaan dan takut untuk mati. Inilah yang dibimbangkan oleh Rasulullah saw sebagaimana beliau bersabda:

فَاَبْشِرُوْا وَاَمِلُّوْا مَا يَسُرُّكُمْ فَوَاللهِ مَا الْفَقْرَ اَخْشَى عَلَيْكُمْ وَلَكِنِّيْ اَخْشَى عَلَيْكُمْ اَنْ تُبْسَطَ الدُّنْيَا عَلَيْكُمْ كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَتَنَافَسُوْهَا كَمَا تَنَافَسُوْهَا وَتُهْلِكَكُمْ كَمَا اَهْلَكَتْهُمْ

Bergembiralah dan berharaplah apa yang menggembirakan kamu. Demi Allah! Aku tidak bimbang (jika) kemelaratan menimpa kamu akan tetapi yang aku bimbangkan (jika) dunia (kemewahan dunia) dibentangkan kepada kamu sebagaimana dibentangkan kepada orang-orang sebelum kamu. Maka kamu berlumba-lumba dengannya (kemewahan dunia) sebagaimana mereka berlumba-lumba dan kamu dibinasakan (oleh dunia) sebagaimana mereka dibinasakan

Hadits shahih riwayat Muslim

Kini, nasib umat Islam semakin hina, amat mudah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Dalam usaha umat Islam untuk kembali maju dalam urusan keduniaan, mereka telah mengambil pedoman daripada barat yakni daripada yahudi dan nasrani tentang bagaimanakah untuk maju.

Kita menerima cara pelajaran mereka, budayanya, disiplinnya atau kemajuannya supaya kita setanding atau setaraf dengan mereka. Kesannya yang dapat kita lihat kini, sememangnya kita telah berjaya mengikut jejak-jejak mereka di mana jika kita perhatikan pada zahirnya agak sukar sekali dibezakan antara orang Islam dan orang kafir. Pakaiannya, percakapannya, pelajarannya, perayaannya, majlisnya sehinggalah didikan dalam keluarganya saling tak tumpah sebagaimana golongan yahudi dan nasrani, semuanya berpedomankan buku-buku dari bijak pandai Barat. Akan tetapi sedarlah!! Bahawa Yahudi dan Nasrani ini sekali-kali tidak akan berpuas hati atau memandang kita bagus/berjaya – sehinggalah kita mengikut agama mereka. Ini telah dinyatakan oleh Allah melalui firmanNya: Al-Baqarah ayat 120 [2:120]:

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُوْدُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ اِنَّ هُدَى اللهِ هِوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَآءَهُمْ بَعْدَ الَّذِيْ جَآءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيْرٍ

Dan orang-orang yahudi dan nasrani sekali-kali mereka tidak akan redha/senang kepada kamu sehingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti hawa nafsu/kemahuan mereka setelah datang pengetahuan kepadamu maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu

Kalimah “Millah” ملة / مِلَّتَهُمْ yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah agama – iaitu sehingga kita mengikut “millah” (agama) mereka, itulah kehendak mereka yang sebenar dalam mereka menabur budi, ilmu pengetahuan dan kemajuan. Kemudian dalam ayat yang sama disebut “ahwa ahum” اَهْوَآءَهُمْ yang bermaksud hawa nafsu (kemahuan) mereka di mana Allah melarang kita dari mengikut hawa nafsu yahudi dan nasrani.

Apakah pengertian hawa nafsu di sini? Iaitulah kemahuan, pemikiran, pendapat yang tidak berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw iaitu yang tidak terpimpin dengan jalan kebenaran yakni sirath al-mustaqim. Sesungguhnya fahaman Yahudi dan Nasrani diadun dengan madu dan racun, nampak bertamadun sebenarnya penuh kejahilan dan keangkuhan. Firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 36-37 [13:36-37]:

وَالَّذِيْنَ أَتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَفْرَحُوْنَ بِمَا اُنْزِلَ اِلَيْكَ وَمِنَ الأَحْزَابِ مَنْ يُنْكِرُ بَعْضَهُ قُلْ اِنَّمَا اُمِرْتُ اَنْ اَعْبُدَ اللهَ وَلاَ اُشْرِكَ بِهِ اِلَيْهِ اَدْعُوْا وَاِلَيْهِ مَآبِ * وَكَذَلِكَ اَنْزَلْنَاهُ حُكْمًا عَرَبِيًّا وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ اَهْوَآءَهُمْ بَعْدَ مَا جَآءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللهِ مِنْ وَلِىٍّ وَلاَ وَاقٍ

Orang-orang yang telah Kami berikan kitab kepada mereka bergembira dengan kitab yang diturunkan kepadamu dan di antara golongan-golongan (Yahudi dan Nasrani) yang bersekutu, ada yang mengingkari sebahagiannya. Katakanlah “Sesungguhnya aku hanya diperintah untuk menyembah Allah dan tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan Dia. Hanya kepada-Nya aku seru (manusia) dan hanya kepada-Nya aku kembali”. Dan demikianlah, Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai peraturan dalam bahasa Arab. Dan seandainya kamu mengikuti hawa nafsu mereka setelah datang pengetahuan kepadamu maka sekali-kali tidak ada perlindungan dan pemelihara bagimu terhadap (siksa) Allah.

Rata-rata masyarakat Islam kita sekarang hanya mementingkan ilmu keduniaan dan mengabaikan ilmu agama. Mereka bijak dalam ilmu keduniaan tetapi jahil dalam ilmu agama, tidak mengetahui apa itu tauhid, apa itu iman dan ibadah yang sekadar ikutan. Bagi mereka satu kerugian jika jahil dalam arus kemajuan dunia tapi tidak demikian jika jahil dalam ilmu agama. Inilah matlamat yahudi dan nashara dalam mereka menabur ilmu dan kemajuan kepada umat Islam iaitu untuk menjauhkan dan menyelewengkan umat Islam dari Islam. Apakah kesannya apabila umat Islam itu sendiri jahil tentang Islam? Dalam surah Al-Hajj ayat 3-4 [22:3-4], Allah berfirman:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُجَادِلُ فِي اللهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّبِعُ كُلَّ شَيْطَانٍ مَرِيْدٍ * كُتِبَ عَلَيْهِ اَنَّهُ مَنْ تَوَلاَّهُ فَاَنَّهُ يُضِلُّهُ وَيَهْدِيْهِ اِلَى عَذَابِ السَّعِيْرِ

Di antara manusia ada yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan dan mengikut setiap syaitan yang jahat, yang telah ditetapkan terhadap syaitan itu bahawa barangsiapa yang berkawan dengannya, tentu dia akan menyesatkannya dan membawanya ke dalam azab neraka.

Manusia yang berada dalam kejahilan tanpa petunjuk Allah akan bertemankan syaitan yang akan memimpinnya ke jalan kesesatan.

Apakah contohnya mereka yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan?

Betapa banyak di kalangan umat Islam yang tidak mengetahui apa itu tauhid, mereka tidak mengenal Allah sebagaimana yang difirmankan Allah dalam Al-Quran bahkan mereka menolak setiap keterangan daripada syara' yang menerangkan tentang sifat-sifat Allah dan mereka teguh mempertahankan pendapat mereka walau ianya bercanggah dengan ketetapan syara'. Bahawa terdapat di kalangan umat Islam yang menolak sifat-sifat Allah seperti Allah mempunyai tangan, Allah mempunyai jari, mempunyai kaki sebagaimana yang terkandung dalam Al-Quran dan hadits shahih. Firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 67 [39:67]

وَمَا قَدَرُوْا اللهَ حَقَّ قَدْرِهِ وَالأَرْضُ جَمِيْعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَالسَّمَوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِيْنِهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُوْنَ

Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggamanNya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kananNya. Maha suci Allah dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan

Bersambung...

Penulis : Ustaz Muhammad Ihsan Bin Idris (Pensyarah dan Penceramah Bebas)

No comments: