Usaha jana kreativiti pelajar
Baginda bertitah, selain mengadakan lawatan ke tapak industri, pelajar juga boleh memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat untuk meneroka serta mengembangkan ilmu vokasional.
Bertitah merasmikan program Titian Kasih Mega anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) peringkat Kolej Vokasional Arau dekat sini hari ini, baginda berharap, guru lebih kreatif dan produktif membentuk pelajar menjadi modal insan berkualiti melalui bidang masing-masing.
Di samping itu, titah baginda, guru juga boleh memperbanyakkan latihan amali di samping menggalakkan pelajar menyertai kokurikulum supaya melahirkan pelajar yang cergas fizikal dan mental di samping menyemai kemahiran serta keseimbangan emosi.
Aspek lain yang boleh diberi penekanan ialah pemikiran, sahsiah, tingkah laku, disiplin dan jati diri pelajar supaya mereka menjadi masyarakat yang kreatif serta inovatif dan tidak hanya memfokuskan kepada pelajaran sahaja, titah baginda yang juga Pengerusi YTSP.
Baginda bertitah lagi, pengetahuan teknikal, sains dan teknologi menjadi keutamaan dalam memastikan negara terus berdaya saing supaya dapat terus seiring dengan negara maju yang lain.
"Menjadi harapan agar para pelajar sentiasa mengaplikasikan setiap yang dipelajari di Kolej Vokasional kerana dunia sedang menuju ke arah globalisasi dan saingan lebih besar dalam alam pekerjaan," titah baginda.
Baginda menekankan kepentingan bidang teknikal seperti kejuruteraan teknikal, mekanikal, elektrik, elektronik dan teknologi maklumat yang sentiasa mendapat tempat bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.
Terdahulu, ketibaan baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Pelajaran Perlis, Dun Kasa dan Setiausaha YTSP, Datuk Johari Darus serta warga kolej itu, termasuk 429 pelajar semester satu hingga tiga yang menyertai program sehari itu.
Sempena program Titian Kasih Mega itu, baginda turut berkenan merasmikan makmal elektronik sambil menyaksikan kebolehan pelajar mengawal kereta solar serta melawat makmal sejarah kolej itu.
Program Titian Kasih yang diperkenalkan oleh YTSP dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Perlis itu akan menjelajah ke semua sekolah menengah seluruh Perlis sepanjang tahun ini. - BERNAMA
sumber :Usaha jana kreativiti pelajar
No comments:
Post a Comment