06 January 2013

Tunjuk Contoh yang baik (Mufti Masjidil Haram)


MUFTI Masjidil Haram, SHEIKH DR. SULAIMAN AL-SALUMI seorang ulama dari Arab Saudi yang amat dekat dengan Malaysia serta umat Islam di negara ini.
Selain sering berkunjung ke Malaysia dan dalam masa sama menerima jemputan daripada pelbagai pihak bagi tujuan perkongsian ilmu, Sheikh Sulaiman turut diberi penghormatan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan pelbagai isu terutama yang menyentuh kepentingan umat Islam.
Dengan wataknya yang cukup merendah diri serta sederhana, sememangnya Sheikh Sulaiman seorang ulama yang amat disenangi dan beliau juga secara peribadi mahu melihat Malaysia mampu menjadi negara contoh kepada negara Islam lain.
Bagaimanapun dalam pertemuannya dengan wartawan Mingguan Malaysia SAIFULIZAM MOHAMAD, HUSSAINI AMRAN dan jurufoto, MOHD. NOOR MAT AMIN di Hotel Concorde Inn KLIA baru-baru ini, Sheikh Sulaiman amat bimbang terhadap perpecahan dalam kalangan umat Islam di Malaysia dan meminta isu tersebut diselesaikan segera apatah lagi tuntutan itu merupakan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya.
Dalam pertemuan tersebut, Sheikh Sulaiman turut berharap untuk bertemu dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan permasalahan umat dan tidak terkecuali isu Amanat Haji Hadi.
MINGGUAN: Mengenai isu Amanat Haji Hadi, apakah yang Sheikh tahu mengenainya?
SHEIKH SULAIMAN: Pertamanya, saya mengucapkan terima kasih di atas perjumpaan ini dan saya merasakan perjumpaan ini merupakan perjumpaan yang baik terutama dengan akhbar yang terkenal di negara ini, yang dibaca oleh jutaan orang. Pasti akan mendapat manfaat yang baik hasil daripada perjumpaan ini. Dalam perjumpaan ini, saya akan menyentuh perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam terutama di Malaysia ini. Adalah diharapkan kita dapat berkongsi pengalaman memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang aman, maju dan sejahtera. Berkaitan isu membabitkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebenarnya saya mengharapkan sangat dapat bertemu secara bersemuka dengan Abdul Hadi bagi membincangkan tentang permasalahan semasa umat Islam. Bagi saya itu adalah lebih baik dan lebih tepat. Sebagaimana yang telah disusun oleh sahabat-sahabat di sini yang mana pada mulanya Abdul Hadi bersetuju bertemu dengan saya. Namun, mungkin disebabkan ada perkara yang tidak dapat dielakkan, Abdul Hadi kemudiannya memohon maaf kerana tidak dapat bersama-sama. Walau apa pun saya amat berharap perjumpaan ini berlaku untuk membincang permasalahan umat secara bersemuka.
Harapan Sheikh untuk bertemu dengan Abdul Hadi tidak kesampaian tetapi bagaimanapun dalam isu berhubung amanat yang beliau telah sampaikan pada 1981 . Akibat daripada amanat itu, umat Islam berpecah sehingga ke peringkat solat jemaah dua imam dan sembelihan orang UMNO tidak dimakan oleh penyokong Pas. Adakah perbuatan ini dibenarkan di dalam Islam?
SHEIKH SULAIMAN: Sekali lagi saya mengulangi harapan saya untuk bertemu dengan Abdul Hadi. Atas sebab apa? Sebab dua perkara. Pertama, Abdul Hadi merupakan seorang penuntut ilmu dan Abdul Hadi merupakan graduan Universiti Islam Madinah. Kedua, Abdul Hadi ada pengaruhnya tersendiri dalam kalangan masyarakat Islam dan kata-katanya diterima oleh masyarakat Islam di sini. Saya sebenarnya mahu mendengar sendiri penjelasan daripada Abdul Hadi dan saya mahu mendengarnya secara langsung betulkah seperti mana didakwa.
Bagaimanapun ada beberapa perkara yang membawa kepada beberapa kesalahan yang boleh menyebabkan bahayanya kepada masyarakat terutama dalam konteks perpaduan umat Islam. Antara bahayanya berkaitan dengan hubungan sesama Islam. Islam telah menetapkan satu sistem hubungan yang baik antara seorang Muslim dengan Muslim yang lain. Perkara ini ada disebut dalam satu hadis sahih Rasulullah SAW yang bermaksud “Mengutuk sesama Islam itu adalah fasik dan memeranginya adalah kufur’'. Ini merupakan hadis Rasulullah yang wajib kita beriman dengannya dan wajib kita melaksanakan setiap arahan yang terdapat di dalam hadis tersebut. Satu lagi hadis yang bermaksud “Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan Muslim yang lain. Seorang Muslim itu tidak boleh memperlekehkan saudaranya sendiri, tidak boleh menyakiti saudaranya sendiri’'. Seorang Muslim dengan Muslim yang lain itu umpama tubuh yang satu dan apabila sakit salah satu anggota maka anggota yang lain turut merasa sakit. Bahaya seterusnya, masyarakat Malaysia adalah sebuah masyarakat yang aman, tenteram, inginkan kedamaian, ingin membuat sesuatu yang baik untuk pembangunan negara. Dalam keadaan masyarakat yang aman ini, tiba-tiba datang seorang yang memberi amanat, memberi nasihat, pandangan yang akhirnya menyebabkan masyarakat dalam keadaan huru-hara dan keadaan tidak tenteram. Kepada siapakah kita hendak meletakkan kesilapan ini? Siapakah yang harus bertanggungjawab? Rasulullah pernah bersabda '' Fitnah itu benda yang tidur. Allah SWT melaknat sesiapa yang membangunkan fitnah yang tidur ini’'. Intisari hadis ini wajar kita fikirkan bersama. Bahaya yang lain, perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam dalam apa segi pun, bagi orang Islam yang berfikir, ia merupakan satu penyakit. Patutkah kita membiarkan penyakit ini menular sehingga akhirnya akan memusnahkan masyarakat dan negara sendiri. Oleh itu, kita perlu memohon doa kepada Allah supaya mereka yang membawa pemikiran yang salah kembali sedar dan melihat semula dirinya. Bertakwalah kepada Allah dan ini yang sepatutnya mereka lakukan. Kita boleh ambil perkataan Imam Syafie yang pernah menyebut bahawa aku tidak berbincang dengan seseorang melainkan aku berharap kebenaran itu datang daripada orang yang aku berbincang dengannya. Jika kita lihat Imam Syafie, beliau lebih mementingkan kebenaran lebih daripada pandangannya sendiri atau pendapat yang hendak dikeluarkan. Beliau hanya pentingkan kebenaran. Abdul Hadi adalah merupakan salah seorang daripada pelajar Imam Syafie atas pegangan mazhab Syafie. Atas dasar ini Abdul Hadi tidak sepatutnya keluar daripada lingkungan nasihat-nasihat yang telah diberikan oleh Imam Syafie.
Bagaimana pula tindakan mengkafirkan orang Islam lain yang terdapat di dalam amanat tersebut?
SHEIKH SULAIMAN: Perkara ini tidak harus berlaku kerana hadis yang saya bacakan tadi jelas memperlihatkan kepada kita bahawa mengutuk orang Islam itu boleh membawa kepada fasik dan memerangi orang Islam boleh membawa kepada kufur.
Akibat politik, perpaduan umat Islam di Malaysia sukar dipulihkan dan lebih malang lagi salam persaudaraan yang dihulur tidak disambut oleh pihak yang mengaku lebih Islamik. Apa pandangan Sheikh dalam isu ini dan adakah ini dibenarkan di dalam Islam?
SHEIKH SULAIMAN : Penyatuan ummah ini adalah satu perkara yang asasi dari sudut agama, dari sudut jihadnya, dari sudut apa sekali pun maka penyatuan ummah itu adalah perkara yang utama malah lebih diutamakan berbanding perkara-perkara lain yang berkaitan dengan ummah. Orang Islam sangat mengambil berat untuk melaksanakan asas penyatuan ummah. Memang pernah berlaku sebelum ini perbezaan dan pertentangan antara sesama orang Islam sendiri tetapi akhirnya mereka berjaya sampai ke satu titik untuk bersatu. Dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa ‘as-sulh’ (perdamaian) itu adalah sangat baik. Maknanya perdamaian itu adalah lebih baik. Apabila berlaku perselisihan antara sahabat Rasulullah iaitu Saidina Hasan bin Ali r.a. dan Muawiyah bin Abi Suffian r.a., mereka akhirnya berdamai. Selepas perpecahan itu, orang Islam bersatu semula. Kalau ada pihak yang ingin bertanya apakah dalil yang membuktikan penyatuan semula umat Islam selepas mereka dilanda perpecahan, kita boleh merujuk kepada hadis sahih Bukhari tentang hadis Rasulullah SAW yang berkaitan dengan Saidina Hasan. Hadis itu menjelaskan, bahawa Saidina Hasan r.a. yang juga cucu Nabi Muhammad SAW ialah seorang penghulu dan beliau akan mengislahkan atau mendamaikan antara dua puak orang Islam yang berselisih. Memang peristiwa yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW benar-benar berlaku di mana Saidina Hasan bin Ali r.a. melepaskan jawatan khalifah kepada Muawiyah walaupun beliau lebih berhak. Umat Islam menamakan tahun semasa peristiwa tersebut berlaku sebagai Tahun Bersatu. Persoalannya, adakah penyatuan itu berlaku atau tidak? Ia telah berlaku. Saya berharap umat Islam di Malaysia menghidupkan sunah bersatu sebagaimana yang disebutkan dalam hadis berkenaan. Saya menyeru supaya orang Islam bersatu kembali kerana penyatuan itu bukan satu perkara yang susah dan ikutlah firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat kesembilan yang bermaksud, “sekiranya berlaku antara dua puak orang Islam berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya tidak mahu berdamai, hendaklah kamu perangi mereka sehingga mereka kembali merujuk kepada perintah Allah SWT."
Apa kesannya jika seruan penyatuan itu disambut umat Islam di Malaysia dan apa yang akan terjadi sekiranya mereka terus berpecah?
SHEIKH SULAIMAN: Kesan pertama, berlakunya maksiat terhadap Allah dan Rasul-Nya. Ayat-ayat al-Quran yang saya sebutkan dan hadis-hadis yang saya bacakan itu merupakan arahan yang jelas supaya bersatu. Umat Islam di Malaysia akan menjadi lemah dan seterusnya hilang kekuatan dan secara spiritualnya juga akan lemah. Kesannya sangat buruk, sangat bahaya dan sangat dibimbangi malah apa yang saya sifatkannya sebagai ‘garis merah’. Boleh jadi, rakyat Malaysia yang bersatu-padu ini akan berpecah kepada beberapa negara seperti yang kita dapat saksikan di Sudan kebelakangan ini. Sudan sebagai sebuah negara kini terpecah kepada dua dan untuk kembali bersatu semula adalah satu perkara yang amat susah. Keadaan itu akan melemahkan ekonomi di mana hasil-hasil negara akan dibahagi-bahagikan. Malaysia memang terkenal sebagai sebuah negara yang kuat dari segi ekonomi di rantau Asia Tenggara. Bak kata seorang penyair Arab, sebatang anak panah mudah untuk dipatahkan tetapi sukar untuk berbuat demikian terhadap seberkas anak panah.
Masih lagi terdapat pemimpin khususnya dari Pas yang tidak mahu perpaduan ini berlaku dan pada masa sama lebih mementingkan orang bukan Islam daripada saudara seagama. Apa pendapat Sheikh?
SHEIKH SULAIMAN: Pandangan ini bukanlah tepat seratus peratus. Kita lihat kepada UMNO. Adakah UMNO telah melaksanakan pentadbiran negara dan aktiviti politiknya seratus peratus betul? Tiada siapa yang mengatakan UMNO melaksanakan aktiviti politiknya itu dan pemerintahan negara seratus peratus betul. Pemimpin-pemimpin UMNO pun mengakui mereka tidak sempurna. Mengakui kesilapan adalah permulaan kepada usaha-usaha melakukan penambahbaikan. Sebagaimana yang dimaksudkan dalam hadis Rasulullah SAW, ‘‘Semua hamba Allah itu ada melakukan kesilapan. Sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah orang yang bertaubat." Parti-parti politik Islam yang lain boleh mencari penyelesaian kepada kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh parti pemerintah dan membetulkan kesilapan tersebut. Seterusnya mereka akan dapat bersatu dan orang Islam juga akan kembali bersatu. Lambat-laun, penganut-penganut agama lain juga akan mengikut mereka. Ringkasnya, bukan mustahil bagi umat Islam untuk bersatu semula dengan syarat semua pihak yang bertelagah sama ada pembangkang atau kerajaan bersungguh-sungguh mencari penyelesaian yang saksama dan lebih afdal untuk mengatasi permasalahan ummah.
Masalah yang berlaku sekarang pemimpin yang dianggap berilmu dan dikatakan bertaraf ulama tidak mahu menyeru umat Islam ke arah perpaduan?
SHEIKH SULAIMAN: Kalau pemimpin-pemimpin Pas yang digelar alim ulama ini menolak, maka kamu kemukakanlah dan terangkan bukti-bukti dari sudut syarak. Terangkan dari sudut syarak dan kita hendak tengok apakah bukti-bukti mengikut syarak ini kamu tidak mahu kepada perpaduan.
Pandangan Sheikh tentang kepentingan memastikan kuasa politik kekal di tangan umat Islam dan kesan sekiranya usaha itu gagal?
SHEIKH SULAIMAN: Sudah tentu kekuatan politik itu sangat perlu bagi orang Islam terutamanya politik berasaskan Islam yang berupaya menjaga Islam sebagai sebuah agama dan mampu memelihara umat Islam daripada terpesong oleh idea-idea serta pemikiran yang dibawa dari Barat. Malaysia dilihat oleh negara-negara lain sebagai sebuah negara yang mempunyai pendirian tersendiri dalam bidang politik dan ekonomi. Tidak ke Timur dan tidak ke Barat. Perkara ini menyebabkan musuh-musuh Islam terutamanya komunis, dunia Barat, orang Yahudi dan Kristian tidak senang hati. Ini merupakan punca kekuatan dan kemuliaan bagi rakyat Malaysia. Sebagai contoh, kewujudan negara Israel yang bertahan sehingga hari ini dilihat mempunyai asas yang sama dengan manhaj ini. Parti-parti politik di Israel saling bertentangan antara satu sama lain. Namun, mereka sanggup melupakan segala bentuk perpecahan yang berlaku dan bersatu untuk mengekalkan kestabilan, kekuatan dan kehebatan Israel. Begitu juga dengan umat Islam, jika kita mengekalkan perpaduan, kita akan dapat mendapat kekuatan yang serupa.
Sekiranya kuasa politik yang dimiliki orang Islam tidak dijaga dengan baik, terdapat kemungkinan kuasa itu akan jatuh ke tangan orang bukan Islam. Pada pandangan Sheikh, apakah kesannya kepada Malaysia jika situasi itu benar-benar berlaku?
SHEIKH SULAIMAN: Kita berharap kekuatan politik Islam di Malaysia semakin bertambah dan berkembang untuk kekuatan semua umat Islam. Kita mahu Malaysia menjadi negara contoh bagi kekuatan dan kestabilan politik. Semua pemimpin politik di Malaysia hendaklah merebut peluang untuk menunjukkan contoh yang jelas kepada rakyat dalam usaha penyatuan dan perpaduan agar negara ini boleh dijadikan contoh baharu dalam bidang politik.
Apakah pendapat Sheikh tentang perbuatan segelintir pemimpin Islam yang berfahaman pluralisme?
SHEIKH SULAIMAN: Pluralisme merupakan satu perkara yang mustahil dan tidak mungkin berlaku. Bagaimana kita hendak membuat perbandingan antara wahyu yang diturunkan Allah dalam al-Quran dengan buku yang ditulis oleh manusia biasa? Tidak mungkin. Bagaimana kita hendak samakan al-Quran yang dipelihara Allah SWT daripada sebarang bentuk penambahan dan pengurangan dengan agama yang tidak terjaga, kitab-kitabnya yang tidak terjaga seperti Taurat dan Injil? Tidak mungkin. Masalah ini dinyatakan dengan sangat jelas di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Kafirun yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad):[1] “Hai orang-orang kafir! [2] “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. [3] “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. [4] “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. [5] “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. [6] “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".
Hakikatnya, Islam adalah agama yang diwahyukan oleh Allah dan dijamin oleh Allah. Sementara idea pluralisme sebenarnya dibawa oleh orang Yahudi. Tujuannya adalah untuk melemahkan penyatuan dan perpaduan orang Islam.
Adakah boleh orang Islam berfahaman pluralisme?
SHEIKH SULAIMAN: Tidak ada seorang pun orang Islam di muka bumi ini yang mengucapkan dua kalimah syahadah dan faham tentang maknanya akan mengucapkan kata-kata yang menjurus kepada pluralisme atau menyokongnya.
Apakah hukumnya sekiranya sebuah pertubuhan atau parti Islam meminta pertolongan pihak bukan Islam untuk memerintah negara dan kesannya?
SHEIKH SULAIMAN: Haram bagi seorang Islam untuk meminta pertolongan pada orang kafir yang anti Islam untuk menentang saudara seagama. Kita sepatutnya mengambil iktibar daripada sejarah kejatuhan kerajaan Islam Andalusia. Apa yang berlaku di Andalusia dahulu memang sangat berbahaya. Sebahagian orang Islam di Andalusia meminta bantuan orang Kristian bagi menentang pemerintah mereka yang juga beragama Islam. Akibatnya, kerajaan Islam Andalusia hancur dan kini tinggal sejarah sahaja.
Apa seruan Sheikh kepada semua pemimpin dan umat Islam negara ini?
SHEIKH SULAIMAN: Saya menyeru parti-parti politik Islam sama ada Pas atau UMNO supaya bertakwa kepada Allah dan menjaga perpaduan dalam kalangan rakyat serta menyelesaikan perselisihan pendapat yang berlaku sesama mereka dalam usaha menyatu-padukan ummah. Saya berpesan kepada UMNO supaya memperbetulkan segala perkara negatif dan tidak baik yang dibangkitkan oleh parti-parti Islam yang lain. Kepada parti-parti Islam, saya menyeru mereka supaya berusaha ke arah penyatuan ummah kerana pertolongan Allah sentiasa bersama dengan jemaah.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20130106/re_05/Tunjuk-contoh-yang-baik#.UOi3DlJQLjB.facebook#ixzz2HGrhYZX1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: