Salam
Semoga Ustaz berada dalam sihat-sihat di beri Allah. Saya ada dua kemusykilan.
1. Musykil sikit tentang bacaan al-Quran saya yang merangkak-rangkak, hari-hari saya bersungguh ingin membaca dengan betul. Namun sekarang terdapat banyak alat-alat canggih, saya dengar dari situ dan saya ikut cara mereka baca. Bagaimana pandangan ustaz dan dari hadis-hadis Nabi SAW tentang penggunaan alat-alat ini.
2. Saya tidak jumpa hadis yang menyatakan: Sesiapa mati pada malam/pagi jumaat, maka dia bebas daripada soal jawab dan seksa kubur. Benarkah Ustaz?
Sekian, terima kasih
Salam Ramadan Al Mubarak
Pak Ngah
Jawapan Minggu 4 Soalan 1:
Saya amat terharu dengan kesungguhan Pak Ngah membaca al-Quran walaupun merangkak-rangkak. Teringat saya kepada hadis Nabi SAW di mana baginda bersabda,
"Orang yang mahir membaca al-Quran setaraf dengan malaikat yang mulia lagi taat (al-Safarah al-Kiram al-Bararah). Adapun orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tersangkut-sangkut dan bersusah payah membacanya, dia akan dapat dua pahala."
(Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, Kitab, Bab, No. 798).
Nasihat saya kepada Pak Ngah agar meneruskan usaha mulia ini sehingga akhirnya berdiri setaraf dengan martabat para malaikat.
1. Adapun berkenaan dengan alat-alat canggih yang dijual di pasaran, yang memperdengarkan bacaan al-Quran al-Karim, saya nasihatkan Pak Ngah seperti berikut: Pertama, pastikan alat-alat itu mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri. Jika diluluskan, maka tiada masalah untuk Pak Ngah menggunanya untuk membantu memperelokkan bacaan al-Quran. Menggunakan alat-alat moden ini termasuk dalam urusan dunia, di mana Rasulullah telah bersabda,
"Kamu semua lebih mengetahui tentang urusan duniamu."
(Hadis sahih riwayat al-Imam Muslim, Kitab al-Fada'il, No. 2363).
Dengarlah bacaan daripada alat-alat itu, kemudian ikutlah membaca. Kedua, walaupun alat-alat itu mendapat kelulusan KDN, Pak Ngah tetap perlu cuba sedaya-upaya untuk memperbetulkan bacaan al-Quran dengan memperdengarkan bacaan Pak Ngah kepada seorang Ustaz yang berkemahiran dalam ilmu tajwid. Ini kerana, alat-alat itu hanya dapat memperdengarkan bacaan dan tidak dapat mengenal pasti kesilapan bacaan kita. Buatlah perkara yang kedua ini walaupun seminggu sekali.
2. Hadis yang dicari oleh Pak Ngah itu bermaksud,
"Tiada seorang muslim pun yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat, kecuali dia akan diselamatkan oleh Allah daripada fitnah/azab kubur."
Hadis ini diriwayat oleh al-Imam at-Tirmizi dalam al-Sunah, Kitab al-Jana'iz, Bab Ma Ja'a fi Man Mata Yaum al-Jumu'ah, No. 1074. Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal dalam al-Musnad, di dalam Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 6546.
Status hadis ini dipertikaikan oleh para ulama. Ada yang menghukumnya daif dan ada yang menghukumnya hasan. Saya lebih cenderung kepada pandangan bahawa hadis ini adalah berstatus hasan. Justeru hadis ini dapat dijadikan sandaran dalam memberi berita gembira bagi orang Islam yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat. Semoga Allah Taala mengurniakan kepada kita husnul khatimah atau kematian yang baik, dan menyelamatkan kita semua daripada azab kubur dan juga azab neraka.
1 comment:
Assalamualaikum. Apakah hukum Imam sembahyang Terawih membaca Al-Quran besar yang diletakkan dihadapannya?
Post a Comment