KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengagihkan zakat dan bantuan berjumlah RM26,102,171 sejak Januari hingga kini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah antara bantuan terbesar ialah bagi membina 137 rumah untuk penduduk miskin membabitkan kos RM2,597,963.
Selain itu, MAIP juga mengeluarkan bantuan sara hidup kepada 610 penerima melibatkan sejumlah RM670,595 serta bantuan pelajaran kepada 1,121 pelajar membabitkan kos sebanyak RM812,640, titah baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs.
"Semua bantuan itu dikeluarkan melalui Baitulmal Perlis," titah baginda pada persidangan MAIPs kali ke-3 bagi tahun 2012 di bangunan baru MAIPs di Taman Pengkalan Asam di sini hari ini.
Baginda bertitah MAIPs juga telah melaksanakan pelbagai kegiatan sejak awal tahun ini sejajar dengan program transformasi bagi memperkasakan institusi itu.
Antara yang dilaksanakan ialah program Hijrah Minda di masjid terpilih, program MAIPs Peduli Mangsa Bencana dan Seminar Serantau Pelancongan Islam pada 18 dan 19 Jun lepas dengan kerjasama Pusat Pelancongan Islam (ITC).
Selain itu, MAIPs juga menganjurkan forum perdana berkaitan kehebatan Ramadan di samping menganjurkan majlis berbuka puasa dan sumbangan hari raya di masjid-masjid mengikut zon.
Baginda bertitah program terbaru ialah menganjurkan syarahan akademik antarabangsa dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan mengundang tokoh akademik Prof Tariq Ramadan dari Oxford University. - Bernama
No comments:
Post a Comment