31 July 2012

SINAR: Masjid di Perlis bebas asap rokok bermula Ramadan ini

Laporan ini dipetik dari akhbar Sinar Harian keluaram 21 Julai 2012, ianya boleh juga dibaca dihttp://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/masjid-di-perlis-bebas-asap-rokok-bermula-ramadan-ini



KANGAR - Semua masjid di negeri ini menjadi kawasan bebas asap rokok bermula Ramadan ini dalam usaha kerajaan negeri mewujudkan persekitaran bersih dan sihat. 

Sehubungan itu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis hari ini menganjurkan seminar "Masjid Bebas Asap Rokok" yang dihadiri semua imam bagi memastikan arahan itu dipatuhi. 

 

Bertitah merasmikan seminar itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap imam di Perlis bekerjasama memulakan jihad ke arah memastikan tiada perokok di kawasan masjid sejajar keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlus bahawa merokok adalah haram. 
Walaupun fatwa itu belum diwartakan, titah baginda umat Islam harus mula menghentikan tabiat tersebut yang telah terbukti secara saintifik membawa mudarat. 

Baginda turut berharap kempen serupa dilaksana agensi kerajaan terutama Jabatan Pelajaran, memandangkan ada kes pelajar merokok tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan mereka. 

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Perlis, Ahmad Bakri Ali yang turut hadir, berkata statistik 2006 menunjukkan 33.1 peratus atau 37,000 daripada lebih 240,000 penduduk Perlis adalah perokok. 

Beliau berharap perokok memanfaatkan Klinik Berhenti Merokok yang disediakan di sembilan klinik kesihatan di seluruh negeri ini bagi mengawal atau menghentikan tabiat itu.- Bernama

No comments: