27 June 2012

(SINAR) Dr. Juanda: Tak perlu kaji semula buku Kassim Ahmad

Sinar telah melaporkan laporan ini di pautan http://www.sinarharian.com.my/nasional/juanda-tak-perlu-kaji-semula-buku-kassim-ahmad-1.61461. Semoga bermanfaat.

KUALA LUMPUR - Beberapa orang mufti dan aktivis Islam menolak desakan supaya pengharaman buku "Hadis: Satu Penilaian Semula" tulisan Kassim Ahmad yang dikaitkan dengan anti-hadis, ditarik balik.

Dr Juanda Jaya 
Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata, usaha Kassim supaya kerajaan menarik balik pengharaman itu adalah sia-sia.

"Para ulama hampir seluruhnya menolak pandangan ganjil beliau. Debat dan jawapan kepada pandangan pelik beliau telah lama direkod dan sudah menjadi bahan sejarah.

"Jadi kita tidak perlu membuang masa melayan perkara yang sia-sia seperti ini dan beliau sepatutnya mengkaji semula pandangannya itu," katanya kepada Bernama dalam satu SMS di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan Kassim Ahmad menuntut kerajaan menarik semula pengharaman itu dan beliau mendakwa sudah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkenaan perkara itu tiga bulan lepas.

Kerajaan pada 10 Julai 1986 mengharamkan buku itu manakala Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat buku itu mengandungi fahaman bertentangan dengan akidah.

Antara kandungan buku itu ialah penyelewengan dari sudut akidah iaitu menolak hadis secara total sebagai sumber akidah dan perundangan Islam, menolak dua kalimah syahadah, menolak Qada’ dan Qadar (satu daripada Rukun Iman), dan memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran.

Percanggahan dari sudut syariah pula ialah menolak pensyariatan sembahyang, menolak ketetapan hukum Fiqh Islam mengenai aurat wanita manakala percanggahan dari sudut akhlak ialah menghina peribadi dan kedudukan Rasulullah dan mencerca dan memfitnah para ulama.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata buku itu tidak perlu kajian semula.

"Nak kaji buat apa. Tidak perlu lagi. Semua tindakan sudah diambil. Dan hanya dia seorang yang mempertikaikan tindakan ke atas buku yang diharamkan itu," katanya kepada Bernama.

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Datuk Nakhaie Ahmad menasihatkan mereka yang mahukan pembaharuan dalam Islam agar terlebih dulu mendalami Islam, al-Quran dan hadis.

"Faham betul Islam itu dan jangan buat perkara-perkara yang mengarut. Jangan buat kajian mengikut kehendak dan fahaman kita sahaja. Faham tradisi ilmu, pengajian, intelektual Islam dan kemudian menguasainya," katanya.

Beliau berkata pembaharuan adalah baik tetapi sekiranya membawa idea yang cetek ia akan hanya menghabiskan masa orang lain untuk membincangkannya. - Bernama

1 comment:

Allen Sulong said...

Salam utk semua,

Allah SWT tdk akan melaknati org2 yg mengkaji, mempertahankan dan mempertinggikan kitab Al-Quran, malah mereka ini adalah manusia pilihan yg akan masuk syurga tanpa dihisab (35:32). Tetapi Allah SWT akan melaknati dan membawa azab yg pedih lagi menghina kepada sesiapa yg memperlekehkan AL-Quran dan mengadakan kitab2 baru utk bertanding dgn Al-Quran (34:38), kononnya Al-Quran itu tdk lengkap dan memerlukan kpd kitab2 lain. Kitab2 lain yg kononnya berfungsi utk menjelaskan ayat2 Al-Quran inilah yg tlh menjauhkan umat Islam dari Al-Quran sehingga Al-Quran dijadikan barang perhiasan sahaja dan bukan lagi sumber ilmu yg maha agung.

Inilah kejayaan yg amat besar bagi yahudi dan nasrani sbb bukan sahaja tlh berjaya menjauhkan umat Islam dari Al-Quran malah berjaya mmbuatkan umat Islam berpecah-belah dan bersengketa sesama sendiri. Al-Quran adalah satu khazanah ilmu yg maha hebat lagi agung. cubalah baca blog2 yg mgkaji Al-Quran seperti harunyahya.com atau http://kajian-quran.blogspot.com/ dan sbgnya. Lihat dan kajilah sendiri akan kehebatan Al-Quran yang amat digeruni oleh semua musuh-musuh Islam.

Lihatlah bagaimana Al-Quran menjelaskan E=MC2, menjelaskan ilmu wireless communication, artificial intelligence, knowledge representations, centripetal force, piezoelectric, subliminal dan subconscious, dan sebagainya. Sekiranya umat Islam kembali kepada Al-Quran maka mereka akan menjadi umat terbaik “khaira ummatin”, dan inilah yg digeruni oleh yahudi dan nasrani!