04 June 2012

SHEIKH ISMAIL: Pelihara kemaslahatan umat


MINGGU lepas akhbar ini telah menyiarkan wawancara bersama ulama tersohor Arab Saudi yang juga Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi.
Reaksi dan pandangan yang diterima terhadap wawancara tersebut begitu menggalakkan memandangkan beliau menjelaskan isu pokok iaitu, seharusnya tidak timbul sebarang masalah jika umat Islam saling menggalakkan perpaduan sesama mereka.

Minggu ini satu lagi wawancara diatur, kali ini melibatkan anak murid kepada Sheikh Dr. Sulaiman iaitu SHEIKH ISMAIL OMAR.

Anak Melayu kelahiran Pulau Pinang ini telah menetap di Mekah hampir 31 tahun namun sering berulang-alik ke negara ini sama ada untuk urusan berkaitan bidang ilmu, pengkajian, memberi ceramah mahupun perniagaan.

Wartawan Mingguan Malaysia NIZAM YATIM dan HAFIZAHRIL HAMID yang menemu bual Sheikh Ismail baru-baru ini telah mengajukan beberapa soalan susulan daripada wawancara dengan Sheikh Dr. Sulaiman.

Menurut Sheikh Ismail yang juga Pengarah Eksekutif dan salah seorang Pengasas Yayasan Kebajikan Nusantara, Malaysia adalah negara yang amat dihormati dan dicontohi oleh negara-negara Islam.

Beliau sehubungan itu mengingatkan segala nikmat yang dikecapi umat Islam di negara ini boleh musnah dalam sekelip mata jika mereka sendiri menolak usaha perpaduan.

“Kita orang Melayu Islam bernasib baik mempunyai satu kontrak sosial yang tersedia difahami dan dihormati oleh semua rakyat Malaysia iaitu prinsip Ketuanan Melayu dalam konteks Manhaj Melayu," katanya.

Beliau tidak menafikan perbezaan pendapat wujud sesama manusia. “Tetapi Allah menyuruh kita berbincang dan berdamai dalam konteks Fiqh Al-Ikhtilaf (fikah cara berbeza pendapat) serta saling menghormati dalam suasana persaudaraan Islam dan menghindar perpecahan," katanya.

MINGGUAN: Apa yang mendorong saudara meninggalkan Malaysia dan pengajian konvensional lalu menetap di Mekah serta mendalami ilmu agama serta menguasai Bahasa Arab dengan baik?

SHEIKH ISMAIL: Alhamdulillah dorongan utama adalah supaya saya dapat baca al-Quran dan tahu maknanya. Setelah saya merantau ke negara barat, memperolehi Ijazah Kelas Pertama tetapi merasakan tiada lengkap ilmu tanpa boleh membaca al-Quran dan mengetahui maknanya. Dorongan kedua adalah merasai ketidakpuasan menimba ilmu agama melalui buku-buku terjemahan tidak melalui bahasa asli al-Quran dan hadis. Ketiga, saya merasai ada kekurangan dalam modul-modul “dunia-akhirat" yang dikemukakan oleh pengkaji agama tradisional terutamanya dalam bidang profesionalisme, urusan korporat, guna pakai sumber asli agama dan masalah duniawi semasa. Maka ini mendorongi saya terus mengkaji ilmu agama.

Apa kekuatan dan kelebihan yang dimiliki oleh Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi yang menjadi ilmuan yang banyak mendidik saudara dalam bidang ilmu takhasus?

SHEIKH ISMAIL: Kekuatan ilmuan utama Sheikh Dr. Sulaiman ialah beliau seorang profesor dalam bidang akidah iaitu usuluddin. Takhasus atau kepakaran utama beliau adalah berkenaan ilmu perpecahan puak atau firqah-firqah dalam dan luar agama. Bahkan beliau mengajar di Universiti Ummul Qura subjek puak-puak yang masih dalam agama dan puak-puak yang menggelar diri mereka “Islam" tetapi pada hakikatnya telah terkeluar daripada agama Islam sesuai kupasan hadis (yang bermaksud); “Umatku akan berpecah kepada 73 puak; kesemuanya dalam neraka melainkan satu".

Saya juga menghadiri kuliahnya dua semester berkenaan ayat-ayat dan hadis berkaitan akidah Islam. Adapun kekuatan amali dan rohani beliau ialah Sheikh Dr. Sulaiman menjadi tonggak iaitu Pengerusi Pejabat Dakwah, Bimbingan dan Kebajikan Masyarakat Mekah yang banyak membantu hal ehwal masyarakat khususnya para pelajar asing di Mekah. Beliau amat memahami masalah mereka bahkan sering menziarahi pelosok dunia menimba maklumat waqi’ dunia semasa.



http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_11.htm&fb_source=message#.T8vboVnBl8c.facebook

No comments: