Mereka suka benar berdebat. Mereka besar hati kalau ada ejek dan maki. Atau kalau ada yang sudi mencela pengajian mereka. Propaganda cara begini rupanya sudah dipelajari sejak dari Qadyan. Hendaknya tidak berhenti-henti ada debat memperkatakan kepercayaan mereka. Sehabis satu pertemuan, kalau mereka disoraki ramai orang, maka akan ada orang lain tertarik, bukan oleh kaji, melainkan oleh kesabaran mereka ketika dicela. Padahal kalau mengaji dengan tenang, sebab pengajian mereka tidak berdasar kepada mantik dan peraturan berfikir, sangatlah berpanjang-panjangnya. Di segala pengajian terlebih dahulu ditetapkan bahawa Nabi Isa telah mati. Kadang-kadang berhari-hari dan berminggu berdebat. Nabi Isa telah mati. Segala sesuatu telah mereka atur sejak dari Qadyan menetapkan Isa telah mati. Kalau lawan telah menerima, lalu dicari pula segala alat perkakas menetapkan bahawa Nabi Isa akan turun ke dunia kembali. Dikumpul pula alasannya dari Hadis Nabi, dan kalau perlu dari ayat Injil. Kalau lawan menerima, barulah dikemukakan bahawa Nabi Isa yang telah dijanjikan itu ialah “Hazrat” Mirza Ghulam Ahmad.

Maka di sini jelaslah bila timbulnya “Agama Baru” ini, iaitu di Lahore, di setumpak negeri Islam, yang pada masa 100 tahun yang telah lalu, darah kaum Muslimin amat panas menentang penjajahan Inggeris, sehingga beberapa kali timbul pemberontakan. Dalam kitab-kitab “Nabi Baru”itu, banyak tersebut pengakuan setianya kepada Ratu Victoria tanah Inggeris! Dan “Kaisar India”.
Inilah yang masuk ke Sumatera, dibawa oleh anak Sumatera sendiri, bertepatan dengan kebangkitan agama, kebangkitan pergerakan dan kebangkitan Komunis!
(Ayahku, Riwayat Hidup Dr. H. Abdul Karim Amrullah dan Perjuangan Kaum Agama di Sumatera,Cetakan ketiga, karangan Prof. Dr. Hamka. Halaman 193)
Cetakan pertama pada tahun 1950.