18 April 2012

Raja Muda Perlis: Jadikan masjid mesra pengguna

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah bertitah agar semua masjid melakukan pengislahan dari pelbagai sudut. Titah yang dimaksudkan telah dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 18 April 2012. Laporan tersebut boleh dibaca seperti di bawah atau rujuk terus ke laman sesawang http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_06.htm


















KANGAR 17 April - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu semua masjid di negeri ini bersifat mesra pengguna.

Mesra pengguna yang dimaksudkan itu, termasuklah masjid yang bersih dan indah serta memiliki ruang atau bilik khas yang mempamerkan sejarah, misi, visi dan fungsi masjid itu sendiri.

Bagi mencapai status itu, titah baginda, pentadbiran masjid perlu membuat penambahbaikan, terutama terhadap budaya kerja dan sistem pengurusan masjid.

"Bagi mencapai matlamat ini, para pegawai masjid mestilah berhijrah minda ke arah mewujudkan penambahbaikan sistem pengurusan masjid yang menjadi amalan hari ini.

"Ini secara tidak langsung dapat mempromosi keunggulan dan keagungan fungsi masjid itu sendiri melalui beberapa usaha positif seperti masjid yang indah, bersih dan mesra pengguna sebagaimana yang terdapat di masjid-masjid di China," titah baginda.

Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengutarakan perkara itu sewaktu bertitah menutup Seminar Pemantapan Pengurusan dan Pengimarahan Masjid-Masjid Negeri Perlis di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah, Jafperi Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Abdul Malik Husin.

Raja Muda Perlis percaya, melalui pakaian seragam juga boleh meningkatkan imej anggota pengurusan masjid di samping mewujudkan sudut informasi berkaitan aktiviti dan program yang diadakan di masjid.

"Masjid juga wajar dilengkapi penggunaan teknologi maklumat bagi mempertingkatkan penyebaran informasi terkini kepada masyarakat secara lebih berkesan.

"Pada masa yang sama, perhatian yang lebih kepada golongan kurang bernasib baik seperti fakir, miskin, warga emas, anak yatim, saudara baru dan orang kelainan upaya juga perlu dilaksanakan," titah Tuanku Syed Faizuddin lagi.

No comments: