13 April 2009

Mencari Ilmu Menurut Islam

Bahagian Pertama

Ditulis Oleh Ustaz Muhammad Ihsan Bin Idris

Pada akhir-akhir ini, sering timbul persoalan-persoalan berkaitan perbezaan fahaman, mengapa ustaz itu dan ustaz ini berbeza penyampaiannya sedangkan mereka mengaku bermanhaj As-Sunnah ? Mengapa dalam penyampaian tauhid mereka berbeza, sedangkan tauhid ahli Sunnah itu dari manhaj yang satu ?

Jawapan : Sebenarnya permasalahan ini telah saya sentuh pada masa lalu, tetapi kerana soalan perbezaan penyampaian itu masih timbul, maka eloklah rasanya saya ulangi semula dengan memberi tambahan hujah di atas bab ini agar ianya dapat difahami dengan lebih jelas lagi. ان شاء الله saya akan cuba memberi penjelasan sekadar kemampuan ilmu yang ada dan berilah teguran jika ada kekurangan, kesilapan atau kekeliruan berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. dan apa yang beliau dan para sahabatnya berada di atasnya. Firman Allah :

يَرْفَعِ اللهُ الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا مِنْكُمْ وَالَّذِيْنَ اُوتُوْا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

“Allah meninggikan mereka yang beriman antara kamu dan mereka yang diberi ilmu (para ulama) beberapa darjat.” Surah Al-Mujadalah ayat 11 [58:11]

Ayat yang menerangkan tentang perbezaan darjat antara para ulama yang mencari ilmu, kemudiannya lahirlah penyampaian yang berbeza. Perbezaannya mungkin berlaku dari penerimaan ijtihadnya (pilihan ijtihad yang ia yakini dari ulama As-Sunnah) atau kefahaman dari ilmu yang dipelajarinya. Tidak mustahil juga seorang ulama itu berlaku silap dalam penyampaiannya sebab itu adalah sifat kelemahan sebagai seorang anak Adam sebagaimana sabda Rasulullah saw.:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ خَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ

“Setiap anak Adam membuat kesilapan dan sebaik baik kesilapan adalah mereka yang bertaubat.” Hadits hasan diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Berdalilkan hadits di atas kita dapat memahami bahawa seorang ulama (As-Sunnah) tidak akan terlepas dari kesilapan, demikian juga seorang sahabat Rasulullah saw. tidak akan terlepas dari kesilapan, oleh yang demikian hanya sesuatu urusan yang disepakati oleh para sahabat yang kita ambil sebagai dalil sunnah Khalifah yang terpimpin sebagaimana sabda Rasulullah saw.: وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ ‘Dan sunnah Khalifah ku yang terpimpin.’ Hanya Rasulullah saw. yang bersifat maksum dalam urusan agama yang dipelihara oleh Allah dari cacat cela di dalam urusan penyampaian Syariat yang dibawanya. Firman Allah :

اِنْ أَتَّبِعُ اِلاَّ مَا يُوْحَى اِلَيَّ

“Aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku.”

Surah Al-An'aam ayat 50 [6:50]

Sifat taksub/fanatik atau bertaqlied/mengikat diri dengan seorang guru atau ulama adalah terlarang kerana mereka juga tidak terlepas dari kesilapan. Apa yang perlu kita ambil dari seorang guru/ustaz atau ulama adalah dalil dari penyampaiannya bukan kata-kata seorang ulama. Ini disepakati oleh sekian banyak imam-imam Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Telah berkata Imam Ahmad :

رَأْيُ الأَوْزَاعِي وَرَأْيُ مَالِكٍ وَرَأْيُ أَبِيْ حَنِيْفَةِ كُلُّهُ رَأْيٌ وَهُوَ عِنْدِيْ سَوَاءٌ وَاِنَّمَا الْحُجَّةُ فِي الآثَارِ

“Fikiran Al-Auzaie, fikiran Malik dan fikiran Abi Hanifah, semuanya fikiran, bagiku adalah sama sahaja, adapun yang menjadi hujjah adalah hadits.”

Imam Asy-Syafie berkata :

اِذَا وَجَدْتُمْ فِيْ كِتَابِيْ خِلاَفَ سُنَّةَ رَسُوْلِ اللهِ ص فَقُوْلُوْا بِسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ ص وَدَعُوْا مَا قُلْتُ

“Apabila kamu dapati dalam kitabku bertentangan dengan sunnah Rasulullah saw. maka katalah pendapat kamu dengan mengikut Sunnah Rasulullah saw. dan tinggallah apa yang aku kata.”

Imam Abu Hanifah berkata :

حَرَامٌ عَلَى مَنْ لَمْ يَعْرِفْ دَلِيْلِيْ اَنْ يَفْتِيَ بِكَلاَمِيْ فَاِنَّنَا بَشَرٌ نَقُوْلُ الْقَوْلَ الْيَوْمَ وَنَرْجِعُ عَنْهُ غَدًا

“Haram ke atas orang yang tidak mengetahui dalil aku untuk mengatakan pendapatku, bahawa kami manusia, bercakap hari ini dan kami tariknya pada esok hari.”

Berkata Imam Malik :

اِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ أُخْطِئُ وَأُصِيْبُ فَانْظُرُوْا فِيْ رَأْيِيْ فَكُلُّ مَا وَافَقَ الْكِتَابَ وَالسُّنَّةَ فَخُذُوْهُ وَكُلُّ مَا لَمْ يُوَافِقِ الْكِتَابَ وَالسُّنَّةَ فَاتْرُكُوْهُ

“Adapun aku ini kadang kala salah kadang kala betul, oleh itu lihatlah pendapatku. Jika pendapatku itu selari dengan kitab (Al-Quran) dan Al-Sunnah, maka ambillah. Tiap tiap pendapatku yang tidak selari dengan Kitab dan Sunnah, maka tinggalkannya.”

Perkataan empat orang Imam di atas telah lazim kita dengar dan kita telah membuang sifat taksub, taqlied kepada mazhab fiqhiyiah yang empat, kebanyakan kita sependapat bahawa kita tidak boleh mengikat diri hanya dengan satu mazhab dan menolak segala dalil yang sah dari syara' dari mazhab lainnya. Tetapi apa yang menjadi masalah perjuangan As-Sunnah di Perlis sekarang, kita tinggalkan sifat bertaqlied/taksub kepada mazhab empat tetapi kita suburkan pula dalam diri kita sifat terikat dengan guru atau ustaz yang kita ambil ilmu agama dari mereka sehingga timbul perpecahan sesama kita dengan pulau memulau, umpatan dan sindiran kepada ustaz/guru yang lain kerana perbezaan pendapat terutamanya dalam urusan yang ada padanya khilafiyah iaitu satu urusan di dalam agama yang ada padanya hadits yang sahih atau yang sah untuk dibuat dalil tetapi telah terpecah kefahaman atau pengamalan kepada beberapa cara.

No comments: