27 April 2009

Mencari Ilmu Menurut Islam

BAHAGIAN 2


Tetapi apa yang menjadi masalah perjuangan As-Sunnah di Perlis sekarang, kita tinggalkan sifat bertaqlied/taksub kepada mazhab empat tetapi kita suburkan pula dalam diri kita sifat terikat dengan guru atau ustaz yang kita ambil ilmu agama dari mereka sehingga timbul perpecahan sesama kita dengan pulau memulau, umpatan dan sindiran kepada ustaz/guru yang lain kerana perbezaan pendapat terutamanya dalam urusan yang ada padanya khilafiyah iaitu satu urusan di dalam agama yang ada padanya hadits yang sahih atau yang sah untuk dibuat dalil tetapi telah terpecah kefahaman atau pengamalan kepada beberapa cara.

Perbezaan pendapat ini telah sekian lama berlaku tidak kira sesama golongan ahli Sunnah atau dengan golongan ahli Bid’ah. Sejak di zaman Rasulullah saw. telah ada perbezaan dalam mengamalkan sesuatu ibadah seperti waktu mengamalkan solat witir antara Abu Bakar dan Umar ( dari Jabir-riwayat Ahmad dll.), solat qasar dan tamam dalam musafir dari Aisyah, jumlah bilangan witir dan caranya (dari Ibnu Umar-riwayat Muslim dll.). Kemudian kejadian perbezaan pendapat ini berlarutan di zaman sahabat serta bertambah lagi perpecahan ini di zaman tabiin dan tabi’ tabiin. Sabda Rasulullah saw.:

خَيْرُ الْقُرُوْنِ قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ


Sebaik-baik zaman adalah zamanku, kemudian zaman sesudahnya, kemudian zaman sesudahnya. Hadits shahih riwayat Muslim dalam Kitab Fadhail al-Shahabah

Firman Allah :

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيْهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ اِلَى اللهِ


Dan apa yang kamu berselisih padanya, maka hukumnya itu kepada Allah.

Surah Asy-Syuura ayat 10 [42:10]

Dan bagi kita sebagai pelajar yang ingin mencari ilmu yang benar untuk dijadikan amal ibadah yang diredhai Allah, perlulah mengetahui panduan atau jalan bagi orang-orang yang selamat. Apakah jalan orang-orang yang selamat itu ?

Yang Pertama

Firman Allah :

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا لاَ تُقَدِّمُوْا بَيْنَ يَدَىِ اللهِ وَرَسُوْلِهِ


“Wahai orang orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya (jangan melakukan sesuatu perkara atau menetapkan sesuatu hukum sebelum kamu mendapat hukum atau kebenaran daripada Allah dan Rasul-Nya).”

Surah Al-Hujurat ayat 1 [49:1]

Iaitu kita tidak mendahulukan perintah/perkataan/ajaran sesiapapun daripada perintah Allah dan Rasul-Nya. Tiada istilah "ustaz itu kata !" atau "ulama itu kata !" tetapi hendaklah sesuatu urusan berbalik kepada keterangan yang sah dari Al-Quran dan As-Sunnah. Oleh yang demikian manusia tidak boleh beribadat melainkan setelah jelas keterangan yang sah baginya di atas sesuatu ibadat yang hendak dikerjakan. Qaedah fiqh menetapkan :


اَلأَصْلُ فِي الْعِبَادَةِ التَّوْقِيْفُ وَالاِتِّبَاعُ

Asal hukum mengenai ibadat ialah menunggu perintah dan mengikut.

Dan :

اَلأَصْلُ فِي الْعِبَادَةِ الْبُطْلاَنِ حَتَّى يَقُوْمَ دَلِيْلٌ عَلَى الأَمْرِ


Asal hukum mengenai ibadat ialah batil (tidak boleh dikerjakan) sebelum datang dalil yang memerintahkan.

Oleh yang demikian sesuatu hujah yang hanya berdasarkan pendapat/pandangan seorang guru/ustaz tidak boleh menjadi dalil untuk kita beribadah sehingga ditunjukkan keterangan yang sah dari Al-Quran dan As-Sunnah. Perkataan "orang Mekah pun buat begitu !" atau "orang Madinah ada mengerjakannya !" bukanlah dalil untuk menghalalkan atau membolehkan sesuatu amalan. Sabda Rasulullah saw.:

خَلَفْتُ فِيْكُمْ شَيْئَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا بَعْدَهُمَا كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِيْ

“Aku tinggalkan pada kamu dua perkara yang sekali-kali tidak akan menyesatkan kamu dengan keduanya iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnahku.”

Hadits shahih riwayat al-Hakim, Malik dan al-Baihaqi

Dan jika kita teruskan juga mengambil pendapat atau ajaran yang tidak ada dalil dari keduanya maka sabda Rasulullah saw.:

اِيَّاكُمْ وَالْمُحْدَثَاتِ فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ ضَلاَلَةٌ

“Tinggalkan perkara perkara baru yang diada-adakan kerana semua perkara baru yang diada-adakan adalah sesat (belaka).”

Hadits shahih riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban.

Sesuatu amalan yang dianggap sebagai ibadah, tetapi tidak bercontohkan dari Rasulullah saw. itu adalah dipanggil perkara baru dan adalah sesat belaka. Tidak ada sebarang kebaikan walau sedikit pun, walaupun yang menyatakan baik itu lahir dari mulut seorang ulama yang ternama tetaplah ianya tidak akan menjadi satu kebaikan. Sabda Rasulullah saw.

فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِيْ فَلَيْسَ مِنِّيْ


“Maka barangsiapa yang menyimpang dari Sunnahku, bukanlah dia dari golonganku.”

Hadits shahih - Muttafaq ‘Alaih.


Maka jangan sekali-kali kita yang bermanhaj As-Sunnah ini membuat sesuatu amalan di dalam urusan agama yang hanya didasari atas kepercayaan, keyakinan kepada seseorang ulama yang tidak memberi dalil yang sah dari Al-Quran dan As-Sunnah.

No comments: