07 April 2013


Syarikat korporat dikagumi


TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyaksikan pertukaran perjanjian persefahaman CSR Perlis antara Affendi Rajini Khan (kiri) dan Mazlan Nordin sambil diperhatikan oleh Azizan Hamid (dua dari kanan) di Kangar baru-baru ini.

KANGAR 6 April - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kagum dengan langkah sektor korporat kerana amat bijak menjalinkan perkongsian pintar dengan kerajaan dan pelbagai agensi bagi membantu meningkatkan lagi taraf kehidupan masyarakat.

Salah satu perkongsian bijak yang dimaksudkan oleh baginda ialah menerusi tanggungjawab sosial korporat Perlis (CSR Perlis) yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat korporat untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

Titah baginda, pelaksanaan program CSR Perlis merupakan antara strategi penting ke arah memangkin pembangunan sosioekonomi negeri untuk menjadikan Perlis sebagai negeri yang berjaya membina kemajuan secara strategik.

Baginda juga turut memuji syarikat korporat yang tidak melepaskan tanggungjawab sosial membantu golongan tidak berkemampuan agar tidak tercicir daripada arus pembangunan perdana negara.

Tuanku Syed Faizuddin mengutarakan demikian sewaktu bertitah melancarkan Program Bantuan Peralatan Komunikasi Dan Peralatan Sokongan Pendidikan Kepada Pelajar-Pelajar Yang Kurang Berkemampuan di Negeri Perlis Tahun 2013 di Hotel Sri Malaysia di sini baru-baru ini.

CSR Perlis itu dijayakan di bawah satu sekretariat yang diterajui oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azizan Hamid dengan kerjasama Dewan Usahawan Islam Malaysia (DUIM) dan syarikat swasta Gema Rebana Sdn. Bhd. (Gema Rebana).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Kebajikan Perlis, Affendi Rajini Khan dan COE Gema Rebana, Mazlan Nordin hadir sama.

Raja Muda Perlis juga turut menyatakan kebanggaan baginda kerana negara ini memiliki banyak penyumbang ke arah menjayakan program CSR di semua negeri.

Antara pihak yang dimaksudkan itu, termasuklah baitulmal majlis-majlis agama Islam negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Kebajikan Perlis, badan bukan kerajaan dan sektor korporat yang menyumbang secara berterusan.

Tuanku Syed Faizuddin juga turut mengingatkan masyarakat agar sama-sama memastikan hanya golongan yang layak atau asnaf sahaja diberikan bantuan itu.
"Ini kerana kumpulan sasar tersebutlah yang sepatutnya dibantu terlebih dahulu atau diberi perhatian serius," titah baginda.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Utara/20130407/wu_02/Syarikat-korporat-dikagumi#.UWB7Ev9wgaI.facebook#ixzz2PlxIQcc9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

27 March 2013


Pencerobohan Lahad Datu perlu jadi iktibar kepada Askar Wataniah



KANGAR 25 Mac - Pencerobohan kumpulan militan dari Selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah sejak Februari lepas perlu menjadi iktibar kepada Askar Wataniah untuk meningkatkan peranan sebagai pengintip, pemberi maklumat dan responden ombak pertama, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, kedudukan mereka di merata tempat membolehkan Askar Wataniah sentiasa peka dan bersiap sedia bagi memperoleh sebarang bentuk maklumat serta perisikan tentang apa yang sedang berlaku di kawasan masing-masing.

Bertitah merasmikan pameran promosi Askar Wataniah sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) di terminal feri Kuala Perlis hari ini, baginda bertitah, corak ancaman negara masa kini adalah di luar daripada kebiasaannya dan setiap anggota Askar Wataniah perlu peka dengannya.

Sehubungan itu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah, mahu setiap anggota Askar Wataniah dilatih dan dimaklumkan tentang ancaman masa kini dan tindakan yang perlu diambil jika ia berlaku di persekitaran mereka.

Titah baginda corak latihan untuk Askar Wataniah juga perlu ditingkatkan supaya setanding dengan latihan anggota tetap bagi membolehkan mereka memberi bantuan secara lebih berkesan apabila keadaan memerlukan.

Turut berangkat pada majlis perasmian pameran yang bermula semalam ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala yang hadir sama ialah Timbalan Komander Regimen 504 Askar Wataniah, Lt. Kol. Zulfakar Abdul Wahid.

 - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130326/wu_03/Pencerobohan-Lahad-Datu-perlu-jadi-iktibar-kepada-Askar-Wataniah#.UVHTGzDGg6g.facebook#ixzz2OjjATvkt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

26 March 2013

25 March 2013


Raja Muda Mahu Pemikir Muda Berhemah Ketika Suarakan Pandangan…

KANGAR, 23 Mac (Bernama) – Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu pemikir muda sentiasa berhemah ketika menyuarakan pandangan mereka kepada kerajaan.

Baginda bertitah golongan itu adalah kumpulan penting yang dapat membantu kecemerlangan negara dan suara mereka juga perlu selari dengan inspirasi kerajaan.

Bertitah merasmikan Program Jelajah 1Malaysia janji Ditepati Pemikir Muda Malaysia Negeri Perlis seta pelancaran bank Idea Pemikir Muda Malaysia Negeri Perlis 2013 hari ini, baginda berharap pemikir muda tidak berputus asa dalam perjuangan mereka.

Program yang turut dihadiri pensyarah muda dan pelajar institusi pengajian tinggi itu anjuran Pertubuhan Belia Pemikir Muda (PPM) Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah rakyat sentiasa mahu menerima pemikir baharu yang lebih positif, kreatif serta inovatif demi kebaikan, dan pemikir muda boleh membantu menyumbang pemikiran baharu yang relevan.

Mengulas penubuhan Bank Idea PPM, baginda berharap ia mampu menjadi platform penyalur idea atau pendapat golongan muda tanpa mengira ideology politik.

“Konsep seperti ini diharap akan membawa negara ke arah yang lebih cemerlang kerana penyatuan idea yang baik akan membantu mencorak pembangunan negara,” titah baginda.

Sempena majlis itu, Raja Muda Perlis turut menyampaikan sijil pelantikan Penasihat PPM kepada empat inividu iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid, Naib Canselor Universiti Malaysia (UniMAP) Profesor Datuk Dr Kamarudin Hussin, Presiden Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) Profesor Datuk Dr Zainidin Wazir dan Ketua Biro Bernama Perlis Adnan Jahaya.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala hadir sama Presiden PPM Malaysia Mohd Rafiq Naizamohideen serta pengerusi jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Perdagangan Antarabangsa Perlis Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail.

--BERNAMA 

22 March 2013


Raja Muda Mahu Masjid Semarakkan Kegiatan Menjelang PRU-13

KANGAR, 14 Mac (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap masjid-masjid di seluruh Perlis merancakkan kegiatan yang berkonsepkan penyatuan umat Islam dan masyarakat Melayu sejajar dengan iklim politik menjelang pilihan raya umum ke-13.

Menurut baginda, masjid perlu menjadi sumber penyatuan dan para pegawai masjid perlu memastikan institusi itu tidak menjadi tempat perpecahan umat.

"Masjid seharusnya bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian di mana pegawai masjid bertanggungjawab menghalang sebarang penyalahgunaan mimbar atau mikrofon daripada ceramah politik atau hasutan atau mempertikaikan keputusan pihak berkuasa agama negeri," titah baginda semasa merasmikan konvensyen pegawai-pegawai masjid negeri Perlis 2013 di sini Khamis.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berharap sebarang pelaksanaan program haruslah berstrategi dan meliputi tempoh sebelum, semasa dan selepas pilihan raya umum.

Tuanku Syed Faizuddin berharap para pegawai masjid menggunakan kebijaksanaan dan kreativiti serta bersikap "mesra jemaah dan kariah" untuk melaksanakan kegiatan mengikut kesesuaian di masjid masing-masing.

Baginda juga menyarankan supaya masjid menjadi institusi menjana pakar, penyelidik dan kemudahan fizikal selain mewujudkan kelompok permuafakatan antara masjid dengan masjid termasuk masjid yang lebih besar membantu masjid dan surau yang kecil.

Tuanku Syed Faizuddin turut menyarankan para pegawai masjid didedahkan dengan kemahiran komunikasi berkesan, penyelesaian masalah serta cara melayani setiap anak kariah sebagai seorang pelanggan.

Turut hadir pada konvensyen anjuran Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman, dan Pengarah JAIPs, Mohd Sokri Hussin.

-- BERNAMA



KANGAR, 19 Mac (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra
Jamalullail hari ini melancarkan "Kempen Kesedaran Penunggangan Selamat" di
Simpang Empat dekat sini dengan berbasikal secara santai sejauh 15 kilometer di
sekitar kawasan itu.
Kempen untuk komuniti setempat anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR)
Perlis itu antara lain bertujuan meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan
raya tentang kaedah menunggang basikal dan motosikal secara selamat.
Turut mengiringi baginda ialah Pemangku Pengarah JKJR Perlis, Mahmood
Saharuddin bersama 70 peserta berbasikal yang terdiri daripada ketua-ketua
jabatan dan agensi kerajaan dengan memulakan kayuhan di perkarangan Kolej
Kediaman Tun Abdullah Ahmad Badawi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Simpang
Empat.
Tuanku Syed Faizuddin mengetuai para peserta kayuhan itu melalui beberapa
buah kampung di Simpang Empat dan singgah di Rumah Sejahtera Baitul Hanan di
kampung Behor Mali yang menempatkan 14 penghuni warga emas wanita Islam.
Di Rumah Sejahtera Baitul Hanan kelolaan Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung
Malaysia (MPKSM) itu, baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyampaikan sumbangan MAIPs sebanyak
RM1,000 untuk pengurusan rumah kebajikan itu.
-- BERNAMA



21 March 2013


Rakyat Perlu Kaji Sejarah Untuk Bina Tamadun Baharu Yang Cemerlang….

KANGAR, 19 MAC (Bernama) – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat mengkaji sejarah lampau yang pelbagai untuk membina tamadun baharu yang lebih cemerlang.
Menurut baginda, rakyat perlu belajar untuk mencapai kehidupan lebih baik, teratur dan lebih berjaya melalui penghayatan sejarah dan penambahbaikan dalam usaha menjamin masa depan lebih baik dan melahirkan masyarakat bertamadun tinggi.

Bertitah merasmikan Program Keunggulan Naskah Lama dan Artifak Menerusi Kegemilang Melayu anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama PNM Perlis di sini selasa, baginda berharap program itu menggamit rakyat menyingkap sejarah lampau yang telah membentuk zaman yang sedang dilalui.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah dengan penemuan naskah dan artifak itu membuktikan tamadun Melayu zaman silam begitu hebat malah banyak manuskrip Melayu yang telah lama dibawa keluar dari negara ini dan menjadi bahan kajian negara lain.

Menurut baginda, sebagai contoh sebuah manuskrip lama tulisan Jawi yang dihasilkan penduduk Perlis lebih 200 tahun lalu menjadi antara ratusan manuskrip lama seluruh dunia yand disimpan di British Library, London, selain dokumen rasmi lain.

“Menurut catatan manuskrip bertajuk ‘Hkayat Nabi Yusuf’ setebal 60 muka surat ditulis oleh Muhammad Lebai pada 1802, dan saya berkesempatan melihat manuskrip tersebut semasa mengetuai lawatan kerja ke London tahun lalu,” titah baginda.

Berdasarkan maklumat dalam manuskrip Hikayat Nabi Yusuf itu, selain tertera nama penulis Muhammad Lebai, ia menyatakan manuskrip itu juga hasil ‘kerja tangan’ Cik Mat Tok Orang Kayangan dan Cik Mat Tok Muda Anak Raja Inderawangsa di Perlis.

“Ada yang berpendapat bahawa Muhammad Lebai, Cik Mat Orang Kayangan dan Cik Mat Tok Muda adalah orang yang sama,”titah baginda.

Sebelum itu, Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar dalam ucapan berkata pihaknya telah menterjemah dan membukukan kandungan manuskrip lama melalui penerbitan catalog manuskrip Melayu, jurnal dan risalah untuk kemudahan orang ramai.

Menurutnya, pada masa ini PNM menyimpan lebih  4,000  koleksi naskah manuskrip Melayu berusia lebih 150 tahun yang mencakupi pelbagai genre termasuk kesusasteraan, sejarah, kitab agama, perubatan, undang-undang, ketatanegaraan dan petua serta azimat.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disertai Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Datuk Yazid Mat yang mewakili Menteri Besar.
Program yang mempamerkan nashkah dan artifak di bangunan PNM perlis itu berlangsung selama lima hari dan terbuka kepada orang ramai.

--BERNAMA