09 May 2013

RAJA PERLIS MAHU RAKYAT KUKUHKAN SEMULA PERPADUAN SELEPAS PRU13


Raja Perlis Mahu Rakyat Kukuhkan Semula Perpaduan Selepas PRU13

KANGAR, 7 Mei (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu rakyat di negeri ini mengukuhkan semula perpaduan yang tercalar akibat perbezaan politik yang menyerlah ketika pilihan raya umum ke-13.

Baginda juga mahu rakyat dan pemimpin khususnya, mengetepikan sikap penting diri yang menggugat keharmonian.

"Saya bosan mendengar perkara ini (sikap pentingkan diri) setiap kali pilihan raya umum," titah baginda pada majis angkat sumpah Menteri Besar Perlis yang baharu, Azlan Man, di Istana Arau, di sini Selasa.

Tuanku Syed Sirajuddin yang turut menyentuh pelantikan Azlan, mahu semua pihak memberi sokongan padu kepada Menteri Besar yang baharu itu.

"Kalau ada 'opinion' (cadangan) biarlah ia demi kepentingan negara, negeri dan rakyat," titah baginda.

Baginda juga tidak mahu pelantikan Azlan dipertikai sekalipun ada yang menyarankan agar menteri besar Perlis dilantik daripada kalangan orang lama.

"Kalau nak bangkit (pelantikan Menteri Besar), tunggu pilihan raya umum akan datang. Sekarang pilihan raya dah habis. Semua kena bersatu," titah baginda yang mahu Azlan melaksanakan tugasnya sebaik mungkin.

Azlan, 55, merupakan calon muka baharu yang ditampilkan Barisan Nasional (BN) Perlis pada pilihan raya umum ke-13 yang berakhir kelmarin.

Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Pauh dengan majoriti 1,382 undi mengatasi Idris Yaacob daripada PAS.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid.

-- BERNAMA

No comments: