10 May 2013

Azlan Azam Pastikan Pembangunan Berterusan di Perlis -Kosmo


KANGAR - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh daripada Barisan Nasional (BN), Azlan Man sebagai Menteri Besar baharu negeri tersebut di Istana Arau dekat sini pada pukul 10.05 pagi semalam.
Baginda bertitah, pelantikan tersebut diputuskan selepas mengambil kira nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui sepucuk surat yang mencadangkan ADUN Pauh itu sebagai Menteri Besar Perlis ketujuh
"Walaupun saya mempunyai hak untuk melantik Menteri Besar berdasarkan kuasa yang termaktub dalam perlembagaan namun saya mengambil kira pandangan kedua.
"Saya menerima surat cadangan tersebut pada tengah hari semalam (kelmarin) dan memutuskan untuk mengadakan majlis angkat sumpah dan watikah pelantikan hari ini (semalam)," titah baginda.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berangkat menyaksikan majlis Angkat Sumpah dan Watikah Pelantikan Menteri Besar Perlis itu.
Azlan, 55, dilantik sebagai Menteri Besar Perlis ke-7 bagi menggantikan Datuk Seri Md. Isa Sabu yang mengundurkan diri ekoran tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Ahad lalu.
Pada PRU-13, BN berjaya mengekalkan pemerintahan di Perlis setelah mendapat mandat daripada rakyat apabila memenangi 13 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.














Dalam pada itu, Azlan berjanji akan melaksanakan tugasnya sebaik mungkin bagi menjayakan visi manifesto BN dan memastikan pembangunan berterusan di negeri Perlis.
Azlan mengakui tugas tersebut cukup berat dan tidak boleh dilakukan bersendirian tetapi memerlukan bantuan daripada semua pihak termasuk bekas Menteri Besar.
Sebelum bertanding pada PRU-13, Azlan merupakan Timbalan Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam sejak 2011.
Berkelulusan Sarjana Ekonomi Antarabangsa dari Universiti Denver, Amerika Syarikat, Azlan memulakan tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1983 dan pernah menjadi Konsul Malaysia di Toronto, Kanada pada 1985.
Artikel Penuh: http://202.190.126.83/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Pilihan_Raya&pg=pr_19.htm#ixzz2SsbzqAkp 
Hakcipta terpelihara 

No comments: